Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

rumah

Soalan

Saya membeli rumah abang saya kerana rumah itu hampir dilelong, penama rumah itu bertukar kepada nama saya. Pembelian tersebut memerlukan saya untuk membuat ‘home financing’ dengan pihak bank. Saya membayar setiap bulan dari akaun bank saya selama 15 tahun.

Selepas 15 tahun, abang saya membayar kepada saya keseluruhan duit mengikut jumlah harga yang saya bayar kepada bank sepanjang 15 tahun tersebut secara lump sum. Kemudian, abang saya mahu menjual rumah itu kerana dia menganggap rumah tersebut masih rumahnya walaupun rumah itu atas nama saya. Isunya, sepanjang tempoh 15 tahun tersebut saya tidak dapat membeli rumah lain kerana komitmen banyak sedangkan gaji saya tidak mencukupi. Akhirnya, rumah itu telah dibeli oleh seseorang.

Soalannya, bolehkah saya menuntut bayaran keuntungan dari jualan rumah tersebut kerana abang saya mahu mendapatkan keuntungan tersebut bagi pihaknya sahaja? Adakah saya tiada hak bagi keuntungan jualan tersebut? Alasannya, abang saya membayar harga rumah tersebut kepada saya sama jumlahnya yang saya telah bayar kepada bank. Tapi, dia tak ambil kira kerugian yang saya tanggung selama 15 tahun dengan tidak dapat membeli rumah lain. Abang saya mengatakan kalau saya tuntut wang keuntungan jualan itu seolah-olah saya memakan hasil riba. Mohon penjelasan dari pihak tuan.

Jawapan

Waalaikumussalam. Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT atas segala nikmat diberikan serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Terdapat tiga persoalan utama yang perlu dijelaskan berkaitan persoalan di atas:

1- Adakah si adik berhak ke atas hasil jualan rumah kepada pihak ketiga?

2- Apakah takyīf fiqhi pemberian semula duit daripada abang kepada adiknya selepas 15 tahun?

3- Adakah jika dia menuntut keuntungan tersebut, perbuatan itu dianggap memakan hasil riba?

Hak Sebagai Pemilik Rumah

Asasnya perlu difahami bahawa Syarak menetapkan bahawa setiap jual beli mempunyai rukun dan syarat yang wajib dipenuhi bagi semua pihak yang terlibat. Rukun jual beli adalah seperti berikut; ada pembeli, penjual, barang yang ingin dijual beserta akad; ijab dan qabul. Manakala syarat umum sahnya jual beli seperti tiada unsur ketidakjelasan (الجهالة), ketidakpastian (الغرر), paksaan, syarat yang boleh mencacatkan objektif asal serta lain-lain hendaklah sentiasa dijaga dan diambil perhatian.

(Lihat: al-Fiqh al-Islāmi Wa Adillatuhu, 5/3346)

Apabila kesemua rukun dan syarat dipenuhi secara sempurna, maka akan timbul hak dan kewajipan yang wajib dilaksanakan oleh kedua-dua pihak atau disebut sebagai iltizām dalam kitab-kitab Fiqh. Iltizam bermaksud kewajipan yang perlu dilaksanakan suatu pihak sama ada kewajipan tersebut berkait dengan hak manusia lain seperti penyerahan barang daripada penjual kepada pembeli ataupun hak Allah seperti menunaikan kewajipan bernazar.

(Lihat: al-Mausuʿah al-Fiqhiyyah al-Quwaitiyyah, 6/146)

Sehubungan dengan itu, apabila selesai berlakunya proses menjual rumah, maka pemilik rumah sudah berpindah hak pemilikan. Rumah menjadi milik pemilik baru dan dia berhak untuk melakukan apa-apa sahaja perkara yang diiktiraf Syarak seperti menyewakan rumah, menyewakan bilik hatta menjualnya semula sekalipun. Dalam masa yang sama, tiada pihak yang boleh menghalang atau memaksa pemilik tersebut untuk membuat perkara yang tidak dipersetujuinya.

Tambahan lagi, keistimewaan ini diberikan kerana pemilik rumah menanggung segala bayaran dan kerugian yang bakal menimpa, jadi dia layak untuk menikmati keuntungan dan hak-hak lain sebagai timbal balik. Dalam bahasa yang mudah, barang siapa yang menanggung risiko kerugian terhadap sesuatu perkara maka dia layak memperoleh keuntungan daripadanya. Ini sesuai dengan kaedah fiqh yang disebutkan ulama,

الغرم بالغنم
Maksudnya: Risiko sejajar dengan keuntungan

(Lihat: Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 7/502)

Analisis Masalah

Selepas kita memahami konsep asas hak pemilik rumah, mari kita lihat perkaitannya dengan situasi di atas dengan lebih terperinci. Melihat kepada adiknya yang membeli rumah yang hampir dilelong itu atas inisiatif adik yang ingin membantu abangnya, maka penjualan semula rumah kepada abangnya hanyalah bersifat ihsan dan tolong-menolong sahaja. Tidak bersifat wajib dan mesti dijual semula kepada abangnya bahkan abangnya tiada hak untuk menuntut semula kerana jual beli yang mensyaratkan penjualan semula pada suatu tempoh yang lain merupakan jual beli yang bermasalah dari sudut Syarak.

Bertitik tolak daripada situasi ini, kesannya seperti berikut:

a- Jika adiknya mahu menjual semula rumah kepada abangnya sebelum dijual kepada pihak ketiga, maka keuntungan yang diperoleh kemudian menjadi hak milik penuh abangnya walaupun akad jual beli di antara adik dengan abangnya itu dilakukan melalui lisan sahaja tidak melalui dokumen hitam putih.

b- Sekiranya adiknya tidak ingin menjual kepada abangnya semula, sebaliknya mahu menjual terus kepada pihak ketiga, maka keuntungan tersebut menjadi hak milik penuh adiknya sahaja.

Berdasarkan situasi-situasi di atas, perbezaan hukum berlaku berdasarkan beberapa faktor:

Pertamanya, perlu dilihat sama ada rumah tersebut sudah dijual semula kepada abangnya ataupun tidak, sebelum dijual kepada pihak ketiga.

Keduanya, penama kepada suatu rumah tidak semestinya menjadi indikator pemilik sebenar rumah kerana terdapat kemungkinan penama diletakkan hanya untuk memudahkan urusan.

Takyīf Fiqhi Pembayaran Semula Duit

Pembayaran semula duit abang kepada adiknya selepas 15 tahun itu secara zahirnya dianggap seperti pemberian hadiah atau pembelian semula rumah semata-mata, bukan pembayaran hutang.

Alasannya, bayaran bulanan yang dibayar oleh adiknya sepanjang 15 tahun bukanlah diberikan kepada abangnya sebagai hutang sebaliknya diberikan kepada pihak bank sebagai akad jual beli. Maka, apabila tiada pemberian secara hutang, tiadalah istilah ‘pembayaran hutang’. Berbaki dua kemungkinan lain sahaja boleh berlaku; sama ada pemberian hadiah semata-mata ataupun pembelian semula rumah daripada adiknya.  

Suka diingatkan sekali lagi, jual beli tetap boleh berlaku walaupun melalui lisan sahaja. Urusan dokumen hitam putih termasuk penama mungkin belum ditukarkan lagi kerana urusannya mengambil masa, namun secara diyanah[1] jual beli boleh berlaku jika cukup rukun dan syaratnya. Jadi, perkara sebegini perlu diberikan perhatian.

Persoalan seterusnya yang dikemukakan ialah adakah tuntutan wang keuntungan yang diperoleh hasil penjualan kepada pihak ketiga boleh dianggap seperti seseorang yang memakan hasil riba?

Hendaklah difahami terlebih dahulu, berdasarkan kitab al-Fiqh al-Manhaji (6/65) riba’ dari segi istilahnya ialah sebarang penambahan yang dikenakan ke atas hutang akibat penangguhan tempoh pembayaran dan tambahan dalam pertukaran barangan tertentu. Justeru, riba terhasil daripada hutang dan juga jual-beli item ribawi sahaja, tidak pada perkara lain.

Seterusnya, antara syarat utama hutang wang ringgit yang dibenarkan Syarak ialah tidak mensyaratkan manfaat tambahan ke atas pemberian jumlah pokok kerana ia boleh tergolong di bawah kategori Riba al-Qarḍ. Riba al-Qarḍ merupakan sebarang manfaat tambahan yang disyaratkan ke atas pemberian jumlah pinjaman pokok. Syarat ini dibuat semasa awal akad pinjaman berlaku. Ia dikenakan oleh pemberi pinjam kepada yang meminjam.

(Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 6/83)

Berdasarkan jalur cerita di atas, kami melihat abangnya seakan-akan menyifatkan perbuatan adiknya menuntut hasil jualan seperti memakan hasil Riba al-Qarḍ. Namun, apabila diteliti dengan lebih mendalam, kami berpandangan secara zahirnya riba tidak berlaku kerana akad yang berlangsung di atas adalah akad jual beli, bukan akad hutang. Huraiannya, penjualan rumah kepada orang ketiga merupakan akad jual beli. Keuntungan sepenuhnya menjadi hak milik tuan rumah yang terakhir sebelum dijual kepada pihak ketiga. Gambarannya:

a- Jika adik menjual rumah tersebut terlebih dahulu kepada abangnya, maka tuan rumah yang terakhir adalah abangnya. Lantas, keuntungan menjadi hak milik penuh abangnya.

b- Sebaliknya, jika adiknya tidak mahu menjual kepada abangnya, maka tuan rumah yang terakhir ialah adiknya. Lantas, keuntungan menjadi hak milik penuh adiknya.

Berdasarkan perincian di atas, dapat kami menyimpulkan beberapa perkara:

1) Dengan beranggapan tidak berlaku penjualan semula rumah daripada adik kepada abangnya, maka untung menjadi hak milik penuh adiknya sebagai tuan rumah yang terakhir.

2) Pembayaran semula duit daripada abang kepada adiknya boleh dianggap seperti pemberian hadiah semata-mata, bukan pembayaran hutang.

3) Riba tidak berlaku sama sekali.

Bagi mengelakkan keadaan menjadi semakin tegang dan rumit, kami mengesyorkan agar si adik memulangkan semula keseluruhan duit yang dibayar oleh abangnya. Dalam masa yang sama, harga penjualan rumah termasuk untung yang diperoleh hasil penjualan kepada pihak ketiga menjadi hak milik penuh si adik. Cadangan sebegini lebih bersifat win-win solution di samping meraikan dan memberikan hak sepatutnya kepada kedua-dua adik dan abang.

Hak abangnya berkait sewaktu pembelian asal rumah bertujuan untuk elak daripada dilelong bukan untuk dimiliki. Hak adiknya pula juga perlu diraikan kerana terpaksa menanggung kerugian dengan tidak dapat membeli rumah lain, ditambah faktor harga rumah yang semakin naik setiap tahun serta kadar inflasi duit yang semakin tinggi menyebabkan RM300K hari ini tidak sama purchasing power (kuasa membelinya) dengan RM300K pada 15 tahun akan datang.

Namun, jika si adik ingin berkongsi hasil keuntungan tersebut kepada abangnya, kami mengatakan ia sesuatu yang dibolehkan bahkan terpuji. Akan tetapi, hukumnya harus sahaja tidak sampai ke tahap wajib sehingga abangnya boleh memaksa untuk dikongsikan keuntungan.

Akhirnya, apa yang lebih penting ialah ikatan kekeluargaan dan hubungan silaturahim sentiasa terjaga kerana perkara tersebut tidak dapat dibeli dan dinilai dengan wang ringgit.

Wallahuaʿlam.

 

[1] Diyanah bermaksud kewajipan yang dilaksanakan semata-mata atas suruhan Allah walaupun tiada bukti yang boleh digunakan untuk membuktikan kewajipan tersebut, khususnya apabila didakwa dan dibicarakan di mahkamah. Berbeza dengan Wajib Secara Qada’.