Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

cuttttttt

 

SOALAN

Semasa zaman jahil, saya telah mewarnakan rambut menggunakan pewarna kekal. Persoalannya, apakah hukum menggunakan pewarna kekal? Sekiranya penggunaan pewarna tersebut menyebabkan ibadah tidak sah, adakah patut seorang wanita membotakkan rambut atau hanya membuang sebahagian rambut dan masih ada baki berwarna?

JAWAPAN :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW

Wanita digalakkan berambut panjang bagi menzahirkan ciri-ciri  yang dikhususkan bagi kaum wanita walaupun pada zahirnya wanita bertudung. Terdapat larangan wanita menyerupai lelaki berdasarkan riwayat berikut

Sabda Rasulullah SAW :

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang yang menyerupai kaum lelaki daripada kalangan perempuan.”

Riwayat al-Bukhari (5885)

Imam al-Shaukani mengatakan hadis tersebut menjadi dalil akan pengharaman ke atas lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki dalam pertuturan, pemakaian dan selain itu (Lihat Nayl al-Awtar, 6/230).   Justeru, hukum wanita yang berimej lelaki adalah  berdosa besar kerana   ancaman laknat. Hal ini berdasarkan kalam  Ibn Abd al-Salam menyebut: “Dosa besar ialah dosa yang disertakan dengan balasan buruk atau laknat.”

Daripada Abu Salamah bin Abdurrahman RA, bahawa dia menyatakan:

وَكَانَ أَزْوَاجُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْخُذْنَ مِنْ رؤوسهن حَتَّى تَكُونَ كَالْوَفْرَةِ

Maksudnya: “Para isteri Nabi SAW menipiskan sedikit rambut di kepala mereka, sehingga menjadi seperti ‘wafrah’ (iaitu rambut yang tidak melebihi telinga).“

Riwayat Muslim (320)

Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadis tersebut menyatakan bahawa harus menipiskan rambut wanita  namun tidak melebihi telinga. (Lihat Syarah Sahih Muslim, 4/4). Fitrah seorang  wanita untuk membiarkan rambutnya  panjang dan hanya dibenarkan memotong rambut pada kadar yang  tidak sampai tahap menyerupai lelaki  iaitu tidak melebihi telinga.

Fatwa Syeikh Abdul Malik al-Sa’adi ketika ditanya berkenaan hukum wanita memotong rambut berkata:

“Seseorang perempuan itu harus memotong rambutnya jika tidak menyamai rambut lelaki. Sekiranya dia memotong sehingga pendek seperti lelaki maka hukumnya adalah haram kerana telah melakukan tasyabbuh bi rijal (iaitu menyamai lelaki). Sesungguhnya seseorang perempuan itu diharamkan menyerupai lelaki sama ada pada rambut, pakaian atau penampilannya.[1]

Kami telah membahaskan HUKUM  WANITA MEMBOTAKKAN RAMBUT pada ruangan   al kafi #  508. [2] Secara ringkasnya,  kami cenderung memilih pendapat menyatakan wanita haram membotakkan rambut berdasarkan kaedah  menyebutkan:

النهي يقتض الحريم    

Maksudnya :tegahan membawa maksud haram 

Tegahan wanita mencukur sebagaimana dalam riwayat tersebut :

Nabi SAW daripada ‘Ali RA:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ تَحْلِقَ الْمَرْأَةُ رَأْسَهَا

Maksudnya: Rasulullah SAW melarang wanita dari mencukur kepala mereka.

Riwayat Al-Tirmizi (914) & Al-Nasa’ie (5049)

Hadith di atas menunjukkan kepada larangan mencukur kepala bagi wanita ketika bertahallul (Haji & Umrah) dan begitu juga secara mutlaknya kecuali sekiranya terdapat darurat (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih. (5/1832).

Sehubungan itu, wanita  haram menyerupai kebiasaan kaum lelaki dengan berimej rambut pendek tidak melebihi paras telinga selain wanita  haram membotakkan rambut berdasarkan larangan dalam hadis yang telah dinyatakan. Hal ini  juga berdasarkan keputusan-keputusan fatwa berikut :

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 – 3 Februari 2008 telah membincangkan Hukum Wanita Membotakkan Kepala Dan Berhias Secara Aneh. Muzakarah telah memutuskan bahawa Wanita dilarang membotakkan kepala kecuali untuk tujuan rawatan perubatan bagi mengatasi masalah atau penyakit yang tertentu;

Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-2/2008, pada 11 -12 Jun 2008  bahawa Perempuan Haram membotakkan kepala tanpa alasan yang diharuskan oleh Syarak

 Pengecualian bagi  wanita untuk  berimej botak

Berdasarkan keputusan fatwa tersebut, wanita hanya dibenarkan membotakkan rambut bagi masalah penyakit serta alasan-alasan yang diharuskan syarak. Pengecualian  wanita berambut pendek seperti lelaki  mahupun mencukur rambut sehingga botak  sekiranya terdapat masalah penyakit pada kulit rambut seperti kudis, bisul kelemumur yang teruk mahupun kaedah terakhir membasmi kutu. Dalam situasi tersebut ia termasuk dalam bab darurat  yang membolehkan mencukur semua rambut.  Oleh itu, darurat memboleh perkara yang dilarang hanya pada situasi yang dibenarkan. Hal ini bersesuaian dengan kaedah fiqhiah:

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

MaksudnyaDarurat mengharuskan perkara-perkara yang dilarang atau diharamkan.

Sehubungan itu, wanita   harus  mencukur rambut sehingga botak bagi tujuan perubatan sekiranya disarankan oleh doktor kerana kulit kepala berpenyakit. Justerus alasan wanita membotakkan rambut merupakan alasan syarak kerana  ingin menjaga nyawa.

Seterusnya, alasan membotakkan rambut bagi kaum wanita untuk membuang pewarna rambut (permanent dye)  agar  menjadikan perlaksanaan ibadah solatnya  sah di sisi syarak adalah alasan yang dibenarkan. Tambahan pula, berdasarkan kajian yang  telah dilaksanakan produk pewarna (permanent dye)  mahupun  (semi permanent dye)  adalah tidak menyerap air (menghalang air)  untuk membasuh rambut[3]. Hal ini kerana antara anggota wuduk yang wajib untuk dibasuh ialah  sebahagian daripada kepala  sekurang-sekurangnya membasahkan tiga helai rambut.Jumhur ulama menetapkan syarat sah wuduk kecuali mazhab Hanafi, antara ialah

  • Menghilangkan apa-apa yang menghalang air daripada menyentuhi anggota wuduk. Iaitu hendaklah tidak ada di atas anggota yang wajib wuduk sesuatu yang menghalang daripada sampainya air menyentuhi kulit, seperti lilin, lemak, inai dan seumpamanya. Sekiranya sesuatu  yang menghalang air ke anggota, maka tidak sah taharahnya (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (1/329), Tuhfah al-Muhtaj (1/187),  al-Majmu’ (1/467).

Seterusnya, syarat bagi mandi wajib perlu  meratakan air keseluruh anggota badan termasuk kulit dan  keseluruh rambut (bulu-bulu) yang ada di badan. (Lihat  al-Majmu’ Syarah Muhazzab2/21, Lihat  Matan Ghoyah wa al-Taqrib: 21). Wuduk dan mandi wajib bagi mereka yang berhadas kecil dan besar untuk  membolehkan melaksanakan ibadah seperti solat dan membaca al-Quran( Lihat Syarh al-Yaqut al-Nafis,  67).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, penggunaan produk pewarna rambut yang bersifat kekal (permanent dye)  adalah dilarang kerana  kewujudan bahan pewarna yang melekat telah menghalang air untuk membasuh rambut  sekaligus menjadikan taharahnya tidak sah serta ibadatnya turut tidak sah.  Oleh itu, alasan  wanita membotakkan rambut untuk menjadikan ibadahnya sah adalah alasan syarak dan selari dengan maqasid syariah.  Bahkan, penggunaan alasan yang bertepatan dengan syarak diterima oleh jumhur pada fuqaha’ (Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 18/330).

Syor dan cadangan

  • Kami mengesyorkan solusi supaya melakukan proses melunturkan pewarna rambut (bleaching)  dengan sebarang teknik mahupun sebarang produk peluntur warna  daripada bahan yang halal bagi mengeluarkan pewarna kekal.  Namun, sekiranya tidak berjaya mengeluarkan pewarna kekal pada  rambut dan hanya berfungsi memudarkan rambut selain  memberi implikasi kerosakan rambut dan sakit kulit. Maka, pilihan terakhir ialah mencukur keseluruhan rambut  yang telah diwarnakan  dan rambut akan   kembali tumbuh seperti asal.
  • Kami turut cadangkan menggunakan bahan-bahan pewarna yang jelas telah dibenarkan seperti inai dan katam[4] sebagaimana riwayat berikut:

Daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda

إٍنَّ أَحْسَنَ مَاغَيَّرْتُمْ بِهِ الشَّيْبَ الحِنَّاءُ وَالكَتَمُ 

Maksudnya:Sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mewarnakan rambut yang beruban ialah pokok inai dan katam”.

Riwayat Ahmad (13588)

Informasi lanjut   berkaitan inai rambut rujuk artikel  pada ruangan  # al-Kafi 743:  Hukum mewarnakan  rambut dengan warna hitam 

Penutup

Tuntasnya, berdasarkan dalil serta hujah yang dikemukakan, kami berbendapat bahawa wanita dibenarkan berimej botak atas alasan membuang keseluruhan rambut yang telah diwarnakan menggunakan (permanent dye) sekiranya teknik meluntur warna tidak berkesan. Hal ini kerana jenis pewarna (permanent dye)  telah menghalang air untuk membasuh rambut ketika mengambil hadas kecil dan hadas besar. Bahkan alasan  wanita membotakkan rambut  boleh diterima syarak  agar taharah serta solat yang dilaksanakan sah. Walaupun wanita dibenarkan berimej botak atas alasan tertentu, namun tidak menafikan kewajipan wanita menutup aurat (bertudung).

Sehubungan itu, umat Islam dilarang menggunakan produk pewarna rambut kekal kerana menghalang basuhan sehingga menyebabkan taharahnya tidak sah.  Umat Islam turut digalakkan menjaga rambut dengan cara  yang dibenarkan syarak. Penggunaan set penjagaan rambut  mestilah daripada bahan yang halal dan tidak mendatangkan kemudaratan serta kerosakan pada rambut.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ شَعْرٌ فَلْيُكْرِمْهُ

Maksudnya“Barangsiapa yang memiliki rambut maka hendaklah dia memuliakannya.”

Riwayat Imam Abu Daud (4163)

Akhir kalam, semoga  kita dapat  menjalankan kehidupan  mengikut neraca  syariah yang sebenar

 

[1] Lihat soalan yang diajukan kepada Syeikh Mutawalli Sya’rawi no. 1543 http://www.alomah-alwasat.com/).

[2] https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2080-al-kafi-508-hukum-wanita-membotakkan-kepala

[3] http://mufti.perak.gov.my/rakyat/koleksi-umum/artikel-khas/517-pemakaian-inai?start=1

[4] Katam ialah sejenis pokok daripada negeri Yaman yang mengeluarkan pewarna hitam kemerah-merahan ( seperti pokok inai)