Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

if 492

Soalan:

Apakah hukumnya tinggal di negara majoriti orang bukan Islam? Saya pernah mendengar hadith yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW berlepas diri daripada orang Islam yang tinggal dalam kalangan masyarakat bukan Islam?

 

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Sememangnya terdapat hadith yang menyebut hal demikian. Daripada Jarir bin Abdillah R.A:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بَعَثَ سَرِيَّةً إِلَى خَثْعَمٍ فَاعْتَصَمَ نَاسٌ بِالسُّجُودِ فَأَسْرَعَ فِيهِمُ الْقَتْلُ فَبَلَغَ ذَلِكَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَأَمَرَ لَهُمْ بِنِصْفِ الْعَقْلِ وَقَالَ ‏"‏ أَنَا بَرِيءٌ مِنْ كُلِّ مُسْلِمٍ يُقِيمُ بَيْنَ أَظْهُرِ الْمُشْرِكِينَ ‏"‏ ‏.‏ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلِمَ قَالَ ‏"‏ لاَ تَرَايَا نَارَاهُمَا ‏"‏

Maksudnya: Rasulullah SAW telah menghantar sepasukan sariyyah (ekspedisi tentera) ke Khath’am (sebuah kawasan di luar Mekah), dan sekumpulan Muslim yang tinggal di sana meminta perlindungan daripada dibunuh dan menzahirkan bahawa mereka solat, namun pasukan tentera Muslim telah membunuh mereka.

Apabila Rasulullah SAW mengetahui perkara ini, Baginda memerintahkan agar diberi kepada keluarga mangsa separuh daripada jumlah diyat, lalu bersabda: “Aku berlepas diri daripada setiap Muslim yang tinggal dalam kalangan orang Musyrikin”. Para sahabat bertanyakan sebabnya, lalu Baginda menjawab: “Mereka (Muslim dan Musyrikin) tidak sepatutnya melihat api satu sama lain (kiasan akan berdekatannya rumah satu sama lain)”.

Sunan Tirmizi (1604) dan Sunan Abi Dawud (2645)

Imam al-Tirmizi telah meletakkan hadith ini di bawah bab ‘Celaan Terhadap Perbuatan Tinggal dalam Kalangan Musyrikin’. Imam Abdul Rahman al-Mubarakfuri pula menyatakan bahawa berlepas dirinya Nabi SAW daripada diyat ialah kerana mereka sendiri yang menjerumuskan diri mereka ke dalam kebinasaan, kerana tinggal dalam kalangan Musyrikin. (Rujuk Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi 5/189-190)

Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani pula, maksud hadith ini ialah Nabi SAW berlepas diri, atau tidak akan bertanggungjawap terhadap mereka yang tidak berhijrah ke negara Islam dalam keadaan mereka tidak aman dari sudut agama mereka. Imam Ibn al-‘Arabi juga menyatakan pandangan yang sama,  di mana hukumnya adalah fardhu ‘ain untuk berhijrah bagi mereka yang tidak merasa selamat ke atas diri mereka sendiri ketika tinggal di dar al-harb. (Rujuk Fath al-Bari 6/39)

 

Pandangan Ulama Silam dan Kontemporari

Syeikh Abdullah bin Bayyah telah mengulas hal ini dengan panjang lebar, dan menyimpulkan bahawa jumhur ulama mazhab Hanafi, Syafi’e dan Hanbali menegaskan bahawa diharuskan bagi seseorang yang mampu beramal dengan suruhan agama Islam untuk tinggal di negara bukan Islam. (Rujuk Sina’ah al-Fatwa wa Fiqh al-Aqalliyyat, hlm. 362)

Imam al-Syafi’e menyebut bahawa: “Sunnah Rasulullah SAW menunjukkan bahawa kefardhuan berhijrah adalah bagi sesiapa yang mampu, dan yang diancam dari sudut agamanya di negeri asalnya”. (Rujuk Al-Umm 4/169)

Imam Syihabuddin al-Ramli pula menyatakan bahawa hukumnya adalah sunat untuk berhijrah, dan bukannya wajib bagi seorang yang tinggal di negara kafir jika dia mampu menzahirkan agamanya, dan tidak haram untuknya terus tinggal di negara tersebut. Pandangan yang sama turut disebut oleh Imam Ibn Qudamah al-Hanbali (Rujuk Nihayah al-Muhtaj 8/82 dan Al-Mughni 9/295)

Menurut Imam al-Khatib al-Syarbini pula, lebih utama untuk seseorang itu tinggal di negara bukan Islam, jika ia akan membawa kepada zahirnya Islam di situ. Beliau menambah bahawa dikecualikan daripada kewajipan berhijrah jika menetapnya mereka di negara bukan Islam akan memberi manfaat kepada umat Islam itu sendiri. Beliau menukilkan daripada Imam Ibn ‘Abd al-Barr dan lain-lain, bahawa al-Abbas R.A telahpun memeluk Islam sebelum Perang Badar, namun beliau menyembunyikan keislaman dan tetap tinggal di Mekah. Beliau saling berutus surat dengan Rasulullah SAW dan menceritakan hal ehwal orang Musyrikin di Mekah, dan beliau dipercayai oleh orang Islam. Beliau menyatakan niat untuk berhijrah ke Madinah, namun Baginda SAW menegaskan bahawa tinggalnya beliau di mekah adalah lebih baik berbanding berhijrah ke Madinah. (Rujuk Mughni al-Muhtaj 6/54-55)

Imam Zakariyya al-Ansari menyatakan bahawa kewajiban berhijrah dari negara bukan Islam ke negara Islam terpakai bagi mereka yang tidak mampu menzahirkan syiar agama mereka. (Rujuk Asna al-Matolib 4/207)

Imam Syihabuddin al-Ramli pula pernah ditanya berkenaan hukum sekumpulan orang Islam yang tinggal di Arghon, iaitu sebuah wilayah di Andalusia di bawah pemerintahan Kristian. Mereka hanya diminta membayar sedikit cukai, dan tidak dizalimi dari sudut harta dan nyawa, bahkan dibenarkan untuk melaksanakan syiar-syiar Islam, iaitu solat di masjid, berpuasa Ramadhan, mendoakan kebaikan kepada terhadap kepimpinan orang Islam dan kemenangan mereka terhadap musuh-musuh Islam pada ketika itu.

Imam al-Ramli secara jelas menjawab bahawa tidak wajib bagi orang Islam tersebut untuk berhijrah dari sana kerana kemampuan mereka menzahirkan syiar agama mereka. Ini juga berdasarkan amalan Rasulullah SAW sendiri yang menghantar Saidina Uthman R.A ketika Perjanjian Hudaibiyah ke Mekah, kerana mengetahui kemampuan Uthman untuk beramal dengan agamanya. Bahkan tidak diharuskan bagi mereka berhijrah keluar, kerana dengan adanya mereka di sana menjadikan wilayah itu sebagai dar al-Islam, dan ia akan membuka ruang untuk tersebarnya Islam di wilayah tersebut. Jika mereka berhijrah keluar, nescaya wilayah itu akan bertukar kepada dar al-harb. Hal ini juga kerana mereka diberi kebebasan untuk mengamalkan agama mereka dan tidak dipaksa untuk murtad daripada Islam dan meninggalkan ajarannya. (Rujuk Fatawa al-Ramli 4/52-54)

Imam Ibn Hajar al-Haithami pula menegaskan bahawa hadith berlepas dirinya Rasulullah SAW daripada Muslim yang tinggal dalam kalangan kafir merujuk kepada mereka yang tidak selamat agama mereka daripada diancam oleh golongan kafir. Adapun bagi yang aman daripada fitnah, tidak diharamkan, bahkan wajib bagi mereka tetap tinggal di situ jika ia memberi maslahah kepada umat Islam. (Rujuk al-Fatawa al-Hadithyyah, hlm .204)

Imam Ibn Hazm pula menyebut bahawa adalah tidak mengapa bagi seorang Muslim yang terpaksa berhijrah ke dar al-harb kerana dizalimi di negara asalnya, selagimana dia tidak turut sama memerangi orang Islam. Diriwayatkan bahawa Ibn Syihab al-Zuhri pernah memasang niat untuk berhijrah ke Rom jika ditakdirkan Khalifah Hisyam bin Abd al-Malik meninggal dunia, kerana bakal penggantinya iaitu al-Walid bin Yazid telah mengancam untuk membunuh al-Zuhri.

Begitu juga bagi mereka Muslim yang tinggal di India, Chia, Turki, Sudan atau Rom (wilayah-wilayah bukan Islam), tidak diwajibkan untuk berhijrah jika mereka tidak mempunyai kemampuan samada dari sudut jasmani atau kewangan untuk berbuat demikian. (Rujuk Al-Muhalla bi al-Athar 12/125)

Jelas daripada pandangan-pandangan ini bahawa kewajipan berhijrah hanya bagi yang mempunyai kemampuan sahaja, adapun yang tidak mampu, mereka dimaafkan berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنتُمْ ۖ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الْأَرْضِ ۚ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللَّـهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا ۚ فَأُولَـٰئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَسَاءَتْ مَصِيرًا ﴿٩٧﴾ إِلَّا الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ لَا يَسْتَطِيعُونَ حِيلَةً وَلَا يَهْتَدُونَ سَبِيلًا ﴿٩٨﴾ فَأُولَـٰئِكَ عَسَى اللَّـهُ أَن يَعْفُوَ عَنْهُمْ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ عَفُوًّا غَفُورًا ﴿٩٩﴾

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: "Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?" Mereka menjawab: "Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi". Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?" Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (97) Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). (98) Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.

Surah al-Nisaa’ (97-99)

Menurut ‘Allamah Yusuf al-Qaradhawi pula, hadith Baginda berlepas diri daripada orang Islam yang tinggal dalam kalangan Musyrikin pula diucapkan oleh Baginda kerana satu peristiwa yang khusus, dimana sekolompok orang Islam telah terbunuh dalam peperangan di tangan tentera Islam sendiri, kerana tentera Islam tidak tahu mereka itu sebenarnya Muslim. Berlepas dirinya Rasulullah SAW dalam konteks ini ialah Baginda berlepas diri daripada membayar diyat kepada mereka, lantaran keingkaran mereka sendiri untuk berhijrah ke negara Islam Madinah.

Beliau juga menegaskan bahawa jika kita Muslimin kekal sesama kita dan tidak berhijrah, bagaimana agama Islam akan tersebar? Maka beliau menggalakkan sesiapa yang mempunyai keperluan untuk keluar bertebaran ke pelbagai negara, samada untuk melanjutkan pelajaran, menyembuhkan penyakit atau untuk bekerja. Firman Allah SWT:

ومَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الأَرْضِ مُرَاغَماً كَثِيراً وَسَعَةً

Maksudnya: Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur;

Surah al-Nisaa’ (100). (Rujuk https://www.al-qaradawi.net/node/4160)

Atas dasar ini juga Dar al-Iftaa’ al-Misriyyah menyatakan bahawa tinggalnya seseorang Muslim di negara orang bukan Islam tidak menjejaskan keislaman seseorang, dan dia diharuskan untuk tinggal di sana selagi mana ia tidak memberi kesan kepada agama dan akidahnya, serta tidak menghalangnya daripada melaksanakan tanggungjawab agamanya. (Rujuk https://bit.ly/2UmziFC)

Selain itu, Majlis Fatwa Eropah juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan keharusan untuk Muslim tinggal di negara bukan Islam Julai 2006, yang antara lain menyatakan tinggalnya seseorang Muslim di negara bukan Islam adalah bergantung kepada keadaan, dan ia boleh jadi harus, wajib atau sunat mengikut kadar maslahah yang dicapai. (Rujuk www.e-cfr.org/حكم-الإقامة-غير-البلاد-الإسلامية/ )

 

Kesimpulan

Tuntasnya, berdasarkan pandangan para ulama terdahulu dan kontemporari yang dinyatakan di atas, kami nyatakan bahawa hukumnya adalah harus untuk seseorang itu tinggal di negara bukan Islam, samada dia sememangnya berasal dari negara tersebut, atau berhijrah untuk bekerja, melanjutkan pelajaran, mencari perlindungan keselamatan dan sebagainya.

Hukum ini terpakai dengan syarat terpelihara keamanan mereka dari sudut nyawa, maruah dan harta benda, serta wujud kebebasan untuk mengamalkan agama Islam.  Selain itu, mestilah keberadaan mereka di sana tidak menggugat iman dan akhlak mereka, mempunyai bekalan ilmu Islam yang cukup dan mampu mendidik keluarga dengan akhlak dan ilmu Islam.

Keberadaan golongan Muslim di negara-negara bukan Islam juga memberi banyak manfaat, antaranya menyebarkan dakwah Islam keseluruh dunia, dan ia terbukti apabila suburnya dakwah Islam di Eropah contohnya, yang menyaksikan masjid-masjid dan pusat-pusat dakwah tumbuh bak cendawan, membolehkan interaksi terus antara Muslim dan non-Muslim yang membuka ruang dakwah.

Selain itu, dunia Islam juga akan diperkuatkan dengan menghantar umat Islam ke serata dunia untuk menambah kepakaran dan ilmu dalam pelbagai bidang, dan membawa pulang ilmu dan kepakaran ke negara asal mereka.

Wallahu a’lam.