Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-545: HUKUM MEMAKAI BINDI DAN SARI DI DALAM ISLAM

if545

Assalamualaikum saya ada pertanyaan mengenai apakah hukum bagi seorang perempuan Muslim yg memakai ‘bindi’ di dahi (berserta sari) ketika musim perayan deepavali? Saya harap Dr dapat jelaskan dgn terperinci isu ini.

Ringkasan Jawapan

Berbalik kepada persoalan yang diajukan serta perbahasan yang diberikan dapat disimpulan bahawa hukum memakai Bindi di dahi adalah diharamkan kerana ia merupakan simbol atau identiti yang digunakan di dalam agama Hindu.

Persoalan memakai sari, Islam tidak melarang umatnya untuk memakai pakaian tradisional bangsa lain selagi mana pakaian tersebut bukan pakaian ritual agama dan pakaian rasminya.

Namun etika pemakaian di dalam Islam wajib dipatuhi seperti menutup aurat, tidak Nampak bentuk tubuh badan serta tidak mendatangkan fitnah. Selain itu, Islam juga melarang umatnya tidak berlebih-lebihan dalam perhiasan dan juga pemakaian serta boleh menimbulkan perasaan sombong dan angkuh di dalam diri.

Huraian Jawapan

Bindi Dan Sari

Bindi merupakan perhiasan yang sangat penting bagi penganut agama Hindu, iaitu dengan meletakkan tanda pada dahi di antara kedua bulu kening dan ia juga disebut sebagai Tika, Pottu, Sindoor, Tilak, Tilakam dan Kumkum dengan saiz kecil atau besar yang berbentuk bulat. Bindi dihiasi pada dahi yang diambil daripada perkataan Sanskrit iaitu “Bindu” membawa maksud sebagai mistik mata ketiga bagi seseorang.

Mitos dan kepentingan Bindi apabila diwarnakan dengan warna merah yang digunakan secara tradisional disebut sebagai Sindura atau Sindoor yang membawa maksud merah dan mewakili Shakti (kekuatan). Ia juga membawa maksud sebagai simbol cinta. Begitu juga sebagai pertanda yang baik “Sindoor” diletakkan di kuil atau ketika hari perayaan dicampurkan dengan kunyit (berwarna kuning) melambangkan kecerdikan terutamanya ketika berada dikuil-kuil yang dikhususkan untuk Shakti, Lakshmi dan Vishnu.[1]

Sari menurut kamus dewan edisi keempat bermaksud “sejenis pakaian tradisional wanita India; bersari memakai sari: wanita India yg ~ biru itu ialah rakan sekuliah saya dahulu”. Perkataan sari juga di ambil di dalam bahasa Sanskrit memberi maksud sehelai kain. Ia dipakai oleh wanita dan sebahagian golongan lelaki India yang diperbuat daripada sutera, kapas atau benang linen. Sari merupakan simbol pakaian kebangsaan dan tradisional masyarakat India yang digunakan sejak zaman berzaman. Sari disebut di dalam kita Hindu lama iaitu Rig Veda 3000 SM sebagai pakaian ajaib yang tidak mempunyai jahitan. Ia dipakai bersesuaian dengan cuaca panas dikalangan masyarakat Hindu dan Muslim sebagai pakaian tradisional di negara-negara Asia selatan seperti Pakistan, Bagladesh dan Nepal.[2]

Etika Pemakaian dan Perhiasan Di Dalam Islam

Keistimewaan masyarakat di Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama melahirkan adat dan budaya yang pelbagai. Sikap toleransi sesama kaum memainkan peranan yang penting bagi menjaga keamanan dan kesejahteraan negara. Islam sebagai agama rasmi di Malaysia sangat menekankan keharmonian dalam memperkasakan hubungan talian silaturrahim sesama masyarakat serta menghormati di antara satu sama lain yang sudah lama terpelihara. Ini seperti yang disebut di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

(Surah al-Hujurat, 13)

Namun, Islam sangat menitik berat umatnya agar menjaga batasan syariat supaya tidak melakukan perkara yang melangkaui Batasan agama seperti melakukan perbuatan syirik terhadap Allah SWT serta melakukan perbuatan yang boleh menjurus kepada lembah kerosakan.

Sebagai umat Islam menjaga aqidah merupakan perkara yang penting, oleh itu menjauhkan diri daripada segala bentuk ritual ibadah agama lain merupakan perkara yang wajib bagi umat Islam.  Firman Allah SWT:

لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ

Maksudnya: Bagi kami amal (ibadat) kami dan bagi kamu amal (ibadat) kamu.” Yang bermakna kami berlepas diri daripada (ibadat) kamu.

(Surah al- Syura, 15)

Dalam etika pemakaian dan perhiasan yang digunakan di dalam agama lain, perkara yang perlu diteliti oleh umat Islam berkaitan persoalan adakah ia merupakan kegunaan bagi syiar atau simbol dalam agama atau sekadar adat dan budayanya sahaja. Hal ini kerana Baginda Nabi SAW melarang menyerupai golongan kafir di dalam hal syiar atau identiti agama mereka. Hadis daripada Ibnu Umar R.Anhuma bahawa Baginda Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ ‏

Maksudnya: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dari kalangan mereka

Riwayat Abu Daud (4031)

Imam al-San’ani di dalam di dalam syarahnya menyatakan:

وَالْحَدِيثُ دَالٌّ عَلَى أَنَّ مَنْ تَشَبَّهَ بِالْفُسَّاقِ كَانَ مِنْهُمْ أَوْ بِالْكُفَّارِ أَوْ بِالْمُبْتَدِعَةِ فِي أَيِّ شَيْءٍ مِمَّا يَخْتَصُّونَ بِهِ مِنْ مَلْبُوسٍ أَوْ مَرْكُوبٍ أَوْ هَيْئَةٍ

Maksudnya: Dan Hadis ini menunjukkan ke atas mereka yang menyerupai golongan fasiq, kafir atau pembuat bidaah pada setiap sesuatu yang dikhususkan dengan mereka seperti pakaian, tunggangan atau perilaku mereka maka dia adalah termasuk dari kalangan mereka

(Lihat Subul al-Salam, 2/646)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa seseorang yang memakai pakaian khas paderi Kristian, dia tidak kafir kecuali jika disertai dengan niat (mengikuti iktikad mereka). Hal ini seperti yang dinukilkan Imam al-Nawawi pandangan ashab al-Syafi’eyyah di dalam kitabnya:

وَاخْتَلَفُوا فِيمَنْ وَضَعَ قَلَنْسُوَةَ الْمَجُوسِ عَلَى رَأْسِهِ، وَالصَّحِيحُ أَنَّهُ يَكْفُرُ… قُلْتُ:الصَّوَابُ أَنَّهُ لَا يَكْفُرُ فِي مَسْأَلَةِ التَّمَنِّي وَمَا بَعْدَهَا إِذَا لَمْ تَكُنْ نِيَّةً

Maksudnya: Dan berbeza pandangan berkaitan masalah bagi sesiapa yang memakai Qalansuwah golongan Majusi di atas kepalanya, dan menurut pandangan yang sahih sesungguhnya melakukan perbuatan yang kufur… Aku berpendapat: Secara tepatnya, sesungguhnya seseorang itu tidak kafir pada masalah apa yang diharap (mengharap sesuatu yang haram menjadi halal) dan selain daripada itu, jika tidak disertakan dengan niat

(Lihat Raudhah al-Talibin, 10/69)

Namun, dalam isu pemakaian tradisional yang tidak mempunyai unsur keagamaan seperti pakaian yang bercirikan budaya dan adat setempat maka ia adalah harus dengan mengikut etika pemakaian di dalam Islam seperti menutup aurat dan tidak mengundang fitnah. Ini kerana Baginda SAW pernah memakai jubah daripada Rom seperti yang diriwayatkan oleh Mughirah bin Syu’bah R.A bahawa bapanya katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم لَبِسَ جُبَّةً رُومِيَّةً ضَيِّقَةَ الْكُمَّيْنِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW pernah memakai jubah dari Rom yang kedua tangan bajunya sempit

Riwayat al-Tirmizi (1768)

Dalam mempraktikkan nilai Islam berlandaskan syariat, pihak berautoriti memainkan peranannya dalam menetapkan garis panduan untuk dijadikan batasan kepada masyarakat umum supaya tidak melanggar syariat yang ditetapkan oleh agama Islam. Oleh itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan beberapa perkara. Antaranya:

Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak: “Bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau Keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam. Contohnya:

  • Menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya; Menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama;
  • Meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh;
  • Memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam;
  • Tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan yang diajukan serta perbahasan yang diberikan dapat disimpulan bahawa hukum memakai Bindi di dahi adalah diharamkan kerana ia merupakan simbol atau identiti yang digunakan di dalam agama Hindu.

Persoalan memakai sari, Islam tidak melarang umatnya untuk memakai pakaian tradisional bangsa lain selagi mana pakaian tersebut bukan pakaian ritual agama dan pakaian rasminya. Ini bertepatan dengan kaedah:

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Maksudnya: Asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan, sehingga terdapat dalil yang menunjukkan pengharamannya

Namun etika pemakaian di dalam Islam wajib dipatuhi seperti menutup aurat, tidak Nampak bentuk tubuh badan serta tidak mendatangkan fitnah. Selain itu, Islam juga melarang umatnya tidak berlebih-lebihan dalam perhiasan dan juga pemakaian serta boleh menimbulkan perasaan sombong dan angkuh di dalam diri. Hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

مَنْ لَبِسَ ثَوْبَ شُهْرَةٍ أَلْبَسَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثَوْبَ مَذَلَّةٍ

Maksudnya: Siapa yang memakai pakaian syuhrah di dunia maka Allah memakaikan kepadanya pakaian kehinaan pada hari kiamat.

Riwayat Ibn Majah (3606)

Wallahua’lam

 

[1] https://www.learnreligions.com/bindi-the-great-indian-forehead-art-1770089

[2] https://www.nationalgeographic.com/travel/photography/the-story-of-the-sari-in-india/