Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE- 41 : ADAKAH GOLONGAN JIN ITU MUKALLAF ?

IUF41

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz, satu soalan yang bermain di fikiran saya adakah golongan jin juga merupakan mukallaf seperti manusia ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Secara asasnya, kita perlu mengakui akan kewujudan jin di dalam alam ini. Demikian juga kita mengakui bahawa golongan jin ini mempunyai jisim serta boleh berubah bentuk kepada pelbagai jenis bentuk. Lalu kita membahaskan sama ada golongan jin ini mukallaf ataupun tidak.

Justeru kami nyatakan kata-kata dari Imam Ibn Abd Al-Bar yang menyebutkan : Golongan jin di sisi jemaah (para ulama) adalah kumpulan mukallaf yang turut termasuk dalam khitab (syarak). Ini berdasarkan firman Allah S.W.T :

فَبِأَي آلَاء رَبكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maksudnya : Maka dengan nikmat Tuhan kamu berdua yang manakah hendak kamu dustakan ?

Surah Ar-Rahman (47)

Imam Ar-Razi dalam tafsiran beliau terhadap ayat di atas berkata : Kesemua ulama telah bersepakat bahawa golongan jin kesemuanya adalah mukallaf.

Manakala Al-Qadhi Abu Al-Hasan Abdul Jabbar pula menyebutkan : Kami tidak mengetahui sebarang khilaf dalam kalangan ahli nazhar tentang hal tersebut (iaitu jin termasuk dalam kalangan mukallaf). Dan Al-Quran menyebutkan tentang hal itu dalam banyak ayat.

Demikian juga Al-Quran menyebutkan beberapa ayat seperti :

قل أُوحِي إِلَيّ أَنه اسْتمع نفر من الْجِنّ … فَآمَنا بِهِ وَلنْ نشْرك بربنا أحدا

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad) bahawa telah diwahyukan kepadaku akan sesungguhnya sekumpulan dari kalangan jin telah mendengar … sehinggalah sampai kepada ayat : Maka kami (golongan jin) beriman dengan-Nya dan kami sama sekali tidak akan menyekutukan Tuhan kami dengan suatu apa pun.

Surah Al-Jin (1 - 2)

Imam Al-Qadhi Badr Al-Din Al-Syibli menyebut: Ini adalah antara beberapa ayat yang menunjukkan ke atas taklifannya mereka (golongan jin) dan mereka itu turut termasuk dalam ayat suruhan dan juga ayat larangan. Rujuk Akaam Al-Marjan fi Ahkam Al-Jaan, Badr Al-Din Al-Syibli (Hlm. 63).

Demikian juga firman Allah S.W.T :

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya : Dan tidaklah aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk mereka beribadah kepada-Ku.

Surah Al-Dzariyat (56)

Maka berdasarkan ayat di atas ini jelas menunjukkan bahawa golongan jin dan manusia adalah termasuk dalam arahan untuk beribadah kepada Allah S.W.T. Ini seperti yang disebutkan oleh Saidina Ali bin Abi Thalib R.A dalam menghuraikan maksud ayat di atas dengan katanya :

وما خلقت الجن والإنس إلا لآمرهم بالعبادة

Maksudnya : Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk Aku perintahkan kepada mereka agar beribadah. Rujuk Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurthubi (17/52).

Justeru apabila kita mengatakan bahawa golongan jin ini merupakan mukallaf, maka para ulama berbeza pendapat adakah mereka ini diberi pahala atas ketaatan yang dilakukan serta dimasukkan ke dalam syurga dan golongan kuffar dari kalangan jin dimasukkan ke dalam neraka ? Berikut kami kongsikan beberapa pandangan para ulama dalam isu ini :

Pertama : Tidak ada khilaf di sisi para ulama bahawa golongan kuffar dari kalangan jin adalah ditempatkan di dalam neraka. Ini seperti yang disebutkan oleh firman Allah S.W.T :

وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Maksudnya : Dan telah lengkap kalimah Tuhan kamu bahawa Aku akan memenuhkan neraka Jahannam dengan golongan jin dan manusia secara sekaligus.

Surah Hud (119)

Kedua : Pandangan jumhur menyebutkan bahawa golongan mukmin dari kalangan jin dimasukkan ke dalam syurga. Antara dalilnya adalah firman Allah S.W.T :

وَلِمَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ جَنَّتَانِ فَبِأَي آلَاء رَبكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maksudnya : Dan bagi mereka yang takutkan maqam Tuhannya itu dua syurga. Maka nikmat kamu berdua yang mana lagikah ingin kamu dustakan.

Surah Al-Rahman (46 - 47)

Berdasarkan ayat di atas, khitab ditujukan kepada dua golongan iaitu jin dan juga manusia. Maka ini membuktikan bahawa sesiapa dari kalangan jin dan manusia yang takutkan kedudukan Tuhannya akan diberikan ganjaran syurga. Kata Imam Al-Thabari dalam tafsirnya :

فبأي نعم ربكما معشر الجن والإنس من هذه النعم تكذبان

Maksudnya : Maka dengan nikmat Tuhan kamu berdua yang mana satu wahai kalangan jin dan manusia yang kamu berdua ingin dustakan ?

Rujuk Tafsir Al-Thabari (23/23)

Ketiga : Ada pendapat yang menyebutkan bahawa golongan mukmin dari kalangan jin tidak memasuki syurga. Namun ganjaran mereka adalah selamat dari api neraka. Rujuk Al-Asybah wal-Nazhair, Al-Suyuthi (Hlm. 434).

Demikian dalam membahaskan isu taklif golongan jin ini, para ulama juga menyebutkan perbahasan berkaitan hukum seseorang lelaki itu berkahwin dengan golongan perempuan dari kalangan jin. Maka berikut kami kongsikan pendapat dari Syeikh Jamaluddin Al-Isnawi yang berkata :

لَا يجوز لَهُ أَن يتَزَوَّج من الْجِنّ امْرَأَة لعُمُوم الْآيَتَيْنِ الكريمتين قَوْله تَعَالَى فِي سُورَة النَّحْل وَالله جعل لكم من أَنفسكُم أَزْوَاجًا وَفِي سُورَة الرّوم وَمن آيَاته أَن خلق لكم من أَنفسكُم أَزْوَاجًا

Maksudnya : Tidak dibolehkan untuk seseorang itu berkahwin dengan perempuan dari kalangan jin berdasarkan keumuman dua ayat yang mulia berikut iaitu firman Allah di dalam Surah Al-Nahl :

وَالله جعل لكم من أَنفسكُم أَزْوَاجًا

Maksudnya : Dan Allah telah menjadikan buat kamu pasangan dari diri kamu sendiri.

Begitu juga firman Allah di dalam Surah Al-Rum :

وَمن آيَاته أَن خلق لكم من أَنفسكُم أَزْوَاجًا

Maksudnya : Dan antara tanda-tanda (kebesaran) Allah adalah Dia menciptakan buat kamu pasangan dari diri kamu sendiri.

Maka kata para ulama tafsir ketika menafsirkan dua ayat di atas bahawa ia bermaksud : (Pasangan kamu) adalah dari jenis kamu sendiri dan ciptaan yang sama seperti kamu. Rujuk Akaam Al-Marjan Fi Ahkam Al-Jaan (Hlm. 114).

 

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa golongan jin juga turut termasuk dalam kalangan mukallaf. Dari sudut mereka juga turut termasuk dalam sebarang arahan dan juga larangan di sisi syarak mengikut syariat Nabi Muhammad S.A.W. Justeru, terdapat kelompok jin yang mukmin dan ada juga yang kafir dari kalangan mereka. Maka ini membawa maksud, golongan jin juga ada yang masuk ke dalam syurga dan juga neraka.

Kami juga menyatakan bahawa apabila kita berpegang dengan pendapat golongan jin ini mukallaf, secara tidak langsungnya kita menyatakan bahawa mereka juga mempunyai akal untuk memahami apa yang diperintahkan dan dilarang kepada mereka. Dari sudut akal tersebut juga membolehkan golongan jin membezakan di antara perkara yang baik dan juga perkara yang buruk. Ini kerana di sisi ilmu usul fiqh menyebutkan bahawa مناط التكليف adalah akal.

Meskipun begitu, kita hendaklah jelas bahawa isu berkaitan golongan jin ini termasuk dalam perkara ghaib. Prinsip kita dalam perkara ghaib adalah kita mensabitkannya dengan berpandukan Al-Quran dan juga Al-Sunnah Al-Sahihah. Justeru, jika tidak terdapat sebarang penjelasan syarak berkenaan perkara-perkara yang berkaitan dengan mereka, maka kita mengambil langkah untuk tidak memperincikannya. Ini seperti perbahasan tentang kaifiat atau tatacara mereka beribadah dan seumpamanya.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.