Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

tukar

Soalan:

Apakah  hukum  mak nyah menukar  nama kepada nama samaran wanita sedangkan dia lelaki. Adakah dengan memanggil mereka dengan nama samaran itu dikira sebagai  penerimaan kita kepada komuniti mak nyah dalam masyarakat? Mohon pencerahan. Jazakumullah khairal jaza’

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri Baginda, keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menyatakan hukum lelaki menyerupai wanita “mak nyah” adalah haram  seperti yang telah dibahaskan secara panjang lebar   pada ruangan artikel   Bayan Linnas siri 5  Isu Transgender, Tasyabbuh Atau Penyerupaan:  Hukumnya di pautan http://bit.ly/2EzjRAJ. Sementara, Muzakarah Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali Ke-68 yang bersidang pada 14 April 2005 telah berbincang Hukum  Menukar Status Jantina dalam MyKad. Majlis Fatwa memutuskan bahawa:

  • Menukar status jantina dalam MyKad bagi pemilik yang menjalani pembedahan jantina yang diharuskan oleh syarak adalah harus. ( merujuk golongan khunsa)
  • Sebaliknya menukar status jantina dalam MyKad bagi pemilik yang menjalani pembedahan jantina yang tidak dibenarkan oleh syarak adalah haram. (merujuk golongan mak nyah atau pengkid)

Penukaran status jantina  bagi golongan “ mak nyah” di MyKad semestinya melibatkan proses penukaran nama dan digit terakhir nombor kad pengenalan kepada nombor genap  bagi mencerminkan identiti seorang perempuan.  Tujuan golongan mak nyah membuat permohonan pertukaran status jantina  kerana ingin mendapatkan bukti pengiktirafan status jantina mereka. Haram penukaran status jantina di MyKad kerana membawa implikasi dalam aspek hukum seperti ibadat, aurat, pernikahan, perwalian, pembahagian pusaka, pengurusan jenazah dan sebagainya.

Imam Ibnul Qayyim berpendapat galakan menukar nama kepada nama yang lain hanya atas alasan maslahah   (kebaikan). Hal ini disebabkan namanya itulah yang mendorong seseorang melakukan perbuatan yang sesuai dengan namanya serta meninggalkan apa yang bercanggahan dengannya (Lihat Tuhfatul Maudud, 129). Namun, pertukaran nama lelaki kepada nama wanita tidak ada sebarang maslahah bahkan mengundang implikasi negatif  terhadap aspek hukum. Oleh itu, umat Islam dianjurkan  untuk memberi nama-nama yang baik bersesuaian dengan jantinanya bahkan panggilan nama  sebagai doa.

Larangan  mengaibkan diri sendiri   dan memanggil dengan gelaran yang  buruk

Perbuatan “tasyabbuh” bukan setakat melakukan pembedahan pertukaran jantina bahkan penyerupaan jantina melalui  lenggok  gayanya yang dibuat-buat. Hal ini berdasarkan pendapat  ulama  kontemporari Yusof  al-Qaradhawi  yang menyatakan  perbuatan menyerupai jantina termasuklah  meniru percakapan, gerak geri, lenggok jalan, pakaian  atau melakukan  aksi perwatakan lawan jantina (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam 87 ).  Sementara, gelaran nama wanita bagi  golongan mak nyah (mukhannath) merupakan gelaran dusta (bohong) sedangkan pada hakikkatnya (mukhannath) tersebut adalah seorang lelaki.  

 وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ

Maksudnya : … dan jauhilah kalian ucapan yang dusta.

Surah Al-Hajj (30)

Imam al-Nawawi menjelaskan  bahawa berbohong  merupakan  perbuatan dosa yang buruk serta suatu keaiban yang keji.( Rujuk al-Azkar Al-Nawawiyyah, Al Nawawi (377).

Ini bermakna golongan mak nyah telah mengaibkan dirinya sendiri kerana memberi gelaran dusta dengan nama samaran wanita. Allah ﷻ melarang  mencela diri sendiri serta  memanggil dengan gelaran yang tidak baik mahupun ejekan sebagaimana FirmanNya :

وَلا تَلمِزوا أَنفُسَكُم وَلا تَنابَزوا بِالأَلقاب 

Maksudnya“……dan janganlah setengah kamu menyatakan celaan (keaiban) setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk ..”

(Surah al-Hujurat: 11)

Celaan pada ayat tersebut  turut membawa maksud  keaiban. Imam al-Thabari  Rahimahullah menyatakan celaan (keaiban) boleh berlaku melalui tangan, mata, lisan dan isyarat. Sementara maksud “أَنفُسَكُم”  merupakan peringatan  bagi orang berakal supaya tidak akan mengaibkan dirinya sendiri. Hal tersebut kerana orang membuka aib dirinya akan  menyebabkan orang lain akan mengaibkan antara sama satu lain. Begitu juga  mengaibkan orang lain seperti mengaibkan diri sendiri.  Selain itu, umat Islam dilarang memanggil gelaran  buruk  mahupun mengejek yang   boleh  menyakiti  hati orang lain (Rujuk al-Jaami’ li-Ahkam al-Quran, al-Qurtubi ( 8/214) ( Lihat al-Jaami’ al-Bayan ‘An Ta’wil Aayi al-Quran, al-Thabari (21/326)

Perbuatan  “tasyabbuh” jantina dipandang aib oleh masyarakat, bahkan golongan mak nyah secara terang-terangan telah berdusta  memberi  nama gelaran wanita yang jelas bertentangan  dengan fitrah asal kelelakiannya. Perbuatan  dosa  secara zahir adalah dicegah oleh agama. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ، فَيَقُولَ يَا فُلاَنُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ

Maksudnya: Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘’Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’’. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinyalalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.

Riwayat al-Bukhari (6069)

Hadis tersebut merujuk kepada umat manusia  yang sengaja menzahirkan maksiat di khalayak ramai mahupun menceritakan dosa yang telah  dilakukan kepada orang lain. Mereka yang menunjukkan maksiat turut dikatakan   melakukan dosa ke atas orang lain kerana  menjadi faktor  umpatan manusia. Begitu juga, Allah tidak akan menjaga keaiban mereka atas faktor mereka sendiri yang menunjukkannya.

Dakwah dengan hikmah

Perbuatan menyerupai  jantina  “tasyabbuh”  serta pertukaran nama tersebut telah jelas diharamkan, maka umat Islam  hendaklah  menegah  perbuatan “tasyabbuh” dengan kuasa yang ada, seterusnya   menegur dengan lisan, sekiranya  tidak mampu, maka membenci dengan  hatinya, kerana itu adalah selemah-lemah iman sebagaimana  dalam hadis berikut:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْيَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيمَانِ

MaksudnyaBarangsiapa antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, kuasa; jika tidak mampu hendaklah dengan lisan; dan jika tidak mampu hendaklah membenci dalam hati, dan itu adalah selemah-lemah iman.

Sahih Muslim (49)

Antara salah satu usaha  dakwah  dengan lisan adalah  memanggil  golongan mak nyah dengan nama  lelaki  seperti nama  asalnya.  Cara dakwah  tersebut  boleh menyedarkan mereka tentang hakikat jantina mereka yang sebenar. Kebarangkalian dengan asbab  memanggil nama lelaki secara berterusan, terdetik diruang hatinya untuk berubah menjadi lelaki sejati. Malahan panggilan nama lelaki adalah salah satu cara tidak mengiktiraf terhadap penyerupaan  mak nyah  dengan tidak rela untuk memanggil nama gelaran wanita.

Selain itu,  masyarakat sekeliling juga perlu memainkan peranan  untuk membentuk semula keperibadian mak nyah  ke arah sifat kelakian. Masyarakat perlu mendekati golongan mak nyah agar mereka  kembali kepada fitrah kelakiannya dengan memberi teguran secara hikmah. Tindakan  memberi  sindiran mahupun memulaukan golongan mak nyah boleh  menyebabkan  mereka berbolak balik hatinya untuk berhijrah ke jalan yang benar.  Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

MaksudnyaDan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Surah al-Ma’idah (2)

Penutup

Secara tuntasnya,  berdasarkan hujah dan dalil yang dibentangkan di atas, dapat difahami bahawa hukum menukar  nama  mak nyah kepada nama wanita adalah haram walaupun dengan nama samaran. Sama ada  mak nyah tersebut  menukar  jantina atau tanpa menukar jantina.  Oleh itu, umat Islam  dilarang   memanggil    golongan mak nyah dengan nama samaran  wanita. Hal tersebut sebagai tanda tidak mengiktiraf perbuatan mereka selain usaha dakwah agar mereka sedar akan hakikat identiti sebenar. Kami akhiri dengan menyatakan   pesanan terhadap golongan mak nyah supaya berusaha membuang sifat kewanitaan sedaya mungkin tanpa  menurut kecenderungan naluri yang  bertentangan dengan syarak. Semoga Allah SWT mengurniakan  hidayah serta taufikNya.   Ameen