Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-706 : APAKAH PERBEZAAN LAFAZ ZIHAR SECARA SORIH DAN KINAYAH?

 

 APAKAH PERBEZAAN LAFAZ ZIHAR SECARA SORIH DAN KINAYAH

SOALAN

Assalamualaikum ust. Boleh saya dapatkan penjelasan mengenai zihar? Apa bezanya lafaz sorih zihar dan lafaz kinayah? Macam suami saya, dia cakap “Tangan awak macam tangan anak buah saya”, “Peha awak macam peha kakak saya”, dan “Mulut awak macam mulut kakak saya”, itu termasuk lafaz sorih zihar ke ust?

 

RINGKASAN JAWAPAN

Lafaz zihar secara sorih (jelas) adalah menyamakan anggota aurat isteri atau anggota badan bahagian zahir isteri yang merupakan bahagian istimta’ (bersedap-sedap) seperti kaki, tangan, kulit, peha, mulut dan seumpamanya dengan anggota badan mahramnya yang memungkinkan keseronokan seksual (talazzuz) mahramnya. Antara contoh lafaznya ialah: “Tangan awak macam tangan anak buah saya”. Serta merta berlaku zihar walaupun suami tidak berniat kerana ia merupakan lafaz sorih. Manakala, lafaz zihar secara kinayah adalah dengan cara menyamakan isteri dengan mahramnya pada anggota badan yang melambangkan kemuliaan seperti wajah, mata dan lain-lainnya. Seperti contoh “Mata awak macam mata anak buah saya”. Lafaz ini tidak dikira zihar sekiranya niat si suami untuk menyatakan kemuliaan serta kekaguman mahupun suami tidak berniat apa-apa. Tambahan pula,  Zihar akan berlaku sekiranya menyamakan kepada wanita yang mahram secara mu’abbad iaitu iaitu wanita yang diharamkan berkahwin dengannya.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Lafaz zihar secara sorih (jelas) adalah menyamakan anggota aurat atau anggota badan bahagian zahir isteri yang merupakan anggota badan mahramnya yang memungkinkan keseronokan seksual (talazzuz) seperti kaki, mulut, peha, tangan, kulit dan seumpamanya dengan badan mahram atau anggota istimta’, maka di sini terjatuh hukum zihar. Hal ini sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh Shihabuddin al-Ramli di dalam kitabnya:

 (أَنَّ) (قَوْلَهُ) لَهَا أَنْتِ (كَيَدِهَا أَوْ بَطْنِهَا أَوْ صَدْرِهَا) وَنَحْوِهَا مِنْ كُلِّ عُضْوٍ لَا يُذْكَرْ لِلْكَرَامَةِ (ظِهَارٌ) لِأَنَّهُ عُضْوٌ يَحْرُمُ التَّلَذُّذُ بِهِ

Maksudnya: “Bahawa perkataan suami kepada isteri “Engkau seperti tangannya, perut, dada” dan seumpamanya, dari setiap anggota yang tidak disebut untuk tujuan kemuliaan, dikira sebagai zihar, hal ini kerana ia merupakan anggota yang diharamkan untuk keseronokan seksual.”

(Rujuk: Nihayah al-Muhtaj ila Syarh Minhaj, 7/82)

 

Manakala, lafaz zihar secara kinayah adalah dengan cara menyamakan isteri dengan mahramnya pada anggota badan yang melambangkan kemuliaan seperti wajah, mata dan seumpamanya. Lafaz zihar pada penyamaan anggota badan tersebut adalah berbentuk kinayah dan memerlukan kepada niat, seperti contoh “Mata kamu seperti mata ibuku”. Lafaz ini tidak dikira zihar sekiranya niat si suami untuk menyatakan kemuliaan untuk isterinya, maka ia tidak menyebabkan jatuh hukum zihar. Namun lafaz ini disertakan dengan niat menziharkan isteri, maka dalam situasi ini hukum zihar dikira jatuh. Selain itu, dikira sebagai kinayah juga jika menyamakan dengan anggota badan yang tidak dikhususkan seperti suami menyamakan isteri dengan mahramnya secara mutlak tanpa menyebut mana-mana anggota. Sebagai contoh “Engkau seperti ibuku”. Hal ini kemungkinan niat si suami melafazkannya dengan niat memuliakan isterinya. Namun, perlu diingatkan, jika lafaz mutlak seperti ini disertakan dengan niat zihar, maka terjatuh hukum zihar ke atas isteri.

Perkara ini dinyatakan oleh al-Khatib al-Syirbini di dalam karyanya “Mughni al-Muhtaj”:

كَقَوْلِهِ: أَنْتِ كَأُمِّي أَوْ رُوحِهَا أَوْ وَجْهِهَا ظِهَارٌ (إنْ قَصَدَ ظِهَارًا) أَيْ نَوَى أَنَّهَا كَظَهْرِ أُمِّهِ فِي التَّحْرِيمِ (وَإِنْ قَصَدَ كَرَامَةً فَلَا) يَكُونُ ظِهَارًا؛ لِأَنَّ هَذِهِ الْأَلْفَاظَ تُسْتَعْمَلُ فِي الْكَرَامَةِ وَالْإِعْزَازِ (وَكَذَا) لَا يَكُونُ ظِهَارًا (إنْ أَطْلَقَ فِي الْأَصَحِّ)

Maksudnya: “Seperti katanya (suami):” Engkau seperti ibuku”, atau “seperti ruhnya”, atau “seperti wajahnya”, menjadi zihar jika suami niat sebagai zihar, iaitu dia niat bahawa isterinya seperti belakang ibunya yang diharamkan. Jika dia niat memuliakan, maka tidak berlaku zihar. Hal ini kerana lafaz-lafaz tersebut untuk tujuan kemuliaan dan pengagungan, sama juga tidak berlaku zihar jika si suami menyebut lafaz yang mutlak (maka tidak jatuh zihar) menurut pandangan yang muktamad.”

(Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 5/31)

 

Sehubungan dengan itu, Syeikh al-Bujairimi menyebut bahawa tidak dihukumkan zihar jika menyamakan anggota dalaman dengan mahramnya seperti hati, limpa, buah pinggang, paru-paru dan seumpamanya. Ini kerana anggota tersebut tidak dikira sebagai anggota badan yang dijadikan sebagai keseronokan seksual menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi’i. Termasuk juga anggota yang boleh dipisahkan daripada badan seperti susu badan, mani, suara, rambut, gigi, kuku dan sebagainya.

(Rujuk: Hasyiah al-Bujairimi ala al-Khatib, 4/13)[1]

 

KESIMPULAN

Secara umumnya, lafaz zihar sorih (jelas) adalah menyamakan anggota aurat atau anggota badan bahagian zahir isteri yang merupakan bahagian istimta’ (bersuka-suka) dengan badan mahram atau anggota istimta’ (bersuka-suka) mahramnya. Manakala, lafaz zihar secara kinayah adalah dengan cara menyamakan isteri dengan mahramnya pada anggota badan yang melambangkan kemuliaan. Selain itu, dikira sebagai kinayah juga jika menyamakan dengan anggota badan yang tidak dikhususkan seperti suami menyamakan isteri dengan mahramnya secara mutlak tanpa menyebut mana-mana anggota. Lafaz zihar yang berbentuk kinayah adalah bergantung pada niat suami. Sehubungan dengan itu, menyamakan anggota dalaman dengan mahramnya seperti hati, limpa, buah pinggang, paru-paru dan seumpamanya, tidak dikira zihar. Tambahan pula, termasuk juga anggota yang boleh dipisahkan daripada badan seperti susu badan, mani, suara, rambut, gigi, kuku dan sebagainya. Anggota ini tidak dihukum sebagai zihar dengan penyamaan anggota tidak hakiki dan tidak dijadikan tempat istimta’ (bersedap-sedap).

 

[1] بِخِلَافِ الْبَاطِنَةِ كَالْكَبِدِ وَالْقَلْبِ، فَلَا يَكُونُ ذَلِكَ ظِهَارًا ح ل. وَنُقِلَ عَنْ مَرَّ أَنَّهُ كِنَايَةٌ وَعِبَارَةُ الْبِرْمَاوِيِّ عَلَى الْمَنْهَجِ فَلَا يَكُونُ ذِكْرُهَا ظِهَارًا فِي الْمُشَبَّهِ وَالْمُشَبَّهِ بِهِ لِأَنَّهُ لَا يُمْكِنُ التَّمَتُّعُ بِهَا حَتَّى تُوصَفَ بِالْحُرْمَةِ وَهَذَا هُوَ الْمُعْتَمَدُ فَشَمَلَ كَلَامُهُ تَشْبِيهَ الْبَاطِنِ بِالْبَاطِنِ وَبِالظَّاهِرِ وَتَشْبِيهَ الظَّاهِرِ بِالْبَاطِنِ فَلَا يَكُونُ ظِهَارًا فِي الصُّوَرِ الثَّلَاثِ وَخَرَجَ بِالْأَعْضَاءِ الْفَضَلَاتُ فَلَا ظِهَارَ بِهَا مُطْلَقًا كَاللَّبَنِ وَالْمَنِيِّ.


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+