Soalan :
Assalamualaikum w.b.t
Saya ada satu persoalan. Bolehkah kita menunaikan solat Jumaat secara live streaming? Harap dapat pencerahan mengenai perkara ini.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”
(Surah al-Jumu‘ah : 9)
Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/198)
Solat Jumaat wajib ditunaikan secara berjemaah
Kami ingin menegaskan bahawa kewajipan solat Jumaat hendaklah ditunaikan secara berjemaah. Perkara ini adalah sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ
Maksudnya : “Solat Jumaat merupakan satu hak kewajipan ke atas setiap orang muslim untuk mendirikannya secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.” Riwayat Abu Daud (1067)
Malah, Dr. Wahbah al-Zuhaili telah menyatakan di dalam kitabnya bahawa telah berlaku Ijma’ ulama mengenai kewajipan menunaikan solat Jumaat secara berjemaah. (Lihat Mausu’ah al-Fiqh al-Islami wa al-Qadhaya al-Mu’asirah, 2/248)
Syarat-syarat mengikut imam bagi solat berjemaah
Sepertimana yang telah kami sebutkan, solat Jumaat wajib ditunaikan secara berjemaah. Oleh itu, solat Jumaat tertakluk kepada syarat-syarat sah solat berjemaah. Antara syarat-syarat sahnya solat berjemaah ialah makmum mesti mengetahui pergerakan imam. Mengenai perkara ini, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa :
يُشْتَرَطُ لِصِحَّةِ الِاقْتِدَاءِ عِلْمُ الْمَأْمُومِ بِانْتِقَالَاتِ الْإِمَامِ سَوَاءٌ صَلَّيَا فِي الْمَسْجِدِ أَوْ فِي غَيْرِهِ أَوْ أَحَدُهُمَا فِيهِ وَالْآخَرُ فِي غَيْرِهِ وَهَذَا مُجْمَعٌ عَلَيْهِ قَالَ أَصْحَابُنَا وَيَحْصُلُ لَهُ الْعِلْمُ بِذَلِكَ بِسَمَاعِ الْإِمَامِ أَوْ مَنْ خَلْفَهُ أَوْ مُشَاهَدَةِ فِعْلِهِ أَوْ فِعْلِ مَنْ خَلْفَهُ وَنَقَلُوا الْإِجْمَاعَ فِي جَوَازِ اعْتِمَادِ كُلِّ وَاحِدٍ مِنْ هَذِهِ الْأُمُورِ
Maksudnya : “Disyaratkan untuk sahnya ikutan (dalam solat berjemaah) ialah makmum mengetahui segala perpindahan (pergerakan dalam solat) orang yang menjadi imam, sama ada kedua-duanya (Imam dan makmum) menunaikan solat di dalam masjid atau selain masjid (luar masjid) atau salah seorangnya di dalam masjid dan seorang lagi berada di luar masjid. Inilah perkara yang telah disepakati (oleh para ulama). Ulama mazhab Syafie mengatakan bahawa hasil pengetahuan makmum itu ialah dengan mendengar imam atau mendengar orang yang dibelakang imam atau melihat pergerakkan imam atau pergerakkan orang yang di belakang imam. Dan mereka telah menukilkan ijma’ mengenai keharusan berpegang pada tiap-tiap satu daripada perkara tersebut.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/309)
Begitu juga, al-Khatib al-Syirbini menyatakan bahawa disyaratkan makmum mengetahui segala pergerakan imam (di dalam solat), supaya (makmum itu) dapat mengikut sama ada dengan imam atau melihat sebahagian daripada saf (makmum yang lain) atau mendengarnya (suara imam) atau pun mendengar suara muballigh. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/494)
Selain itu, Al-Sayyid Ahmad al-Syatiri ada menyebutkan antara syaratnya juga ialah :
أن يكون اجتماع الإمام والمأموم... إما في مسجد، أو في مكان سواه لا يزيد ما بينهما منه على ثلاث مئة ذراع تقريبا...
Maksudnya : “Hendaklah berhimpun (pada satu tempat) Imam dan makmum… sama ada di dalam masjid, atau tempat selainnya (luar masjid) yang mana jarak antara keduanya tidak melebihi kira-kira 300 hasta (lebih kurang).” (Lihat Nail al-Raja’, Cet. Dar al-Minhaj, hlm. 211)
Apabila kita melihat kepada syarat ini, sebenarnya ia kembali semula kepada syarat sebelumnya iaitu dengan berhimpunnya kedua-duanya dalam satu tempat membolehkan makmum melihat dan mengetahui pergerakkan imam. Oleh itu, di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ada disebutkan bahawa sekiranya imam dan makmum sama-sama berada di dalam masjid maka mengikut imam adalah sah walau sejauh mana sekalipun jarak antara kedua-duanya ataupun terlindung oleh dinding-dinding yang boleh dilalui. Imam Ibn Hajar al-Haitami juga menyatakan perkara yang serupa di dalam kitabnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/181 dan Tuhfah al-Muhtaj, 2/313)
Namun, apabila kedua-dua imam dan makmum berada di luar masjid atau imam di dalam masjid dan makmum di luarnya, ketika ini disyaratkan jarak antara kedua-duanya tidak terlalu jauh. Dalam hal ini, para ulama ada meletakkan tiga syarat tambahan iaitu :
- Hendaklah tiada penghadang (halangan) yang menghalang makmum daripada melihat imam atau melihat makmum lain yang melihat imam.
- Makmum boleh sampai kepada imam tanpa perlu menyimpang dan membelok (daripada arah kiblat).
- Jarak antara kedua-duanya (imam dan makmum) tidak melebihi 300 hasta.
(Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 297)
Sekiranya salah seorang berada di dalam masjid, manakala sebahagian lagi berada di luar masjid, kiraan jarak 300 hasta tersebut bermula daripada bahagian akhir masjid dan bukannya dari saf yang terakhir dalam masjid iaitu jarak di antara tepi dinding luar masjid dengan tempat berdiri makmum yang terdekat di luar masjid tidak melebih 300 hasta. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 297 dan al-Fiqh al-Manhaji, 1/182)
Imam Kamaluddin al-Damiri pula berpendapat bahawa dengan makmum melihat imam atau melihat sebahagian daripada saf atau mendengar suara imam atau mendengar suara muballigh, adalah merupakan antara sebab-sebab yang boleh membawa kepada pengetahuan makmum mengenai pergerakkan imam di dalam solat. Walau bagaimanapun, di sisi kami dan jumhur ulama sekadar (mensyaratkan) perkara tersebut sahaja tidak cukup, bahkan mesti bersamanya diletakkan syarat supaya berhimpunnya imam dan makmum (dalam satu tempat) kerana kalaulah sudah cukup dengan hanya pengetahuan (mengenai pergerakkan imam), sudah tentu terbatalnya (tidak perlu lagi) perintah untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat. Begitu juga, seruan untuk menunaikan solat berjemaah (di masjid). Dan setiap orang akan menunaikan solat di rumah masing-masing atau di pasar dengan berimamkan (mengikuti) solat imam di masjid, sekiranya mereka mengetahuinya (pergerakkan imam). Ini jelas menyalahi al-Quran dan Sunnah. (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 2/375)
Hukum menunaikan solat Jumaat secara live streaming
Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, menunaikan solat Jumaat melalui perantaraan live streaming adalah tidak sah dan solatnya terbatal kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah mengikuti imam dalam solat berjemaah sebagaimana yang telah disebutkan oleh para ulama.
Begitu juga, solat berjemaah ini sebenarnya bertujuan untuk menghimpunkan orang-orang Islam (secara hakiki). Oleh itu, ia berhajat kepada satu tempat dan bersambungnya saf antara satu sama lain. Oleh sebab itu, tidak boleh menunaikan solat berjemaah melalui siaran langsung di televisyen atau radio (atau live streaming) kerana ia tidak mencapai maksud sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Kalaulah dibenarkan perkara ini, sudah tentu setiap orang boleh menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat di rumah masing-masing. Sudah tentu, perkara seperti ini menafikan (tujuan) pensyariatan solat Jumaat dan solat berjemaah (iaitu menghimpunkan manusia). (Lihat Majmu’ al-Fatawa wa Rasail Syeikh Ibn al-Uthaimin, 15/213)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa menunaikan solat Jumaat melalui perantaraan live streaming adalah tidak sah dan solatnya terbatal kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah mengikuti imam dalam solat berjemaah sebagaimana yang telah digariskan oleh para ulama.
Oleh itu, apabila terdapatnya keuzuran atau halangan daripada menunaikan solat Jumaat seperti perintah kawalan pergerakan ini, maka hendaklah kembali kepada rukhsah yang diberikan oleh syarak iaitu menggantikannya dengan menunaikan solat zohor di rumah masing-masing.
Akhir kalam kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.