Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-6: PERBEZAAN DI ANTARA USUL FEQH DAN KAEDAH FEQH

 

Soalan:

Assalamualaikum, bolehkah Datuk Mufti memberikan sedikit penjelasan berkenaan perbezaan di antara usul al-fiqh dan juga qawaid fiqh (kaedah fiqh) ? Jazakallahu khayran.

Jawapan:

Waalaikumussalam warahmatullah. Perbezaan di antara usul al-fiqh dan kaedah fiqh dapat kita fahami dengan mengenalpasti definisi di antara keduanya terlebih dahulu.

Definisi Usul Al-Fiqh:

Usul al-fiqh dari sudut istilah bermaksud: Mengetahui dalil-dalil fiqh yang bersifat ijmali (kulliy), dan cara mengambil faedah daripadanya serta mengetahui keadaan seorang mustafid (mujtahid). Lihat Syarah al-Kaukab al-Munir (1/44).

Berdasarkan kepada definisi di atas, kita dapat nyatakan bahawa usul fiqh itu terdiri daripada tiga skop yang berikut:

Pertama: Usul al-fiqh memberi tumpuan pada mengenalpasti dalil-dalil ijmali. Iaitu dalil-dalil yang disepakati dan juga dalil-dalil yang tidak disepakati.

Kedua: Ilmu usul fiqh membahaskan berkenaan cara-cara mengambil faedah daripada dalil-dalil tersebut. Iaitu cara-cara mengeluarkan hukum-hakam syarak daripada dalil-dalil syar’ie. Ia seperti kata perintah (al-amr), kata larangan (al-nahy), ayat-ayat ‘am, khas, al-mutlak, al-muqayyad, dan seumpamanya.

Ketiga: Ilmu ini juga membincangkan berkenaan keadaan seorang mujtahid. Iaitu individu yang mengambil faedah daripada dalil-dalil syarak ini. Turut termasuk di dalam perbahasan ini adalah berkenaan al-ta’arudh dan juga al-tarjih dan juga fatwa kerana ia merupakan tugas-tugas seorang mujtahid.

Definisi Kaedah Fiqh:

Terdapat beberapa definisi kaedah fiqh yang disebutkan oleh para fuqaha. Berikut kami nyatakan di antara definisinya ialah:

Kaedah feqh dari sudut istilah bermaksud: Hukum yang bersifat ghalib (kebiasaan) yang darinya dapat dikenalpasti hukum juzuk-juzuk feqh secara langsung. Rujuk al-Qawaid al-Fiqhiyyah al-Muyassarah, Dr. ‘Imad Ali Jumaah.

Kata al-Taftazani: Kaedah adalah hukum yang bersifat kulliy (menyeluruh) yang terpakai kepada juzuk-juzuknya untuk dikenalpasti hukum-hakam daripadanya. Rujuk al-Talwih ‘ala al-Tawdhih, al-Taftazani (1/20).

Kata al-Imam Jalaluddin al-Mahalli: Kaedah adalah suatu kenyataan yang menyeluruh yang dapat dikenalpasti daripadanya hukum-hakam juzuk-juzuknya. Rujuk Syarah al-Mahalli ‘ala Jam’ul Jawamik, al-Mahalli (1/32).

Berdasarkan kepada beberapa definisi di atas, dapatlah kita fahami bahawa kaedah feqh itu merupakan: Suatu kaedah umum yang bersifat menyeluruh ataupun aghlabi (kebiasaan), yang mana daripadanya kita dapat mengetahui hukum-hakam bagi cabang-cabang yang berkaitan dengannya.

 

Perbezaan Di Antara Usul al-Fiqh Dan Kaedah Feqh

Berikut kami kongsikan beberapa perbezaan di antara usul al-fiqh dan juga kaedah feqh:

Pertama: Usul feqh sebagaimana yang kami sebutkan di dalam definisinya di atas adalah merupakan dalil-dalil umum. Manakala kaedah feqh pula diibaratkan sebagai hukum-hakam yang bersifat umum.

Kedua: Fokus perbincangan bertopik ataupun maudhuk bagi ilmu usul al-fiqh adalah dalil dan juga hukum. Manakala kaedah feqh lebih tertumpu kepada perbuatan mukallaf.

Sebagai contohnya, di dalam ilmu usul feqh terdapatnya sebuah kaedah usuliyyah yang disebutkan iaitu :

الأَمْرُ لِلْوُجُوبِ إِلَّا أَنْ تصرفُهُ قَرِينَة

Maksudnya: “Kata perintah membawa kepada hukum wajib kecuali jika terdapat qarinah yang mengalihkan daripada wajib kepada sunat.”

Kaedah di atas jelas menunjukkan bahawa ilmu usul feqh lebih menumpukan kepada dalil dan hukum. Justeru, jika dilihat kepada nas-nas al-Quran ataupun hadis yang terdapat padanya kata perintah maka ia membawa kepada hukum wajib selagi mana tidak terdapat petunjuk lain yang mengalihkannya dari hukum tersebut.

Manakala contoh bagi kaedah feqh adalah seperti:

الضَّرَرُ يُزَال

Maksudnya: Perkara yang memberi mudharat itu hendaklah dihilangkan.

Daripada kaedah feqh ini kita dapat melihat bahawa setiap perbuatan mukallaf yang mendatangkan mudharat hendaklah dihilangkan. Maka kita mendapati bahawa kaedah feqh memberikan tumpuan kepada perbuatan mukallaf.

Ketiga: Sesungguhnya kebanyakan permasalahan usul al-fiqh tidak berkhidmat untuk membawa kepada hikmah pensyariatan dan juga tujuannya. Ini berbeza dengan kaedah feqh yang mana ia memberi pengenalan akan jalan untuk sampai kepada rahsia ataupun hikmah di sebalik hukum-hakam syarak. Serta ia berkhidmat kepada maqasid al-syar’iyyah yang bersifat umum dan juga khusus.

Sebagai contoh: Di antara maqasid syariah adalah untuk menjaga agama, nyawa, akal, harta, dan juga maruah. Untuk berkhidmat kepada kelima-lima maqasid syariah ini, kaedah feqh memainkan peranannya seperti berikut:

Islam melarang umatnya untuk memberikan kemudharatan kepada sesiapa sahaja. Ini termasuklah kemudharatan kepada nyawa, harta benda, akal dan seumpamanya. Oleh kerana itu terdapatnya kaedah feqh yang mengatakan:

لَا ضَرَر وَلَا ضِرَار

Maksudnya: Tidak boleh memberi mudharat dan tidak boleh membalas kemudharatan dengan kemudharatan.

Justeru, hikmah diharamkan arak di dalam syariat adalah kerana ia memberi mudharat kepada akal. Hikmah diharamkan mencuri adalah kerana ia memberikan kemudharatan kepada harta benda manusia. Demikian jugalah kaedah-kaedah feqh yang lain.

Akhir kalam, semoga dengan pencerahan di atas kita dapat memahami serba sedikit berkenaan perbezaan di antara ilmu usul al-fiqh dan juga kaedah feqh.