Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

Soalan:

Apakah hukum orang sakit yang uzur tidak dapat mengambil wudhu dengan air?

Jawapan:

Pada awalannya kami bawakan di sini ayat-ayat al-Quran yang menjadi dalil kulli kepada prinsip-prinsip memberi keringanan dan toleransi dalam Islam serta menolak haraj atau kesusahan. Ini kerana Islam merupakan agama yang tidak memberati umat dengan perkara yang tidak mampu untuk dilaksanakan.

Dalil-dalil ini juga merupakan asas kepada Manhaj al-Taisir (manhaj yang memudahkan) di dalam fiqh al-Islami, antaranya:  

Firman Allah SWT:

لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا

Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

(Surah al-Baqarah: 286)

Firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.

(Surah al-Taghabun: 16)

Firman Allah SWT:

مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ

Maksudnya: Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan).

(Surah al-Maidah: 6)

 

Firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.

(Surah al-Haj: 78)

Firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

(Surah al-Baqarah: 185)

 

Penyakit atau kecederaan yang menimpa seseorang yang menyebabkan ketidakmampuan untuk berwudhu dengan air disebabkan kondisi penyakitnya yang menghalang dari menggunakan air atau kerana akan melambatkan kesembuhan pada tubuh badannya, maka baginya hukum dibolehkan untuk bertayammum.

Ini sebagaimana firman Allah SWT dan sabda Nabi SAW, serta pandangan yang telah disebutkan oleh ulama dalam kitab masing-masing.

  

Dalam al-Quran Allah SWT berfirman:

وَإِن كُنتُم مَّرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الغَائِطِ أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيداً طَيِّباً فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ

Maksudnya: Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu.

(Surah al-Maidah: 6)

Ayat di atas jelas menunjukkan akan pensyariatan tayammum kepada keadaan-keadaan manusia yang disebut di dalam ayat di atas.

 

Al-Maraghi berkata: “Apabila kamu mengalami salah satu dari tiga keadaan ini seperti sakit atau dalam perjalanan pemusafiran, atau tidak menemui air sewaktu hendak menyucikan kedua-dua jenis hadas di atas, maka hendaklah kamu mencari debu atau dataran bumi yang suci daripada najis, lalu tepuklah kedua-dua tangan sampai ke pergelangan tangan, dengan adanya kesan debu tersebut.” (Tafsir al-Maraghi 3/1500).

Dalil hadis pula ialah, Rasulullah SAW bersabda:

وَجُعِلَتْ لَنَا الأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدًا وَجُعِلَتْ تُرْبَتُهَا لَنَا طَهُورًا إِذَا لَمْ نَجِدِ الْمَاءَ

Maksudnya: “Dijadikan bagi kita seluruh bumi tempat sujud, dan tanahnya pula bahan bersuci ketika ketiadaan air.

Riwayat Muslim (522)

Dalam fiqh mazhab Syafie ada menyebut tentang sebab-sebab membolehkan tayammum antaranya ialah kerana keuzuran yang menghalang dari menggunakan air.

Kami nukilkan di sini daripada al-Fiqh al-Manhaji:

Terhalang daripada menggunakan air sama ada halangan yang nyata, seperti ada air di tempat yang berhampiran tetapi tidak jauh dari situ pula ada musuh yang ditakuti, ataupun ada halangan syara’, iaitu seperti takut menggunakan air kerana bimbang terkena penyakit, dan melambatkan proses penyembuhan. Dalam keadaan yang demikian, dia bolehlah bertayammum dan tidak wajib menggunakan air. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW tentang seorang yang mendapat luka di kepala dan meninggal dunia selepas dia mandi:

إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيهِ أَنْ يَتَيَمَّمَ أَوْ يَعْصِبَ عَلَى جُرْحِهِ خِرْقَةً ثُمَّ يَمْسَحَ عَلَيْهَا وَيَغْسِلَ سَائِرَ جَسَدِهِ

Maksudnya: “Dia sepatutnya bertayammum sahaja dan membalut lukanya dengan kain, kemudian menyapunya dan mandi seluruh badannya.”

Riwayat Abu Daud (336)

 

Hal yang sama juga disebut di dalam kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili.

Hal ini juga bertepatan dengan kaedah fiqhiyyah iaitu:

المشقة تجلب التيسير

Maksudnya: “Kesusahan akan membawa kepada kemudahan.”

Kami bawakan di sini salah satu dawabit dalam menggunakan kaedah ini, antaranya ialah:

  • Kesusahan yang tidak mampu dilaksanakan oleh mukallaf.

Tayammum dalam kondisi ini merupakan rukhsah daripada Syari’. Rukhsah dalam kategori ini ialah dinamakan sebagai Rukhsah Tark (رخصة ترك). Iaitu seruan Syari’ kepada rukhsah disebabkan darurat atau keberhajatan dengan MENINGGALKAN perkara yang diwajibkan.

Adapun di sisi jumhur melaksanakan ‘azimah iaitu mengambil hukum asal adalah lebih afdhal daripada melaksanakan rukhsah, akan tetapi di dalam isu di atas, sekiranya ianya membawa kepada mudarat dan kecelakaan maka rukhsah adalah perlu dilaksanakan. Ini kerana untuk menolak kemafsadahan dan mudarat. Lebih-lebih lagi sekiranya keadaan pesakit yang mendapat nasihat dan panduan daripada pakar perubatan untuk mengambil rukhsah.

Di sini juga kami nukilkan daripada al-Fiqh al-Manhaji berkenaan dengan syarat-syarat tayammum dan rukun-rukun tayammum:

 

Syarat-syarat Tayammum

  • Mengetahui masuk waktu solat.
  • Mencari air selepas masuk waktu solat.
  • Menggunakan debu tanah yang suci yang tidak mengandungi tepung dan kapur.
  • Menghilangkan najis terlebih dahulu.
  • Menentukan kiblat sebelum bertayammum.

 

Rukun Tayammum

Rukun tayammum ada tiga:

  • Berniat. Tempat niat di dalam hati. Oleh itu seseorang hendaklah berniat dalam hatinya perbuatan tayammum tersebut, malah sunat melafazkannya dengan kata, sahaja aku mengharuskan solat, solat fardhu, solat sunat dan seumpamanya yang hendak dilakukannya. Apabila seseorang bertayammum dengan niat mengharuskan yang fardhu, dia boleh melakukan beberapa amalan sunat yang lain bersamanya.
  • Menyapukan debu tanah ke muka dan kedua-dua belah tangan hingga siku dengan dua kali tepukan, yakni menepukkan dua tangan ke atas debu tanah yang suci dan menyapukannya ke seluruh muka. Kemudian menepukkannya lagi ke atas debu tanah tersebut dan menyapukannya pula pada kedua-dua belah tangannya hingga siku dengan cara tapak tangan kiri menyapu tangan kanan dan tapak tangan kanan menyapu tangan kiri.

 

Ini berdasarkan hadith, daripada Ibn Umar RA sabda Rasulullah SAW:

التَّيَمُّمُ ضَرْبَتَانِ ضَرْبَةٌ لِلْوَجْهِ وَضَرْبَةٌ لِلْيَدَيْنِ إِلَى الْمِرْفَقَيْنِ

Maksudnya: “Cara bertayammum adalah dengan dua kali tepukan, sekali untuk muka dan sekali lagi untuk kedua-dua belah tangan hingga siku.

Riwayat al-Daraqutni (1/256)

 

Sapuan tersebut hendaklah meliputi seluruh anggota tayammum. Ini bererti sekiranya ada cincin di jari ia mestilah ditanggalkan ketika melakukan tepukan yang kedua supaya debu tanah boleh sampai ke bahagian jari tempat cincin tersebut.

 

  • Tertib menurut cara yang telah disebutkan. Ini kerana tayammum menggantikan wudhu’ yang tertib adalah antara rukunnya. Oleh itu lebih utama ia menjadi rukun kepada penggantinya.

Akhir kalam, semoga dengan pencerahan dan penjelasan ini, dapatlah kita melakasanakan kewajipan agama dengan lebih sempurna dan bertepatan dengan roh agama. Amiin.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

20 Mac 2017 bersamaan 21 Jamadil Akhir 1438H