Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-450: MENUNTUT HUTANG ARWAH

arwah

Soalan

Assalamualaikum, abang saya baru sahaja meninggal dunia. Tak sampai seminggu ada seorang kawannya yang saya yakini penagih dadah datang menuntut hutang, keluarga saya bersetuju bayarkan, tapi selepas itu berterusan datang orang lain yang gaya mereka seperti mat gian dadah datang tuntut hutang. Saya dan keluarga yakin arwah tak pernah berhutang dengan mereka sebab arwah semasa hidup selalu cerita jika dia ada berhutang dengan sesiapa.

Soalan saya, apakah kami harus lunaskan hutang tersebut? Sedangkan kami yakin abang tak pernah berhutang dengan mereka dan cara mereka minta hutang juga biadap dan meragukan. Kami bukan keluarga berada tetapi tak mahu juga arwah terlekat hutang.

Jawapan

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Apabila seseorang telah meninggal dunia terdapat beberapa hak dan kewajipan yang terkait dengan harta peninggalan arwah sebelum dibahagikan mengikut sistem faraid.

Antara kewajipannya adalah seperti berikut:

  • Hendaklah mendahulukan daripada harta peninggalan si mati belanja kematian dan pengebumiannya.
  • Melangsaikan hutang si mati sama ada hutang dengan Allah dan hutang dengan manusia. (Jika bergantung pada ain harta peninggalan itu hak seperti zakat, gadaian dan sebagainya hendaklah didahulukan daripada belanja kematian dan pengebumian)
  • Melaksanakan segala wasiat daripada 1/3 baki si mati berdasarkan ketetapan syarak.
  • Pembahagian pusaka dikalangan ahli waris jika harta masih berbaki.

(Lihat: Matla’ al-Badrain susunan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 2/238)

Berdasarkan pembahagian di atas, sekiranya terdapat hutang-piutang yang tidak sempat diselesaikan oleh arwah ketika hidup maka wajib mendahulukan pembayaran hutang melalui harta peninggalannya sebelum dilaksanakan hal-hal lain seperti wasiat dan pembahagian faraid. Ini jelas berdasarkan firman Allah swt,

من بعد وصية يوصي بها أو دين

Maksudnya: (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.

Surah al-Nisa’ (11)

Imam Bukhari Rhm. (wafat 256H) menjelaskan dalam kitabnya dalam bab wasiat bahawa  pelunasan hutang-piutang didahulukan berbanding pelaksanaan wasiat, perkara ini dikuatkan dengan hadis Nabi saw berdasarkan riwayat Ali Bin Abi Talib RA,

قضى رسولُ اللَّهِ صلّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ بالدَّينِ قبلَ الوصيَّةِ

Maksudnya: Rasulullah SAW melunaskan hutang sebelum melaksanakan wasiat

Riwayat Ibn Majah (2212)

Walaupun hadis di atas mempunyai pertikaian dari sudut periwayatannya, namun intipati hadis tersebut dipersetujui dan dikuatkan dengan ijma’ ulama yang mendahulukan hutang berbanding wasiat. Rujuk tafsir al-Qurtubi, al-Jami’ Li Ahkam al-Quran (5/73).

Hutang yang ditinggalkan arwah sama ada berbentuk bertulis ataupun melalui percakapan hendaklah ditunaikan. Walau bagaimanapun, sekiranya tiada rekod melalui amanat arwah dalam masa yang sama tuntutan pemberi hutang juga diragui, maka dalam kes seperti ini ulama mengaplikasikan beberapa hukum Fiqh, antaranya:

الأصْل براءة الذِّمة

Maksudnya: Keadaan asal seseorang adalah terlepas daripada sebarang tanggungjawab.

Kaedah ini memberi isyarat bahawa seseorang mendakwa bahawa seseorang itu mempunyai tanggungjawab atau hak yang belum ditunaikan, maka beban pembuktian berada di bahu pendakwa. Sekiranya tiada bukti dan petunjuk yang kukuh untuk dijadikan sandaran, maka tuntutan tersebut tidak akan diambil kira.

Kaedah di atas juga berkait dengan kaedah Fiqh lain yang lebih spesifik seperti yang disebutkan dalam sebuah riwayat Ibn Abbas RA berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

الْبَيِّنَة عَلَى الْمُدَّعِي، وَالْيَمِين عَلَى مَنْ أَنْكَرَ

MaksudnyaBukti ke atas orang yang mendakwa, sumpah ke atas orang yang mengingkari tuduhan ke atas dirinya.

Riwayat Al-Baihaqi dalam Al-Sunan (10/252)

Imam Al-Nawawi menerangkan bahawa hadis ini merupakan suatu kaedah yang agung;  memberi petunjuk tegas bahawa tidak diterima dakwaan seseorang secara semberono sebaliknya segala dakwaan dan tuduhan berhajat kepada bukti, atau pengakuan kebenaran dari pihak orang yang didakwa. Sekiranya dituntut sumpah orang yang didakwa maka boleh untuk dia berbuat demikian (bersumpah).

(Lihat: Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim, 4/12)

Islam amat menitikberatkan soal kemuliaan harta selain jiwa dan darah manusia. Justeru, Syarak menetapkan pelbagai kaedah bagi memastikan hak-hak manusia terjaga dalam masa yang sama mengelakkan manusia bermudah-mudah dalam menuduh dan menjatuhkan hukuman kepada orang lain. 

Pengaplikasian kaedah di atas dilakukan seperti berikut:

  • Sekiranya seseorang itu mendakwa bahawa si fulan telah berhutang kepadanya sejumlah harta, maka Qadhi (Hakim) menuntut dirinya untuk mendatangkan bukti atau saksi atas dakwaannya tersebut.
  • Jika dia tidak mampu mendatangkan bukti atau saksi, hakim akan meminta pihak lawan (yang dituduh) untuk bersumpah mengingkari tuduhan tersebut. Lalu dia bersumpah dengan nama Allah di hadapan Qadhi bahawa dia tidak melakukan seperti apa yang didakwa ke atas dirinya. Oleh yang demikian gugurlah dakwaan.
  • Begitu juga dakwaan seseorang bahawa ada seseorang telah meminjam barangannya, maka dia perlu mendatangkan bukti terhadap kenyataan tersebut. Sekiranya tidak, orang yang dituduh meminjam barang darinya itu diminta untuk bersumpah dengan nama Allah dalam menafikan tuduhan tersebut.

Berdasarkan penerangan di atas, dapat disimpulkan sekiranya peminta hutang tidak dapat mengemukakan sebarang bukti atau saksi yang berkelayakan, maka pihak keluarga tidak bertanggungjawab untuk melunaskan hutang bagi pihak arwah.

Jika sebaliknya; iaitu peminta hutang mempunyai bukti yang jelas dan saksi yang berkelayakan, maka pihak keluarga wajib melunaskan hutang melalui harta peninggalan arwah, sekalipun peminta hutang tergolong dalam kalangan penagih dadah dan sebagainya. 

Akhirnya, perlu dijelaskan bahawa kaedah di atas ini merupakan satu garis panduan umum yang disediakan oleh Islam yang boleh digunapakai dalam kes-kes yang berbeza. Namun, sekiranya sesebuah kes itu telah melibatkan proses undang-undang yang digunapakai oleh sesuatu tempat, maka proses penghakiman dengan mengikut prosedur-prosedur dan saluran yang betul adalah menjadi keutamaan bagi mendapatkan keadilan dan keputusan yang tuntas.

Wallahua’lam.