IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-629: HUKUM MENJUAL DARAH BINATANG KORBAN

HUKUM_MENJUAL_DARAH_BINATANG_KORBAN.png

SOALAN

Assalamualaikum

Adakah dibenarkan saya menjual darah daripada binatang korban kepada kilang yang memprosesnya sebagai baja?

RINGKASAN JAWAPAN

Hukum jual beli darah daripada binatang korban kepada kilang bagi tujuan memprosesnya untuk dijadikan baja adalah haram. Perkara ini sebagaimana yang telah disebutkan oleh para ulama berkenaan jual beli bahagian daripada binatang korban dan juga jual beli darah.

HUJAH DAN ANALISIS

Secara asasnya, ulama mazhab Syafi'i melarang perbuatan menjual kulit, daging dan apa-apa sahaja daripada binatang korban. Darah merupakan salah satu bahagian yang ada pada binatang korban walaupun ia tidak termasuk di dalam bahagian pembahagian daging korban. Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya:

وَمَذْهَبُنَا أَنَّهُ لَا يَجُوزُ بَيْعُ جِلْدِ الْهَدْيِ وَلَا الأضحية ولا شيء من أجزائهما

Maksudnya: “Menurut mazhab kami (Syafi’e) haram menjual kulit binatang korban, daging binatang korban dan apa-apa bahagian daripadanya”.

(Rujuk Kitab al-Minhaj Syarh Sahih Muslim 9/65)

Seterusnya, Berkenaan dengan soalan di atas, para ulama mengharamkan penjualan sebarang jenis darah.. Larangan ini berdasarkan firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir)”

Surah al-Maidah 3

Seterusnya firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ ۚ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah". Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Surah al-An’am 145

Ia juga berpandukan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Abu Juhaifah, kata beliau:

إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ ثَمَنِ الدَّمِ وَثَمَنِ الْكَلْبِ وَآكِلِ الرِّبَا وَمُوكِلِهِ وَالْوَاشِمَةِ وَالْمُسْتَوْشِمَةِ

Maksudnya:”Sesungguhnya Nabi SAW melarang dari berjual beli darah, juga anjing. Nabi juga melarang orang dari memakan hasil riba dan perantaranya. Juga melarang orang yang bertatu dan meminta tatu.”

Riwayat Al-Bukhari

Seterusnya, Imam al-Khatib al-Syarbini menyatakan di dalam kitabnya bahawa sesuatu yang datang daripada perut haiwan seperti iaitu darah adalah najis. Perkara ini dinyatakan oleh beliau di dalam kitabnya:

‌الْمُسْتَحِيلُ ‌فِي ‌بَاطِنِ ‌الْحَيَوَانِ نَجِسٌ وَهُوَ (دَمٌ) وَلَوْ تَحَلَّبَ مِنْ كَبِدٍ أَوْ طِحَالٍ

Maksudnya: “Sesuatu di dalam perut haiwan adalah najis iaitu darah walau ia diperah daripada hati atau limpa”.

(Rujuk Kitab Mughni al-Muhtaj 1/232)

Ibnu Hajar al-Asqalani menyebut bahawa yang dimaksudkan di dalam hadis tersebut ialah pengharaman jual beli darah sama seperti haramnya jual beli bangkai dan babi. Ia adalah haram secara ijmak ulama. Perkara ini dinyatakan oleh beliau di dalam kitabnya:

والمراد تحريم بيع الدم كما حرم بيع الميتة والخنزير وهو حرام إجماعا

Maksudnya: “Apa yang dimaksudkan dengan pengharaman jual beli darah sama seperti jual beli bangkai dan babi iaitu ia haram secara ijmak”

(Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari 4/427)

Dalam pada itu, Ibnu Hajar al-Haytami juga menyatakan bahawa jual beli najis adalah tidak sah disisi syarak. Perkara ini dinyatakan oleh beliau di dalam kitabnya:

(فَلَا يَصِحُّ بَيْعُ الْكَلْبِ) وَلَوْ مُعَلَّمًا (وَالْخَمْرِ) يَعْنِي الْمُسْكِرَ وَسَائِرَ نَجِسِ الْعَيْنِ وَنَحْوَهُ

Maksudnya: “Tidak sah menjual anjing (walau yang dilatih) dan arak iaitu benda yang memabukkan dan semua jenis najis ‘ain dan sebagainya”.

(Rujuk Tuhfah al-Minhaj fi Syarh al-Minhaj 4/235)

Justeru, berdasarkan kepada penelitian yang telah dilakukan hukum jual beli darah daripada binatang korban kepada kilang bagi tujuan memprosesnya untuk dijadikan baja adalah haram. Perkara ini sebagaimana yang telah disebutkan oleh para ulama berkenaan jual beli bahagian daripada binatang korban dan juga jual beli darah. Wallahua’lam.

 


Cetak   Emel