Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IF548

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, bolehkah kita menggunakan khuf di negara seperti Malaysia atau adakah disyaratkan untuk memakainya hanya ketika berada di negara yang beriklim sejuk sahaja?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Kesimpulannya, tidak disyaratkan untuk beramal dengan menyapu khuf bagi menggantikan membasuh kaki ketika wuduk disebabkan oleh kesukaran cuaca, musim atau di negara yang sejuk. Bahkan, ia boleh digunakan apa jua keadaan sama ada bermukim atau bermusafir, dan di mana sahaja, termasuklah di negara kita Malaysia dengan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh ulama’.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Perbuatan menyapu khuf adalah sunnah Rasulullah SAW dan hukumnya adalah harus di sisi jumhur ulama’. Ia adalah rukhsah yang diberikan kepada umat Baginda SAW bagi menggantikan membasuh kaki dalam berwuduk. Kami telah memperincikan tentang hukum dan cara pemakaian khuf di dalam artikel yang lain, sila rujuk Irsyad al-Fatwa Siri ke-222 : Hukum Memakai Kasut Dengan Niat Memakai Khuf dan Irsyad al-Fatwa 239 : Tempoh Bermula Sapu Khuf.

Dalam hal ini, tiada pandangan ulama’ daripada mazhab-mazhab yang utama yang mengatakan atau meletakkan syarat bahawa khuf hendaklah dipakai di negara yang beriklim sejuk sahaja. Selain itu, pandangan mazhab al-Syafie juga tidak disyaratkan untuk bermusafir bagi menyapu khuf, bahkan harus juga menyapunya walaupun dalam keadaan bermukim. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab:

مَذْهَبُنَا وَمَذْهَبُ الْعُلَمَاءِ كَافَّةً جَوَازُ الْمَسْحِ عَلَى الْخُفَّيْنِ فِي الْحَضَرِ وَالسَّفَرِ

Maksudnya: Mazhab kami (mazhab al-Syafie) dan mazhab ulama’ seluruhnya berpandangan bahawa harus untuk menyapu di atas khuf dalam keadaan bermukim dan bermusafir. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1:476)

Walau bagaimanapun, perbezaan antara kedua-duanya (mukim dan musafir) adalah pada tempoh memakai khuf iaitu selama sehari semalam (24 jam) bagi yang bermukim dan tiga hari tiga malam bagi yang bermusafir. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan Safwan bin Assal RA menyebutkan:

أَمَرَنَا أَنْ نَمْسَحَ عَلَى الْخُفَّيْنِ إِذَا نَحْنُ أَدْخَلْنَاهُمَا عَلَى طُهْرٍ ثَلاَثًا إِذَا سَافَرْنَا ، وَيَوْمًا وَلَيْلَةً إِذَا أَقَمْنَا ، وَلاَ نَخْلَعَهُمَا مِنْ غَائِطٍ وَلاَ بَوْلٍ وَلاَ نَوْمٍ ، وَلاَ نَخْلَعَهُمَا إِلاَّ مِنْ جَنَابَةٍ

Maksudnya: (Nabi SAW) telah memerintahkan kami supaya menyapu di atas kedua khuf kami apabila kami memakainya dalam keadaan suci (daripada hadas), selama tiga hari apabila kami dalam musafir dan sehari semalam jika kami dalam bermukim. Kami tidak perlu mencabutnya dengan sebab buang air besar atau kencing atau tidur. Kami hanya perlu mencabutnya apabila berjunub.

Riwayat Ahmad (18093)

Berdasarkan keumuman hadith ini, jelaslah harus hukumnya untuk memakai khuf dengan syarat-syaratnya samaada dalam keadan bermukim atau bermusafir. Ini kerana tiada dalil syarak lain yang mengkhususkannya atau ijtihad dan fatwa daripada mana-mana imam mujtahid yang mengatakan ia diharuskan hanya pada ketika musim sejuk atau di negara yang beriklim sejuk. Bahkan ia harus pada bila-bila masa termasuk musim panas dan lain-lain, serta dimana sahaja termasuklah di negara kita, Malaysia, maka hukumnya kekal pada keharusannya.

Kesimpulannya, tidak disyaratkan untuk beramal dengan menyapu khuf bagi menggantikan membasuh kaki ketika wuduk disebabkan oleh kesukaran cuaca, musim atau di negara yang sejuk. Bahkan, ia boleh digunakan apa jua keadaan dan di mana sahaja, termasuklah di negara kita Malaysia dengan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh ulama’.

WaAllah a’lam.