Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-717: HUKUM SUJUD DI ATAS TELEKUNG SENDIRI

IF717

 

SOALAN

Assalamualaikum, Datuk Mufti, saya ada persoalan yang ingin diberikan kepada pihak Datuk mengenai hukum sujud di atas telekung sendiri ketika menunaikan solat?. Adakah solat tersebut tidak sah dan perlu diulang semula?

Sekian terima kasih.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Seseorang yang melakukan sujud atas sesuatu yang bersambung dengannya dan menanggungnya dengan sengaja maka solatnya batal. Hal ini seperti seseorang yang solat atas telekungnya sendiri maka solatnya batal kerana ia bersambung dengannya dan ia ditanggung olehnya. Oleh itu, solat tersebut perlu diulangi semula. Justeru, kita perlu memastikan dahi menyentuh tempat sujud dengan sempurna bagi menjamin kesempurnaan solat secara keseluruhannya.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Sujud adalah satu rukun solat yang wajib dilakukan dengan sempurna agar solat menjadi sah dan diterima oleh Allah SWT.  Jika ia dilakukan dengan tidak dipenuhi syarat-syaratnya maka ia boleh memnyebabkan solat itu terbatal. Firman Allah SWT berkenaan sujud:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang).”

(Surah al-Haj, ayat: 77)

Terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda dalam potongan hadith tersebut:

ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَسْتَوِيَ وَتَطْمَئِنَّ جَالِسًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا

Maksudnya: “…Kemudian sujud (dengan toma’ninah), kemudian angkatlah kepala mu dan duduk dalam keadaan toma’ninah kemudian sujud (buat kali kedua juga dalam keadaan toma’ninah)…”

Riwayat Al-Bukhari (6667)

Selain itu, Abdullah Ibn ‘Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ على سَبْعَةِ أَعْظُمٍ عَلَى الجَبْهَةِ، وأَشارَ بيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ واليَدَيْنِ والرُّكْبَتَيْنِ، وأَطْرافِ القَدَمَيْنِ

Maksudnya: Aku diperintahkan sujud dengan tujuh tulang anggota, iaitu dahi (sambil Baginda SAW mengisyaratkan tangganya ke bahagian atas hidung), kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan hujung kedua-dua belah kaki.

Riwayat al-Bukhari (812) dan Muslim (490)

Menurut Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadis di atas menyatakan bahawa sesungguhnya anggota sujud itu ada tujuh dan mesti seseorang yang sujud itu bersujud dengan tujuh anggota tersebut serta sujud bersama dengan dahi dan hidung kesemuanya. Anggota dahi wajib diletakkan dengan terbuka di atas lantai dan sunat untuk meletakkan sebahagian daripada hidung. Jika dia meninggalkan sentuhan hidung pada lantai, maka sujudnya sah tetapi jika dia meninggalkan sentuhan dahi pada lantai, maka tidak sah sujudnya. Ini adalah pandangan mazhab Syafie, Malik dan kebanyakan ahli ilmu.[1]

(Rujuk: Syarh al-Nawawi ala Muslim, 4/206)

Berdasarkan kenyataan di atas dapat difahami bahawa terdapat tujuh anggota sujud iaitu dahi, kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan kedua-dua tapak jari kaki. Begitu juga, anggota dahi wajib diletakkan di atas lantai. Hal ini juga dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa sujud di atas dahi adalah wajib berdasarkan riwayat Abdullah bin Umar:

إذَا ‌سَجَدْتَ فَمَكِّنْ ‌جَبْهَتَكَ من ‌الارض ولا تنقر نَقْرًا  

Bermaksud: sekiranya kalian bersujud maka tempatkanlah dahi ke atas dahi dan janganlah menggali lubang.

Imam al-Nawawi ada menukilkan kenyataan Imam al-Syafi’i dalam kitab al-Umm bahawa sekiranya sebahagian dahi diletakkan ketika sujud maka aku menghukumkan ia makruh namun aku menerimanya kerana dia telah dikira sujud di atas dahi, sekiranya dia sujud atas sesuatu yang menghalang dahi maka sujudnya tidak dikira. [2]

(Rujuk: Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, 3/422)

Oleh itu, ia merupakan sebahagian syarat melakukan sujud sepertimana kenyataan Imam Ibnu Hajar al-Haitami:

ﻭﺷﺮﻃﻪ ﻋﺪﻡ اﻟﺴﺠﻮﺩ ﻋﻠﻰ ﺷﻲء ﻣﺤﻤﻮﻝ ﻟﻪ ﺃﻭ ﻣﺘﺼﻞ ﺑﻪ ﺑﺤﻴﺚ ﻳﺘﺤﺮﻙ ﺑﺤﺮﻛﺘﻪ ﻓﻲ ﻗﻴﺎﻣﻪ ﺃﻭ ﻗﻌﻮﺩﻩ ﻓﺈﻥ ﺳﺠﺪ ﻋﻠﻴﻪ ﻋﺎﻣﺪا ﻋﺎﻟﻤﺎ ﺑﻄﻠﺖ ﺻﻼﺗﻪ ﻭﺇﻻ ﻟﺰﻣﻪ ﺇﻋﺎﺩﺓ اﻟﺴﺠﻮﺩ

Maksudnya: “Syaratnya (sujud) tidak sujud atas sesuatu yang ditanggung olehnya atau yang bersambung dengannya yang mana ia bergerak dengan gerakannya ketika berdiri dan duduk. Jika seseorang itu sujud di atasnya secara sengaja dan tahu (tidak jahil) maka batal solatnya. Jika tidak (sengaja atau jahil) maka wajib dia mengulangi sujud”.

(Rujuk: Al-Manhaj al-Qowim, 182)

Oleh itu, jika seseorang melakukan sujud atas sesuatu yang bersambung dengannya dan ia ditanggung olehnya maka solat tersebut batal jika ia melakukannya dengan sengaja.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan perbahasan ulama di atas dapat difahami bahawa sujud perlu dilakukan dengan sempurna agar solat yang ditunaikan itu tidak mengandungi kekurangan yang boleh membatalkannya. Hal ini kerana ia merupakan salah satu rukun solat. Seseorang yang melakukan sujud atas sesuatu yang bersambung dengannya dan menanggungnya dengan sengaja maka solatnya batal. Hal ini seperti seseorang yang solat atas telekungnya sendiri maka solatnya batal kerana ia bersambung dengannya dan ia ditanggung olehnya. Oleh itu, solat tersebut perlu diulangi semula. Justeru, kita perlu memastikan dahi menyentuh tempat sujud dengan sempurna bagi menjamin kesempurnaan solat secara keseluruhannya.

 [1] أَنَّ أَعْضَاءَ السُّجُودِ سَبْعَةٌ وَأَنَّهُ يَنْبَغِي لِلسَّاجِدِ أَنْ يَسْجُدَ عَلَيْهَا كُلِّهَا وَأَنْ يَسْجُدَ عَلَى الْجَبْهَةِ وَالْأَنْفِ جَمِيعًا فَأَمَّا الْجَبْهَةُ فَيَجِبُ وَضْعُهَا مَكْشُوفَةً عَلَى الْأَرْضِ وَيَكْفِي بَعْضُهَا وَالْأَنْفُ مُسْتَحَبٌّ فَلَوْ تَرَكَهُ جَازَ وَلَوِ اقْتَصَرَ عَلَيْهِ وَتَرَكَ الْجَبْهَةَ لَمْ يَجُزْ هَذَا مَذْهَبُ الشَّافِعِيِّ وَمَالِكٍ رَحِمَهُمَا اللَّهُ تَعَالَى وَالْأَكْثَرِينَ.

[2]  وَأَمَّا السُّجُودُ عَلَى الْجَبْهَةِ فَوَاجِبٌ لِمَا رَوَى عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ " إذَا ‌سَجَدْتَ فَمَكِّنْ ‌جَبْهَتَكَ من ‌الارض ولا تنقر نَقْرًا " قَالَ فِي الْأُمِّ فَإِنْ وَضَعَ بَعْضَ الْجَبْهَةِ كَرِهْتُهُ وَأَجْزَأَهُ لِأَنَّهُ سَجَدَ عَلَى الْجَبْهَةِ فان سجد على حائل دُونَ الْجَبْهَةِ لَمْ يُجْزِئْهُ.


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+