Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

if 402

Soalan

Assalammualaikum. Soalan saya adalah berkenaan tanah kepunyaan ibu. Ibu saya masih hidup dan kami 5 beradik. Saya perempuan yang sulung dan dibawah saya 3 adik lelaki dan seorang perempuan bongsu. Ibu mempunyai 3 bidang tanah. Sementara beliau masih ada, beliau mahu memberikan 3 bidang tanah tersebut hanya kepada 3 anak lelaki, dan tiada apa-apa bahagian kpd anak-anak perempuan dengan alasan anak-anak perempuan sudah bersuami dan dibawah tanggungan suami masing2.

Saya tahu itu adalah hak ibu oleh kerana tanah tersebut kepunyaan beliau dan beliau mempunyai hak utk beri kpd sesiapa sahaja. Tetapi dari segi prinsip keadilan dlm Islam, adakah perkara seumpama itu bertepatan dgn jalan yg dianjurkan agama? Mohon pandangan. Jazakallah.

Jawapan

Waalaikumussalam. Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT atas segala nikmat yang diberikan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat baginda.

Berlaku adil terhadap semua makhluk di atas muka bumi ini merupakan satu perkara yang dituntut dan dipuji oleh Syarak. Lebih-lebih lagi berlaku adil sesama anggota keluarga, khususnya di antara ibu bapa dan anak-anak kerana dua golongan ini merupakan elemen utama pembentukan sesebuah keluarga.

Antara perkara yang boleh diterapkan konsep keadilan ialah ketika ibu bapa ingin memberi hadiah dan anugerah kepada anak-anak mereka. Berkait soalan di atas, tiga bidang tanah yang ingin diberikan ibu kepada anak-anak mereka merupakan salah satu contoh realiti pemberian hadiah kepada anak-anak yang perlu dipastikan pelaksanaannya menepati roh Syariah.

Hadiah atau disebut Hibah dari segi istilah Syarak ialah suatu akad pemberian harta daripada satu pihak kepada pihak yang lain tanpa balasan (ʿiwad) yang dilakukan semasa hidup secara sukarela.

(Lihat: Mughni al-Muhtaj, 3/559)

Secara umumnya, ulama’ bersepakat bahawa digalakkan dan disunatkan kepada ibu bapa untuk memberikan hadiah kepada anak lelaki dan anak perempuan secara sama rata. Dalil mereka berdasarkan teguran nabi terhadap seorang ayah seperti yang diriwayatkan al-Nu’man Bin Bashir,

أَعْطانِي أبِي عَطِيَّةً، فَقالَتْ عَمْرَةُ بنْتُ رَواحَةَ: لا أرْضى حتّى تُشْهِدَ رَسولَ اللَّهِ ﷺ، فأتى رَسولَ اللَّهِ ﷺ، فَقالَ: إنِّي أعْطَيْتُ ابْنِي مِن عَمْرَةَ بنْتِ رَواحَةَ عَطِيَّةً، فأمَرَتْنِي أنْ أُشْهِدَكَ يا رَسولَ اللَّهِ، قالَ: أعْطَيْتَ سائِرَ ولَدِكَ مِثْلَ هذا؟، قالَ: لا، قالَ: فاتَّقُوا اللَّهَ واعْدِلُوا بيْنَ أوْلادِكُمْ، قالَ: فَرَجَعَ فَرَدَّ عَطِيَّتَهُ.

Maksudnya: Ayah memberikan hadiah kepadaku. Lalu ibuku (‘Amrah Binti Rawahah) berkata: Aku tak meredhai dan bersetuju dengan tindakan kau menghadiahi kepadanya sehinggalah kau meminta penyaksian (meminta kebenaran dan sokongan) daripada Nabi Muhammad SAW. Lalu ayah berjumpa Rasulullah SAW dan menceritakan kes yang berlaku lantas berkata: Aku memberikan kepada anak lelakiku sebuah hadiah tetapi isteriku menyuruh agar meminta kepastian daripadamu terlebih dahulu wahai Rasulullah. Lalu, Nabi Muhammad SAW melontarkan persoalan: Adakah anak-anak yang lain kau berikan hadiah yang sama seperti ini? Bapanya menjawab: Tidak. Lalu Nabi Muhammad SAW berkata: Bertakwalah kepada Allah dan berlakulah adil terhadap kesemua anakmu. Kemudian, ayah pulang dan meminta semula hadiah yang telah diberikan.

Riwayat al-Bukhari (2587)

Hadis di atas menerangkan beberapa perkara, antaranya:

Pertama: Suruhan dan arahan nabi agar berlaku adil membawa hukum wajib. Kaedah di dalam usul fiqh menyebut,

الأمر يفيد الوجوب

Maksudnya: Setiap arahan membawa kepada wajib.

Kedua, Nabi menyifatkan bahawa perbuatan melebihkan seseorang anak berbanding anak-anak yang lain merupakan suatu kezaliman. Bahkan melalui hadis yang lain nabi juga tidak mahu memberi penyaksian terhadap tindakan tersebut ditambah lagi dengan suruhan agar meminta kembali hadiah yang telah diberikan

Walau bagaimanapun, ulama berselisih pandangan di antara mengharamkan atau memakruhkan apabila ibu bapa melebihkan pemberian kepada sebahagian anak sahaja kepada dua kelompok:

  • Ulama’ yang mengharamkan: Mazhab Hanbali dan sebahagian Mazhab Maliki

Antara alasan utama mereka yang mengharamkan sepertimana yang disebutkan oleh Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari (5/214) ialah berdasarkan premis-premis dan natijah seperti berikut:

Premis 1: Perbuatan melebihkan salah seorang anak berbanding lain membawa kepada pergaduhan dan pertelingkahan sehingga ke tahap putusnya silaturrahim. Selain itu, boleh mencetuskan saling mendengki sesama adik-beradik.

Premis 2: Seperti mana kita maklum, memutuskan silaturahim adalah perkara yang diharamkan Syarak.

Natijah: Jadi, apa-apa perkara yang boleh mendorong kepada putusnya silaturahim maka perkara tersebut juga mengambil hukum yang sama.

  • Ulama yang memakruhkan (مكروه تنزيه): Jumhur Ulama’.

Hujah yang menjadi sandaran Jumhur seperti yang tercatat di dalam kitab Mughni al-Muhtaj (3/566) ialah hadis Nu’man yang diriwayatkan melalui jalur Muslim RA,

انْطَلَقَ بي أَبِي يَحْمِلُنِي إلى رَسولِ اللهِ ﷺ فَقالَ: يا رَسولَ اللهِ، اشْهَدْ أَنِّي قدْ نَحَلْتُ النُّعْمانَ كَذا وَكَذا مِن مالِي، فَقالَ: أَكُلَّ بَنِيكَ قدْ نَحَلْتَ مِثْلَ ما نَحَلْتَ النُّعْمانَ؟ قالَ: لا، قالَ: فأشْهِدْ على هذا غيرِي، ثُمَّ قالَ: أَيَسُرُّكَ أَنْ يَكونُوا إلَيْكَ في البِرِّ سَواءً؟ قالَ: بَلى، قالَ: فلا إذًا.

Maksudnya: Ayahku membawaku berjumpa Rasulullah SAW lantas ayah berkata: Wahai Rasulullah, berikanlah penyaksian (menzahirkan kesetujuan) terhadap perbuatanku memberikan hadiah kepada Nu’man beberapa bahagian daripada hartaku. Lalu Nabi bertanya: Adakah semua anak-anak engkau mendapat harta yang sama seperti mana engkau memberikan kepada Nu'man? Lantas ayah menjawab: Tidak. Nabi memberi respons: Mintalah penyaksian daripada orang lain. Lalu menyambung kata-katanya: Adakah kau gembira anak-anak engkau memberi layanan yang baik secara sama rata (bukan sebahagian sahaja baik manakala sebahagian lain derhaka)? Ayah menjawab: Ya, aku suka. Nabi balas: Kalau begitu, jangan lakukannya (yakni melebihkan seseorang berbanding yang lain).

Riwayat Muslim (1623)

Penyaksian bermaksud memberi kebenaran atau perakuan terhadap tindakan yang dilakukan. Jumhur berhujah bahawa hadis ini boleh difahami bahawa Nabi membataskan kepada dirinya sahaja untuk tidak memberi penyaksian, tidak bagi orang lain. Kemungkinan kerana kemuliaan kedudukan Nabi sebagai pemimpin utama umat Islam menyebabkan terdapat beberapa perkara yang dibolehkan untuk orang awam, tidak bagi sosok tubuh seorang pemimpin. Maka, larangan tersebut berubah daripada hukum haram kepada makruh.

Lanjutan daripada perbincangan ini, ulama' yang mewajibkan pembahagian sama rata berbeza pandangan dari sudut kaedah pembahagian:

Pertamanya, pembahagian sama seperti sistem faraid iaitu nisbah lelaki kepada perempuan adalah lelaki dua kali ganda nisbah kepada perempuan. Alasannya, apabila harta ataupun hadiah yang ingin diberikan itu berkekalan sehingga ibu atau bapanya meninggal dunia maka harta tersebut akan dikategorikan sebagai harta warisan yang wajib diwariskan kepada anak lelaki dan anak perempuannya mengikut sistem faraid.

Keduanya, wajib sama rata berdasarkan zahir ayat.

(Lihat: Bidayah al-Muhtaj, 2/484)

Berdasarkan penghujahan setiap mazhab dalam isu pemberian hadiah kepada anak-anak, kami melihat dalam situasi di atas perlu diperincikan dan diperhatikan beberapa perkara:

Pertama: Sebagai ibu bapa, kita digalakkan untuk memberikan hadiah kepada anak-anak baik lelaki mahupun perempuan sebagai tanda kasih dan cinta kepada mereka. Nabi juga menyarankan untuk umatnya saling memberi hadiah kerana boleh mencambahkan kasih sayang.

Kedua: Hadiah yang datang daripada ibu bapa sebaiknya diberikan secara sama rata kepada anak-anak kerana pemberian yang berbeza akan menimbulkan syak wasangka, iri hati malah boleh membawa kepada perbalahan jika perbezaan hadiah yang diterima sangat berbeza harganya.

Ketiga: Nafkah dan hadiah merupakan dua perkara yang berbeza. Kesannya:

  • Jika difahami hadiah seperti konsep nafkah, maka tidak ada masalah untuk melebihkan seseorang anak daripada anak-anak lain. Hujahnya, nafkah merupakan pemberian ayah kepada anak-anak berdasarkan keperluan dan maslahah anak-anak yang mungkin berbeza antara satu sama lain. Lebih-lebih lagi jika sumber hadiahnya terhad sedangkan maslahah yang ingin dicapai melebihi sumber sedia ada.

Sebagai contoh, ayah mempunyai aset tambahan sebuah motosikal. Ayah menghadiahkan motosikal tersebut kepada anak lelakinya, Ali yang masih belajar di tempat yang berjauhan daripada rumah kediaman sebagai memudahkan urusan pengangkutan. Dalam masa yang sama, anak perempuannya, Fatimah yang sudah bekerja dan mempunyai kenderaan sendiri tidak diberikan motosikal tersebut.

Secara zahir, tampak kelihatan ayah melebihkan Ali berbanding anak perempuannya melihat kepada hanya salah seorang sahaja diberikan hadiah. Namun, jika dilihat dari sudut maslahah dan keperluan yang berbeza, situasi melebihkan seorang anak berbanding anak lain seperti situasi sebegini lebih memberi keadilan kepada kedua-dua anak tersebut.

  • Jika difahami sebagai pemberian secara sukarela tanpa sebarang justifikasi Syarak yang mewajibkannya atau menggalakkannya, maka kami bersama mazhab Jumhur yang memakruhkannya.

Seperti contoh, Ahmad mempunyai dua orang anak; Ali dan Aminah. Kedua-duanya masih duduk dengan ayah mereka. Kemudian, Ahmad bertekad untuk memberikan kepada Ali sebuah rumah sedangkan Fatimah tidak mendapat rumah beralasan hanya anak lelaki yang layak dapat rumah berbanding anak perempuan.

Keempat: Hukum boleh berubah menjadi Haram jika ibu bapa mempunyai niat jahat untuk memberi kemudaratan dan menyusahkan dengan cara memberikan hadiah kepada seorang anak sehingga tiada baki harta langsung untuk anak yang lain.

Kelima: Namun, jika adik-beradik sendiri yang memberi keizinan dan menggugurkan hak mereka untuk tidak diberikan kesamarataan dalam menerima hadiah kerana merasakan ada adik-beradik yang lebih memerlukan berbanding dirinya, maka tidak menjadi masalah untuk ayah atau ibu melebihkan seseorang anak berbanding yang lain.

Mari kita sama-sama renungi kalam mutiara pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (6/132),

وحَبّذَا لَوْ أَخَذَ النّاسُ بهذا وعَمِلُوا به ولو كان قولاً مرجوجاً، إذا لكان منهم بعضُ الإنصاف لبَنَاتِهم، ولم ينكُصُوا على أعْقَابهم، ويعودوا إلى ما كان عليه أهل الجاهلية من حِرْمَان الأُنثى من كل شيء، بحجة أن الذكر يتْعَب معهم، وأن ما يعطى للأنثى يذْهب لِلْغَريب عن الأسرة، وهو زَوْجُها وأوْلَادُها.

Maksudnya: Alangkah bagusnya masyarakat berpegang dengan pandangan sebegini (bahagi sama rata atau mengikut sistem faraid) walaupun pandangan ini tidak popular. Jika ada dalam diri mereka sifat adil dan saksama terhadap anak-anak perempuan mereka nescaya mereka tidak akan bergerak mundur ke belakang meniru kelakuan masyarakat Jahiliyyah yang mengharamkan perempuan daripada memperoleh segala perkara beralasan hanya anak lelaki sahaja yang berpenat lelah ditambah pula dengan alasan lain bahawa harta yang diberi kepada perempuan kelak akan dikongsi bersama orang asing iaitu suami dan anak-anaknya.

Kesimpulannya, hukum melebihkan pemberian hadiah kepada anak lelaki berbanding anak perempuan hanya kerana anak perempuan sudah berkahwin adalah Makruh; sebaiknya dielakkan apatah lagi jika sebahagian anak lain tidak mendapat langsung bahagian hadiah kerana walaupun nafkah anak perempuan yang sudah berkahwin ditanggung oleh suaminya, kemungkinan hajat dan keperluannya sama seperti anak-anak lelaki yang lain. Berhubung tanah yang terhad kepada 3 bidang sahaja, disyorkan dua perkara:

Pertama, jika kesemua anak-anak mahukan tanah-tanah tersebut, sebaiknya lakukan proses pecah tanah terlebih dahulu kemudian bahagikan kepada anak-anak secara sama rata.

Kedua, jika anak-anak lebih memerlukan duit, sebaiknya dijual tanah tersebut dan hasilnya nanti dibahagi secara sama rata.

Kesemua syor dan cadangan bertujuan untuk memastikan kesemua anak mendapat bahagian. Akhir kata, sentiasalah berpegang dengan dua prinsip utama; mengangkat keadilan dan memelihara silaturahim sesama ahli keluarga.

Wallahuaʿlam.