IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-62 : KAEDAH ‘TIDAK DIINGKARI PERKARA KHILAF, HANYA DIINGKARI PERKARA YANG DISEPAKATI (IJMA’) DAN APLIKASINYA

iuf62

SOALAN

Assalamualaikum. Boleh terangkan tentang kaedah fiqh لَا يُنْكَرُ المُخْتَلَفُ فِيهِ إِنَّمَا يُنْكَرُ المُجْمَعُ عَلَيهِ  dan aplikasinya?

Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Maksud kaedah fiqh tersebut ialah ‘tidak diingkari perkara khilaf, hanya diingkari perkara yang disepakati’. Ini bermakna sesuatu perkara khilaf tidak perlu untuk ditegur atau dicegah dengan tangan (kuasa), lidah atau hati sepertimana dicegah perbuatan mungkar yang disepakati oleh ulama’ sepertimana disebutkan hadith yang masyhur. Walau bagaimanapun disyaratkan khilaf tersebut merupakan khilaf muktabar yang mempunyai dalil yang kuat dan cara pendalilan yang betul.

Namun begitu perkara khilaf ini boleh untuk dibahas dan didebatkan dengan hujah-hujah ilmiah dalam kalangan mereka yang berkeahlian dan berilmu. Barangsiapa yang jelas baginya pandangan yang sahih di antara pandangan-pandangan khilaf tersebut, maka hendaklah dia mengikutinya. Namun jika ada orang lain berpegang dengan pandangan berbeza dengannya dan mengamalkannya, dia tidak boleh mengingkari atau menghalang orang tersebut dari bertaqlid dengan pandangan tersebut.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Imam al-Suyuti di dalam kitabnya al-Asybah wa al-Nadzair menyebutkan satu kaedah fiqh iaitu:

لَا يُنْكَرُ المُخْتَلَفُ فِيهِ إِنَّمَا يُنْكَرُ المُجْمَعُ عَلَيهِ

Maksudnya: Tidak diingkari atau dicegah perkara yang menjadi khilaf, hanya yang diingkari ialah perkara yang telah disepakati oleh ulama’ (ijma’).[1] (Rujuk al-Suyutial-Asybah wa al-Nadzair, 1:158)

Pertama, maksud ‘tidak diingkari’ di sini ialah tidak dicegah sepertimana dicegah kemungkaran yang jelas keharamannya sepertimana cara-cara pencegahan dengan tangan (kuasa), lidah dan hati di dalam hadith. Hal ini dijelaskan secara ringkas oleh Dar al-Ifta’ al-Mesir:

"عدم الإنكار في المختلف فيه"، ومعناه أن يعاتب الشخص آخر، أو ينهاه عن العمل برأيه؛ لأنه مخالف لما يراه، أو ينسب قوله إلى المُنْكَر مستخدمًا طرق الإنكار الثلاث المنصوص عليها في الحديث -اليد أو اللسان أو القلب- سبيلًا للتغيير، أو مجرد الاعتراض على عملٍ موافق لرأي مجتهد معتبر في تلك المسائل الخلافية.

Maksudnya: ‘Tidak diingkari perkara khilaf’, bermaksud dicela atau dihalang orang lain daripada beramal dengan pegangannya hanya kerana berbeza pandangan dengan apa yang dipegang oleh seseorang atau menisbahkan kepada kemungkaran dengan menggunakan tiga cara untuk mencegah kemungkaran seperti yang disebutkan di dalam hadith iaitu, tangan (kuasa), lidah dan hati atau sekadar membantah terhadap amalan yang bertepatan dengan pandangan mujtahid yang muktabar terhadap masalah-masalah khilaf tersebut.[2]

Hendaklah diketahui bahawa khilaf yang berlaku ialah pada furu’ fiqh dan beberapa permasalahan furu’ akidah. Oleh itu, khilaf pada perkara yang sudah pasti iaitu pada hukum yang berdasarkan nas al-Quran dan Hadith yang qat’ie dilalah (yang jelas makna) dan tsubut-nya dan ijma’ ulama tidak berlaku khilaf.  

Walau bagaimanapun terdapat beberapa keadaan yang dikecualikan daripada kaedah ini. Ini kerana kebanyak kaedah-kaedah fiqh itu terdapat pengecualian. Pengecualian di dalam kaedah ini disebut oleh Imam al-Suyuti di dalam al-Asybah wa al-Nadzair seperti berikut:

القاعدة الخامسة والثلاثون : "لا ينكر المختلف فيه ، وإنما ينكر المجمع عليه" ويستثنى صور، ينكر فيها المختلف فيه : إحداها : أن يكون ذلك المذهب بعيد المأخذ ، بحيث ينقض. ومن ثم وجب الحد على المرتهن بوطئه المرهونة ، ولم ينظر لخلاف عطاء . الثانية : أن يترافع فيه الحاكم ، فيحكم بعقيدته ، ولهذا يحد الحنفي بشرب النبيذ ; إذ لا يجوز للحاكم أن يحكم بخلاف معتقده. الثالثة : أن يكون للمنكر فيه حق ، كالزوج يمنع زوجته من شرب النبيذ ، إذا كانت تعتقد إباحته ، وكذلك الذمية على الصحيح .

Maksudnya: Kaedah yang ke-35 : Tidak perlu diingkar atau dicegah perkara yang menjadi khilaf, hanya yang perlu diingkar dan dicegah ialah perkara yang telah menjadi ijma’ ulama’. Dikecualikan daripada kaedah ini beberapa perbahasan dengan perlu diingkar perkara yang menjadi khilaf:

Pertama, mazhab yang diikuti tersebut jauh tersasar dari sudut pendalilannya yang menyebabkan ia ditolak. Oleh kerana itu, wajib untuk dijatuh hukum hudud ke atas seorang yang menjaga barang cagaran (al-murtahin)  yang bersetubuh dengan hamba perempuan yang dicagarkan (al-marhunah), dan tidak diambil kira khilaf daripada Atha’.

Kedua, diangkat permasalahan tersebut kepada hakim, lalu hakim memberikan keputusan berdasarkan pandangan mazhab pegangannya. Oleh itu, dijatuhkan hukum hudud ke atas seseorang yang bermazhab Hanbali yang meminum nabiz (sejenis minuman rendaman kurma yang diperam lama yang boleh menyebabkan mabuk) kerana hakim tidak boleh untuk menjatuhkan hukuman yang berbeza dengan pegangannya.

Ketiga, jika sekiranya orang yang menegur atau mencegah tersebut mempunyai hak (ke atas orang yang ditegur tersebut). Ini seperti seorang suami yang menghalang isterinya daripada meminum nabiz jika dia (isteri) berpegang dengan keharusan untuk meminumnya, begitu juga ke atas seorang dzimmi (orang bukan Islam di dalam negara Islam) pada pendapat yang sahih.[3] (Rujuk al-Asybah wa al-Nadzair li al-Suyuti, 1:158)

Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa khilaf yang yang menjadi diambil kira di sini bukanlah apa jua khilaf. Bahkan, khilaf yang dimaksudkan ialah khilaf yang muktabar. Terdapat beberapa syarat bagi sesuatu khilaf menjadi khilaf yang muktabar. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

متى يُعدُّ الخلاف معتبرًا؟ والخلاف المعتبر: هو الخلاف الذي له حظ من النظر، أي: من الدليل، فلا يلتفت إلى قول في مسألة ليس عليه دليل، أو عليه دليل ليس بقوي. ولذلك وضع العلماء لجعل الخلاف مُعتبرًا شروطًا؛ لأن الخلاف إن كان مـما يندرج تحت هذه الشروط، اعتُبر وصح القول بـمراعاته. وهذه الشروط هي:

الشرط الأول: أن يكون الخلاف قوي المُدْرَك.

الشرط الثاني: ألَّا يؤدي الخلاف إلى مخالفة سنة ثابتة.

الشرط الثالث: ألَّا يؤدي الخلاف إلى خرق الإجماع.

الشرط الرابع: أن يكون الجمع بين المذاهب ممكنًا.

الشرط الخامس: ألَّا يوقع الخلاف في خلاف آخر.

Maksudnya: Bilakah sesuatu khilaf tersebut dianggap sebagai khilaf yang muktabar? Khilaf muktabar ialah khilaf yang mempunyai sebahagian daripada dalil. Maka tidak diberikan perhatian kepada permasalahan yang tidak mempunyai dalil atau dalilnya tidak kuat. Oleh itu, para ulama’ telah meletakkan syarat-syarat bagi menjadikan sesuatu khilaf tersebut menjadi khilaf yang muktabar. Ini kerana jika sesuatu khilaf menepati syarat-syarat yang disebutkan, maka barulah ia diambil kira dan sahih pandangannya dengan berpandukan syarat tersebut. Syarat-syarat tersebut ialah:

  • Hendaklah mempunyai dalil yang kuat.
  • Khilaf tersebut tidak membawa kepada menyelisihi sunnah yang telah sabit.
  • Khilaf tersebut tidak membawa kepada melanggar ijma ulama’.
  • Hendaklah ia boleh untuk dihimpun pandangan antara mazhab-mazhab.
  • Khilaf tersebut tidak menyebabkan berlakunya khilaf yang lain.[4]

Kesimpulan

Kesimpulannya, perkara yang menjadi khilaf dalam kalangan ulama’ tidak perlu untuk diingkari atau dicegah sama ada dengan tangan (kuasa), lidah dan hati sepertimana dicegah perbuatan mungkar yang disepakati oleh para ulama’. Namun begitu disyaratkan khilaf tersebut memenuhi syarat-syarat khilaf muktabar yang telah ditetapkan oleh para ulama’ dengan mempunyai dalil yang kuat dan cara pendalilan yang betul.

Walau bagaimanapun, perkara khilaf ini boleh dibahaskan dan didebatkan dengan hujah-hujah ilmiah. Barangsiapa yang jelas baginya pandangan yang sahih di antara pandangan-pandangan khilaf tersebut, maka hendaklah dia mengikutinya. Namun jika ada orang lain yang berpegang dengan pandangan berbeza dengannya, dia tidak boleh mengingkari atau menghalang orang tersebut dari bertaqlid dengan pandangan tersebut. WaAllahu a’lam.

 Rujukan

[1] Al-Suyuti, Jalaluddin (1990), al-Asybah wa al-Nadzair, Dar al-Kutub al-‘Ilmiah, Beirut, jld. 1, hlmn. 158

[2] Dar al-Ifta al-Misriyyah : https://www.dar-alifta.org/ar/ViewResearch.aspx?sec=fatwa&ID=2377&LangID=1

[3] [3] Al-Suyuti, Jalaluddin (1990), al-Asybah wa al-Nadzair, Dar al-Kutub al-‘Ilmiah, Beirut, jld. 1, hlmn. 158.

[4] Dar al-Ifta’ al-Misriyyah : https://www.dar-alifta.org/AR/ViewResearch.aspx?ID=6#9


Cetak   Emel