Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-636: HUKUM BERJENAKA LUCAH DAN LAWAK TENTANG ROGOL

Screenshot 2021 11 02 at 3.32.37 PM

 

Soalan

Assalamualaikum tuan mufti. Apakah hukum berjenaka lucah dan membuat lawak tentang rogol dalam Islam? Jawapan tuan saya dahului dengan ucapan terima kasih.

 

Jawapan ringkas

Waalaikumussalam wbt. Hukum berjenaka lucah dan membuat lawak rogol adalah haram dalam Islam kerana ia mengancam keselamatan emosi dan mental orang yang ditujukan lawak tersebut. Malah budaya sebegini tidak seharusnya menjadi kebiasaan dalam masyarakat kerana perkataan-perkataan yang tidak senonoh pada umumnya adalah perkataan yang tercela, melainkan menyebut alat-alat sulit manusia atas tujuan pendidikan maka ia dibenarkan. Perbuatan ini juga boleh meninggalkan kesan yang negatif kepada pendengar terutamanya kanak-kanak. Wallahua’lam.

 

Huraian

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari akhirat. 

Perkataan dan tutur kata merupakan fitrah bagi manusia untuk berkomunikasi serta berinteraksi antara satu sama lain. Namun agama Islam memberi peringatan kepada penganutnya tentang garis sempadan dalam berbicara untuk menjaga peribadi dan tingkah laku sebagai seorang Muslim. Firman Allah SWT:

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Maksudnya: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”

Surah Qaf (18)

Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi dalam tafsirnya mengatakan bahawa setiap manusia akan dicatat perkataan dan amal perbuatan untuk dijadikan bukti ke atasnya pada hari kiamat. Sebagaimana Allah SWT akan mengarahkan anggota badan yang lain untuk menjadi saksi ke atas tuannya kelak, begitu juga dengan catatan amalan ini. Setiap perkara kebaikan yang dilakukan akan dicatat sepuluh kali ganda manakala perkara kejahatan akan dicatat sekali sahaja. Apa sahaja kebaikan walaupun sekadar niat yang terlintas di fikiran maka akan terus dicatat amal kebaikan oleh Allah SWT, dan tidak akan ditulis tentang kejahatan sehingga mana seseorang itu tenggelam di dalamnya. Namun Allah SWT masih memberi peluang kepada seseorang itu untuk sentiasa bertaubat dan bermuhasabah diri.[1]

[Lihat Tafsir Khawatir Imaniyyah: 16/700]

 

Lawak Rogol dan Lawak Lucah

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, ‘lucah’ bermaksud kehinaan dan kejian yang dikaitkan dengan perempuan seperti pelacur, kecabulan dan lain-lain.[2] Manakala ‘rogol’ pula merujuk kepada perbuatan memperkosa atau mencabul kehormatan perempuan dan merupakan kesalahan jenayah.[3] Membuat lawak yang diselitkan dengan unsur lucah dan rogol adalah haram dalam Islam. Nabi SAW memerintahkan umatnya agar sentiasa menjaga kata-kata daripada terjebak dengan perkataan yang dilarang oleh syarak, sabda Baginda:

من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيراً أو ليصمت

Maksudnya: Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat maka hendaklah dia berkata-kata yang baik ataupun diam

Riwayat al-Bukhari (6475)

Menurut hadis di atas, seorang Muslim dituntut agar menuturkan kata-kata yang baik ketika bergurau mahupun ketika perbincangan atau suasana yang serius. Bahkan Islam melarang umatnya daripada membincangkan berkenaan wanita di dalam satu majlis atau perkumpulan, sepertimana oleh Imam al-Zahabi yang meriwayatkan dari Ahnaf bin Qais:

جنبوا مجالسنا ذكر النساء والطعام, إني أبغض الرجل يكون وصافا لفرجه وبطنه

Maksudnya: “Elakkan majlis (perkumpulan) sesama kita daripada berbicara mengenai perempuan dan makanan. Sesungguhnya aku benci akan lelaki yang asyik berbicara mengenai seks dan keperluan perutnya”.

[Lihat Kitab Siyar A’lam al-Nubala’: m/s 64]

 

Perkataan berunsurkan lucah dan rogol adalah tergolong dalam perkataan yang dikeji dan tercela. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

ليس المؤمن بالطعان, ولا اللعان, ولا الفاحش, ولا البذيء

Maksudnya: Seseorang yang beriman itu bukanlah daripada golongan yang suka mengaibkan orang lain, bukan daripada golongan yang melaknat orang lain, bukan daripada golongan yang suka mencarut, dan bukan juga daripada golongan yang suka yang suka berkata-kata keji dan buruk.

[Riwayat Tirmizi: 1977]

Imam al-San’ani mengatakan di dalam syarah kitab Bulughul Maram bahawa perkataan-perkataan yang bersifat keras, carutan dan provokatif adalah haram sama ada dalam bilangan yang banyak mahupun sedikit. Hadis di atas juga memberi pengajaran kepada umat Islam bahawa melaknat dan mencarut bukan daripada sifat seorang Mukmin yang sempurna imannya, namun larangan ini terkecuali kepada laknat ke atas orang kafir, laknat ke atas peminum arak dan juga kepada sesiapa yang dilaknat oleh Allah dan rasulnya.[4]

[Lihat Subulus Salam: 4/360]

 

Kesimpulan

Maka jelas kepada kita bahawa hukum membuat lawak lucah dan rogol adalah haram sama sekali dalam Islam. Ia mengancam keselamatan emosi dan mental orang yang ditujukan lawak tersebut malah budaya sebegini tidak seharusnya menjadi kebiasaan dalam masyarakat kerana perkataan-perkataan yang tidak senonoh pada umumnya adalah perkataan yang tercela. Perlu dijelaskan bahawa adakala menyebut perkataan seakan lucah seperti alat sulit wanita atau lelaki untuk tujuan pendidikan dan pengajaran hukumnya diharuskan dan tidak haram. Sebagai contoh mengajar wanita tentang hukum hakam haid dan nifas, begitu juga ilmu perubatan.

Perlu ditekankan juga, seseorang yang suka mengeluarkan kata-kata lucah bukan melambangkan seseorang itu berakhlak mulia, sedangkan setiap muslim mesti menunjukkan akhlak yang baik di hadapan orang lain. Selain itu, orang yang suka mengujarkan kata-kata lucah adalah orang yang tiada perasaan malu yang mana ia melambangkan kesempurnaan iman seseorang. Wallahua’lam.

 

Nota Hujung:

[1] يكتب الأعمال لتكون حجة على صاحبها يوم القيامة, فكما أن الله تعالى سينطق الجوارح لتشهد على صاحبها, كذلك سينطق هذا الكتاب. ومن رحمة الله بعباده قي كتابة الأعمال أن الحفظة تكتب الحينة بعشر أمثالها, وتكتب السيئة بواحدة, تكتب الحسنة بمجرد أن تفكر فيها ولا تكتب السيئة إلا بعد الوقوع فيها, بل وتعطيك فرصة لعلك تتوب أو تراجع نفسك.

[2] Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=lucah

[3] Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=rogol

[4] فإن اللعن محرم قليله وكثيره, والحديث إخبار بأنه ليس من صفات المؤمن الكامل الإيمان السب واللعن إلا أنه يستثني من ذلك لعن الكافر وشارب الخمر ومن لعنه الله ورسوله