Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IF539

SOALAN

Assalamualaikum. Boleh saya dapatkan penjelasan mengenai menjaga kebajikan anjing. Adakah ia boleh dianggap sebagai berbuat baik kepada binatang?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Menjaga kebajikan anjing-anjing yang jinak dan berbuat baik kepadanya seperti memberi makan dan minum, merawatnya jika ia tercedera dan sebagainya adalah satu perbuatan baik yang digalakkan di dalam Islam serta mendapat ganjaran di sisi Allah SWT. Namun begitu, tidak diharuskan bagi seorang muslim menjaganya dengan menjadikannya sebagai haiwan peliharaan, jika tiada sebarang keperluan seperti untuk menjaga rumah, menjaga tanaman, berburu dan sebagainya.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Islam mengajarkan umatnya untuk berbuat baik kepada semua makhluk Allah SWT termasuklah juga kepada haiwan. Ini sepertimana dalam firman Allah SWT dalam al-Quran:

وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا طَائِرٍ يَطِيرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلَّا أُمَمٌ أَمْثَالُكُم ۚ مَّا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِن شَيْءٍ ۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ

Maksudnya: Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).

(Surah al-An’am: 38)

Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, maksud daripada ‘umat-umat seperti kamu’ di dalam ayat di atas ialah makhluk-makhluk yang dicipta seperti kamu juga. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 3:253)

Begitu juga, ia juga dapat dilihat dalam hadith yang diriwayatkan oleh, apabila Rasulullah SAW menyuruh supaya memperelokkan sembelihan sebagai satu ihsan kepada binatang. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ، فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan ihsan ke atas semua perkara. Apabila kamu membunuh, maka bunuhlah dengan baik. Jika sekiranya kamu menyembilah, maka perelokkanlah sembelihan tersebut. Tajamkanlah alat sembelihan dan rehatkanlah haiwan sembelihan tersebut.

Riwayat Muslim (1955)

Berdasarkan keumuman dalil yang disebutkan di dalam ayat al-Quran dan hadith di atas, maka ia secara jelasnya turut merangkumi haiwan-haiwan seperti anjing. Hal ini sepertimana disebutkan satu hadith di dalam sahih al-Bukhari, Bab Kelebihan Memberi Minum, berkaitan seorang lelaki yang memberi minum kepada anjing yang kehausan dengan mengambil air dari dalam perigi menggunakan kasutnya. Lalu anjing itu bersyukur dan lelaki itu diberikan keampunan oleh Allah SWT. Maka para sahabat bertanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ وَإِنَّ لَنَا فِي الْبَهَائِمِ أَجْرًا

Maksudnya: Wahai Rasulullah SAW, adakah bagi kami atas perbuatan terhadap binatang juga ada pahala?

Rasulullah SAW bersabda:

نَعَمْ فِي كُلِّ ذَاتِ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ

Maksudnya: Benar, bagi setiap hati yang basah (bersikap rahmah) ada pahala.

Riwayat al-Bukhari (2363)

Oleh itu, berbuat baik dan menjaga kebajikan kepada semua haiwan termasuklah juga anjing, dikira sebagai berbuat baik kepada binatang dan mendapat pahala di sisi Allah SWT.

Walau bagaimanapun, antara menjaga kebajikan anjing dan memelihara anjing terdapat perbezaan yang nyata. Jika berbuat baik kepada anjing seperti memberi makan dan minum kepadanya merupakan satu perbuatan yang mendapat pahala, berbeza pula dengan hukum memelihara anjing.

Pada asalnya, di sisi mazhab al-Syafie, hukum memelihara anjing di rumah adalah tidak digalakkan, kecuali jika terdapat keperluan (hajat) dan maslahah. Ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

مَن اقْتَنَى كَلبًا - إلاَّ كَلبَ صَيْدٍ أوْ مَاشِيَةٍ - فَإنَّهُ يَنقُصُ مِن أَجْرِهِ كُلَّ يَومٍ قِيرَاطَانِ

Maksudnya: Barangsiapa yang memelihara anjing, kecuali anjing untuk berburu atau mengembala, maka akan dikurangkan daripada pahala hariannya sebanyak satu qirath.

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Sabda Rasulullah SAW lagi:

إِنَّ الْمَلائِكَةَ لا تَدْخُلُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلا صُورَةٌ

Maksudnya: Sesungguhnya malaikat tidak akan memasuki rumah yang ada anjing dan patung.

Riwayat al-Bukhari (5958)

Berkaitan hal ini, Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam kitab al-Minhaj Syarh Sahih al-Muslim bahawa:

هَلْ يَجُوز اِقْتِنَاء الْكِلَاب لِحِفْظِ الدُّور وَالدُّرُوب وَنَحْوهَا ؟ فِيهِ وَجْهَانِ : أَحَدهمَا : لا يَجُوز ، لِظَوَاهِر الأَحَادِيث ، فَإِنَّهَا مُصَرِّحَة بِالنَّهْيِ إِلا لِزَرْعٍ أَوْ صَيْد أَوْ مَاشِيَة , وَأَصَحّهمَا : يَجُوز ، قِيَاسًا عَلَى الثَّلاثَة ، عَمَلا بِالْعِلَّةِ الْمَفْهُومَة مِنْ الأَحَادِيث وَهِيَ الْحَاجَة

Maksudnya: (Permasalahan) Adakah diharuskan untuk memelihara anjing bagi menjaga rumah, jalan dan yang seumpamanya? Padanya terdapat dua pandangan. Pertama, tidak diharuskan berdasarkan kepada zahir hadith, bahawa ia secara jelas menyatakan larangan kecuali bagi anjing untuk menjaga tanaman, berburu dan mengembala. Pandangan yang asoh (lebih sahih), dibolehkan dengan diqiaskan kepada ketiga-tiganya dengan menggunakan ‘illah yang difahami daripada hadith iaitu keperluan (hajat). (Rujuk Syarh Sahih Muslim Li al-Nawawi, 10:340)

Oleh itu, digalakkan untuk berbuat baik dan menjaga kebajikan kepada anjing-anjing yang jinak dan tidak membahayakan seperti memberi makan dan minum, memberi rawatan jika ia cedera dan sebagainya, namun tidak dibolehkan untuk menjadikannya sebagai haiwan peliharaan.

WaAllahu a’lam.