Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

sedekah

Soalan

Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri suatu ketika dahulu dengan cara membayar sedekah kepada fakir miskin dengan niat pahala tersebut diberikan kepada pemilik duit yang saya curi dulu? Alasannya, saya terlalu malu untuk berjumpa pemilik asal tersebut dan tak diketahui di mana dia berada dan tak pasti namanya. Mohon penjelasan, terima kasih.

Jawapan Ringkas

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Berdasarkan situasi di atas, pertamanya kami menasihatkan bahawa seseorang itu wajib bertaubat daripada segala dosa maksiat tidak kira dosa besar mahupun dosa kecil. Seterusnya, proses bertaubat perlu mencukupi syarat-syaratnya agar taubat tersebut diterima oleh Allah kerana kesalahan yang melibatkan hak Allah tidak sama dengan kesalahan yang melibatkan hak sesama manusia.

Selain itu, wajib memaklumkan kesalahan yang dilakukan kepada pemilik asal di samping menzahirkan kekesalan di atas kesalahan yang dilakukan. Sekiranya malu berhadapan, boleh memaklumkan melalui saluran lain seperti menggunakan orang tengah ataupun melalui maya seperti FB, Whatsapp dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, sekiranya pemilik asal tidak dapat diketahui dan dikesan keberadaannya, maka boleh disalurkan duit tersebut kepada fakir miskin namun yang lebih utama adalah menyalurkan kepada perkara-perkara yang melibatkan keperluan umum umat Islam seperti pembinaan masjid, jambatan, sekolah dan lain-lain agar manfaatnya boleh dirasai lebih ramai orang.

Huraian Jawapan

Kami mulakan perbahasan kami dengan firman Allah SWT;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu…”

Surah al-Baqarah (172)

Ayat tersebut merupakan suruhan Allah SWT kepada hambanya untuk mencari rezeki daripada sumber yang terbaik lagi halal. Tuntutan supaya berwaspada dan berhati-hati dalam mencari rezeki adalah amat penting kerana ia adalah zat yang akan bersatu menjadi darah daging manusia itu.

Seterusnya, perbuatan mencuri merupakan perbuatan maksiat yang dikategorikan sebagai dosa besar dalam agama Islam. Hukuman bagi pelakunya tidak sekadar dijanjikan di akhirat, bahkan diperuntukkan juga di dunia kerana mencuri merupakan perbuatan yang zalim. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran,

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Lelaki dan perempuan yang mencuri, potonglah kedua-dua tangannya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Surah al-Maidah (38)

Dalam sebuah hadis Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda,  

أَيُّها النّاسُ، إنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لا يَقْبَلُ إلَّا طَيِّبًا، وإنَّ اللَّهَ أمَرَ المُؤْمِنِينَ بما أمَرَ به المُرْسَلِينَ، فقالَ: {يا أيُّها الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّباتِ واعْمَلُوا صالِحًا، إنِّي بما تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ}[المؤمنون:٥١] وقالَ: {يا أيُّها الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّباتِ ما رَزَقْناكُمْ}[البقرة:١٧٢]، ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أشْعَثَ أغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّماءِ، يا رَبِّ، يا رَبِّ، ومَطْعَمُهُ حَرامٌ، ومَشْرَبُهُ حَرامٌ، ومَلْبَسُهُ حَرامٌ، وغُذِيَ بالحَرامِ، فأنّى يُسْتَجابُ لذلكَ؟

Maksudnya: Wahai manusia, Sesungguhnya Allah itu baik, tidak menerima kecuali yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan orang beriman sebagaimana dia memerintahkan para rasul-Nya dengan firman-Nya:  “Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” Dan Dia berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.” Kemudian Baginda menyebutkan ada seseorang yang bermusafir perjalanan jauh di mana keadaan kusut dan berdebu. Dia mengangkatkan kedua tangannya ke langit seraya berkata: Ya Tuhanku, Ya Tuhanku, padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan keperluannya dipenuhi dari sesuatu yang haram, maka bagaimana doanya akan dikabulkan?

Riwayat Muslim (1015)

Amanat dan pesanan yang disampaikan baginda memberi isyarat kepada kaum Muslimin agar sentiasa mencari sumber yang halal di samping memberi ancaman bahawa hamba yang sumber rezekinya datang daripada sumber yang haram, kelak doanya tidak akan dimakbulkan oleh Allah selagimana tidak bertaubat.

Sekiranya hamba tersebut sudah benar-benar bertaubat, Allah SWT dengan izin dan sifat rahmat-Nya akan menerima taubat dan doanya kerana taubat menghapuskan dosa yang lampau.

Cara Bertaubat

Imam al-Nawawi Rhm. (wafat 676H) menyebut dalam kitabnya: “Para ulama berkata, bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. Jika maksiat (dosa) itu antara hamba dengan Allah SWT - yang tidak ada sangkut pautnya dengan hak manusia - maka syaratnya ada tiga:

  • Menjauhi dan meninggalkan maksiat.
  • Menyesal kerana telah melakukan maksiat tersebut.
  • Berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya.

Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubatnya tidak sah.

Namun, sekiranya maksiat itu berkaitan dengan hak manusia yang lain, maka syaratnya ada empat. Iaitu ketiga-tiga syarat di atas (dan ditambah satu syarat lagi, iaitu):

  • Hendaklah dia meminta dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya. Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya (kepada orang yang diambil hartanya). Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya. Jika ia berbentuk ghibah, maka harus minta dihalalkan.

(Lihat: Riyadh al-Salihin, hlm. 41-42)

Secara asalnya, wajib memulangkan semula duit yang dicuri kepada pemilik asalnya. Sekiranya duit tersebut terus diberikan kepada fakir miskin tanpa dimaklumkan kepada pemilik asal berniat menebus dosa lampau, maka kami mengatakan proses taubat masih belum terlaksana secara sempurna kerana tidak mendapat keizinan daripada pemilik asal.

Tambahan pula, seseorang tidak dibenarkan mendermakan harta milik orang lain tanpa izin pemilik asal. Lantaran itu, sedekah tersebut bertukar menjadi sedekah biasa sedangkan beban dosa yang dipikul masih tidak terlepas.

Walaupun begitu, sekiranya pemilik asal tidak diketahui nama dan kedudukannya, para ulama memberikan beberapa penyelesaian. Pandangan ini disebutkan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah tatkala beliau membawakan fatwa Imam al-Ghazali Rhm. dalam kitab al-Majmu` Syarh al-Muhazzab (9/351):

إذَا كَانَ مَعَهُ مَالٌ حَرَامٌ وَأَرَادَ التَّوْبَةَ وَالْبَرَاءَةَ مِنْهُ فَإِنْ كَانَ لَهُ مَالِكٌ مُعَيَّنٌ وَجَبَ صَرْفُهُ إلَيْهِ أَوْ إلَى وَكِيلِهِ فَإِنْ كَانَ مَيِّتًا وَجَبَ دَفْعُهُ إلَى وَارِثِهِ وَإِنْ كَانَ لِمَالِكٍ لَا يَعْرِفُهُ وَيَئِسَ مِنْ مَعْرِفَتِهِ فَيَنْبَغِي أَنْ يَصْرِفَهُ فِي مَصَالِحِ الْمُسْلِمِينَ الْعَامَّةِ كَالْقَنَاطِرِ وَالرُّبُطِ وَالْمَسَاجِدِ وَمَصَالِحِ طَرِيقِ مَكَّةَ وَنَحْوِ ذَلِكَ مِمَّا يَشْتَرِكُ الْمُسْلِمُونَ فِيهِ

Maksudnya: Sekiranya seseorang memiliki suatu harta haram dan dia ingin bertaubat dan melepaskan diri daripada harta haram itu, maka jika harta itu mempunyai pemilik yang tertentu, hendaklah dipulangkan kepadanya atau kepada wakilnya. Jika dia sudah mati, wajib diserahkan kepada warisnya. Jika tidak diketahui siapa warisnya dan sudah berputus asa daripada mencarinya, maka wajib menyalurkan harta tersebut untuk keperluan umat Islam yang bersifat umum, seperti jambatan, ribat-ribat (kandang kuda, tempat pengajian, atau tempat golongan Sufi berkumpul), masjid-masjid, dan keperluan jalan raya Makkah, dan seumpamanya daripada segi boleh dikongsi bersama orang Islam…

Berdasarkan penerangan di atas, kami dapat menyimpulkan beberapa perkara:

Pertama: Wajib bertaubat daripada segala dosa maksiat tidak kira dosa besar mahupun dosa kecil.

Kedua: Proses bertaubat perlu mencukupi syarat-syaratnya agar taubat tersebut diterima oleh Allah kerana kesalahan yang melibatkan hak Allah tidak sama dengan kesalahan yang melibatkan hak sesama manusia.

Ketiga: Wajib memaklumkan kesalahan yang dilakukan kepada pemilik asal di samping menzahirkan kekesalan di atas kesalahan yang dilakukan. Sekiranya malu berhadapan, boleh memaklumkan melalui saluran lain seperti menggunakan orang tengah ataupun melalui maya seperti FB, Whatsapp dan lain-lain.

Keempat: Sekiranya pemilik asal tidak dapat diketahui dan dikesan keberadaannya, maka boleh disalurkan duit tersebut kepada fakir miskin namun yang lebih utama adalah menyalurkan kepada perkara yang melibatkan keperluan umum umat Islam agar manfaatnya boleh dirasai ramai orang.

Semoga Allah menerima taubat hambanya yang tulus bertaubat dan mudahkan urusan kita semua di dunia dan akhirat. Wallahu a’lam.