IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-613 : HUKUM MENGELUARKAN AIR MANI DENGAN SENGAJA DIKIRA SEBAGAI BALIGH

 

HUKUM MENGELUARKAN AIR MANI DENGAN SENGAJA DIKIRA SEBAGAI BALIGH

 

SOALAN

Assalamualaikum ust. Apakah seorang kanak-kanak yang mengeluarkan air mani dengan sengaja dikira sebagai baligh? Sedangkan anak itu baru berumur 7 tahun.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Mengeluarkan air mani dengan sengaja (onani) dihukumkan seseorang itu sebagai baligh dengan syarat umur kanak-kanak itu adalah 9 tahun. 

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Akil Baligh Menurut Perspektif Islam

Sepakat para ahli fekah menetapkan bahawa keluar air mani dalam keadaan tidur, bermimpi, sedar ataupun usaha mengeluarkannya dengan sengaja seperti beronani atau sebagainya, adalah demikian tanda seseorang itu menjadi Baligh.

Imam Qalyubi R.H berkata:

خروج المني من الرجل أو المرأة في يقظة أو منام لوقت إمكانه

Maksudnya: “Keluar air mani daripada lelaki atau perempuan dalam keadaan sedar ataupun tidur ketika sampai waktunya”

(Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/188)

 

Ulama menyifatkan air mani yang keluar dikira sebagai baligh ialah air mani yang mampu menghasilkan anak. Ibnu Qudamah berkata:

فأما الإنزال: فمتى خرج منه المني، وهو الماء الأبيض الدافق الذي ‌يخلق ‌منه ‌الولد في الجماع، أو في النوم، أو اليقظة فهو بلوغ

Maksudnya: “Maka Adapun keluar mani: Apabila seseorang keluar mani, iaitu air putih yang memancut yang terjadi daripadanya anak ketika berjima’, atau di dalam tidur, atau ketika sedar, maka dia dikira baligh”.

(Rujuk: al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafie, 6/218)

 

Selain itu juga, ulama menentukan minima masa atau umur keluarnya mani seseorang itu secara matang yang dikira sebagai baligh ialah 9 tahun. Imam al-Nawawi R.H berkata:

خروج ‌المنى ووقت إمكانه استكمال تسع سنين

Maksudnya: “Keluar air mani ketika sampai waktunya iaitu sempurna umurnya Sembilan tahun”.

(Rujuk: Minhaj al-Tolibin wa Umdah al-Muftin, hlm 123)

 

Akil Baligh Menurut Perspektif Sains

Akil baligh merupakan satu perubahan seseorang itu daripada kanak-kanak kepada dewasa. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan bahawa akil baligh merupakan tanda keupayaan seseorang itu untuk mempunyai anak sekaligus dikira sebagai seseorang yang mempunyai kematangan seksual.

 

Sains telah meletakkan beberapa syarat asas bagi sesorang itu dinilai sudah akil baligh. Pada asasnya, KKM membahagikan akil baligh kepada dua kategori iaitu akil baligh awal dan kelewatan akil baligh. Kedua-dua kategori ini mempunyai faktor, gejala dan penyebab tersendiri. Umur minima yang dikategorikan sebagai baligh bagi lelaki adalah 9 tahun manakala umur maksima adalah 16 tahun. Namun begitu, terdapat juga kemungkinan baligh awal. Perkara ini disebabkan faktor nutrisi yang lebih baik, stress dan bahan kimia di dalam makanan.

(Rujuk MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, Akil Baligh & Akil Baligh Tidak Normal)

 

Berdasarkan rujukan kami dengan Pakar Pediatric Hospital Putrajaya, air mani yang dikeluarkan oleh kanak-kanak dibawah 9 tahun kebiasaanya tidak mempunyai sperma. Namun begitu, terdapat juga kes kanak-kanak yang mempunyai sperma seawal 7/8 tahun berdasarkan faktor-faktor tertentu. Hal ini perlu disahkan melalui ujian makmal oleh pihak hospital. Tambahan, faktor persekitaran pada masa kini dimana kanak-kanak banyak terdedah dengan anasir negatif seperti pornografi akan menjadi salah satu faktor yang menyumbang kematangan pada peringat umur yang lebih awal.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, kanak-kanak yang mengeluarkan air mani dengan sengaja (onani) dihukumkan seseorang itu sebagai baligh dengan syarat umur kanak-kanak itu adalah 9 tahun. Awasilah gerak geri anak-anak kita agar mereka terselamat daripada terjebak dengan gejala negatif seawal umur kanak-kanak. Wallahuallam.


Cetak   Emel