Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

irsyad420

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ada satu soalan di sini berkenaan bahasa orang kafir, adakah boleh bagi seorang Muslim untuk mempelajari bahasa orang kafir? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.

Pada dasarnya, tidak wujud istilah bahasa kafir. Ini kerana bahasa merupakan sunnah kauniyyah (semula jadi) yang diciptakan Allah S.W.T buat umatNya. Bahasa juga hanya merupakan tabi’ (pengikut) kepada bangsa. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, bahasa ialah sistem lambang bunyi suara yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam sesuatu kelompok manusia untuk melahirkan perasaan dan fikiran. Selain itu, ia juga bermaksud kata-kata yang disusun menurut tatabahasa dan digunakan oleh seseorang dalam percakapan atau tulisan.

Firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣

Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Surah al-Hujurat (13)

Ayat ini ditujukan buat seluruh manusia secara mutlak. Melalui ayat ini, Allah S.W.T menjelaskan bahawasaNya telah menciptakan kita berbagai bangsa dan puak untuk kita saling mengenali bukan saling membanggakan nasab. Namun, yang membezakan antara kita semua adalah ketakwaan kepada Allah S.W.T. [Lihat: Tafsir al-Munir; 26/259]. Melalui ayat ini juga, dapat kita kaitkan dengan persoalan di dalam artikel ini dari suatu sudut bahawa Allah S.W.T menggalakkan hamba-hambaNya untuk mengenali bangsa dan puak lain. Firman Allah S.W.T lagi:

وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّلْعَالِمِينَ ﴿٢٢

Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.

Surah al-Ruum (22)

Ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa Allah S.W.T menciptakan di dalam alam ini berbagai bangsa dan kaum yang mempunyai bahasa serta dialek yang berbeza, warna kulit yang bervariasi, suara yang berbeza, penampilan serta ciri-ciri fizikal yang turut berbeza antara satu sama lain. Ini juga menerangkan bahawa bahasa merupakan sunnah kauniyyah. Allah S.W.T memberitahu bahawa pada kesemua ini terdapat ayat-ayat dan tanda-tanda bukti atas kesempurnaan dan kekuasaan Ilahi bagi orang-orang yang menggunakan akal dengan sebaiknya.

[Lihat: Tafsir al-Munir; 21/70]

Berdasarkan kedua-dua ayat ini, perlunya kita mengenali bangsa-bangsa lain dengan niat untuk mencari tanda-tanda dan bukti kekuasaan Allah S.W.T.

Maka salah satu caranya ialah dengan mengenali dan juga mempelajari bahasa-bahasa asing. Bahasa asing ini termasuklah bahasa ibrani, siryani dan sebagainya. Justeru itu, berbalik kepada persoalan yang diajukan, berkenaan hukum mempelajari bahasa asing yakni bahasa selain ibunda.

Pertama: Mempelajari bahasa asing demi sebuah maslahah (mengelakkan dan juga menghindari dari tipudaya musuh-musuh Islam, maka ia adalah dibolehkan.

Ini berdasarkan kepada sebuah athar Nabi Muhammad S.A.W bersama para sahabat iaitu:

قال زيدُ بنُ ثابت: أمرني رسولُ الله صلَّى الله عليه وسلم فتعلمتُ له كتابَ يهودَ، وقال: "إني والله ما آمَنُ يهودَ على كتابي" فتعلمتُه، فلم يَمُرَّ بي إلا نصفُ شَهرٍ حتَّى حَذِقْتُه، فكُنتُ أكتبُ له إذا كَتَب، وأقرأُ له إذا كُتِبَ إليه.

Maksudnya: Zaid bin Tsabit berkata, "Rasulullah S.A.W memerintahkan aku untuk mempelajari tulisan orang-orang Yahudi. Lalu aku mempelajari penulisan orang-orang Yahudi untuk beliau." Zaid berkata, "Demi Allah, sungguh aku tidak merasa aman kepada orang-orang Yahudi terhadap tulisanku. Lalu aku mempelajarinya, dan hanya berlalu setengah bulan aku telah menguasainya. Lalu aku menuliskan untuknya apabila Beliau (ingin) menulis dan aku membacakan untuknya jika beliau mendapat surat."

Riwayat Abu Daud (3645)

Dalam athar  yang lain pula, Zaid bin Thabit R.A berkata:

«أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَتَعَلَّمَ السُّرْيَانِيَّةَ»

Maksudnya: Rasulullah S.A.W memerintahkanku untuk mempelajari bahasa Suryani.

Riwayat al-Tirmizi (2715)

Melalui athar-athar ini, jelas menunjukkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W tidak pula melarang perbuatan sahabat Baginda, malah Nabi sendiri yang menyuruh Zaid bin Thabit untuk mempelajari bahasa asing tersebut. Jelas firman Allah S.W.T:

وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ ﴿٣﴾ إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ ﴿٤

Maksudnya: Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.

Surah al-Najm (3-4)

Maka, sekiranya wujudnya larangan terhadap perbuatan itu, semestinya Nabi akan menyampaikan dan menegur sahabatnya. Namun, perbuatan mempelajari bahasa selain ibunda ini mestilah diiringi dengan niat yang baik dan juga kerana ingin maslahah (kebaikan) di sebaliknya.

Kedua: Mempelajari bahasa asing kerana menjadikan ia sebagai wasilah ataupun cara dalam berdakwah kepada umat manusia. Maka, hal ini diperbolehkan.

Firman Allah S.W.T:

﴿وَمَا أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُم﴾

Maksudnya: Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka.

Surah Ibrahim (4)

Melalui firman Allah S.W.T ini, dapatlah kita fahami bahawa para Rasul diutuskan kepada kaum mereka dengan bahasa kaum itu untuk memahamkan mereka apa yang diutuskan oleh Allah S.W.T iaitu perintahnya dan larangannya dan juga untuk menguatkan serta menetapkan hujah Allah ke atas mereka. [Lihat: Tafsir al-Tobari; 16/516].

Maka, perkaitannya di sini ialah, dengan tujuan untuk menyampaikan dakwah kepada bangsa asing, justeru itu mempelajari bahasa asing adalah perlu bagi menerangkan kepada mereka akan syariat Islam melalui ajaran al-Quran dan al-Sunnah.

Ketiga: Mempelajari bahasa asing kerana niat yang tidak baik iaitu ingin menjatuhkan atau mengkucar-kacirkan Islam, atau menipu orang Islam dan sebagainya. Maka hukumnya adalah haram, berdasarkan kepada kaedah سد الذريعة sad al-zari’ah (menutup jalan yang membawa kepada kemungkaran).

Dalam kaedah ini, wujud juga kaedah lain di bawahnya iaitu:

ما أدى إلى الحرام فهو حرام

MaksudnyaApa sahaja yang membawa kepada yang haram, maka ia haram.

Maka, hal ini semestinya terkait rapat dengan tujuan seseorang itu mempelajari bahasa asing, ini dijelaskan lagi dengan kaedah asal dalam Usul Fiqh iaitu:

الأمور بمقاصدها

Maksudnya: Setiap perkara dan perbuatan itu dinilai berdasarkan niat.

Sehubungan dengan itu, sesiapa yang berniat mempelajarinya dengan tujuan yang tidak baik atau yang seumpama dengannya, maka jelas sekali bahawa haram hukumnya dan ia amatlah dilarang dalam Islam.

Penutup

Kesimpulannya, hukum mempelajari bahasa asing adalah harus, dan jika diiringi dengan niat yang tidak baik, maka haram hukumnya. Di samping kita mempelajari bahasa asing, maka di sini sukalah kami menasihati orang ramai supaya mempelajari bahasa arab adalah lebih baik kerana ia merupakan bahasa al-Quran, dan dengan bahasa ini kita dapat mentadabbur kalam suci Allah S.W.T dengan baik dan memahaminya dengan sebaik-baik kefahaman. Begitu juga jika ingin mempelajari hadith-hadith Nabi Muhammad S.A.W, meneliti sirah-sirah para sahabat, menekuni kitab-kitab agama yang kebanyakannya ditulis, dicetak dan diedar dengan menggunakan bahasa arab.

Saidina Umar R.A turut berkata:

تَعَلَّموا العَرَبيَّةَ

Maksudnya: Pelajarilah bahasa arab.

Riwayat al-Baihaqi (2274), [Lihat: al-Sunan al-Kubra; 2/28]

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agamaNya, menetapkan hati dan juga keimanan kita serta memberkati segala amal perbuatan kita.

Wallahua’alam.