Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-745 : HUKUM MELAKONKAN WATAK MALAIKAT DALAM FILEM

HUKUM MELAKONKAN WATAK MALAIKAT DALAM FILEM

 

SOALAN:

Assalamualaikum Datuk. Baru-baru ni saya ada menonton satu filem tempatan yang agak menarik jalan ceritanya. Namun dalam filem tersebut terdapat watak malaikat yang dilakonkan oleh pelakon kita. Soalan saya adakah boleh watak malaikat dilakonkan dalam filem? Mohon pencerahan daripada Datuk, Terima kasih.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Melakonkan watak malaikat di dalam filem secara tidak langsung telah merendahkan kedudukan malaikat sebagai makhluk yang suci. Hal ini telah bercanggah dengan kehadiran malaikat yang hanya diketahui menerusi wahyu daripada Allah SWT. Hal ini juga mengadaptasi konsep barat dalam genre perfileman yang menghakis keimanan terhadap perkara al-Ghaibiyyat dan mencairkan identiti Islam. Turut di ambil kira, pandangan ulama moden yang mengharamkan perbuataan menggambarkan malaikat sebagai perkara ghaib. Oleh itu, perbuatan yang demikian adalah haram melalui kaedah Sadd al-Dharai’ iaitu menutup pintu-pintu keburukan.

 

HURAIAN JAWAPAN:

PENDAHULUAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Filem atau drama merupakan salah satu medium untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat melalui sesuatu penceritaan dan lakon layar. Dalam Islam medium ini tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi agar ia tidak bercanggah dengan hukum Islam. Berkenaan babak lakonan watak malaikat, terdapat beberapa sebab perkara tersebut dilarang, antaranya:

1.         MERENDAHKAN KEDUDUKAN MALAIKAT SEBAGAI MAKHLUK YANG SUCI

Malaikat merupakan makhluk yang mempunyai kedudukan dan keistimewaannya dalam Islam khususnya kerana mereka ini ialah makhluk yang taat dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Hal ini sepertimana dalam firman-Nya:

اللَّهُ يَصْطَفِي مِنَ الْمَلَائِكَةِ رُسُلًا وَمِنَ النَّاسِۚ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ بَصِيرٌ

Maksudnya: Allah memilih utusan-utusanNya dari malaikat dan dari manusia; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Surah al-Haj (75)

Ibn Kathir menjelaskan bahawa Allah SWT memilih malaikat sebagai utusan-Nya merupakan sebahagian daripada syarak dan kekuasaan-Nya. Begitu juga dengan memilih utusan dalam kalangan manusia untuk menyebarkan risalah-Nya.[1] Oleh itu, jelaslah bahawa para malaikat merupakan salah satu ciptaan Allah SWT yang mulia.

Keadaan ini meletakkan malaikat terpelihara daripada ditiru oleh syaitan. Sifat ini juga menghalang sesiapa pun meniru seperti malaikat. Mustahil untuk menggambarkan rupa paras malaikat. Oleh itu, lakonan manusia sebagai watak malaikat di anggap sebagai menghina malaikat dan memalukan agama. Perbuatan mengolok-olokan, meremehkan atau merendah-rendahkan kedudukan malaikat adalah ditegah sebagaimana yang diharamkan perbuatan tersebut kepada para Rasul.

2.         KEHADIRAN YANG HANYA DIKETAHUI MENERUSI WAHYU

Lakonan malaikat yang diadaptasi oleh manusia sudah pasti terdapat kekurangan dan ketidak sempurnaan dalam pembikinan filem dan perbuatan ini secara tidak langsung merendahkan kemuliaan malaikat sebagai makhluk Allah. Hal ini kerana terdapat sepotong hadis berkenaan iman dan ihsan yang menyatakan kehadiran Jibrail AS yang datang dalam bentuk pemuda yang sempurna dan tiada aib.[2] Tambahan lagi, perihal dan keadaan malaikat hanya dapat diketahui melalui wahyu Allah SWT sebagai mana yang dirakam dalam al-Quran berkaitan kisah Nabi Ibrahim AS yang menerima kehadiran kelompok malaikat dalam bentuk wajah sekumpulan pemuda. Firman Allah SWT lagi berkenaan kisah ini:  

فَلَمَّا رَأَىٰ أَيْدِيَهُمْ لَا تَصِلُ إِلَيْهِ نَكِرَهُمْ وَأَوْجَسَ مِنْهُمْ خِيفَةًۚ قَالُوا لَا تَخَفْ إِنَّا أُرْسِلْنَا إِلَىٰ قَوْمِ لُوطٍ

Maksudnya: “ Maka apabila ia melihat tangan mereka tidak menyentuh hidangan itu, ia merasa pelik akan hal mereka serta merasa takut dari keadaan mereka. (Melihat kecemasannya) mereka berkata: "Janganlah engkau takut wahai Ibrahim, sebenarnya kami ini diutus kepada kaum Lut (untuk membinasakan mereka)".”

Surah Hud (70)

Imam al-Tabari menjelaskan ayat di atas bahawa Nabi Ibrahim AS timbul rasa ragu-ragu dan takut apabila beliau melihat sekumpulan pemuda itu tidak makan hidangan yang disediakan oleh baginda.[3] Lalu pemuda-pemuda itu menenangkan Baginda dengan menjelaskan bahawa mereka adalah malaikat yang tidak makan hidangan tersebut, serta utusan daripada Allah SWT yang membawa azab kepada kaum Lut.[4]

Rentetan daripada kisah-kisah ini, dapat difahami bahawa rupa paras malaikat dapat dilihat dalam bentuk manusia yang diperintahkan oleh Allah SWT. Selain itu, malaikat juga dapat dilihat dalam bentuk tersebut dengan izin Allah SWT. Para malaikat ini tidak dapat diketahui perihal keadaan mereka oleh para nabi sendiri melainkan terdapatnya wahyu daripada Allah SWT.

3.         MENGADAPTASI KONSEP BARAT DALAM GENRE PERFILEMAN

Pengaruh idealogi Barat menyebabkan tema-tema beberapa filem menyentuh rupa paras malaikat yang termasuk dalam perkara al-Ghaibiyyat iaitu perihal yang tidak dapat dicerap dengan pancaindera kebiasaan manusia. Watak malaikat yang berupa seperti manusia mempunyai unsur daripada karya ilustrasi Barat. Banyak karya ilustrasi Barat menggambarkan makhluk supernatural sebagai makhuk mitologi Yunani yang berupa manusia ideal. Majoriti karya ilustrasi tersebut bersumberkan Judeo-Christianity, Secular-Humanist dan ideologi-ideologi barat yang lain termasuk Greco-Roman.[5]

Amat menyedihkan fenomena masyarakat Islam yang meniru gaya pemikiran orang-orang Barat. Keadaan ini di nukilkan dalam hadis Rasulullah SAW:

لَتَتَّبِعُنَّ سُنَنَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ، فَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حَتَّى لَوْ دَخَلُوا جُحْرَ ضَبٍّ لَدَخَلْتُمُوهُ، قَالُوا: مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى؟ قَالَ: فَمَنْ إِلا هُمْ

Maksudnya: “Sungguh kalian (masyarakat Islam) akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sekalipun jika orang-orang yang kalian ikuti itu masuk ke lubang biawak (yang sempit), pasti kalian akan mengikutinya.”Kami (para sahabat) berkata: ‘Wahai Rasul Allah, apakah yang dimaksudkan itu kaum Yahudi dan Nasrani?’ Baginda saw menjawab: Lantas siapa lagi selain mereka?”.

Riwayat Bukhari & Muslim

Persepsi bersumberkan pemikiran Barat ini mengiktiraf kewibawaan pemikiran selain Islam. Keadaan ini membentuk sifat tidak berbangga menjadi identiti sebagai seorang Islam. Begitu juga berasa malu untuk menghayati hidup sebagai seorang Islam. Pandangan ini telah mencairkan identiti Islam dengan mencampur adukkan dengan pemikiran mengikut kerangka idealogi Barat.

4.         PANDANGAN HUKUM HARAM MENURUT ULAMA MODEN

Terdapat pandangan ulama moden yang mengharamkan perbuataan menggambarkan perkara ghaib seperti malaikat. Antaranya seperti Dr. Abdel Hay Azab, ulama Al-Azhar menyatakan bahawa tidak dibenarkan memberi rupa paras kepada malaikat dalam karya seni.[6] Selain itu, Dr. Ahmad Raissouni, ulama Maghribi turut menyatakan bahawa tidak dibenarkan untuk menggayakan watak para nabi dan malaikat dalam bentuk sebenar atau keadaan yang melambangkan mereka.[7] Di samping itu, Majlis Ulama Kanan Arab Saudi menjelaskan fatwa bahawa menggambarkan watak para nabi, malaikat, Khulafa' ar-Rashidin dan para sahabat merupakan perbuatan tercela. Ini kerana ia bertujuan untuk mengelirukan pemikiran umat Islam dalam berinteraksi dengan akidah, al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW.[8]

 

PENUTUP

Filem yang mengetengahkan watak malaikat menerusi lakonan manusia memberi impak yang besar dalam mempengaruhi minda masyarakat Islam tentang hakikat malaikat. Filem tersebut telah merendahkan kedudukan malaikat sebagai makhluk yang suci. Filem tersebut juga telah bercanggah dengan kehadiran malaikat yang hanya diketahui menerusi wahyu daripada Allah SWT. Filem tersebut turut mengadaptasi konsep barat dalam genre perfileman yang menghakis keimanan terhadap perkara al-Ghaibiyyat dan mencairkan identiti Islam.

Berdasarkan kaedah Sadd al-Dharai’ iaitu menutup pintu-pintu keburukan, maka lakonan manusia sebagai watak malaikat adalah haram kerana ia membuka ruang untuk golongan yang berniat jahat menggunakan peluang untuk berkarya dalam filem bagi menghina Islam. Oleh itu, segala gambaran imej malaikat dalam lakonan tersebut yang tidak bertepatan dengan al-Quran dan Sunnah adalah di larang. Larangan ini termasuk dengan perkataan atau perbuatan seperti melukis, bertindak, bercakap atau sebaliknya.

Larangan ini juga bertepatan dengan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-bahan Penyiaran Berunsur Islam pada tahun 2015. Kriteria penapisan bahan-bahan multimedia dan penyiaran berunsur islam telah menggariskan bahawa Tidak Melakonkan Atau Menggambarkan Sebarang Ilustrasi Atau Watak Para Nabi, Malaikat, Syaitan dan Perkara-perkara Sam’iyyat dan Ghaibiyyat.[9]

WallahuA'lam.

 

Rujukan:

[1] Ibn Kathir, Ismail bin Umar. (1999). Tafsir al-Quran al-‘Azim. Tahkik: Saami bin Muhammad Salamah. Cetakan 2: Dar Tayyibah. Jld 5, hlm: 454. Teks asal:

يُخْبِرُ تَعَالَى أَنَّهُ يَخْتَارُ مِنَ الْمَلَائِكَةِ رُسُلًا فِيمَا يَشَاءُ مِنْ شَرْعِهِ وقَدَره، وَمِنَ النَّاسِ لِإِبْلَاغِ رِسَالَاتِهِ،

[2] An-Naisaburi, Muslim bin al-Hajaj Abu al-Hasan al-Qusyairi. T.T. Sohih Muslim. Tahqiq: Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi. Jld: 1, Hlm: 36. Teks Hadis:

حَدَّثَنِي أَبِي عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ قَالَ: بَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ، إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ، شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعَرِ، لَا يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ، وَلَا يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ، حَتَّى جَلَسَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إِلَى رُكْبَتَيْهِ، وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ

[3] Al-Tabari, Muhammad bin Jarir bin Yazid. (2000). Jami’ al-Bayan Fi Ta’wil al-Quran. Tahkik: Ahmad Muhammad Syakir. Ed 1, Muassasah al-Risalah. Jld: 15, Hlm:287. Teks asal:

قال أبو جعفر: يقول تعالى ذكره: فلما رأى إبراهيم أيديَهم لا تصل إلى العجل الذي أتاهم به، والطعام الذي قدّم إليهم، نكرهم، وذلك أنه لما قدم طعامه صلى الله عليه وسلم إليهم، فيما ذكر، كفّوا عن أكله، لأنهم لم يكونوا ممن يأكله. وكان إمساكهم عن أكله، عند إبراهيم، وهم ضِيَفانه مستنكرًا. ولم تكن بينهم معرفةٌ، وراعه أمرهم، وأوجس في نفسه منهم خيفة.

[4] Al-Sabuni, Muhammad bin Ali. (1997). Sofwat al-Tafasir. Ed 1, Kaherah: Dar al-Sabuni. Jld 2, Hlm: 20. Teks Asal:

{قَالُواْ لاَ تَخَفْ إِنَّا أُرْسِلْنَا إلى قَوْمِ لُوطٍ} أي قالت الملائكة: لا تخف فإنا ملائكة ربك لا نأكل، وقد أُرسلنا لإِهلاك قوم لوط

[5] Alexandru Gh. Raluca Georgiana COBUZ. (2019). "" The Triumph Of The Church Over Paganism" By Giacomo Del Pò, An Allegorical Work From The Brukenthal National Museum." Acta Musei Brukenthal 14, no. 2.

[6] https://azhargraduates.org/Ar/news_archive1.aspx?id=1072 diakses pada: 5/1/2022. Teks asal:

  لايجوز تجسيد الملائكة فى الأعمال الفنية

[7] https://www.rabtasunna.com/33 diakses pada: 5/1/2022. Teks asal:

أن تمثيل الأنبياء والملائكة لا يجوز الإقدام عليه، سواء كان لمعنيين، أو لمجرد الصفة والمقام

[8]https://www.alifta.gov.sa/Ar/Magazine/Pages/issues.aspx?cultStr=ar&View=Page&PageID=12143&PageNo=1&BookID=2 diakses pada: 5/1/2022. Teks asal:

ولا شك أن هذا منكر ، كما يتخذ هدفا لبلبلة أفكار المسلمين نحو عقيدتهم وكتاب ربهم وسنة نبيهم محمد - صلى الله عليه وسلم

[9] https://www.islam.gov.my/images/garis-panduan/Garisan_Panduan_Penapisan_Kandungan_Bahan-Bahan_Penyiaran_Berunsur_Islam.pdf


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+