Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IF 458 solat

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Hukum mengulang solat fardu bagi mendapat pahala berjemaah adalah sunat. Tapi adakah ia khusus untuk solat fardu tertentu sahaja? Maknanya, hanya solat zohor, maghrib dan isyak sahaja dibenarkan manakala bagi solat subuh dan asar tidak dibenarkan kerana tiada solat sunat lagi selepas selesai menunaikan kedua-dua fardu tersebut. Harap Datuk Mufti dapat memberikan pencerahan.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri R.A, beliau berkata :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَبْصَرَ رَجُلا يُصَلِّي وَحْدَهُ فَقَالَ ‏‏ أَلاَ رَجُلٌ يَتَصَدَّقُ عَلَى هَذَا فَيُصَلِّيَ مَعَهُ ‏‏

Maksudnya : Rasulullah SAW telah melihat seorang lelaki solat secara bersendirian lalu baginda bersabda : “Tidak adakah seorang lelaki yang ingin bersedekah kepada si fulan ini lalu dia solat bersamanya?” Riwayat Abu Daud (574)

Sunat mengulangi solat fardu

Sebagaimana yang telah kita ketahui bahawa pengulangan solat fardu bagi mendapat pahala berjemaah atau membantu orang lain mendapatkan pahala solat berjemaah, hukumnya adalah sunat. Begitu juga, perbuatan mengulangi solat itu juga merujuk kepada perbuatan seseorang yang melaksanakan satu solat dari solat-solat fardu, kemudian dia merasakan bahawa terdapatnya kekurangan atau kecacatan di dalam solat tersebut dari sudut adab-adab atau pelengkap solat (yakni bukan pada perkara yang membatalkan solat), kemudian dia mengulanginya semula dalam bentuk yang tidak terdapatnya kekurangan atau kecacatan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/110)

Perbahasan lanjut mengenai hukum mengulangi solat fardu yang telah didirikan, telah kami bahas secara panjang lebar di dalam ruangan al-Kafi li al-Fatawi Siri ke-1020 : Hukum Mengulangi Solat Fardhu[1] dan Irsyad al-Fatwa Siri ke-370 : Adakah Disyaratkan Berjemaah Untuk Mengulang Solat Yang Telah Didirikan?[2]

Jenis solat fardu yang boleh diulang

Timbul persoalan, adakah pengulangan tersebut adalah umum buat semua jenis solat fardu iaitu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak atau hanya khusus buat solat Zohor, Maghrib dan Isyak sahaja serta tidak boleh pada waktu Subuh dan Asar kerana Nabi SAW menegah dari melakukan solat selepas menunaikan solat Asar sehinggalah tenggelam matahari dan selepas menunaikan solat Subuh sehinggalah terbit matahari. (Lihat Sahih Muslim, hadis no 825, 1/566)

Imam Malik dan al-Thauri mengatakan bahawa mengulangi solat fardu maghrib adalah makruh. Manakala Abu Hanifah pula berpendapat tidak boleh mengulangi solat fardu Asar, Maghrib dan Subuh. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 2/199 dan al-Hawi al-Kabir, 2/195)

Imam al-Mawardi menyebutkan di dalam kitabnya dua pendapat ulama mazhab Syafie iaitu sesiapa yang telah menunaikan solat fardu sama ada secara berjemaah atau berseorangan. Kemudian, dia melihat solat fardu tersebut ada jemaah yang sedang mengerjakannya. Maka, sunat ke atasnya untuk solat bersama mereka, walau apa jenis solat (fardu) pun. Ini adalah merupakan pendapat Ali bin Abi Talib, Huzaifah, Sa’id bin al-Musayyib dan Sa’id bin Jubair. Ini juga adalah merupakan pendapat yang dipilih oleh Imam al-Mawardi. Manakala sebahagian yang lain membezakan antara solat fardu yang pertama, telah didirikan secara berseorangan atau berjemaah. Sekiranya telah didirikan secara berjemaah, makruh hukumnya mengulangi solat fardu Subuh dan Asar. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/195)

Syeikh al-'Azim Abadi juga ada menukilkan pendapat al-Khattabi bahawa sesiapa yang telah menunaikan solat fardu di rumahnya. Kemudian, mendapati ada orang yang mengerjakan solat fardu tersebut secara berjemaah. Maka, dia boleh untuk solat bersama mereka, tidak kira apa jenis solat pun daripada solat fardu lima waktu. Ini adalah merupakan pendapat mazhab Syafie, Ahmad, Ishak, al-Hasan dan al-Zuhri. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 2/199)

Dalilnya ialah sebagaimana riwayat Yazid bin al-Aswad RA, yang secara jelas menunjukkan bahawa peristiwa tersebut berlaku pada waktu subuh. Beliau telah berkata :

شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلاَةَ الْفَجْرِ فِي مَسْجِدِ الْخَيْفِ فَلَمَّا قَضَى صَلاَتَهُ إِذَا هُوَ بِرَجُلَيْنِ فِي آخِرِ الْقَوْمِ لَمْ يُصَلِّيَا مَعَهُ قَالَ ‏ عَلَىَّ بِهِمَا ‏فَأُتِيَ بِهِمَا تُرْعَدُ فَرَائِصُهُمَا فَقَالَ مَا مَنَعَكُمَا أَنْ تُصَلِّيَا مَعَنَا ‏قَالاَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا قَدْ صَلَّيْنَا فِي رِحَالِنَا قَالَ فَلاَ تَفْعَلاَ إِذَا صَلَّيْتُمَا فِي رِحَالِكُمَا ثُمَّ أَتَيْتُمَا مَسْجِدَ جَمَاعَةٍ فَصَلِّيَا مَعَهُمْ فَإِنَّهَا لَكُمَا نَافِلَةٌ

Maksudnya : Aku pernah mendirikan solat subuh bersama dengan Rasulullah SAW di Masjid al-Khaif. Apabila baginda selesai mendirikan solat, baginda mendapati ada dua orang lelaki di hujung jemaah yang tidak turut serta bersolat bersama baginda. Kemudian,  Rasulullah SAW bersabda : “Bawakan mereka berdua kepada aku”. Lalu dibawakan mereka berdua (kepada baginda SAW) yang mana mereka berada dalam ketakutan. Kemudian Rasulullah SAW bertanya : “Apa yang menghalang kamu berdua untuk solat bersama-sama kami ?” Mereka menjawab : “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah pun mendirikan solat di rumah kami”. Lalu Nabi SAW bersabda : “Janganlah kamu berdua buat begitu. Apabila kamu berdua telah mengerjakan solat di rumah kamu, kemudian kamu berdua datang ke masjid yang ada didirikan solat secara berjemaah, maka solatlah kamu berdua bersama mereka kerana ia bagi kamu berdua dianggap solat sunat.” Riwayat al-Nasa’ie (858) dan Abu Daud (575)

Syeikh al-'Azim Abadi juga menegaskan bahawa secara jelasnya hadis ini adalah merupakan hujah ke atas mereka yang berpendapat ia tidak boleh dilakukan pada solat-solat fardu tertentu kerana tidak disebut padanya pengecualian pada mana-mana solat tertentu.

Begitu juga, adapun larangan tidak boleh solat selepas solat Asar dan Subuh bermaksud tidak boleh memulakan solat pada waktu tersebut tanpa sebarang sebab. Manakala sekiranya ada sebab untuk mengerjakannya seperti dia mendapati ada satu golongan sedang mengerjakan solat fardu tersebut secara berjemaah. Maka, dia boleh mengulanginya bersama-sama mereka bagi memperoleh pahala solat berjemaah.  

(Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 2/199-200)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa solat yang ditegah dilakukan pada waktu yang dilarang ialah solat tanpa sebarang sebab. Adapun solat yang dikerjakan kerana ada sebab tertentu adalah dibenarkan dan tidak makruh menurut mazhab Syafie. Hal ini kerana hadis-hadis berkenaan larangan solat pada waktu Asar dan Subuh bersifat umum manakala hadis pengulangan solat fardu adalah khusus. Oleh itu, didahulukan hadis yang khusus berbanding hadis yang bersifat umum. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/171-172)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa mengulangi solat fardu yang telah didirikan adalah sunat. Ia boleh dilakukan pada semua solat fardu sekalipun solat Asar dan Subuh. Hadis yang telah diriwayatkan oleh Yazid bin al-Aswad RA secara jelas menunjukkan bahawa baginda SAW membenarkan sahabat mengulangi solat Subuh secara berjemaah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

 

[1] Lihat https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2977-al-kafi-1020-hukum-mengulangi-solat-fardhu.

[2] Lihat https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3996-irsyad-al-fatwa-siri-ke-370-adakah-disyaratkan-berjemaah-untuk-mengulang-solat-yang-telah-didirikan.