Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-719: PERBUATAN MENGIKAT KAIN KETIKA SEDANG SOLAT, ADAKAH MEMBATALKAN SOLAT?

 

Irsyad fatwa 719

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, jika seseorang membetulkan dan mengetatkan ikatan kain pelikatnya kerana longgar ketika sedang solat, adakah perbuatan tersebut membatalkan solat?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Perbuatan mengikat dan mengetatkan kain pelikat ketika sedang solat adalah termasuk dalam pergerakan yang banyak. Oleh itu jika seseorang melakukannya jika melibatkan tiga pergerakan secara berturut-turut, maka batal solatnya. Oleh itu, hendaklah seseorang mengelakkan diri daripada melakukannya jika ia tidak menganggu solatnya. Jika ia menggangu solat, maka hendaklah melakukannya dengan dua pergerakan atau tiga pergerakan secara berasingan supaya tidak membatalkan solat.

WaAllahu a’lam. 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Antara perkara yang membatalkan solat ialah melakukan perbuatan daripada jenis perbuatan solat seperti rukuk dan sujud dengan sengaja. Selain itu, jika perbuatan tersebut bukan daripada jenis perbuatan solat yang melibatkan pergerakan yang banyak dalam solat maka ia turut membatalkan solat. Manakala pergerakan yang sedikit tidak membatalkan solat. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa:

ولو فعل في صلاته غيرها إن كان من جنسها بطلت إلا أن ينسى وإلا فتبطل بكثيره لا قليله

Maksudnya: Jika seseorang melakukan sesuatu perbuatan dalam solatnya yang bukan daripadanya daripada jenis perbuatan solat (seperti menambah rukuk atau sujud dengan sengaja), maka batal solatnya kecuali jika dia terlupa. Namun jika bukan daripada jenis perbuatan solat maka batal sekiranya perbuatan itu melibatkan pergerakan yang banyak, manakala pergerakan yang sedikit tidak membatalkan solat[1]. (Rujuk Minhaj al-Talibin, 1:32)

Cara untuk menentukan sama ada sesuatu pergerakan itu sedikit atau banyak adalah merujuk kepada adat setempat(‘uruf). Imam al-Khatib al-Syarbini menjelaskan perkara ini dengan berkata:

(وَالْكَثْرَةُ) وَالْقِلَّةُ (بِالْعُرْفِ) فِي الْأَصَحِّ فَمَا يَعُدُّهُ النَّاسُ قَلِيلًا كَخَلْعِ الْخُفِّ وَلُبْسِ الثَّوْبِ الْخَفِيفِ وَقَتْلِ قَمْلَةٍ وَدَمُهَا عَفْوٌ فَقَلِيلٌ

Maksudnya: Penentuan sesuatu pergerakan yang dikira sebagai pergerakan yang banyak dan sedikit ditentukan oleh adat setempat mengikut pandangan yang paling sahih. Justeru apa yang dianggap orang ramai sebagai pergerakan yang sedikit seperti menanggalkan khuf, memakai pakaian yang mudah dipakai dan membunuh serangga yang darahnya sedikit, maka ia dikira sebagai pergerakan yang sedikit.[2] (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1:418)

Di samping itu, Imam al-Nawawi juga menjelaskan dalam menentukan sama ada sesuatu perbuatan itu dikira banyak atau sedikit ialah apabila ia melibatkan tiga kali pergerakan secara berturut-turut maka ia dikira sebagai pergerakan yang banyak. Adapun jika kurang daripada tiga kali pergerakan atau lebih tetapi secara berasingan, maka ia dikira sebagai pergerakan yang sedikit. Kata beliau:

والكثرة بالعرف فالخطوتان أو الضربتان قليل والثلاث كثير إن توالت

Maksudnya: Adapun dalam menentukan sesuatu pergerakan sebagai pergerakan yang banyak ialah dengan adat setempat(‘uruf) contohnya seperti berjalan dua langkah dan memukul dengan dua pukulan, maka ia dikira sebagai sedikit. Jika melibatkan tiga pergerakan secara berturutan, maka ia dikira sebagai banyak.[3]

Kesimpulan

Oleh yang demikian, perbuatan mengikat dan mengetatkan kain pelikat ketika sedang solat adalah termasuk dalam pergerakan yang banyak jika melibatkan tiga pergerakan secara berturut-turut, maka ia membatalkan solat. Oleh itu, hendaklah seseorang mengelakkan diri daripada melakukannya jika ia tidak menganggu solatnya. Namun jika perlu untuk melakukannya hendaklah melakukannya dengan dua pergerakan atau tiga pergerakan secara berasingan supaya tidak membatalkan solat.

WaAllahu a’lam.

 RUJUKAN

[1] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, 2005, Minhaj al-Talibin wa Umdah al-Muftiin, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 1, hlmn. 32.

[2] Al-Khatib, al-Syarbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifati Ma’ani Alfaz al-Minhaj, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, jld. 1, hlmn. 418.

[3] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, 2005, Minhaj al-Talibin wa Umdah al-Muftiin, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 1, hlmn. 32.


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+