IRSYAD FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-47 : HUKUM MENYEMBELIH HAIWAN HAMIL UNTUK DIJADIKAN KORBAN

ifhk 47

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, bolehkah kita menyembelih haiwan hamil untuk dijadikan korban?

Mohon penjelasan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Kesimpulannya, tidak sah untuk haiwan yang hamil dijadikan sebagai korban berdasarkan pandangan muktamad mazhab al-Syafie. Hal ini kerana keadaan hamil itu merupakan satu ‘aib (kekurangan) yang menjejaskan kualiti dan kuantiti daging korban yang diperoleh daripada haiwan tersebut. Oleh yang demikian, digalakkan untuk memilih haiwan yang terbaik seperti gemuk dan sihat serta sempurna untuk dijadikan haiwan korban.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Antara syarat bagi binatang untuk dijadikan korban mestilah sihat dan selamat daripada aib atau kecacatan yang mengurangkan dagingnya. Hal ini sepertimana yang disebut oleh Imam al-Nawawi bahawa:

وشرطها سلامة من عيب ينقص لحما

Maksudnya: Syaratnya (haiwan yang dijadikan binatang korban) ialah mestilah bebas daripada aib yang menyebabkan daging haiwan tersebut berkurang.[1] (Rujuk Minhaj al-Talibin, 1:320)

Berdasarkan hal tersebut, pandangan muktamad mazhab al-Syafie adalah tidak sah untuk menjadikan haiwan yang hamil sebagai binatang korban. Hal ini kerana keadaan tersebut akan mengurangkan daging bagi haiwan korban itu, justeru ia dikira sebagai satu aib yang menyebabkannya tidak boleh dijadikan korban.

Ini sepertimana yang dijelaskan oleh Imam Syamsuddin al-Ramli di dalam kitabnya, Nihayat al-Muhtaj:

وَقَضِيَّةُ كَلَامِهِ عَدَمُ إجْزَاءِ التَّضْحِيَةِ بِالْحَامِلِ لِأَنَّ الْحَمْلَ يُهْزِلُهَا وَهُوَ الْمُعْتَمَدُ

Maksudnya: Maksud daripada kata-kata pengarang (Imam al-Nawawi) ialah tidak sah korban haiwan yang hamil kerana keadaan hamil tersebut mengurangkannya (tidak cukup syarat). Pandangan ini merupakan pandangan muktamad.[2] (Rujuk Nihayat al-Muhtaj, 8:134)

Begitu juga, Imam al-Khatib al-Syarbini di dalam Mughni al-Muhtaj menyebutkan hal yang sama dengan berkata:

أَفْهَمَ كَلَامُهُ عَدَمَ إجْزَاءِ التَّضْحِيَةِ بِالْحَامِلِ؛ لِأَنَّ الْحَمْلَ يُهْزِلُهَا وَهُوَ الْأَصَحُّ كَمَا نَقَلَهُ الْمُصَنِّفُ فِي مَجْمُوعِهِ عَنْ الْأَصْحَابِ.

Maksudnya: Difahami daripada kata-kata pengarang (Imam al-Nawawi) adalah tidak sah korban dengan haiwan yang hamil. Hal ini kerana keadaan haiwan tersebut hamil telah mengurangkan (syarat korban) haiwan tersebut. Pandangan ini merupakan pendapat yang paling sahih sepertimana yang dinukilkan pengarang di dalam kitab al-Majmu’ beliau yang diambil daripada para ulama mazhab al-Syafie.[3] (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 6:127)

Pandangan ini berdasarkan faktor kualiti dan kuantiti daging yang diambil kira bagi ibadah korban. Haiwan yang hamil sudah pasti akan berkurang berat dan kurang berkualiti dagingnya justeru menyebabkan kekurangan dari sudut daging. Hal ini seperti yang dinyatakan Imam Syihabuddin al-Ramli dalam Hasyiah-nya:

لِأَنَّ الْمَقْصُودَ مِنْ الْأُضْحِيَّةِ اللَّحْمُ وَالْحَمْلَ يُهْزِلُهَا وَيَقِلُّ بِسَبَبِهِ لَحْمُهَا.. وَأَيْضًا فَلَحْمُ الْحَامِلِ رَدِيءٌ

Maksudnya: Ini kerana tujuan korban itu ialah pada daging. Justeru, keadaan hamil bagi haiwan korban yang menjadikannya lemah dan menyebabkan dagingnya berkurang, serta daging haiwan yang hamil tidak berkualiti.[4] (Rujuk Hasyiah al-Ramli al-Kabir ‘ala Asna al-Mathalib, 1:536)

Tambahan pula, dalam ibadah korban kita digalakkan untuk berkorban dengan haiwan yang terbaik dan sempurna. Imam al-Nawawi menyebutkan ijma’ tentang perkara ini dengan berkata:

وَأَجْمَعُوا عَلَى اسْتِحْبَابِ اسْتِحْسَانِهَا وَاخْتِيَارِ أَكْمَلِهَا

Maksudnya: Para ulama’ bersepakat terhadap galakkan untuk memilih haiwan korban yang terbaik dan yang sempurna.[5] (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 13:120)

WaAllahu a’lam.

 RUJUKAN

[1] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, 2005, Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 1, hlmn. 320.

[2] Al-Ramli, Syamsudin, 1994, Nihayat al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 8, hlmn. 134.

[3] Al-Syarbini, al-Khatib, 1994, Mughni al-Muhtaj Ila Maani Alfaz al-Minhaj, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, jld. 6, hlmn. 127

[4] Al-Ramli, Syihabuddin, t.t, Hasyiah al-Ramli al-Kabir ala Asna al-Mathalib, Dar al-Kitab al-Islami, jld. 1, hlmn, 536.

[5] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, t.t, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, Dar al-Ihya al-Turath al-‘Arabiy, Beirut, jld. 13, hlmn. 120


Cetak   Emel