Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

iuf 57 iftiradhi

 

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga baginda SAW, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

 

Muqaddimah

Isu membincangkan hukum-hakam fiqh pada perkara yang belum berlaku merupakan satu perbahasan yang panjang dalam kalangan ulama, dan ia diistilahkan sebagai al-fiqh al-iftiradhiالافتراضي)  (الفقه atau al-fiqh al-taqdiri  (الفقه التقديري) . Ringkasnya, ia merupakan usaha para ulama untuk mengandaikan situasi, keadaan atau perkara yang mungkin akan berlaku, lalu menetapkan hukum baginya.

Menurut Muhammad bin al-Hasan al-Hijawi, pengasas bagi manhaj fiqh iftiradhi ini ialah Imam Abu Hanifah al-Nu’man bin Tsabit. Beliau banyak memikirkan masalah-masalah taqdiriyyah dan menjangka terjadinya perkara-perkara tertentu serta hukum-hakamnya, sama ada melalui qiyas atau meletakkannya di bawah al-'umum. Dikatakan bahawa permasalahan taqdiriyyah atau iftiradhiyyah yang beliau susun mencapai bilangan 60 ribu, dan ada yang menyatakan sehingga 300 ribu permasalahan fiqh.

Bahkan Imam Malik sendiri, meskipun diriwayatkan bahawa beliau tidak berfatwa melainkan pada perkara yang benar-benar telah berlaku, namun dalam al-Muwatto’ dan al-Mudawwanah jelas membuktikan beliau ada berfatwa pada perkara yang belum terjadi. (Rujuk al-Fikr al-Sami di Tarikh al-Fiqh al-Islami 1/419-420)

Namun demikian, terdapat ayat-ayat al-Qur’an serta hadith-hadith yang pada zahirnya melarang fiqh iftiradhi ini. Allah SWT telah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَسْأَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ إِن تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu.

Surah al-Ma’idah (101)

Selain itu, Nabi SAW juga pernah melarang dari banyak bertanya tentang perkara-perkara yang belum diturunkan hukumnya dalam sabda Baginda SAW:

دَعُونِي مَا تَرَكْتُكُمْ، إِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِسُؤَالِهِمْ وَاخْتِلاَفِهِمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ، فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَىْءٍ فَاجْتَنِبُوهُ، وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Cukuplah dengan apa yang telah aku tinggalkan kepada kalian. Sesungguhnya umat-umat sebelum kamu telah binasa kerana terlalu banyak soalan mereka dan perselisihan mereka dengan para Nabi mereka. Apabila aku larang suatu perkara, tinggalkanlah, dan apabila aku perintahkan suatu perkara, lakukanlah dengan semampu yang mungkin.”

Sahih al-Bukhari (7288)

Secara umumnya, ramai para ulama yang tidak suka kepada fiqh iftiradhi ini, dan Imam Ibn Abd al-Barr banyak menukilkan perkataan para salafussoleh yang menunjukkan keengganan mereka berbicara atau berijtihad pada perkara-perkara yang masih belum berlaku.

Imam Ibn Syihab Al-Zuhri pernah ditanya oleh khalifah Abdul Malik bin Marwan mengenai sesuatu perkara. Lalu dia bertanya semula kepada khalifah sama ada telah terjadi sesuatu sehingga tertimbulnya soalan itu? Khalifah menjawab bahawa ia belum berlaku. Al-Zuhri pun berkata, “Biarkan wahai Khalifah. Jika ia benar berlaku kelak, Allah akan mendatangkan kemudahan untuk perkara itu.”

Diriwayatkan pula bahawa Raqabah bin Masqalah pernah berkata:

هو أجهل الناس بما كان وأعلمهم بما لم يكم

Maksudnya: Beliau (Abu Hanifah) ialah seorang yang paling jahil tentang hukum-hakam yang telah berlaku, dan paling mengetahui hukum pada perkara yang belum berlaku. (Rujuk Jami’ Bayan al-‘Ilm wa Fadhlihi 2/145)

Kata-kata ini merupakan satu kritikan yang berbentuk mubalaghah (berlebih-lebihan) ke atas Imam Abu Hanifah daripada seorang ulama yang tidak gemar kepada manhaj beliau yang banyak berijtihad pada perkara yang belum berlaku.

Kata Masruq: Aku pernah bertanya Ubay bin Ka’ab R.A tentang suatu masalah, lalu dia bertanya sama ada dia telah berlaku, dan aku menyatakan tidak, lalu dia meminta aku datang kembali hanya setelah ia benar-benar berlaku. (Rujuk Jami’ Bayan al-‘Ilm wa Fadhlihi 2/1065)

 

Keharusan dan kepentingan fiqh iftiradhi

Menurut Imam Ibn al-‘Arabi, larangan Nabi SAW terhadap para sahabat R.’Anhum daripada bertanya tentang perkara yang belum berlaku ialah kerana Baginda bimbang akan turunnya berkenaan perkara yang ditanya, lalu menyusahkan umat Baginda sendiri. Adapun setelah berakhirnya zaman kewahyuan, maka larangan tersebut tidak lagi terpakai. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari 13/263)

Menurut Imam al-Khatib al-Baghdadi juga, Rasulullah SAW sendiri telah diminta fatwa dan diajukan soalan berkenaan perkara yang belum berlaku, namun Baginda tidak mengingkarinya, bahkan menjawabnya tanpa Baginda mempersoalkan si penanya mengapa dia bertanya soalan yang demikian. (Rujuk al-Faqih wa al-Mutafaqqih 2/19)

Misalnya, Rafi` bin Khadij R.A pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang apa yang perlu dilakukan jika berlakunya suatu peperangan yang menyebabkan tiada pisau untuk menyembelih binatang:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا لاَقُو الْعَدُوِّ غَدًا وَلَيْسَتْ مَعَنَا مُدًى قَالَ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ أَعْجِلْ أَوْ أَرْنِي مَا أَنْهَرَ الدَّمَ وَذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ فَكُلْ لَيْسَ السِّنَّ وَالظُّفُرَ

Maksudnya: Wahai Rasulullah, jika tiba suatu peperangan dan kami tidak mempunyai pisau untuk menyembelih, bagaimana? Rasulullah SAW lalu menjawab: “Apa sahaja yang dapat mengalirkan darah dan disebut nama Allah dengannya selain menggunakan gigi dan kuku, maka makanlah kamu dari sembelihan tersebut.”

Sahih Muslim (1968)

‘Alqamah bin Wa’il R.A meriwayatkan bahawa Salamah bin Yazid al-Ju’fi R.A bertanya kepada Rasululllah SAW:

يَا نَبِيَّ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ قَامَتْ عَلَيْنَا أُمَرَاءُ يَسْأَلُونَا حَقَّهُمْ وَيَمْنَعُونَا حَقَّنَا فَمَا تَأْمُرُنَا فَأَعْرَضَ عَنْهُ ثُمَّ سَأَلَهُ فَأَعْرَضَ عَنْهُ ثُمَّ سَأَلَهُ فِي الثَّانِيَةِ أَوْ فِي الثَّالِثَةِ فَجَذَبَهُ الأَشْعَثُ بْنُ قَيْسٍ وَقَالَ ‏ "‏ اسْمَعُوا وَأَطِيعُوا فَإِنَّمَا عَلَيْهِمْ مَا حُمِّلُوا وَعَلَيْكُمْ مَا حُمِّلْتُمْ ‏"

Maksudnya: Wahai Nabi Allah, apa pandanganmu jika kami berada di bawah pemerintah yang meminta kami melaksanakan tanggungjawab kami kepada mereka, namun mereka tidak melaksanakan tanggungjawab mereka kepada kami? Apa yang kau perintahkan untuk kami lakukan? Rasulullah SAW mengelak daripada memberikan jawapan, dan Salamah bertanya untuk kali kedua dan ketiga; tatkala Asy’ats bin Qays R.A menyedari Nabi tidak selesa didesak sedemikian, Asy’ath menarik Salamah ke tepi dan berkata: Dengar dan patuhlah kepada mereka, sesungguhnya mereka dan kalian akan dibalas dengan apa yang

Sahih Muslim (1846)

Al-Khatib al-Baghdadi meriwayatkan bahawa Imam Abu Hanifah pernah bertanya kepada Qatadah tentang hukum seorang lelaki yang meninggalkan keluarganya selama beberapa tahun, dan isterinya menyangka suaminya telah meninggal dunia lalu berkahwin dengan lelaki lain. Kemudian suami pertamanya datang kembali, bagaimana status perkahwinannya? Qatadah tidak menyukai pertanyaan sebegini kerana ia sekadar andaian yang belum berlaku, lalu Imam Abu Hanifah menjawab: Persoalan sebegini adalah untuk kita bersedia dengan sebarang isu dan masalah sebelum ia berlaku, agar kita mampu mencari solusi baginya. (Rujuk Tarikh Baghdad 13/348)

Menurut Imam al-Sarakhsi al-Hanafi, antara kepentingan fiqh iftiradhi ini adalah supaya kita bersedia dengan sebarang kemungkinan sebelum ia berlaku. (Rujuk al-Mabsuth, 1/242)

Menurut Imam al-Bayhaqi, Imam Abu Abdilllah al-Hulaimi membenarkan isu fiqh iftiradhi ditanya oleh para penuntut ilmu fiqh dan dijawab oleh guru yang ‘alim untuk memberi panduan kepada mereka cara untuk beristidlal dan berijtihad. (Rujuk Al-Madkhal ila al-Sunan al-Kubra, hlm. 227)

Imam Ibn Nujaim al-Hanafi pula meriwayatkan kisah bahawa suatu hari Qadhi Abu Yusuf ingin membuka kelas pengajian dan mengajar masyarakat, sedangkan beliau masih belum diberi kebenaran oleh gurunya Imam Abu hanifah untuk berbuat demikian. Maka Imam Abu Hanifah telah menghantar seorang lelaki untuk bertanya lima permasalahan iftiradhiyyah kepadanya, dan Abu Yusuf tidak mampu menjawabnya dengan baik. Maka sedarlah Abu Yusuf bahawa beliau masih banyak kekurangan dari sudut keilmuan dan kefaqihan, lalu kembali belajar dengan gurunya. (Rujuk Al-Asybah wa al-Nazha’ir li Ibn Nujaim al-Hanafi, hlm. 364-365)

Menurut Imam Ibn Qayyim, jika suatu permasalahan iftiradhi itu tidak mempunyai dalil atau nukilan pandangan ulama terdahulu, dan ia berkemungkinan akan berlaku, dan niat orang yang bertanya adalah untuk bersedia sekiranya ia berlaku, maka disunatkan bagi seorang ‘alim untuk menjawab persoalan itu, bahkan ia boleh menjadi wajib mengikut keadaan tertentu. (Rujuk I’lam al-Muwaqqi’in 4/193)

Selain itu, Imam al-Syawkani pula, salah satu keadaan yang disunatkan untuk para ulama berijtihad dan berfatwa ialah pada perkara atau persoalan yang belum berlaku. (Rujuk Irsyad al-Fuhul 2/211)

Amalan fiqh iftiradhi juga disokong oleh Al-‘Allamah Muhammad Abu Zahrah yang menyatakan bahawa ia merupakan satu syarat untuk membolehkan ilmu fiqh berkembang, dan ia merupakan satu kemestian kepada setiap pelajar ilmu ini. (Rujuk Abu Hanifah: Hayatuhu wa ‘Asruhu, hlm. 204)

 

Larangan mengandaikan hukum pada perkara yang mustahil berlaku

Namun demikian, para ulama yang membenarkan fiqh iftiradhi mensyaratkan agar ia mestilah ada kemungkinan atau kebarangkalian, dan tidak mustahil untuk berlaku. Kerana itu menurut Imam al-Maziri al-Maliki, bukanlah sifat seorang faqih itu untuk menjangka dan memikirkan hukum pada perkara yang menyanggahi adat. (Rujuk Al-Fikr al-Sami, hlm. 353)

Oleh kerana itu juga, para ulama telah mengkritik ijtihad sebahagian ulama mazhab Hanafi yang mengandaikan permasalahan yang hampir mustahil untuk berlaku, antaranya ialah pengiraan fara’idh bagi seorang lelaki yang mati dan meninggalkan seratus orang nenek, atau jika tentera kuffar menjadikan seorang Nabi sebagai benteng pertahanan diri ketika peperangan, adakah boleh tentera Islam menyerang? (Rujuk Hasyiyah Ibn ‘Abidin 4/129 dan Hasyiyah al-Tohtowi ‘ala al-Durr al-Mukhtar 1/60)

Begitu juga dengan persoalan jika seorang khunsa menyetubuhi diri sendiri dan melahirkan anak, adakah anak itu akan mewarisi fara’idh daripadanya dengan bahagian seorang ibu atau bahagian bapa? Jika dia mengandungkan sepasang kembar, dengan salah seorang bayi dikandungkan di dalam rahim dan seorang lagi pula dikandung pada bahagian belakang, kedua-duanya tidak boleh mewarisi harta pusakanya.

Para ulama menegaskan bahawa adalah lebih baik untuk seorang faqih dan penuntut ilmu untuk menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang wajib, mempelajari penyakit-penyakit hati serta penawarnya serta mendalami ma’na-ma’na al-Qur’an dan al-Hadith. (Rujuk Sahih Muslim bi Syarh al-Abi wa al-Sanusi 1/336-337)

Begitu juga dengan andaian seperti seorang wanita yang memasuki tandas dan duduk di atas tempat yang mengandungi sisa air mani lelaki. Tanpa disedari, air mani itu termasuk ke dalam rahimnya sehingga membuatkannya mengandung. Adakah anak itu boleh dinisbahkan kepada dia dan suaminya yang sah jika dia telah bernikah? Adakah dia perlu mandi junub? Isu seperti ini teramat jauh daripada kemungkinan untuk berlaku, maka pembicaraan mengenainya adalah tiada faedah yang nyata untuk diri seorang faqih dan untuk masyarakat amnya.

 

Contoh Fiqh Iftiradhi

Di sana terdapat beberapa contoh ijtihad fiqh iftiradhi yang pada waktu ia diijtihadkan kedengaran agak pelik, namun pada zaman kini ia terbukti berlaku.

Contohnya Imam Ibn Abidin pernah menyebut bahawa jika seseorang itu solat dalam keadaan menanggung bekas yang mengandungi air kencing, maka solatnya tidak sah. (Rujuk Hasyiyah Ibn Abidin 1/403) Hal tersebut kedengaran janggal pada zaman tersebut, namun pada zaman ini ia terbukti relevan bagi kes-kes pesakit yang memakai beg air kencing.

Begitu juga dengan nukilan daripada Imam al-Syatibi yang menyatakan bahawa mereka yang menuju ke Mekah untuk menunaikan haji secara ‘terbang di langit’ atau ‘berjalan di atas air’ tidak dianggap sebagai perbuatan bidaah, kerana ia hanya merupakan wasilah untuk melaksanakan satu kefardhuan. (Rujuk Al-I’tisom 1/253) ‘Berjalan di atas air’ sudah berlaku pada zaman tersebut melalui kapal, namun terbang di langit hanya berlaku pada zaman sekarang melalui kapa terbang dan helikopter.

Imam al-Hattob al-Maliki pula dalam syarah beliau terhadap Mukhtasar Khalil mengandaikan satu masalah fiqh: Jika seorang wali Allah terbang ke langit sejam sebelum terbitnya fajar, dan ketika di langit dia melihat fajar atau matahari itu sendiri; dalam keadaan ini haram untuknya solat Subuh, kerana fajar yang dijadikan oleh Allah SWT sebagai sebab kepada wajibnya solat Subuh ialah fajar yang kita lihat ketika di bumi. (Rujuk Mawahib al-Jalil 1/382) Atas dasar inilah para ulama pada zaman sekarang berhukum pada isu solat di atas kapal terbang mestilah mengikut masuknya waktu solat berdasarkan waktu di bumi, bukannya semata-mata melihat fajar ketika di atas kapal terbang.

 

Cabaran perubahan pada masa hadapan

Satu realiti yang perlu kita terima, kemajuan teknologi manusia semakin hari semakin berkembang pesat. Perkara yang suatu ketika dahulu kedengaran mustahil untuk dicapai, pada hari ini ia ada peluang untuk digapai.

Zaman ini diistilahkan oleh ramai pihak sebagai zaman Revolusi Perindustrian 4.0 (Industrial Revolution atau IR 4.0), yang menyaksikan kemajuan kecerdasan buatan (artificial intelligence atau AI), industri robotik dan kejuruteraan genetik (genetic engineering) mula diaplikasikan dalam segenap bidang kehidupan manusia.

Pada Oktober 2019, Jabatan Hal Ehwal Islam di Dubai, UAE telah melancarkan laman web dan aplikasi ‘Virtual Fatwa’ yang dikuasakan oleh AI, yang membenarkan pengguna meminta fatwa dan hukum dalam pelbagai bidang.[1] Ini sebenarnya menimbulkan persoalan dari sudut etika fatwa itu sendiri, kerana antara tatacara meminta fatwa adalah ia mesti daripada seorang mufti yang faqih dan ‘adil, serta  mufti juga mesti mengetahui latar belakang permasalahan yang ditanya, selain mengetahui kadar pemikiran orang yang meminta fatwa. Maka apakah ‘virtual mufti’ menepati syarat ini?

Pada zaman sekarang juga sudah bermula ekspedisi dan penerokaan manusia ke angkasa lepas. Sebelum ini kita pernah menghantar angkawasawan pertama negara, Sheikh Muszaphar Shukor ke International Space Station (ISS), dan panduan fiqh yang lengkap telah disediakan untuk membolehkan beliau beribadat dengan sebaiknya ketika di ISS dan di dalam roket. Pada masa akan datang, tidak mustahil akan ada ekspedisi manusia ke planet Marikh seperti yang dirancang oleh Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA), dan tidak mustahil akan ada warga Muslim yang turut menyertainya. Maka pada waktu itu, kita perlukan formulasi baharu fiqh, antaranya berkaitan kiblat solat, waktu solat, tempoh berpuasa dan sebagainya.

Perkara-perkara di atas merupakan sebahagian kecil daripada cabaran zaman moden yang mesti dihadapi oleh institusi kefatwaan serta semua pihak yang berkecimpung dalam bidang fiqh ini. Sebagaimana yang ditegaskan oleh sekian ramai para ulama, fiqh dan fatwa mesti sentiasa mampu menyelesaikan permasalahan umat manusia, dan tidak kaku serta terhad kepada fiqh di dalam kitab, tanpa mengambil kira fiqh realiti yang pantas berubah.

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa manhaj fiqh iftiradhi ini diterima oleh para ulama, dengan syarat ia melibatkan hukum pada perkara-perkara yang ada kebarangkalian untuk berlaku dan tidak mustahil untuk terjadi dari segi akal dan adat manusia.

Larangan-larangan dalam hadith serta sikap negatif sebahagian ulama terhadap fiqh iftiradhi ialah pada hukum hakam yang mustahil berlaku, serta perbincangan tentangnya tidak memberi manfaat yang nyata.

Banyak ijtihad para ulama terdahulu yang sukar diterima akal untuk berlaku pada zaman tersebut, namun ia terbukti benar-benar berlaku pada zaman sekarang. Hal ini menunjukkan betapa relevannya fiqh iftiradhi ini dalam menyelesaikan permasalahan dalam kalangan masyarakat.

Fiqh iftiradhi juga sebenarnya membuka ruang untuk perkembangan dan kemajuan ilmu fiqh dan fatwa itu sendiri, yang membenarkan para ulama berijtihad dan memberikan solusi terhadap perkara-perkara yang bakal berlaku dalam masyarakat, seiring dengan peredaran zaman dan kemajuan sains dan teknologi.

Wallahu a’lam.

Nota kaki:

[1] Rujuk pautan: https://www.alaraby.co.uk/english/news/2019/10/31/dubai-launches-first-ever-artificial-intelligence-powered-fatwa-service