IRSYAD AL-FATWA SIRI KE- 630: HUKUM MEMBELI BARANGAN HASIL PENCEROBOHAN

     HUTAN min

 

SOALAN

Assalammualaikum, apakah hukum saya membeli makanan daripada perniaga yang menjual makanan hasil pencerobohan menanam tanaman di kawasan hutan simpan?

Ringkasan Jawapan:

Pembeli yang mengetahui secara yakin bahawa barang yang dibeli adalah barangan curian, rampasan  atau hasil pencerobohan oleh penjual, maka dia telah  bekerjasama dengan penjual ke atas perbuatan dosa. Justeru pembeli tersebut dilarang membeli barangan tersebut kerana seolah menyokong dan membantu dalam perkara haram. Adapun, pembeli tidak berdosa membeli barangan curi sekiranya tidak mengetaui status sumber barangan tersebut.

Huraian Jawapan  

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Transaksi perniagaan yang melibatkan pembeli membeli  barangan yang diketahui hasil curi, ragut, pencerobahan dan seumpamanya adalah berdosa dan berkongsi aib dengan penjual. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 مَنِ اشْتَرَى سَرَقَةً وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهَا سَرِقَةٌ فَقَدْ شَرِكَ فِي عَارِهَا وَإِثْمِهَا

Maksudnya: Barang siapa membeli barangan curi, dan ia mengetahui barang itu adalah dicuri, maka dia telah berkongsi aib dan dosanya (bersama pencuri).

Riwayat al-Baihaqi (11141), al-Sunan al-Kubra

Berbalik kepada soalan yang diajukan, sekiranya pembeli mengetahui bahawa peniaga telah meneroka hutan simpan secara haram dengan menanam pokok  seperti pokok  durian umpamanya ataupun melakukan pencerobohan di kawasan hutan simpan kekal, maka  peniaga tersebut telah menyalahi undang-undang. Bahkan dalam undang-undang konteks negara kita, pesalah boleh disabitkan hukuman berat menurut akta Perhutanan Negara 1984 :

Denda maksima RM 10,000 dan/atau dipenjarakan maksima 3 tahun.
Kesalahan termasuk memasuki Hutan Simpanan Kekal; penggunaan jalan hutan, melepaskan ternakan; membenarkan ternakan meragut. Mencari, mengambil atau memindah apa-apa hasil hutan atau mineral; membersih atau membajak tanah dengan tujuan pertanian atau maksud lain; Menggunakan bahan beracun atau bahan letupan bagi maksud menangkap ikan atau memasang jerat atau menjebak) Seperti dalam Seksyen 47, 50(4), 81(1)(a), 81(1)(d), 81(1)(e), 81(1)(f) & 83)[1]

Selain itu, pembelian terhadap barangan curian atau hasil pencerobohan adalah sebahagian daripada bentuk tolong-menolong kepada dosa dan menjurus kepada  membantu perkara yang haram.  Ini berdasarkan firman Allah SWT.

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya : Dan  janganlah kamu saling bantu membantu dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

Surah al-Maidah (2)

Transaksi yang melibatkan hasil daripada kegiatan haram adalah tidak sah. Maka hasil keuntungannya mahupun pendapatannya turut diharamkan. Hal ini berdasarkan sabda Baginda SAW:

إنَّ اللَّهَ تَعَالَى إِذَا حَرَّمَ شَيْئًا حَرَّمَ ثَمَنَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya jika Allah mengharamkan sesuatu, Dia haramkan juga harganya. 

Riwayat al-Daraqutni (2815)

Bagi situasi   pembeli yang tidak mengetahui   barangan yang dibeli adalah hasil curi mahupun pencerobohan, maka pembeli tersebut tidak menanggung dosa tanpa  terlibat dengan kegiatan haram. Ini berdasarkan firman Allah SW :

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى

Maksudnya: Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain.

Surah Fatir (18)

Firman Allah SWT:

وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا

Maksudnya: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya.”

 Surah Al-An’am (164)

Berdasarkan dalil di atas, seseorang tidak akan menanggung dosa seseorang yang lain. Dalam konteks bermuamalat, dosa si pelaku perbuatan haram adalah ditanggung olehnya dirinya sahaja dan tidak ditanggung oleh pihak lain (pembeli)  sekiranya pihak tersebut  tidak mengetahui status barangan yang dibeli.

Penutup

Setelah meneliti dalil yang dikemukan, pembeli   tidak terlibat dengan urusan kegiatan haram tersebut tidak berdosa membeli barangan hasil curi atau pencerobohan sekiranya tidak mengetahui status barangan tersebut. Namun, sekiranya pembeli mengetahui dengan  yakin bahawa barang yang ditawarkan adalah barang hasil curian, rampasan, atau pencerobohan, maka mereka telah   berkongsi dosa.  Oleh itu, pembelian barangan tersebut  dilarang kerana seolah  kita  menolong orang lain berbuat dosa dan bersekutu  dengan pelakuan pencurian, pencerobohan dan seumpamanya.

 

[1] https://www.forestry.gov.my/my/perkhidmatan/info-perhutanan/kesalahan-hutan

 


Cetak   Emel