Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 HUKUM SUAMI TINGGAL DI RUMAH BEKAS ISTERI KERANA SAKIT

SOALAN

Saya bercerai dengan isteri pertama dan berkahwin dengan isteri kedua, setelah itu saya ditimpa sakit iaitu strok, isteri kedua saya tidak mampu untuk menjaga, kemudian anak-anak saya dari isteri pertama buat keputusan untuk menjaga saya di rumah mereka iaitu bersama satu rumah dengan bekas isteri. Apakah hukum saya berada di rumah bekas isteri dalam masa yang sama saya sedang sakit dan anak-anak hendak jaga saya.?

 

RINGKASAN JAWAPAN

Tidak harus bagi suami tinggal bersama -sama dengan bekas isterinya di dalam sebuah rumah atau masuk ke dalam rumah yang didiami bekas isterinya kerana dikhuatiri akan menjurus kepada fitnah dan maksiat. Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat mahram kepada salah seorang daripada mereka bersama bekas isteri berkenaan atau orang yang setaraf dengan mahram seperti isteri yang lain atau perempuan yang boleh dipercayai, maka suami diharuskan masuk rumah tersebut dan duduk tinggal di situ.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Dilarang bagi pasangan suami isteri yang sudah tamat iddahnya untuk berada dalam satu rumah kerana hukum bekas suami ketika ini samalah seperti lelaki ajnabi (orang asing) yang lain, iaitu Haram masuk ke dalam rumah dalam keadaan tidak ada mahram atau wanita yang dipercayai di dalamnya. Keadaan ini boleh menyebabkan terjebak kepada perbuatan khalwat. Dalam meneliti isu ini, kami bawakan sebuah kisah yang pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW. Hal ini seperti mana yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Amr R.anhuma:

 

أَنَّ نَفَرًا مِنْ بَنِي هَاشِمٍ دَخَلُوا عَلَى أَسْمَاءَ بِنْتِ عُمَيْسٍ فَدَخَلَ أَبُو بَكْرٍ الصِّدِّيقُ وَهِيَ تَحْتَهُ يَوْمَئِذٍ فَرَآهُمْ فَكَرِهَ ذَلِكَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَقَالَ لَمْ أَرَ إِلاَّ خَيْرًا ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَرَّأَهَا مِنْ ذَلِكَ ‏"‏ ‏.‏ ثُمَّ قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَى الْمِنْبَرِ فَقَالَ ‏"‏ لاَ يَدْخُلَنَّ رَجُلٌ بَعْدَ يَوْمِي هَذَا عَلَى مُغِيبَةٍ إِلاَّ وَمَعَهُ رَجُلٌ أَوِ اثْنَانِ

 

Maksudnya: “Suatu ketika beberapa lelaki Bani Hasyim masuk ke rumah Asma binti ‘Umais. Tidak lama kemudian Abu Bakar al-Siddiq juga memasuki rumah tersebut ketika itu Asma binti Umais telah menjadi isteri Abu Bakar. Di dalam rumah Asma, Abu Bakar melihat para lelaki Bani Hasyim tersebut, dan beliau tidak menyukai perkara itu. lalu beliau menceritakan kepada Rasulullah SAW, kemudian berkata: “Saya tidak melihat apa-apapun melainkan perkara yang baik sahaja!” Rasulullah SAW lalu bersabda: “Allah telah membebaskan Asma dari hal-hal buruk itu.” Kemudian Rasulullah SAW naik mimbar dan bersabda: “Semenjak hari ini, jangan sekali-kali seorang lelaki menemui wanita yang menyendiri (saat suaminya tidak ada) kecuali dia disertai oleh satu atau dua lelaki lainnya”.

Riwayat Muslim (2173)

 

Melihat pada situasi ini anak-anak dan bekas isteri sudah mengizinkan bapa atau bekas suami tinggal bersama mereka. Perkara yang menjadi larangan dari sudut syarak adalah apabila mereka berada dalam keadaan berdua-duaan. Kerana Nabi SAW bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ

Maksudnya: “Tidak berdua-duaan seorang lelaki dan perempuan (yang bukan mahram) melainkan ada yang ketiga iaitu syaitan”.

Riwayat al-Tirmizi (1171)

 

Oleh hal yang demikian, tidak ada halangan dari sudut hukum syarak untuk suami tinggal di dalam satu rumah dengan bekas isterinya selagi mana terdapat mahramnya seperti anak-anak mereka, bahkan ia termasuk amalan yang terpuji dan juga dikira sebagai memuliakan ayah kandung mereka. Selain itu perkara ini juga memupuk semangat berbudi di antara bekas pasangan suami isteri yang mana perkara ini sangat-sangat dianjurkan dalam Islam sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَا تَنسَوُاْ ٱلۡفَضۡلَ بَيۡنَكُمۡۚ

Maksudnya: “Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri”.

Surah al-Baqarah (237)

 

Namun, dalam konteks bermuamalat wajib bagi kedua-dua bekas pasangan ini menepati batasan yang di tetapkan oleh syarak sebagai status ajnabi iaitu hubungan yang bukan lagi suami isteri. Selain itu, wajib juga bagi bekas isteri itu menjaga aurat dan etika pakaian menurut syariat di hadapan bekas suaminya. Dilarang berbual panjang dalam tempat yang lama melainkan atas dasar keperluan. Selain itu, dilarang berkhalwat berdua-duaan di antara mereka. Perkara ini telah dinyatakan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

‌لَا ‌يَخْلُوَنَّ ‌رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ

Maksudnya:”Janganlah seorang laki-laki berkhalwat dengan seorang wanita melainkan jika terdapat bersamanya mahram”.

Riwayat al-Bukhari (5233)

 

Sehubungan itu, Syeikh Bujairimi menjelaskan tentang maksud khalwat yang diharamkan oleh syarak ialah:

وَضَابِطُ الْخَلْوَةِ ‌اجْتِمَاعٌ ‌لَا ‌تُؤْمَنُ ‌مَعَهُ الرِّيبَةُ عَادَةً بِخِلَافِ مَا لَوْ قُطِعَ بِانْتِفَائِهَا عَادَةً

Maksudnya: Khalwat adalah suatu himpunan yang boleh membawa kepada fitnah secara kebiasaannya. Manakala, jika diyakini tidak akan berlaku fitnah secara kebiasaan, maka ia tidak dianggap berkhalwat”.

(Rujuk: Hasyiah al-Bujairimi ala Syarah al-Manhaj, 3/328)

 

Selain itu juga, termasuk dilarang berada dalam keadaan khalwat atau berdua-duaan ketika bersama dengan ipar. Hal ini dinyatakan oleh Rasulullah SAW:

إِيَّاكُمْ ‌وَالدُّخُولَ ‌عَلَى ‌النِّسَاءِ فَقَالَ: رَجُلٌ مِنَ الْأَنْصَارِ: يَا رَسُولَ اللهِ أَفَرَأَيْتَ الْحَمْوَ؟ قَالَ: الْحَمْوُ الْمَوْتُ

Maksudnya: “Jauhilah olehmu sekalian masuk ke tempat para wanita. Lalu seorang sahabat Ansar bertanya: ‘Bagaimana pendapat baginda tentang ipar?’. Sabda baginda: ‘Ipar itu maut’(sesuatu yang merbahaya) “.

Riwayat Muslim (2172)

 

Hadis di atas menunjukkan pengharaman berdua-duaan atau khalwat antara wanita dan lelaki yang tiada pertalian mahram. Ini kerana ipar di sisi isteri bukan dikira sebagai mahram bahkan hukumnya sama seperti lelaki atau perempuan ajnabi. Hadis ini juga menjelaskan bahawa pengharaman ini bertujuan untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku seperti zina.

 

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa syarat yang mesti dipatuhi sekiranya terdapat mahram bagi salah seorang daripada mereka sama ada bekas suami, isteri atau wanita ajnabi yang boleh dipercayai di dalam rumah tersebut. Maka suami diharuskan masuk atau tinggal di rumah itu. Begitu juga, diharuskan sekiranya rumah itu besar dan mempunyai bilik yang berasingan, tempat masak, tempat rehat secara berasingan dan tiada laluan yang boleh menemukan mereka di dalam rumah disebabkan halangan dinding atau pintu yang berkunci. Maka harus mereka tinggal di rumah itu.

(Rujuk: Raudah al-Talibin wa Umdatah al-Muftin, 8/418; al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie 4/266-268)

 

Justeru, sekiranya rumah berkenaan tidak menepati syarat-syarat yang disebutkan di atas maka tidak harus seorang lelaki masuk atau tinggal di rumah bekas isterinya melainkan ditemani mahram yang bersama di dalam rumah. Oleh itu, apabila suami hendak tinggal bersama dengan bekas isterinya atau masuk ke tempat bekas isteri yang boleh membawa kepada khalwat atau berdua-duaan, maka isteri itu hendaklah mencegahnya mengikut kemampuan.

(Rujuk: Raudah al-Talibin wa Umdatah al-Muftin, 8/418)

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, Islam mewajibkan anak-anak berbuat baik kepada ibubapa. Lebih-lebih lagi ibubapa dalam keadaan sakit yang memerlukan sokongan dan penjagaan dari anak-anak mereka. Oleh yang demikian, tidak menjadi kesalahan seorang lelaki tinggal serumah bersama bekas isterinya sekiranya menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh ulama fiqh iaitu wujudnya mahram atau wanita ajnabi yang dipercayai dalam rumah itu. Semoga kita sentiasa berada dalam rahmatnya.

Wallahua’lam.