Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

maqasid syafie

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

 

Biografi dan latar belakang Imam al-Syafi’e

Imam al-Syafi’e atau nama penuhnya Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Uthman bin Syafie bin Ubaid bin Abdu Yazid bin Hasyim bin al-Muttalib bin Abdi Manaf lahir pada tahun 150H di sebuah tempat bernama Ghazzah di kota ‘Asqalan. Nasab beliau bertemu dengan nasab Rasulullah SAW pada moyang mereka berdua iaitu Abdu Manaf.

Ketika umurnya dua tahun, beliau dibawa oleh ibunya ke Hijaz dan apabila umurnya mencecah 10 tahun, ibunya membawanya ke Mekah kerana khuatir nasabnya yang mulia akan lenyap. (Rujuk Manaqib al-Syafi’e oleh Imam al-Baihaqi, 1/472 dan Tawali al-Ta'sis li Ma'ali Muhammad ibn Idris, hlm. 51)

Di Mekah, beliau menuntut ilmu dengan beberapa orang ulama terkenal, antaranya Imam Khalid bin Muslim al-Zanji iaitu mufti Mekah pada waktu itu, Fudhail bin ‘Iyadh dan Sufyan bin ‘Uyainah.

Kemudian beliau berpindah ke Madinah ketika berumur 12 tahun, dan telah menghafal kitab al-Muwatto hanya dalam masa 9 hari untuk membolehkan dirinya belajar dengan Imam Malik bin Anas. Beliau telah menjadi anak murid Imam Malik yang paling alim, selain turut belajar daripada ulama Madinah yang lain. Beliau telah diberikan kebenaran untuk berfatwa ketika umur beliau 15 tahun.

Kemudiannya, beliau berpindah ke Yaman dan menuntut ilmu daripada Mutorrif bin Mazin, Hisyam bin Yusuf, ‘Amru bin Abi Salamah dan Yahya bin Hassan, sebelum menetap di Iraq dan berguru dengan Waki’ bin Jarrah, Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani, Hammad bin Usamah, Ayyub bin Suwaid al-Ramli dan Ismail bin ‘Ulayyah. Di Iraq, beliau telah mengarang kitab al-Hujjah yang menghimpunkan pandangan beliau yang lama (qaul qadim).

Kemudian, Imam al-Syafi’e berpindah ke Mesir, dan mengubah banyak fatwa-fatwa beliau yang lama dan mengasaskan mazhab yang baharu yang menghimpunkan qaul jadid, yang dimuatkan di dalam kitab al-Umm. Beliau turut mengarang kitab al-Risalah dalam ilmu Usul Fiqh, sekaligus menjadi pengasas bagi ilmu ini.

Beliau telah diiktiraf sebagai mujaddid (pembaharu) agama Islam bagi kurun yang kedua, antara lain kerana telah menghimpunkan antara dua manhaj, iaitu manhaj Ahlu Ra’yi yang diasaskan oleh Imam Abu Hanifah dan manhaj Ahlu al-Hadith yang dilazimi oleh Imam Malik bin Anas.Imam al-Syafi’e telah meninggal dunia pada tahun 204H di Kaherah, semoga Allah SWT merahmati roh beliau. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masa’il al-Mufidah hlm. 31-32)

 

Ketokohan Imam al-Syafi’e

Ketokohan dan keilmuan Imam al-Syafi’e merupakan satu hal yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapapun.

Kata Imam al-Karabisi: Kami tidak tidak mampu mengistinbatkan hukum daripada hadith-hadith, dan kami tidak mengetahui hakikat sebenar al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijma’ sehinggalah Imam al-Syafi’e mengajarkannya kepada kami.

Kata Imam Ahmad bin Hanbal: Syafi’e merupakan seorang ahli falsafah dalam empat bidang: bahasa Arab, perselisihan manusia, ilmu ma’ani dan fiqh. (Rujuk Tarikh Dimasyq 51/350)

 

Imam al-Syafi’e dan ilmu Maqasid Syariah

Bagi penjelasan ringkas berkenaan Maqasid Syariah, rujuk artikel kami yang bertajuk Irsyad Usul Al-Fiqh Siri Ke- 33: Pendahuluan Kepada Ilmu Maqasid Syariah.[1]

Antara tokoh yang biasanya dikreditkan dengan penggagasan ilmu Maqasid Syariah ialah Imam al-Haramain al-Juwaini, Imam al-Ghazali dan Imam Abu Ishaq al-Syatibi. Namun, jarang sekali nama Imam al-Syafi’e disebut sebagai tokoh pembicara dalam ilmu ini.

Dalam isu ini, Dr Ahmad Wifaq Mokhtar[2] telah mengarang sebuah kitab yang amat cemerlang, yang merupakan tesis Phd beliau yang bertajuk Maqasid al-Syariah ‘inda al-Imam al-Syafi’e (Maqasid Syariah Di Sisi Imam Syafi’e).

Melalui kitab ini, Dr. Ahmad Wifaq mempersembahkan banyak bukti dan hujah yang mengesahkan bahawa Imam Syafie merupakan orang pertama yang berbicara mengenai ilmu Maqasid Syariah, dan yang terawal menggunakan istilah Maqasid al-Syari’ah itu sendiri. Hal ini sekaligus menyanggah pandangan sesetengah pihak yang tidak menyebut Imam Syafi’e sebagai pembicara terawal dalam bidang ini.

Antara lain, beliau menukilkan kata-kata guru beliau iaitu Syeikh Farid al-Ansari[3]: “Ilmu Maqasid Syariah ini telah dikarang oleh dua orang tokoh, iaitu Imam al-Syafi’e dan Imam al-Syatibi”.

Selain itu, tokoh-tokoh besar Maqasid seperti Imam al-Haramain al-Juwaini, Imam al-Ghazali dan Imam al-‘Izz bin Abdissalam merupakan ulama Syafi’eyyah, maka pastinya imam mereka semua iaitu Imam al-Syafi’e telah banyak membicarakan berkenaan Maqasid sebelum mereka.

Bahkan Imam al-Syatibi sendiri dalam kitab beliau al-Muwafaqat, banyak merujuk kepada kitab al-Risalah karangan Imam al-Syafi’e. Hal ini jelas menunjukkan bahawa Imam Al-Syafi’e merupakan insan pertama yang menggagaskan Maqasid sebagai satu manhaj dan menetapkan parameter-parameter dalam memahami Maqasid Syariah. (Rujuk Maqasid al-Syariah ‘inda al-Imam al-Syafi’e hlm. 20-21 dan hlm. 41)

Imam al-Syafi’e juga banyak menerapkan fikrah Maqasid Syariah sewaktu membahaskan objektif pensyariatan ibadah serta objektif pengharaman suatu perkara, antaranya:

Tujuan solat- Imam al-Juwaini menukilkan kata-kata Imam al-Syafi’e: Ma’na yang dituntut daripada solat itu ialah bagi menghasilkan kekhusyukan dan ketundukan, penyerahan diri kepada Allah SWT, memperbaharui hati dengan pesanan-pesanan yang baik, hikmah yang sempurna, tafakkur terhadap ayat-ayat al-Qur’an serta doa kepada Allah SWT. Kerana itulah beliau melarang keras solat seumpama ayam yang mencatuk makanan kerana bercanggah dengan asas solat itu sendiri. (Rujuk Mughith al-Khalq hlm. 78-79 dan Maqasid al-Syariah ‘inda al-Imam al-Syafi’e hlm. 91-92)

Objektif puasa- Objektif pertama daripada tuntutan berpuasa, menurut Imam al-Syafi’e ialah sebagai ujian dan menilai kepatuhan terhadap Allah SWT, manakala objektif kedua ialah supaya manusia berlapar dan belajar melawan dorongan hawa nafsu. (Rujuk Mughith al-Khalq hlm. 88)

Kewajipan zakat- Imam al-Juwaini menukilkan kata-kata Imam al-Syafi’e berkenaan zakat: “Membayar zakat itu mestilah disegerakan, dan kewajipan itu tidak gugur dengan kematian. Jika kita katakan tidak wajib segera membayar zakat (tarakhiy) dan gugur kewajipan jika pembayar meninggal dunia, maka hal ini sebenarnya menyanggahi hikmah dan objektif syarak (maqasid) daripada pensyariatan zakat itu sendiri”. (Rujuk Mughith al-Khalq hlm 60-61 dan Maqasid al-Syariah ‘inda al-Imam al-Syafi’e hlm. 43)

Pengharaman benda yang memabukkan sebagai maqasid hifz al-aql- Haram bagi seseorang itu meminum arak, hatta untuk perubatan, kerana ia menghilangkan kewarasan dan kesedaran aqal, dan ia mencegah pula seseoran daripada melaksanakan kewajipannya dan membawa pula kepada perkara-perkara yang haram. (Rujuk Al-Umm 2/253)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, menurut kajian oleh Dr Ahmad Wifaq, Imam al-Syafi’e merupakan ulama pertama yang meletakkan batu asas kukuh bagi ilmu Maqasid Syariah, dan kesimpulan bagi kajian beliau antara lainnya ialah:

  • Imam al-Syafi’e merupakan orang pertama yang menggunakan istilah Maqasid al-Syari’ah dan yang memahaminya sebagai kulliyyat al-syara’ dan maslahah ‘ammah.
  • Istilah Maqasid al-Syari’ah banyak digunakan dalam kitab usul fiqh beliau, khasnya dalam kitab al-Risalah al-Qadimah.
  • Imam al-Syafi’e merupakan yang terawal mengemukakan konsep al-dharuriyyat al-khams secara umum dan secara terperinci, serta membahagikan maslahah kepada dharuriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat.
  • Imam al-Syafi’e mengambil kira aspek Maqasid al-Syari’ah pada banyak permasalahan fiqh.
  • Kitab al-Umm dipenuhi dengan ta’lil maqasidi yang memerlukan kepada kajian dan analisis untuk mengenalpasti manhaj ta’lil bi al-maqasid dan aplikasinya disisi Imam al-Syafi’e. (Rujuk Maqasid al-Syariah ‘inda al-Imam al-Syafi’e 468-471)

Wallahu a’lam.

 

Nota kaki:

[1] Rujuk pautan: https://bit.ly/2vtRLpT

[2] Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dari Universiti Ibn Tufail di Maghribi, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Moulay Ismail juga di Maghribi, masing-masing dalam bidang Fatwa dan Maqasid Syariah. Merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan.

[3] Merupakan seorang ilmuan besar dalam bidang fiqh, usul fiqh, maqasid syariah dan pengajian al-Quran dari Maghribi. Juga merupakan pengarang karya-karya besar seperti Majalis al-Qur’an, Abjadiyyat al-Bahts fi al-‘Ulum al-Syar’iyyah dan al-Mustolah al-Usuliy ‘inda al-Syatibi.