Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

if552

 

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, bolehkah stokin kain digunakan sebagai khuf kerana saya ada melihat pelajar-pelajar luar negara hanya menyapu padanya sahaja? Adakah ia dibolehkan atau perlu ditegur?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Kesimpulannya, jika stokin yang dimaksudkan ialah stokin kain yang biasa digunakan oleh masyarakat kita di Malaysia hari ini, maka ia tidak memenuhi syarat al-jawrab (sarung kaki) di sisi jumhur ulama’ yang mensyaratkan beberapa syarat, antaranya mestilah kuat, diperbuat daripada kulit, boleh digunakan untuk berjalan (tidak rosak), tidak menyerap air dan sebagainya seperti yang disebut di dalam kitab-kitab turath.

Oleh itu, pandangan yang sahih bagi mazhab al-Syafie ialah tidak dibolehkan dan tidak sah untuk menyapu di atas stokin yang tidak cukup syarat tersebut, justeru hendaklah menanggalkan stokin dan membasuh kaki seperti biasa ketika wuduk.

Namun begitu, terdapat pandangan yang berbeza di dalam perkara ini khususnya mazhab Hanbali dan beberapa ulama’ kontemporari. Mereka mengharuskan menyapu sarung kaki atau stokin secara mutlak sama ada ia nipis, tidak kuat, tidak menghalang air dan sebagainya.

Oleh sebab ia merupakan perkara khilaf dalam kalangan ulama’, justeru jika dilihat ada sesetengah orang melakukannya, maka tidak perlu untuk menegur atau menghalangnya daripada bertaqlid kepada pendapat yang mengharuskannya. Hal ini berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan:

لا ينكر المختلف فيه إنما ينكر المجمع عليه

Maksudnya: Tidak perlu diingkar atau ditegur perkara yang menjadi khilaf, hanya yang perlu diingkar dan ditegur ialah perkara yang telah menjadi ijma’ ulama’ (tentang keharamannya).

Di samping itu, jika kita sebagai masyarakat Malaysia ingin beramal dengan menyapu khuf atau stokin ini, hendaklah kita meraikan uruf dan pengamalan yang ada di Malaysia yang berpegang kepada mazhab al-Syafie dan tidak melakukannya sewenang-wenangnya serta bagi mengelakkan fitnah di mata awam. Oleh itu, tidak sepatutnya seseorang itu bermudah-mudah mengambil pendapat yang lebih mudah (tatabu’ al-rukhas) tanpa keperluan dan hajat yang dibenarkan oleh syarak.

WaAllahu a’lam.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Khuf ialah kasut kulit yang menutupi kaki hingga buku lali, iaitu tulang sendi yang timbul di antara kaki dengan betis. Perbuatan memakai khuf ini ialah satu sunnah Rasulullah SAW dan rukhsah kepada umat Baginda SAW bagi menggantikan membasuh kaki dalam berwuduk. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh al-Mughirah Ibn Syu’bah RA, beliau berkata:

كُنْتُ مَعَ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َفِى سَفَرٍ، فَأَهْوَيْتُ لأَنْزِعَ خُفَّيْهِ فَقَالَ: دَعْهُمَا، فَإِنِّى أَدْخَلْتُهُمَا طَاهِرَتَيْنِ. فَمَسَحَ عَلَيْهِمَا

Maksudnya: Aku pernah bermusafir bersama-sama Nabi SAW. Ketika itu aku tunduk untuk menanggalkan kedua-dua khufnya, lalu Baginda SAW bersabda: Biarkan kedua-duanya, sesungguhnya aku memakainya dalam keadaan suci. Lalu Baginda SAW menyapu bahagian atas kedua-duanya.

Riwayat al-Bukhari (203) dan Muslim (274)

Imam Badruddin al-Aini di dalam ‘Umdah al-Qari berkata, hadith ini menunjukkan tentang keharusan memakai khuf dan penjelasan mengenai pensyari’atannya. (Rujuk ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, 3:102)

Kami telah memperincikan tentang hukum dan cara pemakaian khuf dalam artikel yang lain, sila rujuk Irsyad al-Fatwa Siri ke-222 : Hukum Memakai Kasut Dengan Niat Memakai Khuf dan Irsyad al-Fatwa 239 : Tempoh Bermula Sapu Khuf.

Manakala stokin pula di dalam Bahasa Arab disebut sebagai al-syarab (الشراب) atau al-jaurab (الجورب). Imam al-Zabidi di dalam kitabnya Taj al-Arus memberikan definisi al-jaurab seperti berikut:

الجورب: غشاءان للقدم من صوف يُتخذ للدفء

Maksudnya: Al-Jaurab ialah dua sarung penutup bagi kaki yang diperbuat daripada benang-benang kain yang dipakai untuk tujuan memanaskan. (Rujuk Taj al-‘Arus Min Jawahir al-Qomus, 2:156)

Oleh itu, perbezaan yang utama antara kedua-duanya (khuf dan stokin) ialah khuf biasanya diperbuat daripada kulit, manakala stokin diperbuat daripada selain daripada kulit, kebiasaan daripada benang-benang kain.

Bagi permasalahan ini, pendapat yang sahih mazhab al-Syafie ialah tidak dibolehkan dan tidak sah untuk menyapu di atas stokin jika tidak tahan lasak dan tidak boleh digunakan untuk berjalan. Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab berkata:

وَالصَّحِيحُ بَلْ الصَّوَابُ مَا ذَكَرَهُ الْقَاضِي أَبُو الطَّيِّبِ وَالْقَفَّالُ وَجَمَاعَاتٌ مِنْ الْمُحَقِّقِينَ أَنَّهُ إنْ أَمْكَنَ مُتَابَعَةُ الْمَشْيِ عَلَيْهِ جَازَ كَيْفَ كَانَ وَإِلَّا فَلَا

Maksudnya: Pendapat yang sahih bahkan yang benar ialah apa yang disebut oleh al-Qadhi Abu al-Tayyib, al-Qaffal dan beberapa kumpulan daripada muhaqqiqin bahawa jika sekiranya boleh digunakan untuk berjalan, maka ia diharuskan walaupun bagaimana keadaannya, jika tidak boleh digunakan untuk berjalan, maka tidak diharuskan. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1:499)

Namun begitu, para ulama’ berbeza pandangan berkaitan hukum menyapu di atas stokin yang dijadikan sebagai khuf. Jumhur ulama’ berpandangan bahawa ia tidak dibolehkan dan tidak sah untuk menyapu di atas khuf. Hal ini sepertimana yang disebutkan di dalam al-Mughni:

وَقَالَ أَبُو حَنِيفَةَ، وَمَالِكٌ، وَالْأَوْزَاعِيُّ، وَمُجَاهِدٌ، وَعَمْرُو بْنُ دِينَارٍ، وَالْحَسَنُ بْنُ مُسْلِمٍ، وَالشَّافِعِيُّ: لَا يَجُوزُ الْمَسْحُ عَلَيْهِمَا، إلَّا أَنْ يُنْعَلَا؛ لِأَنَّهُمَا لَا يُمْكِنُ مُتَابَعَةُ الْمَشْيِ فِيهِمَا، فَلَمْ يَجُزْ الْمَسْحُ عَلَيْهِمَا

Maksudnya: Abu Hanifah, Malik, al-Awza’ie, Mujahid, Amr Ibn Dinar, al-Hasan Ibn Muslim dan al-Syafie berpandangan bahawa, tidak boleh disapu ke atas kedua-duanya (al-jawrab) kecuali jika dipakai selipar kerana kedua-dua tidak boleh digunakan untuk berjalan. Oleh itu, tidak dibolehkan untuk menyapu ke atas kedua-duanya. (Rujuk al-Mughni Li Ibn al-Qudamah, 1:215)

Bagi ulama’ yang membenarkan menyapu di atas stokin seperti mazhab Hanbali, mereka bersandarkan kepada hadith daripada al-Mughirah Ibn Syu’bah RA, bahawa beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلى الله عَلَيه وآله وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ وَمَسَحَ عَلَى الْجَوْرَبَيْنِ وَالنَّعْلَيْنِ

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah SAW berwuduk dan menyapu di atas dua al-jaurab (sarung kaki) dan kasut Baginda SAW.

Riwayat al-Tirmidzi (99), Abu Daud (159)

Bagi pandangan mazhab al-Hanbali, diharuskan untuk menyapu al-jaurab (sarung kaki) yang digunakan sebagai khuf dengan bersandarkan hadith di atas. Imam al-Bahuti al-Hanbali di dalam kitabnya, Kasysyaf al-Qina’ berkata:

وَلِأَنَّهُ قَوْلُ مَنْ ذَكَرَ مِنْ الصَّحَابَةِ وَلَمْ يُعْرَفْ لَهُمْ مُخَالِفٌ مِنْ الصَّحَابَةِ وَالْجَوَارِبُ فِي مَعْنَى الْخُفِّ؛ لِأَنَّهُ سَاتِرٌ لِمَحَلِّ الْفَرْضِ، يُمْكِنُ مُتَابَعَةُ الْمَشْيِ فِيهِ أَشْبَهَ الْخُفَّ

Maksudnya: Ini kerana ia merupakan pandangan daripada para Sahabat yang disebut (sembilan sahabat yang diriwayatkan menyapu di atas al-jaurab) [1] dan tidak diketahui seorang pun yang mengingkarinya dalam kalangan para Sahabat sendiri. Maka, al-jaurab sama maknanya dengan khuf kerana ia menutup bahagian kaki yang wajib dibasuh dan boleh digunakan untuk berjalan (tidak koyak atau rosak), justeru ia menyerupai khuf. (Rujuk Kasysyaf al-Qina’ ‘an Matn al-Iqna’, 1:111)

Namun, hendaklah difahami bahawa maksud al-jaurab di sini berbeza dengan stokin yang biasa digunakan oleh masyarakat kita sekarang. Ini kerana sifat al-jaurab disebutkan di dalam teks di atas meletakkan syarat yang hampir serupa dengan khuf, seperti tahan lasak yang boleh digunakan untuk berjalan dan sebagainya. Jika diperhatikan sifat ini tidak ada pada stokin yang biasa digunakan kerana tidak boleh digunakan untuk berjalan serta mudah koyak dan rosak.

Manakala, Imam al-Nawawi dalam memberikan takwil bagi pandangan mazhab al-Syafie terhadap hadith tersebut berkata:

وَاحْتَجَّ أَصْحَابُنَا بِأَنَّهُ لَا يُمْكِنُ مُتَابَعَةُ الْمَشْيِ عَلَيْهِ فَلَمْ يَجُزْ كَالْخِرْقَةِ: وَالْجَوَابُ عَنْ حَدِيثِ الْمُغِيرَةِ مِنْ أَوْجُهٍ أَحَدُهَا أَنَّهُ ضَعِيفٌ ضَعَّفَهُ الْحُفَّاظُ وَقَدْ ضَعَّفَهُ الْبَيْهَقِيُّ وَنُقِلَ تَضْعِيفُهُ عَنْ سُفْيَانَ الثَّوْرِيِّ وَعَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ مَهْدِيٍّ وَأَحْمَدَ ابن حَنْبَلٍ وَعَلِيِّ بْنِ الْمَدِينِيِّ وَيَحْيَى بْنِ مَعِينٍ وَمُسْلِمِ بْنِ الْحَجَّاجِ وَهَؤُلَاءِ هُمْ أَعْلَامُ أَئِمَّةِ الْحَدِيثِ وَإِنْ كَانَ التِّرْمِذِيُّ قَالَ حَدِيثٌ حَسَنٌ فهوءلاء مقدمون عليه بل كل واحد من هوءلاء لَوْ انْفَرَدَ قُدِّمَ عَلَى التِّرْمِذِيِّ بِاتِّفَاقِ أَهْلِ الْمَعْرِفَةِ

Maksudnya: Para ulama’ mazhab kita (al-Syafie) berhujah bahawa sarung kaki yang tidak boleh digunakan untuk berjalan maka tidak dibolehkan, sama hukumnya seperti khuf yang koyak. Manakala jawapan kepada hadith al-Mughirah RA dijawab dengan beberapa sudut: Pertama, hadith tersebut dhaif dan didhaifkan oleh para huffaz, antaranya Imam al-Baihaqi, dinukilkan tentang pendhaifannya juga daripada Sufyan al-Tauri, Abd al-Rahman Ibn Mahdi, Ahmad Bin Hanbal, Ali Ibn al-Madini, Yahya Ibn Ma’in dan Muslim Ibn Hajjaj. Mereka semua itu tokoh ilmu Hadith walaupun Imam al-Tirmidzi mengatakan hadith tersebut hasan, namun begitu mereka lebih diutamakan, bahkan jika salah seorang daripada mereka berpandangan sedemikian maka diutamakan di atas Imam al-Tirmidzi di sisi ulama’. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1:500)

Manakala, bagi ulama al-Syafi’iyyah yang mengharuskan untuk menyapu khuf pula, mereka membenarkannya dengan beberapa syarat. Imam al-Nawawi di dalam Minhaj al-Tolibin berkata bahawa:

وشرطه أن يلبس بعد كمال طهر ساترا محل فرضه طاهرا يمكن تباع المشي فيه لتردد مسافر لحاجاته قيل: وحلالا ولا يجزىء منسوج لا يمنع ماء في الأصح

Maksudnya: Syaratnya (khuf atau sarung kaki) hendaklah dipakai selepas sempurnanya wuduk, hendaklah ia menutup semua tempat (kaki) yang wajib di basuh, tahan lasak dan boleh digunakan untuk berjalan dengan berulang-alik bagi seorang musafir bagi menunaikan keperluannya. Menurut pendapat yang lemah, hendaklah yang halal (bukan dicuri). Dan tidak sah jika sekiranya diperbuat daripada bahan yang tidak menghalang air menurut pendapat yang paling sahih. (Rujuk Minhaj al-Tolibin: 14)

Oleh itu dapat disimpulkan bahawa syarat sarung kaki yang boleh dijadikan sebagai khuf bagi mazhab al-Syafie ialah seperti berikut:

  • Ia dipakai dalam keadaan sempurna bersuci dan mengambil wuduk sehingga membasuh kaki.
  • Hendaklah menutup bahagian yang wajib dibasuh ketika wuduk, iaitu menutupi kaki sehingga ke atas buku lali.
  • Ia hendaklah diperbuat daripada bahan yang halal dan bersih daripada najis, serta bukan dicuri.
  • Ia hendaklah tahan lasak dan boleh digunakan untuk berjalan tanpa koyak atau rosak.
  • Ia hendaklah tidak menyerap air tersebut dan menghalangnya daripada terkena kulit kaki.

Adapun begitu, terdapat juga sebahagian pandangan mazhab dan beberapa ulama’ kontemporari lain yang mengharuskannya secara mutlak tanpa beberapa syarat-syarat yang disebutkan di atas.

Fatwa Dar al-Ifta’ Mesir

Shaykh Ali Jum’ah di dalam fatwanya di web Dar al-Ifta’ Mesir menyatakan pandangan tentang perkara ini dengan berkata:

يجوز عند جماهير العلماء المسح على الجورب -الشراب- إذا كان مجلدًا يمكن تتابع المشي عليه وكان قد لُبِسَ على طهارة، والأصل في جواز المسح حديث الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ رضي الله عنه: "أَنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وآله وسلم مَسَحَ عَلَى الْجَوْرَبَيْنِ وَالنَّعْلَيْنِ" رواه أحمد وأبو داود والترمذي وصححه. وقيَّد الجمهورُ الإطلاقَ الوارد في الحديث الشريف في الجورب بأحاديث المسح على الخُفِّ؛ فاشترطوا في الجورب شروط الخُفِّ. ولكن بعض العلماء -كبعض الحنابلة، وكالقاسمي وأحمد شاكر من المتأخرين- أخذوا بظاهر النص وأجازوا المسح على الجورب مطلقًا: رقيقًا وسميكًا، ساترًا ومخرقًا.

وعليه: فالمسح على الجورب الشفاف ممنوعٌ عند الجمهور، جائزٌ عند قليل من العلماء. ومما ذكر يعلم الجواب. والله سبحانه وتعالى أعلم.

Maksudnya: Harus hukumnya di sisi jumhur ulama’ perbuatan menyapu di atas sarung kaki (stokin) jika sekiranya diperbuat daripada kulit, tahan lasak untuk digunakan untuk berjalan dan dipakai ketika dalam keadaan suci. Dalil keharusan berdasarkan kepada hadith al-Mughirah Ibn Syu’bah yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmidzi, beliau (al-Tirmidzi) mengatakan hadith ini sahih. Jumhur ulama’ mengikat keumuman hadith itu dengan hadith yang sama diriwayatkan berkenaan khuf, maka mereka mensyaratkan pada stokin dengan syarat yang sama dengan khuf juga. Namun begitu sebahagian ulama’ seperti sebahagian ulama’ mazhab Hanbali, dan seperti al-Qasimi dan Ahmad Syakir daripada ulama’ mutaakhirin mengambil hadith tersebut secara literal dan mengharuskan perbuatan menyapu di atas stokin secara mutlak: sama ada ia lembut, nipis, menutupi atau koyak.

Oleh itu, berdasarkan perbahasan di atas, maka hukum menyapu stokin yang nipis adalah dilarang oleh jumhur ulama’, dan harus di sisi segelintir ulama’. Justeru daripada apa yang telah dibincangkan maka difahami jawapannya. Waallahu a’lam. [2]

Hal ini sama juga sepertimana yang diputuskan oleh Dar al-Ifta’ Mesir dalam fatwa yang lain dengan memberikan kenyataan berikut:

وبناءً على ذلك: فيجوز عند جماهير العلماء المسح على الجورب -الشَّراب- بشرط: أن يكون مجلدًا، يمكن تتابع المشي فيه، وأن يكون ساترًا للقدمين كاملتين؛ أي: يغطي الكعبين، وأن يكون طاهرًا في نفسه، وأن يكون قد لُبِسَ على طهارة.

ومن الفقهاء من ذهب إلى جواز المسح على الجورب مطلقًا حتى لو كان خفيفًا؛ كابن حزم الظاهري وابن تيمية، ومن القواعد المقررة أنه "لا إنكار في مختلفٍ فيه"، فمن كان في حاجةٍ ولا يجد إلا أن يمسح على الجورب (الشَّرَاب) الخفيف فلا حرج عليه ناويًا تقليد من أجاز من الفقهاء.

Maksudnya: Berdasarkan perbincangan di atas, maka harus hukumnya untuk menyapu di atas stokin di sisi jumhur ulama’ dengan beberapa syarat: iaitu hendaklah diperbuat daripada kulit, boleh digunakan untuk berjalan (tanpa koyak), hendaklah menutup kedua-dua kaki secara sempurna iaitu dengan menutup dua buku lali, hendaklah ia bersih (daripada najis), hendaklah dipakai dalam keadaan sempurna bersuci.

Namun sebahagian fuqaha’ berpandangan harus hukumnya secara mutlak walaupun jika stokin itu nipis, seperti pandangan Ibn Hazm dan Ibn Taimiyah. Kaedah fiqh ada menyebutkan bahawa ‘tidak boleh diingkar pada perkara yang ada khilaf’, justeru itu sesiapa yang berada dalam keadaan yang memerlukan untuk dia menyapu di atas stokin yang nipis, maka tiada masalah dengan dia berniat untuk bertaqlid kepada pandangan yang mengharuskannya. [3]

Fatwa Dar al-Ifta’ Jordan

Manakala, Dar al-Ifta’ Jordan mengeluarkan fatwa dalam hal ini dengan memutuskannya seperti berikut:

والخلاصة: أن الجوارب غير الشفافة التي يلبسها الناس اليوم يجوز المسح عليها في مذهب الحنابلة، وفي قول عند الشافعية يقابل "الأصح". والله أعلم

Maksudnya: Kesimpulannya: stokin yang tidak nipis sehingga menampakkan kaki, dari jenis yang biasa dipakai oleh orang ramai pada hari ini, harus untuk menyapu di atasnya di sisi mazhab Hanbali dan pada pandangan muqabil asoh (tidak muktamad) dalam mazhab al-Syafie. [4]

Pandangan Shaykh Yusuf al-Qardhawi

Shaykh Yusuf al-Qardhawi di dalam Fatawa Mu’asoroh-nya pula tidak mensyaratkan apa-apa untuk menyapu pada stokin kecuali satu syarat sahaja iaitu hendaklah ia dipakai selepas sempurna bersuci dan berwuduk. (Rujuk Fatawa Mu’asoroh, 1:178)

Kesimpulan

Kesimpulannya, jika stokin yang dimaksudkan ialah stokin kain yang biasa digunakan oleh masyarakat kita di Malaysia hari ini, maka ia tidak memenuhi syarat al-jawrab (sarung kaki) di sisi jumhur ulama’ yang mensyaratkan beberapa syarat, antaranya mestilah kuat, diperbuat daripada kulit, boleh digunakan untuk berjalan, tidak menyerap air dan sebagainya.

Oleh itu, pandangan yang sahih bagi mazhab al-Syafie ialah tidak dibolehkan dan tidak sah untuk menyapu di atas stokin yang tidak cukup syarat tersebut, justeru hendaklah menanggalkan stokin dan membasuh kaki seperti biasa ketika wuduk.

Namun begitu, terdapat pandangan yang berbeza di dalam perkara ini khususnya mazhab Hanbali dan beberapa ulama’ kontemporari. Mereka mengharuskan menyapu sarung kaki atau stokin secara mutlak sama ada ia nipis, tidak kuat, tidak menghalang air dan sebagainya, hanya dengan syarat memakainya dalam keadaan suci sahaja.

Oleh sebab ia merupakan perkara khilaf dalam kalangan ulama’, justeru jika dilihat ada sesetengah orang melakukannya, maka tidak perlu untuk menegur atau menghalangnya daripada bertaqlid kepada pendapat yang mengharuskannya tanpa syarat tersebut.

Fatwa Dar al-Ifta’ Libya

Hal ini sepertimana disebutkan di dalam fatwa Dar al-Ifta’ Libya bahawa:

فالمسح على الجورب من مسائل الخلاف، ومسائل الخلاف لا يجوز فيها الإنكار على المخالف، فمن أخذ بقول من يقول بالمسح صحت صلاته، ولا يجوز لمن يخالفه أن ينكر عليه، ويقول له صلاتك باطلة

Maksudnya: Perbahasan menyapu pada stokin ialah daripada perkara khilaf. Perkara khilaf tidak patut untuk diingkarkan atau ditegur kepada sesiapa yang berbeza dengan pandangannya. Barangsiapa yang berpegang kepada pandangan yang mengharuskannya, maka solatnya sah. Tidak patut bagi sesiapa yang berbeza pandangan dengannya untuk mengingkarinya dengan berkata, “Solat kamu batal (tidak sah)”. [5]

Pendirian ini berdasarkan kepada kaedah fiqh yang menyebutkan:

لا ينكر المختلف فيه إنما ينكر المجمع عليه

Maksudnya: Tidak perlu diingkar atau ditegur perkara yang menjadi khilaf, hanya yang perlu diingkar dan ditegur ialah perkara yang telah menjadi ijma’ ulama’ (tentang keharamannya).

Namun jika kita sebagai rakyat Malaysia ingin beramal dengan menyapu khuf atau stokin ini, hendaklah kita meraikan uruf dan pengamalan yang ada di Malaysia yang berpegang kepada mazhab al-Syafie dan tidak melakukannya sewenang-wenangnya, serta bagi mengelakkan fitnah di mata masyarakat awam. Oleh itu, lebih afdhal untuk dibasuh sahaja kaki kerana keperluan dan hajat terhadapnya di Malaysia adalah kurang berbanding di negara-negara lain. Hal ini sepertimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab bahawa:

قَالَ أَصْحَابُنَا مَسْحُ الْخُفَّيْنِ وَإِنْ كَانَ جَائِزًا فَغَسْلُ الرِّجْلِ أَفْضَلُ مِنْهُ بِشَرْطِ أَنْ لَا يَتْرُكَ المسح رغبة عن السنة ولا شكا فِي جَوَازِهِ

Maksudnya: Ulama’ dalam mazhab kita (al-Syafie) berkata bahawa walaupun perbuatan menyapu di atas khuf adalah diharuskan, namun begitu membasuh kedua-dua belah kaki adalah lebih afdhal, dengan syarat tidak meninggalkan perbuatan itu kerana tidak suka kepada sunnah Rasulullah SAW atau disebabkan syak tentang keharusannya.[6] (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1:476)

Namun jika betul-betul berhajat seperti sakit kaki, tidak mampu untuk membasuh kaki dengan sempurna, cuaca yang sangat sejuk dan lain-lain, maka diharuskan untuk kita melakukannya dengan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh para ulama.

WaAllahu a’lam.

Rujukan

[1]       Sembilan para Sahabat yang diriwayatkan menyapu pada al-jaurab iaitu Ali, Ibn Mas’ud, Ibn Umar, Anas, Ammar Ibn Yasir, Bilal, al-Baraa’, Abu Umamah dan Sahl Ibn Sa’ad.

[2]       Dar al-Ifta’ Mesir : https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=11078

[3] Dar al-Ifta’ Mesir : https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=15037&LangID=1&%D8%AD%D9%83%D9%85_%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%B3%D8%AD_%D8%B9%D9%84%D9%89_%D8%A7%D9%84%D8%AC%D9%88%D8%B1%D8%A8

[4]       Dar al-Ifta’ Jordan : http://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=1999#.YAeo1ugzZPa

[5]       Dar al-Ifta’ Libya : https://ifta.ly/%D8%A7%D9%84%D9%81%D8%AA%D8%A7%D9%88%D9%89/%D8%AD%D9%83%D9%85-%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%B3%D8%AD-%D8%B9%D9%84%D9%89-%D8%A7%D9%84%D8%AC%D9%88%D8%B1%D8%A8/