Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-789: HUKUM PEKERJA MENGAMBIL DUIT GAJI SECARA SEMBUNYI KERANA TIDAK DIBAYAR MAJIKAN

HUKUM_PEKERJA_MENGAMBIL_DUIT_GAJI_SECARA_SEMBUNYI_KERANA_TIDAK_DIBAYAR_MAJIKAN.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan satu soalan. Saya merupakan seorang pekerja di kedai serbaneka. Saya seringkali terpaksa bekerja lebih masa namun gaji saya tidak dibayar oleh majikan. Kadangkala, gaji yang dibayar adalah tidak seperti yang dipersetujui. Apakah hukum saya mengambil bahagian gaji saya daripada harta majikan secara rahsia? Adakah perbuatan ini dikira mencuri? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Jawapan Ringkas

Mengambil harta majikan yang zalim secara sembunyi sebagai ganti kepada gaji yang tidak diberikan adalah harus sekiranya dalam keadaan terdesak, di mana laporan kepada pihak berautoriti telah dilakukan namun masih tidak mendapat keadilan yang sewajarnya. Selain itu, harta tersebut mestilah diambil sekadar memenuhi hak sahaja dan haram mencerobohi sesuatu yang melebihi haknya. Namun sekiranya bayaran upah atau gaji tidak disyaratkan dan tiada kesepakatan dalam akad sebelum melaksanakan pekerjaan, maka perbuatan mengambil gaji secara sembunyi dianggap mencuri kerana akad tersebut pada asalnya adalah tidak sah.

Huraian

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam Islam, bekerja dan berusaha adalah amalan yang dianjurkan selagimana ia dilakukan dengan cara yang halal dan tidak menyelisih prinsip-prinsip agama. Selain itu, Islam memandang pekerjaan sebagai satu bentuk ibadah yang dapat membantu seseorang memenuhi tuntutan hidupnya serta memberi manfaat kepada masyarakat dan umat manusia secara keseluruhan. Dalam konteks ini, bekerja bukan hanya sekadar untuk memenuhi keperluan material, tetapi juga untuk memperoleh keberkatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT:

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramal dan bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan”.

Surah al-Taubah (105)

Umum mengetahui bahawa pekerjaan merupakan perkara yang dituntut oleh Islam dan yang utamanya adalah apabila kita bekerja, kerja tersebut perlu dipastikan halal dan menepati syariat Islam. Dalam memenuhi anjuran yang mulia ini, terdapat juga perkara yang perlu diketengahkan dan dititikberatkan iaitu, hak pekerja.

Dalam hadis diriwayatkan daripada Ibn Umar RA, Nabi SAW bersabda:

اعْطُوا الأَجِيرَ أَجْرَهُ ، قَبْلَ أَنْ يَجِفَّ عَرَقُهُ

Maksudnya: “Berikanlah upah pegawai (buruh), sebelum kering peluhnya.”

Riwayat Ibn Majah

Imam al-Munawi mensyarahkan hadis ini bahawa haram menunda gaji pekerja dalam keadaan tiada kekangan untuk segera menyerahkannya. Perintah untuk menyerahkan gaji sebelum kering peluh para pekerja adalah satu kiasan atas kewajipan menyegerakan bayaran pekerja setelah selesai tugas mereka [1].

Walaupun begitu penggajian boleh juga berdasarkan kesepakatan antara pekerja dan majikan sama ada dibayar mengikut harian, mingguan atau bulanan. Ada juga dibayar dalam bentuk sekaligus dan ada juga yang mengikut jam. Oleh itu, jika hal seperti ini sudah disepakati, maka ia hendaklah ditunaikan mengikut kesepakatan tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa Islam memberikan penekanan yang besar terhadap kebajikan pekerja, sambil memberi peringatan yang tegas terhadap majikan yang menzalimi pekerjanya.

Namun merujuk kepada persoalan, apakah hukum sekiranya pekerja yang dizalimi mengambil haknya secara rahsia daripada harta majikan?

Pertamanya, adalah menjadi satu kewajipan bagi majikan dan pekerja untuk menjelaskan kesepakatan dan persetujuan atas pekerjaan yang ingin dilakukan beserta bayaran gajinya. Hal ini kerana ia merupakan syarat penting yang utama bagi akad al-ijarah.

Seseorang itu tidak berhak menerima upah atau gaji bagi kerja yang dilakukan sekiranya perkara tersebut tidak disyaratkan dalam akad atau secara adatnya pekerjaan tersebut tidak diberikan gaji kecuali dengan penjelasan dan kesepakatan.

Sebagai contoh, A mendapati bahawa rumput di sekeliling rumahnya telah panjang dan perlu ditebas. Pada keesokan harinya, rumput tersebut telah ditebas oleh B tanpa diminta. Kemudian B meminta balasan upah bagi pekerjaannya.

B dianggap tidak berhak untuk menerima sebarang upah kerana ia tidak disyaratkan sebelum dia melakukan pekerjaan tersebut.

Dalam hal ini, jika pekerja tersebut mengambil upahnya daripada majikan secara rahsia, maka dia dianggap mencuri dan wajib memulangkan semula kesemua harta yang telah diambil.

Al-Khatib al-Syirbini berkata:

ولو دفع ثوبا إلى قصار ليقصره أو خياط ليخيطه ففعل ولم يذكر له أجرة فلا أجرة له، وقيل له، وقيل إن كان معروفا بذلك العمل فله

Maksudnya: “Jika seseorang memberi pakaian kepada tukang jahit untuk memotong atau menjahitnya, kemudian dia melakukannya tanpa dinyatakan berkenaan upah, maka dia tidak wajib dibayar upah. Sekiranya umum mengetahui tentang pekerjaannya itu perlu dibalas upah, maka wajib berikan upah.”[2]

Namun begitu, sekiranya pembayaran upah atau gaji tersebut telah dipersetujui dan dinyatakan dalam akad, akan tetapi pihak majikan berlaku zalim dan tidak berbuat demikian, maka hukum bagi seseorang pekerja mengambil harta majikannya adalah harus menurut mazhab al-Syafi’i, namun tertakluk kepada syarat-syarat berikut[3]:

  1. Majikan menunjukkan keengganan memberi bayaran gaji terhadap kerja yang dilakukan.
  2. Pekerja telah melaporkan kepada pihak berautoriti dan hakim namun tetap tidak dapat menuntut haknya kerana tidak mampu sertakan bukti atau hakim ditempatnya tidak berlaku adil dan mengamalkan rasuah.
  • Tidak mengambil harta tersebut melebihi haknya. Ia mesti diambil sekadar memenuhi hak.

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُوا بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُم بِهِ

Maksudnya: “Dan jika kamu membalas kejahatan pihak lawan, maka hendaklah kamu membalas dengan hukuman yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu.”

Surah al-Baqarah (194)

Selain itu, pernah terjadi pada zaman Rasulullah seperti yang diriwayatkan oleh Aisyah. Satu hari Hindun Binti ‘Utbah iaitu isteri kepada Abu Sufyan datang menemui Rasulullah untuk mengadu perihal suaminya. Kata beliau:

إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ ، لاَ يُعْطِينِي مِنَ النَّفَقَةِ مَا يَكْفِينِي وَيَكْفِي بَنِيَّ إِلاَّ مَا أَخَذْتُ مِنْ مَالِهِ بِغَيْرِ عِلْمِهِ، فَهَلْ عَلَيَّ فِي ذَلِكَ مِنْ جُنَاحٍ ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : خُذِي مِنْ مَالِهِ بِالْمَعْرُوفِ مَا يَكْفِيكِ وَيَكْفِي بَنِيكِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Abu Sufyan ini seorang lelaki yang kedekut. Dia tidak memberi nafkah yang mencukupi untuk aku dan anakku. Kalau pun cukup disebabkan aku ambil daripada hartanya tanpa pengetahuannya. Adakah perbuatanku itu salah? Sabda Rasulullah SAW: Ambil lah daripada hartanya dengan cara yang baik yang cukup untuk engkau dan anak engkau.”

Riwayat al-Bukhari

Kesimpulannya, mengambil harta majikan yang zalim secara sembunyi sebagai ganti kepada gaji yang tidak diberikan adalah harus sekiranya dalam keadaan terdesak, dengan syarat laporan kepada pihak berautoriti telah dilakukan namun masih tidak mendapat keadilan yang sewajarnya. Selain itu, harta tersebut mestilah diambil sekadar memenuhi hak sahaja dan haram mencerobohi sesuatu yang melebihi haknya. Namun sekiranya bayaran upah atau gaji tidak disyaratkan dan tiada kesepakatan dalam akad sebelum melaksanakan pekerjaan, maka perbuatan mengambil gaji secara sembunyi dianggap mencuri kerana akad tersebut pada asalnya adalah tidak sah.

Wallahua’lam

 

Rujukan: 

[1] Zayn al-Din Muhammad al-Munawi, Faidh al-Qadir, (Kaherah: al-Maktabah al-Tijariah al-Kubra, cetakan 1, 1357H), 1/562

فيحرم مطله والتسويف به مع القدرة فالأمر بإعطائه قبل جفاف عرقه إنما هو كناية عن وجوب المبادرة عقب فراغ العمل إذا طلب وإن لم يعرق أو عرق وجف وفيه مشروعية الإجارة

[2] Muhammad bin Muhammad al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifati Ma’ani Alfaz al-Minhaj, (Dar al-Kutub al-‘Ilmiah, cetakan 1, 1415H – 1994M), 3/478

Lihat: Zakaria bin Muhammad bin Zakaria al-Ansari, Asna al-Matolib fi Syarh Raudh al-Tolib, 2/425

لو (دفع ثوبا إلى قصار ونحوه) كخياط وغسال (بلا استئجار) أي بغير ذكر ما يقتضي أجرة (ليقصره) أو ليخيطه أو ليغسله (فقصره) أو خاطه أو غسله (فالثوب أمانة) في يده (ولا أجرة له ولو) كان معروفا بذلك العمل بأجر أو (قال) له (اقصره) أو خطه أو نحوه لعدم التزامها

[3] Abdul Malik bin Abdullah bin Yusuf al-Juwaini, Nihayah al-Matlab fi Dirayah al-Mazhab, (Dar al-Minhaj, cetakan 1, 1428H – 2007M), 19/190

Lihat: Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, (Beirut: Dar Ihya al-Turath al-Arabiy), 10/288

(على غير ممتنع من الأداء طالبه) ليؤدي ما عليه (ولا يحل أخذ شيء له) ؛ لأن له الدفع من أي ماله شاء فإن أخذ شيئا لزمه رده وضمنه إن تلف ما لم يوجد شرط التقاص (أو على منكر) أو من لا يقبل إقراره على ما بحثه البلقيني ورد بقول مجلي من له مال على صغير لا يأخذ جنسه من ماله اتفاقا اهـ ويجاب بحمل هذا إن صح على ما إذا كان له بينة يسهل بها خلاص حقه (ولا بينة) له عليه أو له بينة وامتنعوا أو طلبوا منه ما لا يلزمه أو كان قاضي محله جائرا لا يحكم إلا برشوة فيما يظهر في الأخيرتين (أخذ جنس حقه من ماله) ظفرا لعجزه عن حقه إلا بذلك فإن كان مثليا أو متقوما أخذ مماثله من جنسه لا من غيره.