Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-722: PERLUKAH MEMBERI ISYARAT KETIKA DUDUK TASYAHUD JIKA JARI TELUNJUK KANANNYA TERPUTUS

if722.JPG

Soalan

Salam ustaz. Saya ada satu persoalan, bagaimanakah jika jari telunjuk seseorang itu terputus atau tiada, perlukah dia menggantikan isyarat tersebut dengan jari yang lain atau mengisyaratkan dengan jari kirinya. Terima kasih

Ringkasan Jawapan

Bagi mereka yang tidak mempunyai jari telunjuk tangan kanannya, maka tidak perlu memberi isyarat dengan jari lain ketika duduk tasyahud bahkan makruh jika melakukannya. Hal ini kerana anjuran dan keharusan tersebut telah gugur ke atas dirinya.

Huraian Jawapan

Antara perkara yang disunatkan dalam solat adalah meletakkan kedua belah tangan di atas paha ketika duduk tasyahud. Tangan kanan digenggam dan jari telunjuknya dibuka, manakala tangan kiri dibuka kesemua jarinya[1]. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا جَلَسَ فِي الصَّلَاةِ وَضَعَ يَدَيْهِ عَلَى رُكْبَتَيْهِ، وَرَفَعَ إِصْبَعَهُ الْيُمْنَى الَّتِي تَلِي الْإِبْهَامَ، فَدَعَا بِهَا وَيَدَهُ الْيُسْرَى عَلَى رُكْبَتِهِ بَاسِطَهَا عَلَيْهَا

Maksudnya: Sesungguhnya ketika Nabi SAW duduk(tasyahud) di dalam solat, Baginda meletakkan kedua tangannya di atas kedua pahanya. Kemudian Baginda mengangkat jari yang bersebelahan ibu jari tangan kanannya (jari telunjuk) lalu berdoa. Manakala tangan kirinya diletakkan terbuka kesemua jari di atas paha kiri.

Riwayat Muslim (580)

Jari telunjuk tersebut diisyaratkan menghadap ke arah kiblat disertai niat mentauhidkan dan mengikhlaskan diri kepada Allah SWT. Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadis di atas menyebut bahawa:

وَيُشِيرُ بِهَا مُوَجَّهَةٌ إِلَى الْقِبْلَةِ وَيَنْوِي بِالْإِشَارَةِ التَّوْحِيدَ وَالْإِخْلَاصَ وَاللَّهُ أَعْلَمُ

Maksudnya: Isyarat jari itu ditunjuk ke arah kiblat dan diniatkan untuk mentauhidkan Allah dan mengikhlaskan diri kepada-Nya.[2]

Berkaitan hal ini, timbul persoalan bagaimanakah jika jari telunjuk seseorang itu terputus atau tiada, perlukah dia menggantikan isyarat tersebut dengan jari yang lain atau mengisyaratkan dengan jari kirinya. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa makruh memberi isyarat dengan menggunakan jari kiri sekiranya jari telunjuk kanan terputus atau tiada. Lafaznya seperti berikut:

وَتُكْرَهُ الْإِشَارَةُ بِمُسَبِّحَةِ الْيُسْرَى، حَتَّى لَوْ كَانَ أَقْطَعَ الْيُمْنَى، لَمْ يُشِرْ بِمُسَبِّحَةِ الْيُسْرَى لَأَنَّ سُنَّتَهَا الْبَسْطُ دَائِمًا. وَاللَّهُ أَعْلَمُ

Maksudnya: Makruh mengisyaratkan dengan jari telunjuk kiri walaupun jari telunjuk kanannya terputus. Tidak perlu memberi isyarat dengan telunjuk kiri kerana tangan kiri disunatkan membuka kesemua jari.[3]

Begitu juga dengan jari-jari yang lain, tidak perlu memberi isyarat sebagai menggantikan jari telunjuk kanan yang terputus. Imam al-Bujairimi menjelaskan bahawa, hal ini kerana disebabkan ketiadaan jari telunjuk kanan tersebut maka gugurlah anjuran amalan sunat tersebut ketika tasyahud.[4]

Berdasarkan hujah di atas, bagi mereka yang tidak mempunyai jari telunjuk tangan kanannya, maka tidak perlu memberi isyarat dengan jari lain ketika duduk tasyahud bahkan makruh jika melakukannya. Hal ini kerana anjuran dan keharusan tersebut telah gugur ke atas dirinya.

Wallahu’alam.

 

[1] Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam al-Syafi’I (Damsyik: Dar al-Qalam li Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauz’I, 1413H)

وضع اليدين على أول الفخذين في جلستي التشهد :وكيفية أن يبسط اليسرى، مع ضم الأصابع إلى بعضها، بحيث تكون رؤوس الأصابع مسامتة لأول الركبة، ويقبض يده اليمنى إلا الأصبع المسبِّحة، وهي التي تسمى السبَّابة، فإنه يمدها منخفضة عند أول التشهُّد حتى إذا وصل إلى قوله: إلا الله، أشار بها، إلى التوحيد ورفعها. ويسن أن تبقى مرفوعة دون أن يحركها إلى آخر الصلاة.

[2] Abu Zakaria Mahyuddin bin Syarf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajaj, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, 1392H) 5/82

[3] Abu Zakaria Mahyuddin bin Syarf al-Nawawi, Raudah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, (Beirut: al-Maktab al-Islamiy 1412H) 1/262

[4] Sulaiman bin Muhammad bin Umar al-Bujairimi, Hasyiah al-Bujairimi ala Syarh al-Minhaj, (Matba’ah Halabi, 1369H) 1/223

كَمَا لَوْ قُطِعَتْ سَبَّابَتُهُ الْيُمْنَى لَا يُشِيرُ بِغَيْرِهَا لِأَنَّ لَهَا هَيْئَةً مَطْلُوبَةً فَالْإِشَارَةُ بِهَا تَفُوتُ مَا طُلِبَتْ لَهُ مِنْ قَبْضِهَا إنْ كَانَتْ مِنْ الْيُمْنَى وَنَشْرِهَا عَلَى فَخِذَيْهِ إنْ كَانَتْ مِنْ الْيُسْرَى


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+