Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-460: PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN MENURUT SIYASAH SYAR’IYYAH

curfew

Soalan

Adakah Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan sekarang ada sandaran dari dalil dan nas Syarak? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Baru-baru ini kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan atau disebut Movement Control Order mulai 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020, di seluruh negara. Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Perintah Kawalan Pergerakan ini meliputi;

Pertama, rumah ibadat, premis perniagaan ditutup kecuali pasar raya, pasar, kedai runcit dan serbaneka

Kedua, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara.

Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara;

Keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan termasuklah semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara.

Kelima, penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.

Sudut Pandang Siyasah Syari’iyyah

Tindakan yang diambil kerajaan Malaysia ketika saat ini menepati roh Syariah berdasarkan beberapa kaedah yang dibincangkan para ulama melalui perbahasan Siyasah Syar’iyyah.

Secara dasarnya, sebahagian besar pelaksanaan hukum-hakam dalam syariat Islam tertakluk kepada kuasa pemerintah. Hukum-hakam itu tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali melalui kuasa dan arahan pemerintah; seperti menghakimi kes-kes mahkamah, melantik para penjaga, mengisytiharkan darurat, halangan (al-hajr) dan perang, memeterai perdamaian dan sebagainya.

Oleh itu, bagi membolehkan hukum-hakam syarak dilaksanakan sepenuhnya dengan cara yang betul dan diterima oleh Allah SWT, mestilah ada pemerintah yang akan melaksanakan hukum-hakam itu dan memantau perlaksanaannya.

Dalam syariat Islam, terdapat satu kategori hukum yang disebut sebagai hukum-hakam imamah (pemerintahan) atau hukum-hakam siyasah syar'iyyah. Para ulama memberikan pelbagai definisi berkaitan Siyasah Syar’iyyah.

Syeikh Abdul Wahhab Khallaf membawakan beberapa tafsiran berkenaan siyasah syar’iyyah, antaranya ialah:

a) Pemberian kuasa kepada pemerintah untuk bertindak menurut maslahah, selagi mana tidak menyanggahi usul agama, meskipun tiada dalil khusus berkenaannya.

 b) Pelaksanaan maslahah mursalah; ini kerana maslahah mursalah merupakan bab yang tiada dalil syar’ie yang menghukumnya sebagai mu’tabar (diambil kira) atau yang tertolak (mulghah).

Berdasarkan pandangan para ulama ini, beliau membuat kesimpulan bahawa ilmu siyasah syar’iyyah bermaksud suatu ilmu yang membahaskan urusan-urusan pentadbiran sebuah negara Islam dari sudut undang-undang, polisi dan sistem yang bertepatan dengan usul agama Islam, meskipun tiada nas syarak yang menyatakannnya secara spesifik.

(Lihat: al-Siyasah al-Syar’iyyah, hlm. 6-7)

Hukum-hakam dalam kategori ini bersifat fleksibel dan syara’ tidak memutuskannya secara terperinci. Sebaliknya hukum hakam dalam kategori ini diserahkan kepada ijtihad dan kebijakan pemerintah berdasarkan kepentingan dan keadaan umat Islam.

Penerapan Konsep Siyasah Syar’iyyah di Zaman Silam

Terdapat pelbagai kisah dan sejarah silam yang menunjukkan pengaplikasian siyasah syar’iyyah dalam kehidupan masyarakat, khususnya era pemerintahan Nabi Muhammad dan para sahabat R.’anhum.

Antara kisah yang masyhur:

  1. Keengganan Nabi untuk membina semula Ka’abah menurut binaan asal. Saidatina ‘Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Baginda SAW bersabda kepadanya:

يَا عَائِشَةُ، لَوْلاَ قَوْمُكِ حَدِيثٌ عَهْدُهُمْ ـ قَالَ ابْنُ الزُّبَيْرِ بِكُفْرٍ ـ لَنَقَضْتُ الْكَعْبَةَ فَجَعَلْتُ لَهَا بَابَيْنِ باب يَدْخُلُ النَّاسُ، وَبَابٌ يَخْرُجُونَ

MaksudnyaWahai ‘Aisyah, jika aku tidak mengambil kira keadaan kaummu yang masih baharu menganut Islam (kata Ibn Zubair: masih baharu meninggalkan kekufuran), nescaya Kaabah sudah aku runtuhkan dan bina daripanya dua pintu; satu pintu masuk dan satu pintu keluar.

Riwayat al-Bukhari (126)

Imam Bukhari telah memasukkan hadith ini dibawah bab `Meninggalkan sebahagian pilihan kerana takut disalahfahmi oleh sebahagian orang, dan terjadi perkara yang lebih buruk daripada pilihan itu’.

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani sewaktu menjelaskan hadith ini menyatakan, pemerintah perlu menguruskan urusan rakyat demi kemaslahatan mereka, meskipun tindakan itu menyanggahi beberapa perkara, selagi mana ia bukan perkara yang diharamkan.

(Lihat: Fathul Bari, 1/271)

  1. Saidina ‘Umar R.A merupakan antara sahabat yang paling banyak mengaplikasikan siyasah syar’iyyah dalam urusan kehakiman dan pentadbiran pada zaman beliau.

Antara polisi beliau yang berlandaskan siyasah syar’iyyah ialah tidak membahagikan tanah Khaibar yang dikuasai dalam peperangan kepada tentera Muslimin, sebaliknya tanah itu kekal menjadi milik pemilik asal dan dikutip cukai daripadanya.

Umar RA juga berijtihad dalam isu talaq tiga dengan satu lafaz, beliau memutuskan jatuh tiga talaq, meskipun ia tidak demikian sewaktu zaman Nabi SAW dan zaman Abu Bakar RA.

Begitu juga dengan pengenalan beberapa badan untuk mengelola urusan kewangan negara dan pengsisteman Baitulmal yang juga dianggap sebagai urusan siyasah syar’iyyah oleh para ulama’.

(Lihat: Al-Madkhal ila as-Siyasah as-Syar’iyyah, hlm. 33-38)

Ijtihad-ijtihad Saidina Umar R.A ini dijadikan polisi negara meskipun ia tidak disokong oleh zahir nas syarak, kerana beliau memahami letak duduk perkara-perkara ini terletak di bawah siyasah syar’iyyah yang bergantung kepada maslahah rakyat.

Keputusan Pemerintah Berasaskan Maslahah Umum

Kaedah masyhur lain yang diguna pakai ialah,

تصرف الإمام على رعيته منوط بالمصلحة

Maksudnya: Tindakan pemerintah terhadap rakyatnya hendaklah berasaskan maslahah.

Para ulama menetapkan bahawa segala tindakan yang ditetapkan pihak pemerintah wajib didasari dengan maslahah dan kebaikan untuk masyarakat umum seluruhnya; iaitu rakyat yang berada di bawah tadbir urusnya. Sekiranya tindakan tersebut bertentangan dengan tujuan dan objektif yang asal, maka tindakan tersebut dianggap tidak sah dan tidak terpakai dari sudut Syarak.

(Lihat: Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/308)

Kaedah ini disandarkan kepada kata-kata Saidina Umar RA, 

قَالَ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ " إنِّي أَنْزَلْتُ نَفْسِي مِنْ مَالِ اللَّهِ بِمَنْزِلَةِ وَالِي الْيَتِيمِ، إنْ احْتَجْتُ أَخَذْتُ مِنْهُ فَإِذَا أَيْسَرْتُ رَدَدْتُهُ فَإِنْ اسْتَغْنَيْتُ اسْتَعْفَفْتُ ".

Maksudnya: Sesungguhnya aku menempatkan diriku terhadap harta Allah seperti kedudukan pengurus harta anak yatim. Sekiranya aku memerlukan, aku akan mengambilnya. Jika aku kembali senang, aku akan kembalikan. Begitu juga, sekiranya aku tidak memerlukannya, aku akan menjauhinya (daripada menggunakannya).

(Lihat: al-Ashbah Wa al-Nazhair, 1/121)

Melihat kepada kaedah yang kritikal ini, tindakan drastik yang diambil pihak kerajaan bagi menyekat sesetengah perkara adalah bersandarkan kepada maslahah dan kepentingan umum agar dapat mengurangkan risiko penyebaran wabak daripada bertambah lebih teruk.

Perubahan Hukum Harus Kepada Hukum Lain

Imam Zarkasyi Rhm (wafat 794H) menyimpulkan bahawa hukum harus boleh berubah mengikut kepada situasi tertentu. Kadangkala berubah menjadi wajib jika meninggalkan perkara tersebut akan memberi kemudaratan. Kadangkala menjadi haram sekiranya melakukan perkara tersebut menyebabkan tidak melakukan kewajipan lain yang ditetapkan Syarak, dan begitu juga boleh berubah kepada hukum-hukum taklifi yang lain seperti sunat dan makruh.

(Lihat: al-Bahru al-Muhith, 1/365)

Dari segi asalnya, hukum membuat perhimpunan, berjalan melancong ke negara-negara seluruh dunia, dan lain-lain ialah harus berdasarkan dalil-dalil al-Quran dan Hadis yang umum. Namun begitu, keharusan terebut boleh berubah kepada Makruh bahkan Haram melihat kepada situasi yang berlaku. Apatah lagi sekiranya arahan dikeluarkan oleh pihak kerajaan sebagai badan pemerintah yang melihat isu negara dengan pandangan makro dan lebih menyeluruh.

Timbang Tara Di Antara Dua Kemudaratan

Tidak dinafikan Perintah Kawalan Pergerakan memberikan impak negatif dan kerugian terhadap beberapa sektor seperti premis perniagaan bukan penting (essential services) seperti perhotelan, pusat perlancongan dan lain-lain. Penutupan institusi pendidikan juga merencatkan sedikit sebanyak perancangan dan pelaksanaan proses pembelajaran para pelajar. Segala perkara yang disebutkan tergolong di bawah kategori kemudaratan yang diiktibar oleh Syariah.

Walau bagaimanapun, apabila kemudaratan tersebut bertembung dengan kemudaratan lain khususnya berkaitan penularan wabak, Syariah memberikan garis panduan melalui kaedah Fiqh yang menyebut,

إذا تعارض مفسدتان روعي أعظمهما ضررا بارتكاب أخفهما

Maksudnya: Sekiranya bertembung di antara dua kemudaratan, maka elakkanlah kemudaratan yang lebih besar dengan memilih kemudaratan yang lebih kecil.

(Rujuk: Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 1/87)

Khusus dalam kes situasi COVID-19, kami tidak menafikan kedua-dua tindakan memberikan kemudaratan kepada masyarakat. Pertamanya, kemudaratan akibat sekatan yang dikenakan melalui Perintah Kawalan Pergerakan. Keduanya, kemudaratan yang bakal dihadapi rakyat sekiranya tiada kawalan intensif terhadap sekatan penyebaran virus.

Berdasarkan kedua-dua situasi yang mendatangkan mudarat, kami mentarjihkan dan menyokong tindakan kerajaan Malaysia mengelakkan kemudaratan yang lebih besar dengan menyekat penyebaran virus melalui Perintah Kawalan Pergerakan.

Keputusan ini lebih tepat dengan semangat hadis seperti yang diriwayatkan Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا

MaksudnyaJika kamu mendengar penyakit taun melanda di suatu kawasan, janganlah masuk ke kawasan tersebut. Dan jika kamu berada di kawasan tersebut janganlah kamu keluar dari situ.

Riwayat al-Bukhari (5728)

Hadis ini menunjukkan pemerintah boleh mengambil tindakan kuarantin atau sebarang sekatan agar penyakit atau wabak tidak tersebar. ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf RA pernah menyebutkan hadis ini kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab ketika beliau bercadang pergi ke Syam semasa wabak taun sedang merebak di sana. Mendengar hadith ini, Amirul Mukminin ‘Umar al-Khattab membatalkan hasratnya.

(Lihat: al-Bidayah wa al-Nihayah3/5)

Kesimpulan

Keputusan kerajaan Malaysia melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan perlu diberi sokongan penuh. Sebarang bentuk nasihat daripada pihak berautoriti dalam hal yang makruf hendaklah dipatuhi oleh segenap lapisan masyarakat. Masyarakat perlu bersama-sama menjadi ejen bagi mengelakkan penyebaran Novel Coronavirus (2019-nCoV) lantas mengurangkan risiko kematian.

Khusus untuk umat Islam, walaupun masjid dan surau diarahkan ditutup untuk sementara waktu, ia tidak sepatutnya menjadi halangan untuk kita terus bermunajat dan memohon kepada Allah agar dihindari daripada wabak yang merbahaya ini.

Akhir kalam, semoga segala hasil kerjasama yang diusahakan di antara peringkat kerajaan dan rakyat seluruhnya menatijahkan pengurangan risiko jangkitan seterusnya membolehkan rakyat Malaysia menjalani kehidupan harian seperti sediakala tanpa kerisauan dan keresahan kerana kita sedar rencana ini tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat sokongan dan kerjasama daripada rakyat Malaysia seluruhnya.  

Wallahua’lam.