Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

if405

Soalan

Assalamualaikum Dr. Saya ingin bertanya satu soalan. Adakah nama lain selain daripada nama al-quran.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Al-Quran al-Karim diturunkan kepada Baginda SAW yang merupakan ketua bagi sekalian para Nabi AS sebagai mukjizat kerasulannya. Ia merupakan kalam Allah SWT yang dijaga sehingga ke hari akhirat. Kelebihan al-Quran sebagai mukjizat seperti yang dinyatakan bahawa setiap makhluk tidak mampu untuk mencipta walaupun satu ayat daripada al-Quran. Firman Allah SWT:

قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَىٰ أَن يَأْتُوا بِمِثْلِ هَـٰذَا الْقُرْآنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun demi mendatangkan sesuatu yang sebanding dengan Al-Quran, mereka tidak akan mampu mendatangkannya walaupun mereka saling membantu”.

(Surah al-Isra’,88)

Nama-nama al-Quran al-Karim

Umum mengetahui bahawa al-Quran merupakan nama bagi kitab yang diturunkan kepada Rasul SAW yang terakhir sebagai petunjuk kepada umatnya. Namun, terdapat pelbagai nama lain selain daripada nama al-Quran sebagaimana yang disebut di dalamnya. Kepelbagaian nama ini menggambarkan keistimewaan dan kemulian al-Quran itu sendiri.

Al-Fairuz Abadi di dalam kitabnya menyatakan, ketahuilah sesungguhnya banyak nama itu menunjukkan kemuliaan penamanya atau kesempurnaannya di dalam sesuatu perkara. Sepertimana yang kita lihat pelbagai gelaran dan nama yang diberikan kepada seekor singa, ini menggambarkan tentang kekuatannya. Begitu juga hari kiamat yang mempunyai pelbagai nama dan ia menggambarkan tentang kesusahan yang amat dahsyat pada hari tersebut. Selain itu, terdapat banyak nama bagi Allah SWT menunjukkan kebesaran dan kemuliaan-Nya dan begitu juga nama bagi al-Quran menunjukkan kesucian dan kelebihannya. (Lihat Basair Zawi al-Tamyiz fi Lataif al-Kitab al-A’ziz, 1/88)

Para ulama berbeza pandangan berkenaan dengan jumlah bilangan nama al-Quran. Oleh itu, kami datangkan pandangan sebahagian daripada para ulama berkenaan dengan jumlah bilangan nama al-Quran.

Imam Fakhruddin al-Razi di dalam kitabnya menyatakan nama-nama lain selain nama al-Quran berjumlah sebanyak tiga puluh dua nama. (Lihat Tafsir al-Razi, 2/265). Al-Fairuz al-Abadi di dalam kitabnya menyatakan Allah SWT menyebut nama bagi al-Quran berjumlah lebih daripada seratus nama. (Lihat Basair Zawi al-Tamyiz fi Lataif al-Kitab al-A’ziz, 1/88). Imam al-Suyuti menakalkan pandangan al-Qadi abu Ma’ali yang dikenali sebagai Syaizalah menyebut, ketahuilah, sesungguhnya Allah SWT menamakan al-Quran dengan lima puluh lima nama. (Lihat al-Itqan fi Ulum al-Quran, 1/178). Imam al-Zarkashi juga menyatakan nama bagi al-Quran tidak melebihi daripada Sembilan puluh nama. (Lihat al-Burhan fi Ulum al-Quran, 1/273).

Di antara Nama-nama Al-Quran

Terdapat pelbagai nama al-Quran yang di sebut oleh para ulama di dalam kitab mereka. Oleh itu, kami datangkan beberapa nama yang utama seperti yang disebut oleh Dr. Wahbah Zuhaili di dalam Tafsirnya, iaitu al-Quran, al-Kitab, al-Mushaf, al-Nur dan al-Furqan. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 1/14)

  • Al-quran

Al-Quran, merupakan kata terbitan daripada (قَرَأَ) yang bermaksud menghimpunkan. Ibnu Abbas berkata apabila dihimpunkan dan digabungkan ia di dalam hati kamu, maka beramallah dengannya. Dan dikhususkan dengan kitab yang diturunkan kepada Baginda Nabi SAW sebagai tanda kenabiannya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/30).

Firman Allah SWT:

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu);

(Surah al-Qiyamah, 17)

Dr Wahbah Zuhaili di dalam tafsirnya menyatakan, iaitu Jam’ahu (menghimpunkannya) dan Qiraatahu (pembacaannya). Umum mengetahui, bahawa al-Quran diturunkan secara berperingkat. Dan apabila dikumpulkan kesemuanya maka ia dinamakan sebagai al-Quran. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 1/14)

Selain itu terdapat pelbagai ayat yang menggambarkan nama bagi al-Quran itu sebagai al-Quran.

Firman Allah SWT:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ

Maksudnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran

(Surah al-Baqarah, 185)

Firman Allah SWT:

إِنَّا جَعَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya Kami jadikan Kitab itu sebagai Quran yang diturunkan dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya.

(Surah al-Zukhruf, 3)

  • Al-Kitab

Al-Kitab dari segi bahasa bermaksud “himpunan”. Oleh itu, dinamakan al-kitab kerana dihimpunkan di dalamnya pelbagai ilmu, kisah dan pengkhabaran. (Lihat al-Itqan fi Ulum al-Quran, 1/181).

Imam fakhruddin al-Razi di dalam tafsirnya menyatakan al-Kitab merupakan kata terbitan seperti al-Qiam dan al-Siyam. Para ulama bersepakat bahawa al-Kitab memberi maksud kepada al-Quran (Lihat Tafsir al-Razi, 2/260)

Al-Kitab dari segi istilah ulama usul bermaksud al-Quran. Ini seperti mana Firman Allah SWT:

وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِّكُلِّ شَيْءٍ

Maksudnya: dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk,

(Surah al-Nahl, 89)

Firman Allah SWT:

وَهَـٰذَا كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ مُبَارَكٌ فَاتَّبِعُوهُ وَاتَّقُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.

(Surah al-An’am, 155)

  • Al-Mushaf

Dr. Wahbah Zuhaili di dalam tafsirnya menyatakan, al-Mushaf berasal daripada perkataan ashaf yang bermaksud mengumpulkan al-Suhuf (lembaran). Al-Sahifah bermaksud lembaran kulit atau kertas yang ditulis di atasnya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 1/14). Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyatakan al-Mushaf adalah nama yang ditulis padanya kalam Allah SWT. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 38/5)

Firman Allah SWT:

فِي صُحُفٍ مُّكَرَّمَةٍ

Maksudnya: (Ayat-ayat Suci itu tersimpan) dalam naskhah-naskhah yang dimuliakan, 

(Surah Abasa, 13)

Imam al-Razi di dalam tafsirnya menyatakan, yang dimaksudkan ayat di atas adalah hal kemuliaan al-Quran dan menggambarkan al-Quran itu disimpan, iaitu disimpan dengan sempurna di dalam (suhuf) lebaran-lembaran yang terletak di Luh al-Mahfuz yang dimuliakan Allah SWT dan al-Quran ini suci daripada gangguan syaitan. (Lihat Tafsir al-Razi, 31/55).

Selain itu, Dr. Wahbah Zuhaili menyebut di dalam kitabnya bahawa terdapat riwayat yang menyatakan Abu Bakar al-Siddiq di dalam satu mesyuarat, selepas daripada menghimpunkan al-Quran dan ia diberi nama al-Mushaf (Lihat al-Tafsir al-Munir, 1/14).

Begitu juga yang didatangkan oleh Imam Saiyuti di dalam kitabnya dengan menukilkan apa yang dikeluarkan oleh Ibnu Asytah di dalam kitab al-Masohif, daripada Ibnu Syihab menyatakan, apabila telah dihimpunkan al-Quran dan ditulis padanya di atas kertas, maka Saidina Abu Bakar bertanya, carilah baginya (al-Quran) satu nama. Maka berkata sesetengah daripada mereka “al-Sifru”. Dan sesetengah daripada yang lain menyatakan “al-Mushaf”. Maka sesungguhnya penduduk al-Habsyah memberikan namanya sebagai al-Mushaf. Dan sesungguhnya Abu Bakar adalah orang yang pertama menghimpunkan kitab Allah SAW dan dinamakannya sebagai al-Mushaf. Begitu juga terdapat pada riwayat yang lain daripada Ibnu Buraidah. (lihat al-Itqan fi Ulum al-Quran, 1/185)

  • Al-Nur

Nama selain bagi al-Quran iaitu al-Nur disebabkan menyingkap perkara kebenaran dan menerangkan perkara yang tidak jelas tentang halal dan haram serta memberi penjelasan yang tidak dapat dicapai oleh akal fikiran. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 1/14) Imam al-Suyuti di dalam kitabnya menyatakan, bahawa nama al-Nur ini di sebab memberi cahaya petunjuk kepada permasalahan yang tidak jelas dalam hal halal dan haram. (Lihat al-Itqan fi Ulum al-Quran, 1/183).

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَكُم بُرْهَانٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَأَنزَلْنَا إِلَيْكُمْ نُورًا مُّبِينًا

Maksudnya: Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai) Nur (cahaya) yang menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak).

(al-Nisa’, 174)

Begitu juga Firman Allah SWT:

فَالَّذِينَ آمَنُوا بِهِ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَاتَّبَعُوا النُّورَ الَّذِي أُنزِلَ مَعَهُ

Maksudnya: Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran)

(Surah al-A'raf, 157)

  • Al-Furqan

Al-Furqan, Imam al-Suyuti menyatakan, dinamakan al-Furqan disebabkan al-Quran membezakan di antara perkara yang benar dan batil. (Lihat al-Itqan fi Usul al-Quran, 1/183). Selain itu, Dr. Wahbah Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan, di namakan al-Furqan disebabkan (al-Farq) iaitu membeza di antara al-Haq dan al-Batil, al-Iman dan al-Kufr serta kebaikan dan keburukan. (lihat al-Tafsir al-Munir, 1/15) Firman Allah SWT:

تَبَارَكَ الَّذِي نَزَّلَ الْفُرْقَانَ عَلَىٰ عَبْدِهِ لِيَكُونَ لِلْعَالَمِينَ نَذِيرًا

Maksudnya: Maha berkat Tuhan yang menurunkan Al-Furqaan kepada hambaNya (Muhammad), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam

(Surah al-Furqan, 1)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan yang diajukan serta dalil dan pendapat ulama yang diberikan, oleh itu, dapat kami simpulkan bahawa al-Quran mempunyai pelbagai nama selain daripada nama al-Quran berdasarkan seperti yang dinyatakan oleh para ulama berdasarkan ayat al-Quran itu sendiri.

Hal ini menggambarkan bahawa al-Quran merupakan kalam Allah SWT yang agung kerana itulah diberi kepelbagaian nama bagi menggambarkan kemuliaan dan keagungannya. Ini seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya,

“Sesungguhnya banyak nama itu menggambarkan kebesaran empunya nama. Ini sepertimana Allah SWT dan Rasul-Nya SAW yang mempunyai pelbagai nama.” (Lihat Tahzib al-Asma’ wa al-Lughah, 4/157)

Semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam melaksanakan setiap amalan agar setiap amalan yang kita lakukan bertepatan dengan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW