Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-708: HUKUM BERGURU DENGAN ORANG BUKAN ISLAM

Template IF page 0001 min

Soalan

Assalamualaikum wbt. Saya nak tanya, apa hukum berguru dalam majlis ilmu dengan guru yang bukan Islam ya? Contohnya yang berbeza akidah dengan kita seperti Kristian atau Buddha. Ada dalil ke sama ada diharuskan atau diharamkan? Terima kasih.

 

Ringkasan Jawapan

Waalaikumussalam wbt. Hukum berguru dengan orang yang bukan Islam adalah diharuskan dan tiada halangan asalkan mereka tidak membawa fitnah kepada agama Islam dan pelajar Muslim itu sendiri, namun lebih afdal dan selamat belajar dengan ulama Islam. Sebagai contoh, ramai juga orang Islam yang menyambung pengajian di luar negara bagi subjek agama Islam dan bahasa arab di mana guru mereka adalah golongan orientalis yang bukan Islam. Adalah sesuatu yang mustahil bagi seseorang itu untuk menjadi pakar dalam semua bidang ilmu dalam sesuatu masa, maka dibolehkan untuk kita merujuk dan belajar dengan orang-orang yang pakar walaupun dengan orang yang bukan Islam. Namun jika mereka membicarakan berkenaan celaan terhadap Islam di dalam sesuatu majlis itu maka tidak boleh untuk kita turut sertai. Wallahua’lam.

 

Huraian

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari akhirat. Bermuamalat, berguru dan menyertai perbicaraan bersama orang bukan Islam adalah dibolehkan di dalam Islam, namun jika isi perbicaraan dan pengajaran tersebut memperlekehkan agama Islam maka tidak boleh untuk orang Islam turut serta berhimpun di dalam majlis tersebut. Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِى ٱلْكِتَٰبِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا۟ مَعَهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا۟ فِى حَدِيثٍ غَيْرِهِۦٓ ۚ إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ ۗ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintah-Nya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka.”

Surah al-Nisa’ (140)

Sheikh Wahbah al-Zuhaili dalam tafsirnya mengatakan Allah SWT melarang keseluruhan umat Islam sama ada orang yang beriman ataupun yang munafik daripada duduk sekali di dalam majlis orang kafir yang mengutuk ayat-ayat Allah SWT. Maka tidak boleh untuk duduk bersama-sama dengan mereka sehingga mereka mengubah bicara kepada topik yang lain.[1]

[Lihat Tafsir al-Munir, 3/332]

Berdasarkan pernyataan di atas, maka tidak mengapa jika mahu bermuamalat ataupun berguru dengan orang yang bukan Islam jika mereka tidak mempersendakan agama Islam. Menuntut ilmu juga merupakan sesuatu yang dituntut di dalam Islam. Di dalam sebuah hadis ada diceritakan berkenaan tuntutan kepada orang Muslim untuk mencari ‘hikmah’ ilmu walau di mana jua ianya dijumpai. Sabda Nabi SAW:

الْكَلِمَةُ الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ حَيْثُمَا وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا

Maksudnya: “Konsep hikmah merupakan harta yang hilang daripada orang mukmin. Jadi di mana sahaja ia berada, dia (mukmin) berhak ke atasnya”

Riwayat Tirmidzi (2687)

Ibn Rusyd di dalam kitabnya mengatakan bahawa seseorang manusia tidak mampu untuk menjadi pakar dalam segala bidang ilmu yang ada.[2] Jika terdapat seseorang yang telah menguasai sesuatu bidang, maka generasi yang datang selepasnya harus merujuk kepada apa yang telah diperkatakan dan ditulis oleh beliau, tanpa mengira sama ada berlainan agama ataupun tidak.[3] Jika apa yang diperkatakan olehnya menepati dengan kebenaran, maka kita terimanya dan bersyukur terhadap apa yang telah beliau usahakan. Dan jika apa yang diperkatakan olehnya bercanggah dengan kebenaran, maka kita harus menolaknya dan berhati-hati terhadap apa yang beliau khabarkan.[4]

[Lihat Fasl al-Maqal, 2/ 26, 28]

 

Namun begitu, Syeikh Muhammad Awwamah menasihatkan kepada umat Islam agar berguru dengan orang Islam sendiri di dalam bidang ilmu-ilmu syariah dan subjek yang berkaitan dengannya seperti bahasa arab.[5]Beliau menyebut kata-kata Imam Muhammad bin Sirrin di dalam kitabnya:

إن هذا العلم دين, فانظروا عمن تأخذون دينكم

Maksudnya: Sesungguhnya ilmu itu adalah (asas) agama, maka perhatikan daripada siapa kamu mengambil agama (ilmu) kamu

[Lihat: Maalim Irsyadiyyah, 1/ 197]

 

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, hukum berguru dengan orang bukan Islam adalah diharuskan selagi mana guru tersebut tidak mencela agama Islam dan syariatnya. Adalah mustahil bagi seseorang itu untuk menguasai keseluruhan ilmu dan bidang di atas dunia ini, maka disebabkan itu adanya keharusan bagi umat Islam untuk menuntut ilmu daripada pakar-pakar yang berkaitan walaupun berlainan agama. Wallahua’lam.

 

[1] Wahbah al-Zuhaili. Tafsir al-Munir. 2003. Cet.Darul Fikri Damsyiq

ثم نهى الله المؤمنين جميعا سواء كانوا صادقي الإيمان أو متظاهرين به وهم المنافقون عن الجلوس في مجالس الكافرين الذين يستهزئون بآيات الله, فلا تسمعوا لهؤلاء ولا تقعدوا معهم حتى يتكلموا في حديث آخر

[2] Muhammad Imarah. Fasl al-Maqãl li Ibn Rusyd. 2010. Cet. Dar al-Maarif.

فإنه عسير أو غير ممكن أن يقف واحد من الناس من تلقائه وابتداء على جميع، ما يحتاج إليه كل من ذلك

[3] Ibid.

وأن كأن غيرنا قد فحص عن ذلك

فبين أنه يجب علينا أن نستعين على ما نحن بسبيله بما قاله من تقدمنا في ذلك، وسواء كأن ذلك الغير مشاركاً لنا أو غير مشارك في الملة

[4] Ibid.

فما كأن منها موافقاً للحق قبلناه منهم وسررنا به، وشكرناهم عليه، وما كان منها غبر موافق للحق نبهنا عليه وحذرنا منه وعذرناهم

[5] Muhammad Awwamah. Maalim Irsyadiyyah li Sina’ati Talib al-Ilmu. 2013. Cet. Dar al-Yusr Madinah. Dar al-Minhaj Jeddah.

ومراده ب ((هذا العلم)): العلوم الشرعية, والعربية وآلاتها, لكونها خادما للعلوم الشرعية


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+