Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-447 HUKUM WANITA BERNIAGA PADA HARI JUMAAT

IF447

Soalan

Assalamualaikum dato, saya seorang peniaga di sebuah bazar yang dibuka berdekatan dengan masjid. Jadi bolehkah saya menyuruh isteri saya menggantikan saya untuk urus kedai tersebut semasa saya menunaikan solat jumaat. Bolehkah orang perempuan jual beli pada waktu solat jumaat atau sepatutnya saya kena tutup kedai pada waktu itu.

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kemuliaan Hari Jumaat

Hari Jumaat merupakan semulia-mulia hari berbanding dengan hari-hari yang lain. Hari yang penuh dengan peristiwa seperti dijadikan Nabi Adam AS dan dimasukkannya di dalam syurga serta hari berlakunya hari kiamat. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA sanda Nabi SAW:

خَيْرُ يَوْمٍ طَلَعَتْ عَلَيْهِ الشَّمْسُ يَوْمُ الْجُمُعَةِ فِيهِ خُلِقَ آدَمُ وَفِيهِ أُدْخِلَ الْجَنَّةَ وَفِيهِ أُخْرِجَ مِنْهَا وَلاَ تَقُومُ السَّاعَةُ إِلاَّ فِي يَوْمِ الْجُمُعَةِ

Maksudnya: Sebaik-baik hari yang matahari terbit adalah pada hari Jumaat, dan pada hari itu juga dijadikan Adam, dan pada hari itu juga dimasukkannya ke dalam syurga, dan pada hari itu juga dikeluarkannya (Nabi Adam AS) daripada syurga. Dan tidak terjadinya Kiamat melainkan pada hari Jumaat.

Riwayat Muslim (854)

Selain itu, pada hari jumaat juga dianugerahkan oleh Allah SWT kepada umat Baginda Nabi SAW mengerjakan solat fardhu Jumaat yang merupakan semulia-mulia solat. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

نَحْنُ الآخِرُونَ السَّابِقُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، بَيْدَ أَنَّهُمْ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِنَا، ثُمَّ هَذَا يَوْمُهُمُ الَّذِى فُرِضَ عَلَيْهِمْ فَاخْتَلَفُوا فِيهِ، فَهَدَانَا اللَّهُ، فَالنَّاسُ لَنَا فِيهِ تَبَعٌ، الْيَهُودُ غَدًا وَالنَّصَارَى بَعْدَ غَدٍ

Maksudnya: Kita adalah umat yang terakhir (lahir ke dunia) dan umat yang terdahulu (menikmati kelebihan, ganjaran dan masuk syurga) pada hari kiamat walaupun mereka (umat terdahulu) diberikan kitab (syariat samawi) sebelum kita. Hari Jumaat ialah hari yang telah difardhukan atas mereka (untuk mendampingkan diri kepada Allah) tetapi mereka telah mempertikaikannya. Lalu Allah memberi petunjuk kepada kita sedangkan mereka menerima hari-hari berikutnya, iaitu Yahudi pada hari Sabtu dan Nasrani pula pada hari Ahad

Riwayat al-Bukhari (836)

Larangan Menjual Beli

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, Allah SWT melarang untuk urusan jual beli ketika solat jumaat, oleh itu para ulama membincangkan berkenaan dengan larangan tersebut sama ada semasa waktu azan pertama, kedua atau semasa khutbah disampaikan. Hal ini berdasarkan Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)

(Surah al-Jumu’ah, 9)

Imam Ibnu Kathir menyebut (إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ) adalah seruan azan yang kedua yang dilakukan pada zaman Baginda Nabi SAW iaitu ketika khatib (Baginda SAW) keluar dan duduk di atas mimbar. Maka azan inilah yang dimaksudkan

Seterusnya firman Allah SWT (وَذَرُوا الْبَيْعَ) Imam Ibnu Kathir menjelaskan bersegeralah kamu beralih untuk mengingati Allah SWT dan meninggalkan urusan jual beli apabila diseru mengerjakan solat. Justeru para ulama bersepakat (Ijma’) mengharamkan jual beli yang dilakukan setelah azan yang kedua.  (Lihat Tafsir al-Quran al-A’zim, 4/316)

Hal ini bertepatan denga hadis yang diriwayatkan oleh Said bin Yazid RA:

كَانَ النِّدَاءُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوَّلُهُ إِذَا جَلَسَ الْإِمَامُ عَلَى الْمِنْبَرِ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ، فَلَمَّا كَانَ عُثْمَانُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ وَكَثُرَ النَّاسُ زَادَ النِّدَاءَ الثَّالِثَ عَلَى الزَّوْرَاءِ . قَالَ أَبُو عَبْد اللَّهِ الزَّوْرَاءُ مَوْضِعٌ بِالسُّوقِ بِالْمَدِينَةِ

Maksudnya: “Dahulu azan pada hari Jumaat dilakukan di awal ketika imam berada di atas minbar. Ini dilakukan pada zaman Nabi SAW, Abu Bakr dan ‘Umar R.Anhuma. Namun ketika zaman ‘Uthman R.A, disebabkan terlalu ramainya jemaah, beliau menambah azan sehingga tiga kali (termasuk iqamah) di al-Zaura’.” Abu ‘Abdillah berkata, “al-Zaura’ adalah salah satu tempat di pasar di Madinah.”

Riwayat al-Bukhari (912)

Dalam hal ini, para ulama bersepakat haram melakukan jual beli setelah azan yang kedua berkumandang dan ketika imam menaiki mimbar untuk menyampaikan khutbah. Imam al-Tahawi menyebut Azan yang dikira (dalam hal ini) adalah ketika imam keluar menaiki minbar. Maka itulah yang asal sebagaimana Jumaat di zaman baginda Nabi SAW. (Lihat Mukhtasar al-Tahawi, hlm 24)

Untuk perbahasan yang lebih lanjut boleh rujuk artikel di laman web PMWP yang bertajuk: AL-KAFI #1382: WAKTU LARANGAN JUAL BELI PADA HARI JUMAAT

Jual Beli Kaum Wanita Pada Waktu Solat Jumaat

Dalam hal ini, kewajipan menunaikan solat Jumaat, ianya di fardhukan ke atas kaum lelaki sahaja. Oleh itu timbul permasalahan berkenaan dengan jual beli oleh kaum wanita yang tidak diwajibkan ke atas mereka untuk menunaikan solat Jumaat. Justeru kami datangkan beberapa pendapat ulama berkenaan dengan hal ini.

Di dalam kitab al-Mu’tamad menyatakan terdapat 8 syarat wajib solat jumaat di antaranya ialah lelaki. Dr Muhammad Zuhaili menyebut diwajibkan solat Jumaat ke atas lelaki sahaja dan tidak diwajibkan ke atas perempuan kerana mereka disibukkan untuk menjaga anak dan menguruskan rumahtangga. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/495)

Dalam hukum menjual beli setelah azan kedua berkumandang Dr. Wahbah Zuhaili menyebut, diharamkan melakukan jual beli dan kewajipan untuk bersegera ke masjid dikenakan khusus bagi mereka yang diperintahkan untuk menunaikan solat Jumaat (golongan lelaki yang cukup syarat wajib). Adapun selain daripada itu seperti golongan wanita, kanak-kanak dan musafir tidak termasuk di dalam perintah wajib menunaikan solat Jumaat. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa adillatuhu, 2/1284)

Dr Muhammad Zuhaili menerangkan keadaan yang diharuskan dan diharamkan dalam urusan jual beli mengikut beberapa keadaan:

  • Apabila melakukan urusan jual beli sebelum masuk waktu zuhur maka ianya diharuskan dan begitu juga tidak dimakruhkan bagi setiap sebelum waktu solat.
  • Begitu juga tidak dimakruhkan jual beli apabila selepas waktu solat Jumaat. Ini sepertimana Firman Allah SWT di dalam surah al-Jumu’ah ayat 10.
  • Apabila urusan jual beli dilakukan dua orang lelaki yang merupakan bukan ahli yang diwajibkan menunaikan solat Jumaat, maka tidak diharamkan urusan jual beli, tidak makruh urusan mereka sepanjang hari, begitu juga ketika waktu solat Jumaat.
  • Di dalam keadaan dua orang sedang melakukan jual beli dan mereka merupakan ahli yang difardhukannya atau salah seorang daripadanya ahli yang difardhukan, maka sekiranya urusan jual beli itu selepas masuk waktu dan sebelum imam keluar ke mimbar atau sebelum imam duduk di atas.

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan dan pandangan para fuqaha’ maka dapat disimpulkan disini bahawa urusan jual beli bagi golongan yang tidak diwajibkan solat jumaat atau golongan wanita adalah diharuskan semasa waktu solat jumaat sekiranya sesama mereka sahaja atau dengan golongan yang tidak wajib menunaikan fardhu Jumaat seperti golongan yang bermusafir dan kanak-kanak.

Namun sekiranya wanita tersebut melakukan urusan jual beli dengan golongan lelaki Islam pada waktu khatib duduk di atas mimbar dan ketika azan kedua berkumandang maka haram hukumnya walaupun hukum jual beli itu sah. Dan ianya merupakan tolong-menolong di dalam perkara kemungkaran. Ini seperti yang disebut Imam Jalaluddin al-Mahalli bahawa sekiranya dua orang yang sedang berurusan jual beli, salah seorang daripadanya merupakan golongan yang diwajibkan Jumaat maka kedua-duanya juga berdosa kerana membantu dalam perkara yang diharamkan. (Lihat Hasyiah Qalyubi wa Amirah, 1/335)

Oleh itu, kami sarankan kepada peniaga sebaiknya tidak melakukan aktiviti jual beli berhampiran dengan perkarangan masjid sepertimana yang dinyatakan dalam Keputusan Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-101/2017 yang bersidang pada 26 April 2017 berkenaan dengan isu jual beli di perkarangan masjid ketika azan pada hari jumaat diputuskan bahawa diharamkan melakukan sebarang aktiviti jual beli ketika khatib sedang berkhutbah

Justeru kami nasihatkan kepada golongan lelaki supaya menghadiri lebih awal ke masjid agar dapat tempat di saf yang awal serta mengelakkan melakukan aktiviti jual beli ketika azan kedua berkumandang.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.