Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-704 : ADAKAH ISTERI YANG DICERAIKAN WAJIB MEMINTA IZIN PADA SUAMI DALAM TEMPOH IDAH?

 

ADAKAH ISTERI YANG DICERAIKAN WAJIB MEMINTA IZIN PADA SUAMI DALAM TEMPOH IDAH

SOALAN

Salam Datuk. Adakah isteri masih perlu meminta izin daripada suami untuk keluar rumah dan sebagainya ketika dalam tempoh idah?

 

RINGKASAN JAWAPAN

Isteri yang ditalak raj’i dan masih menerima nafkah atau ba’in yang sedang mengandung masih di bawah tanggungjawab suami untuk memberi nafkah dan tempat tinggal. Justeru, isteri wajib meminta izin sekiranya ingin keluar dari rumah dengan syarat isteri tersebut masih mendapat nafkah dan tempat tinggal dari suami.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Isteri yang telah ditalak secara raj’i atau ba’in yang sedang mengandung berhak mendapat segala keperluan hidup seperti tempat tinggal, pakaian, makanan dan seumpamanya dengan syarat isteri tidak derhaka. Firman Allah SWT:

لَا تُخۡرِجُوهُنَّ مِنۢ بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخۡرُجۡنَ إِلَّآ أَن يَأۡتِينَ بِفَٰحِشَةٖ مُّبَيِّنَةٖۚ

Maksudnya: “Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata.”

Surah al-Talak (1)

 

Imam Ibnu Kathir menjelaskan ayat di atas bahawa isteri berhak mendapat hak tempat tinggal sepanjang dalam tempoh idah, suami tidak boleh menghalau isteri dari rumahnya, dan isteri juga tidak boleh keluar dari rumah kerana ia masih di bawah tanggungjawab suami.

(Rujuk: Tafsir al-Quran al-Azim, 8/143)[1]

 

Manakala, Imam al-Shaukani memberi tafsiran ayat di atas bahawa isteri wajib meminta izin daripada suami sekiranya ia ingin keluar dari rumah ketika dalam tempoh idah:

‌الْمُرَادُ ‌لَا ‌يَخْرُجْنَ ‌مِنْ ‌أَنْفُسِهِنَّ ‌إِلَّا ‌إِذَا ‌أَذِنَ ‌لَهُنَّ ‌الْأَزْوَاجُ ‌فَلَا ‌بَأْسَ

Maksudnya: “Maksudnya janganlah benarkan mereka keluar sendiri melainkan mereka mendapat keizinan dari suami, maka tidak mengapa.”

(Rujuk: Tafsir Fath al-Qadir al-Shaukani, 5/288)

 

Selain itu, Imam al-Khatib al-Syirbini menyebut di dalam karyanya bahawa isteri yang telah diceraikan dan masih dalam tempoh idah wajib meminta izin dari suami jika ingin keluar dari rumah dengan syarat sekiranya ia masih mendapat nafkah dari suami, sebagaimana ungkapan beliau:  

‌أما ‌من ‌وَجَبت ‌نَفَقَتهَا من رَجْعِيَّة أَو بَائِن حَامِل مستبرأة فَلَا تخرج إِلَّا بِإِذن أَو ضَرُورَة كَالزَّوْجَةِ لِأَنَّهُنَّ مكفيات بِنَفَقَة أَزوَاجهنَّ

Maksudnya: “Adapun mereka yang masih mendapat nafkah iaitu mereka yang ditalak raj’i atau ba’in yang sedang mengandung yang menunggu masa untuk melahirkan bayi, maka mereka tidak boleh keluar melainkan dengan izin suami atau keluar dalam keadaan darurah masih seperti seorang isteri, kerana mereka masih lagi dicukupkan pemberian nafkah sebagai seorang isteri.”

(Rujuk: al-Iqna’ fi Halli al-Faz Abi Syuja’, 2/473)

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, isteri yang telah ditalak secara raj’i atau ba’in yang sedang mengandung berhak mendapat nafkah pakaian, tempat tinggal dan segala keperluan hidup sepanjang dalam tempoh idah. Isteri masih di bawah tanggungjawab suami ketika dalam idah. Justeru, isteri wajib meminta izin daripada suami sekiranya mereka hendak keluar dari rumah. والله أعلم

 

[1] أَيْ: ‌فِي ‌مُدَّةِ ‌الْعِدَّةِ ‌لَهَا ‌حَقُّ ‌السُّكْنَى عَلَى الزَّوْجِ مَا دَامَتْ مُعْتَدَّةً مِنْهُ، فَلَيْسَ لِلرَّجُلِ أَنْ يُخْرِجَهَا، وَلَا يَجُوزَ لَهَا أَيْضًا الْخُرُوجُ لِأَنَّهَا مُعْتَقَلَةٌ (3) لِحَقِّ الزَّوْجِ أَيْضًا


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+