Soalan
Salam Tuan Mufti. Saya nak tanya berkenaan aktiviti pertukaran hadiah antara staff. Maklumlah sekarang dah hampir habis tahun. Biasanya ada majlis makan malam tahunan atau annual dinner dan waktu juga lah akan ada tukar2 hadiah atau exchange gift. Boleh bagi penjelasan.
Jawapan
Waalaikumussalam. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala kurniaan dan rahmat buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan Baginda Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W.
Islam tidak meletakkan sebarang kewajipan mahupun larangan dalam perbuatan memberi hadiah sesama manusia. Firman Allah S.W.T:
فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَرِيئًا
Maksudnya: Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.
(Surah al-Nisa’: 4)
Ibn al-‘Arabi berkata mengenai pemberian dari seorang isteri kepada seorang suami (apabila telah diberi sebagai hadiah) maka pemberian tersebut halal bagi suaminya. [Lihat: Tafsir al-Qurtubi; 5/25]. Ayat ini menunjukkan bahawa pemberian sesuatu atau menghadiahkan sesuatu kepada seseorang adalah dibolehkan.
Sabda Nabi Muhammad S.A.W pula:
تهادُوْا تحابُّوا
Maksudnya: “Hendaknya kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai”.
Riwayat al-Bukhari (594), [Lihat: al-Adab al-Mufrad; m/s 306], Hadith Shohih, [Lihat juga Irwa’ al-Ghalil; 6/44]
Maka, jelaslah di sini bahawa perbuatan memberi dan menerima hadiah sangatlah dianjurkan dalam Islam bagi memupuk rasa kasih dan sayang begitu juga dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama manusia. Akan tetapi, timbul pula isu mutakhir ini apabila banyak majlis atau program yang mengadakan aktiviti pertukaran hadiah melalui undian.
Sebelum diulas lebih lanjut, maka terlebih dahulu kami huraikan apa yang dimaksudkan dengan aktiviti pertukaran hadiah melalui undian. Kebiasaannya aktiviti ini dijalankan dalam acara-acara tertentu seperti hari keluarga, majlis sambutan hari lahir, re-union dan sebagainya. Setiap peserta program diminta untuk membawa hadiah sepertimana yang telah disyaratkan oleh penganjur dan seterusnya diserahkan hadiah tersebut kepada penganjur lalu membuat kertas undian bagi setiap hadiah. Kemudian, apabila dicabut undian dan tertera nama seseorang pada kertas tersebut maka orang itulah yang akan menerima hadiah tersebut. Pada asasnya, jika dilihat secara kasar, aktiviti ini dilakukan atas dasar suka-suka dan dilihat mesra apabila saling memberi dan menerima hadiah.
Namun, perkara yang berlaku sebaliknya, jika dilihat dengan lebih teliti bahawa di dalam aktiviti ini kebarangkalian terkandungnya unsur penipuan, penganiayaan dan juga tiada keredhaan. Ini terjadi apabila sebahagian peserta gembira apabila memperolehi hadiah yang lebih berharga atau lebih bernilai berbanding hadiah yang diberikannya. Dan ada juga sebahagian peserta yang berasa marah dan tidak berpuas hati apabila memperolehi hadiah yang langsung tidak setimpal dengan pemberiannya. Maka, bagaimana ikatan kasih sayang boleh dibentuk sedang wujudnya perasaan ketidakpuashatian dalam kalangan mereka? Oleh yang demikian, acara yang melibatkan harta atau barang-barang bernilai seperti ini sudah tentu penelitian dari sudut Syariah perlu dilakukan agar tidak termasuk dalam perbuatan “mengambil harta orang lain secara batil”.
Permasalahan yang bakal dibincangkan dalam artikel ini ialah:
- Hibah atau hadiah yang mempunyai unsur mengharapkan balasan dari pemberiannya (peserta mengharapkan agar dapat memperolehi hadiah yang lebih baik ataupun setimpal dengan pemberiannya).
- Peserta tidak mengetahui siapakah yang akan menerima hadiahnya dan juga dari siapakah dia akan menerima hadiah.
- Peserta tidak mengetahui nilai dan jenis hadiah yang diterimanya.
Hadiah pada bahasa ialah harta yang diserahkan atau diberikan kepada seseorang sebagai tanda penghormatan kepadanya. Ulama’ mazhab Syafi’i meletakkan makna istilah pada hadiah ialah pemilikan sesuatu benda tanpa berlakunya pertukaran dan berlakunya perpindahan (barang tersebut) kepada orang yang dihadiahkan sebagai tanda penghormatan. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 42/252].
Manakala, hibah pula merupakan pemberian sesuatu kepada orang lain sama ada ia berbentuk harta ataupun bukan tanpa sebarang pertukaran. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud pemberian hak (harta) secara sukarela kepada orang lain dengan tujuan baik. Pada asasnya hadiah, sedekah dan juga hibah adalah satu jenis yang sama iaitu pemilikan sesuatu benda tanpa sebarang pertukaran. Beza hadiah dengan hibah ialah pada berlakunya perpindahan harta kepada orang yang dihadiahkan. Hibah juga lebih umum dari hadiah dan juga sedekah, setiap hadiah dan sedekah adalah hibah dan tidak semestinya setiap hibah itu sedekah ataupun hadiah. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 42/120-121, 253].
Hukum Asal Hibah
Seperti yang dijelaskan pada perenggan-perenggan di atas, hukum asal bagi perbuatan hibah adalah mustahab (sunat) menurut ijma’ ulama’. Akan tetapi, hukum sunat tersebut boleh berubah menjadi haram jika diniatkan padanya perbuatan maksiat atau membantu kezaliman ataupun dimaksudkan dengan pemberian hibah atau hadiah tersebut sebagai tujuan rasuah para pekerja dan sebagainya, maka perbuatan ini adalah diharamkan. Dan juga ia boleh berubah menjadi makruh apabila wujudnya unsur atau perasaan riak dan takabbur (membangga diri) terhadap pemberian tersebut. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 42/122].
Rukun Hibah
Rukun bagi hibah ada tiga iaitu:
- Pemberi hibah
- Penerima hibah
- Ijab dan Qabul
Imam al-Nawawi menyebut bahawa akad hibah perlu kepada lafaz ijab dan qabul sepertimana dalam urusan jual beli dan seluruh hak milik. Adapun hadiah, terdapat dua pendapat ulama’ mengenai hal ini. Pendapat pertama di sisi Syeikh Abu Hamid dan yang berguru dengannya, mensyaratkan lafaz ijab dan qabul dalam hadiah sepertimana urusan jual beli dan hal wasiat. Manakala pendapat kedua ialah tidak perlu kepada lafaz ijab dan qabul bahkan cukup sekadar terima serahan dan memilikinya. Ini adalah pendapat yang shahih dalam mazhab dan mereka bersandarkan pada dalil bahawa ada hadiah yang diberikan kepada Rasulullah S.A.W dan Rasulullah S.A.W menerimanya tanpa sebarang lafaz dan ia juga telah dipraktikkan oleh orang ramai sejak berzaman. [Lihat: Rawdatu al-Tholibin; 5/365-366].
Hibah Dengan Syarat Pertukaran
Hibah pada dasarnya adalah akad tabarru’at (pemberian) yakni pemberian hadiah atas sebab kebajikan bukannya mengharapkan balasan mahupun pertukaran. Ia bukannya akad mu’awadhah (pertukaran) sepertimana proses jual beli. Maka, di sini ulama’ ada berbeza pendapat mengenainya.
Pendapat pertama: Sah syarat ini dan ia adalah pendapat yang dipegang oleh jumhur ulama’ yang terdiri daripada ulama’ mazhab Hanafi, mazhab Maliki, dan sebahagian ulama’ mazhab Hanbali dan juga majority ulama’ mazhab Syafi’i.
Mereka berhujahkan dengan sebuah hadith Nabi Muhammad S.A.W:
الْوَاهِبُ أَحَقُّ بِهِبَتِهِ مَا لَمْ يُثَبْ
Maksudnya: “Pemberi hibah itu berhak ke atas hibahnya selama mana orang yang diberi hibah tersebut belum membalasnya”.
Riwayat al-Baihaqi (12151), [Lihat: al-Sunan al-Kubra lil Baihaqi; 12/337]
Syeikh Sayid Sabiq menyebutkan keterangan Ibnul Qoyim untuk memahami kompromi kedua hadis ini,
ويكون الواهب الذي لا يحل له الرجوع هو من وهب تبرعا محضا لا لأجل العوض، والواهب الذي له الرجوع هو من وهب ليتعوض من هبته، ويثاب منها
Maksudnya: Pemberi hibah yang tidak boleh menarik kembali hibahnya adalah orang yang memberi hibah secara suka rela iaitu sema-matata untuk tujuan kebajikan, bukan untuk mengharapkan balasan. Sementara pemberi hibah yang berhak menarik kembali hibahnya adalah orang yang memberi hibah kerana mengharapkan balasan. [Lihat: Fiqh al-Sunnah; 3/552]
Pendapat kedua: Tidak sah syarat ini dan ini merupakan salah satu qaul dalam mazhab Syafi’i dan juga sebuah qaul bagi mazhab Hanbali.
Mereka berdalilkan bahawa lafaz hibah menunjukkan akad tabarru’, maka ia bercanggah dengan perlakuan memberi hadiah dengan syarat adanya pertukaran.
Hibah Dengan Syarat Pertukaran Barang yang Tidak Diketahui
Jumhur ulama’ dalam hal ini mensyaratkan agar barang pertukaran (hibah) tersebut mestilah dalam bentuk yang boleh diketahui dan juga tertentu sebagaimana urusan jual beli. Dan sekiranya barang tersebut tidak diketahui, maka di sisi ulama’ Syafi’i, mereka mengatakan bahawa hibah tersebut adalah batil. Dan sebahagian qaul menyatakan ia adalah sah disebabkan ia merupakan hibah. [Lihat: Mughni al-Muhtaj; 3/573].
Dan menurut Imam Ahmad bahawasanya hibah dengan syarat pertukaran barang yang tidak diketahui. Maka, jika penerima hadiah memberikan sesuatu kepadanya dan dia redha, maka terjadilah ‘aqad (sah). [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 42/140].
Maka, berdasarkan keterangan-keterangan di atas, kami menjawab bahawa hadiah yang diberikan walaupun dengan niat ataupun dengan syarat berlakunya pertukaran, maka ia adalah sah di sisi ulama’ mazhab Syafi’i namun mestilah barang tersebut diketahui.
Unsur Gharar
Seterusnya, aktiviti pertukaran hadiah ini sepertimana yang diberitahu bahawa ia mengandungi unsur gharar iaitu ketidakjelasan kerana pemberi dan juga penerima hadiah tidak pasti akan hadiah yang diterima dan terkadang ada hadiah yang senilai dengannya dan juga terkadang penerima memperolehi hadiah yang kurang atau lebih dari nilai yang diberinya. Pada dasarnya, jual beli yang mengandungi unsur gharar adalah haram dalam Islam berdasarkan kepada hadith Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ بَيْعِ الْحَصَاةِ، وَعَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W melarang jual beli al-hashah (dengan melempar batu) dan jual beli gharar”.
Riwayat Muslim (1513)
Namun, jika dilihat semula kepada bentuk ‘aqad yang dijalankan, maka seperti yang jelas di atas bahawa ia adalah pertukaran hadiah dan bukannya jual beli. Ini dikuatkan lagi dengan satu kaedah Fiqh iaitu:
كُلُّ مَا كَانَ مِنْ بَابِ المْـَعْرُوفِ لَا يُفْسِدُهُ الْغَرَر
Maksudnya: Setiap perkara dalam hal kebajikan tidak rosak dengan berlakunya gharar (ketidakjelasan). [Lihat: Ma’lamah Zayd; 16/643].
Kaedah ini menjadi pegangan bagi mazhab Maliki namun tidak pada mazhab Syafi’i disebabkan mereka berpegang teguh kepada hadith Nabi Muhammad S.A.W berkenaan larangan jual beli gharar. Justeru, mereka meletakkan hukum yang sama bagi gharar dalam hal kebajikan dan juga hal jual beli.
Seterusnya dalam hal ini, aktiviti pertukaran hadiah sebegini semestinya tidak mengandungi unsur mencari keuntungan, maka ia berbeza dengan judi kerana mereka yang berjudi berharap untuk memperoleh keuntungan yang banyak dan tidak mahu menanggung rugi.
Konsep Redha
Selain itu, keredhaan juga merupakan asas penting dalam sesebuah ‘aqad. Sebagaimana diriwayatkan di dalam sebuah hadith Nabi Muhammad S.A.W:
البَيِّعانِ بالخِيارِ ما لَمْ يَتَفَرَّقا فَإِنْ صَدَقَا وَبَيَّنَا بُورِكَ لَهُمَا فِي بَيْعِهِمَا، وَإِنْ كَتَمَا وَكَذَبَا مُحِقَتْ بَرَكَةُ بَيْعِهِمَا
Maksudnya: “Kedua orang yang saling berniaga memiliki hak pilih (khiyar) selama keduanya belum berpisah, dan bila keduanya berlaku jujur dan menjelaskan, maka akan diberkati penjualan mereka, dan bila mereka berlaku dusta dan saling menutup-nutupi, nescaya akan dihapuskan keberkatan penjualannya”.
Riwayat al-Bukhari (2079)
Maka, berbalik kepada persoalan mengenai aktiviti ini, maka jika sudah berlaku keredhaan di antara semua pihak, justeru sahih lah aktiviti tersebut iaitu pertukaran hadiah melalui undian.
Penutup
Kesimpulannya, berdasarkan huraian di atas, kami mengatakan bahawa hukum bertukar-tukar hadiah melalui undian adalah dibolehkan, namun mestilah bersama-samanya beberapa dawabith yang perlu diikuti iaitu:
- Mestilah hadiah tersebut telah ditetapkan harganya atau meletakkannya dengan kadar minimal. Seperti contoh barangan yang tidak kurang harganya dari RM 10, maka sekiranya harga barangan tersebut lebih daripada itu, maka ia adalah terbuka dan pemberi mestilah redha akannya.
- Mestilah setiap peserta majlis pertukaran hadiah mengetahui syarat penyertaan, syarat barangan yang dihadiahkan, saling redha-meredhai dan juga tidak berniat untuk mencari keuntungan sebaliknya niatlah untuk mengeratkan hubungan dan memupuk jalinan persaudaraan.
- Mestilah majlis tersebut tidak melanggar batasan dan juga syariat agama, bahkan barangan yang dihadiahkan juga mestilah barangan yang tidak mengandungi unsur haram ataupun yang membawa kepada maksiat.
- Mestilah undian yang dijalankan adalah dengan cara yang baik yakni tidak melanggar batasan agama dan juga mengikut syariat.
Akhir kalam, kami mendoakan agar Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agamaNya, menjadikan diri kita seorang yang ikhlas dalam beribadah, memberkati segala amal perbuatan kita.
Wallahua’lam.