Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

TAHQIQ AL-MASA’IL SIRI KE-5 : HUKUM SOLAT JUMAAT JIKA BERTEMBUNG DENGAN HARI RAYA

 

 

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri merupakan dua hari kebesaran dalam Islam. Kita selaku umat Islam dianjurkan untuk meraikan hari tersebut mengikut lunas dan sunah baginda, Rasulullah SAW. Baru-baru ini timbul isu dalam masyarakat tentang hukum solat Jumaat bagi kaum lelaki sekiranya bertembung hari dengan hari raya. Sebahagian pihak mengatakan bahawa solat Jumaat tidak lagi wajib dilaksanakan jika seseorang itu sudah menunaikan solat hari raya. Ini berbeza dengan amalan kebiasaan masyarakat Malaysia yang tetap menunaikan solat Jumaat seperti biasa sekalipun daripada segi cara perlaksanaannya adalah hampir sama kerana melibatkan dua rakaat solat dan dua khutbah.

Melihat kepada polemik ini, kami ingin menjawab isu berkenaan dalam artikel Tahqiq al-Masa’il kali ini memandangkan isu ini sebenarnya melibatkan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama Salaf. Justeru kami tajukkan makalah Tahqiq al-Masa’il siri kelima ini dengan tajuk “Hukum Solat Jumaat Jika Bertembung Dengan Hari Raya”.

Semoga huraian ini memberikan manfaat dan penjelesan yang baik tentang isu sebenar dan cara penyelesaian yang terbaik dalam isu ini.

 

Solat Jumaat Adalah Kewajiban

Solat Jumaat adalah suatu kewajiban atau wajib ain bagi kaum lelakk yang, baligh, beraqal, merdeka, bermukim, sihat dan tidak uzur, dalam keadaan berjemaah. Pensyariatan solat ini disebut oleh Allah SWT sendiri di dalam al-Quran. Firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

(Surah al-Jumu’ah: 9)

Imam al-Qurtubi dalam Tafsir-nya berkata: “Ayat ini menjadi dalil bahawa Allah fardhukan Jumaat kepada setiap orang Islam dan menolak pendapat yang menyatakan bahawa solat Jumaat hukumnya fardhu kifayah sedangkan Jumhur al-Ummah berpendapat hukumnya adalah fardhu ain.”

Daripada Toriq bin Syihab RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

Maksudnya: “Solat Jumaat adalah hak yang wajib ke atas setiap lelaki Muslim.”

 Riwayat Abu Daud (1067)

Daripada Abu Hurairah RA dan Ibn Umar R.Anhuma, mereka berdua mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika Baginda berada di atas mimbarnya:

لَيَنْتَهِيَنَّ أَقْوَامٌ عَنْ وَدْعِهِمُ الْجُمُعَاتِ أَوْ لَيَخْتِمَنَّ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ ثُمَّ لَيَكُونُنَّ مِنَ الْغَافِلِينَ

Maksudnya: “Hendaklah sesuatu kaum itu daripada meninggalkan solat Jumaat atau Allah akan menutup hati-hati mereka, akibatnya mereka akan menjadi golongan yang lalai.”

Riwayat Muslim (865)

Bahkan menurut Imam Ibn Mundzir dalam al-Ijma` (ms. 40): “Mereka (kaum Muslim) telah berijma` bahawa sesungguhnya solat Jumaat itu adalah wajib ke atas orang-orang lelaki yang merdeka, baligh, bermukim lagi tiada uzur yang menghalangi mereka.”

Justeru, pensyariatan solat Jumaat adalah disepakati kewajibannya berdasarkan nas dan kesepakatan umat Islam.

 

Solat Hari Raya Adalah Sunat Muakkad

Solat Hari Raya Aidiladha dan Aidiladha adalah disyariatkan di dalam Islam. Sementara dalil pensyariatannya pula ialah firman Allah SWT yang ditujukan kepada Nabi SAW:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنْحَرْ

Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

(Surah al-Kautsar: 2)

Arahan mengerjakan solat dalam ayat di atas menurut ulama tafsir adalah solet Aidiladha. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri RA:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى المُصَلَّى فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ ثُمَّ يَنْصَرِفُ فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ وَالنَّاسُ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ فَيَعِظُهُمْ وَيُوصِيهِمْ، وَيَأْمُرُهُمْ، فَإِنْ كَانَ يُرِيدُ أَنْ يَقْطَعَ بَعْثًا قَطَعَهُ أَوْ يَأْمُرَ بِشَيْءٍ أَمَرَ بِهِ ثُمَّ يَنْصَرِفُ

 

Maksudnya: “Rasulullah SAW pergi ke Musalla (tempat sembahyang) pada hari Aidilfitri dan Aidiladha. Perkara pertama yang Baginda lakukan ialah solat. Kemudian, Baginda berpaling menghadap orang ramai yang masih duduk di dalam saf mereka, lalu Baginda memberikan nasihat dan menyampaikan apa-apa arahan kepada mereka. Jika hendak menghantar pasukan pejuang atau menyampaikan apa-apa arahan, Baginda membuat keputusan dan mengarahkannya pada masa itu. Selepas itu, Baginda pun bersurai.”

Riwayat al-Bukhari (913) dan Muslim (889)

Musalla ialah kawasan lapang seperti padang dan sebagainya. Jumhur ulama menyebut adalah sunat kita melakukan solat hari raya fitrah dan korban di Musalla (tempat yang lapang atau padang).

            Imam al-Nawawi berkata: “Hadis ini menjadi dalil bahawa sunat mengerjakan solat hari raya di tempat lapang dan ianya lebih afdal dari solat di masjid.”

Rujuk al-Minhaj Syarh Muslim (6/177)

            Begitu juga yang disebut oleh Ibn Hajar al-Asqalani akan tetapi bagi mazhab al-Syafie tidak mengapa dilakukan solat hari raya di masjid sebagaimana yang kita lihat pada hari ini  khususnya jika masjid boleh menampung ramai.

Rujuk Fath al-Bari (2/450)

            Berkata Mikhnaf bin Sulaim (seorang sahabat Nabi SAW): “Keluar pada masa hari raya fitrah seperti mengerjakan umrah dan keluar pada masa hari raya korban seperti melakukan haji.”

Rujuk Lataif al-Ma’arif (1/276)

Umat Islam telah berijmak bahawa solat sunat hari raya adalah diperintahkan perlaksanaannya secara ijmak. Ulama berkhilaf sama ada hukumnya adalah sunat muakkad atau fardu kifayah.

  • Jumhur ulama yang terdiri daripada Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafie, Imam Daud dan satu riwayat daripada Imam Ahmad bin Hanbal menyatakan hukumnya adalah sunat muakkadah (yakni tersangat dituntut dan meninggalkannya adalah makruh).
  • Sebahagian ulama mazhab Hanafi dan satu riwayat Imam Ahmad bin Hanbal menyatakan hukumnya adalah fardu kifayah.

Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhazzab (5/3) oleh Imam al-Nawawi

 

Hukum Apabila Bertemu Hari Raya Aidiladha atau Aidilfitri Pada Jumaat

Setelah kami huraikan soal pensyariatan solat Jumaat dan solat hari raya, kita masuk dalam isu yang berkait bahawa apakah hukum sekiranya Hari Raya dan hari Jumaat bertemu pada hari yang sama; adakah solat Jumaat tetap ditunaikan seperti hukum asal atau sebaliknya?

Dalam isu ini, para ulama salaf terbahagi kepada dua pandangan, secara ringkas:

Pendapat pertama: Solat Jumaat tetap wajib dilaksanakan.

Pendapat kedua: Solat Jumaat tidak wajib dilaksanakan.

Kami akan huraikan pendapat-pendapat tersebut dan bentuknya satu persatu.

 

Pendapat yang Pertama

Ini adalah pendapat Jumhur ulama yang terdiri daripada Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie. Mereka berpendapat solat Jumaat tidak digugurkan dan mereka yang dianggap sebagai ahl al-balad (orang yang tinggal dalam pusat bandar/pekan/kampung/karyah) adalah tetap wajib menunaikan fardu Jumaat. Namun, mereka berbeza dalam beberapa hal.

Merek berdalilkan atsar daripada Sayyidina Uthman bin al-Affan RA yang berkhutbah pada hari raya Aidiladha:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّ هَذَا يَوْمٌ قَدِ اجْتَمَعَ لَكُمْ فِيهِ عِيدَانِ، فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَنْتَظِرَ الجُمُعَةَ مِنْ أَهْلِ العَوَالِي فَلْيَنْتَظِرْ، وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَرْجِعَ فَقَدْ أَذِنْتُ لَهُ

Maksudnya: "Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya hari ini telah berkumpul bagi diri kamu dua hari rayah (Aidiladha dan hari Jumaat). Barangsiapa daripada kaum al-Awali yang suka untuk menunggu sehingga solat Jumaat, maka tunggulah. Barangsiapa yang hendak balik maka aku benarkan.”

Riwayat al-Bukhari (5572)

Imam al-Nawawi berkata: “(al-Awali) merujuk kepada penduduk kampung `Aliyah yang terletak sebelah timur Madinah."

Menurut mazhab al-Syafie, pendapat yang muktamad adalah hukum solat Jumaat tidak gugur apabila solat raya sudah dilaksanakan bagi orang yang berstatus ahlu al-balad, manakala ahl al-qura boleh memilih sama ada untuk menunaikan solat Jumaat atau solat Zuhur sahaja.

Imam al-Syafie dan ashabnya berkata: “Jika bertemu hari Jumaat dan hari raya, dalam keadaan ahl al-qura yakni mereka yang wajib menunaikan solat Jumaat kerana sampai nida’ al-balad (yakni azan daripada balad) kepada mereka, maka tidak jatuh kefarduan solat Jumaat ke atas ahl al-balad tanpa khilaf. Sebaliknya ke atas ahl al-qura terdapat dua wajah. Wajah yang sahih lagi dinaskan oleh al-Syafie dalam al-Umm dan pendapat qadimnya bahawa solat Jumaat digugurkan (yakni tidak wajib dan diganti Zuhur). Manakala wajah kedua mengatakan tidak gugur...”

Menurut Imam al-Nawawi, inilah pegangan Sayyidina Uthman bin Affan, Umar bin Abdulaziz dan majoriti ulama.

Berkata Imam Abu Hanifah: “Tidak gugur kefarduan Jumaat daripada ahl al-balad, tak jua ahl al-qura.”

Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhazzab (4/492)

Pendapat yang Kedua

Ini adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal. Mazhab Hanbali menyatakan bahawa jika berkumpul hari raya dan hari Jumaat, maka gugurlah kewajiban menghadiri solat Jumaat bagi siapa yang sudah melaksanakan solat Id, kecuali Imam. Imam tidak gugur kewajipan daripada kecuali sekiranya tidak berkumpul bilangan orang yang membolehkan solat Jumaat.

Rujuk al-Mughni (2/265) oleh Imam Ibn Qudamah

Mereka berdalilkan hadis yang diriwayatkan oleh Iyas bin Abi Ramlah al-Syami, bahawa dia pernah menyaksikan Muawiyah bertanya Zaid bin Arqam: “Adakah engkau pernah bersama dengan Rasulullah SAW apabila dua hari raya berkumpul pada satu hari?” Dia menjawab, “Ya”. Muawiyah bertanya, “Maka apa yang Baginda lakukan?” Zaid menjawab, “Baginda bersolat hari raya kemudian memberi rukhsah (kemudahan) bagi solat Jumaat kemudian berkata:

مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيُصَلِّ

Maksudnya: “Barangsiapa yang hendak solat (Jumaat) maka solatlah.”

Riwayat Abu Daud (1070), Ibn Majah (1310), Ibn Abi Syaibah (5846) dalam Musannaf, al-Darimi (1653), al-Hakim (1653) dan lain-lain.

Hadis lain daripada Abu Hurairah RA, Ibn Umar R.Anhuma, dan Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اجْتَمَعَ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ، فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنْ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ إِنْ شَاءَ اللَّهُ

Maksudnya: “Telah berhimpun pada hari kamu ini dua hari raya. Barangsiapa yang berkehendakkan maka memadailah baginya (yakni solat hari raya) daripada (melaksanakan) solat Jumaat. Adapun kami, kami lakukan kedua-duanya sekali, Insya Allah.”

Riwayat Ibn Majah (1311), Abu Daud (1073), al-San`ani (5728) dalam Musannaf, al-Hakim (1064) dan lain-lain. Kata al-Nawawi: “Isnadnya daif.” Begitu juga penilain al-Baihaqi. Tetapi al-Hakim mensahihkannya dan dipersetujui oleh al-Dzahabi.

Mereka mengatakan bahawa solat Jumaat itu hanyalah penambahan khutbah berbanding solat Zuhur. Maka sudah memadai dengan didengar khutbah itu pada solat hari raya. Ini kerana waktu keduanya adalah sama, maka satu menggugurkan satu yang lain seperti solat Jumaat dengan solat Zuhur.

Rujuk al-Mughni (2/266) oleh Imam Ibn Qudamah              

Ada juga pendapat ulama yang menyatakan bahawa setelah ditunaikan solat hari raya, sudah gugur solat Jumaat dan solat Zuhur sama ada bagi ahl al-qura atau ahl al-balad. Ini adalah pendapat Ata’ bin Abi Rabah RA. Pendapat ini juga seperti mana yang diriwayatkan daripada Ibn al-Munzir bahawa ini adalah pendapat Ali bin Abi Talib RA, dan Abdullah bin Zubair RA.

Mereke berhujahkan dengan sebuah riwayat bahawa suatu ketika bertemu hari raya dan hari Jumaat pada zaman Abdullah bin Zubair. Lalu dia berkata:

عِيدَانِ اجْتَمَعَا فِي يَوْمٍ وَاحِدٍ فَجَمَعَهُمَا جَمِيعًا فَصَلَّاهُمَا رَكْعَتَيْنِ بُكْرَةً لَمْ يَزِدْ عَلَيْهِمَا حَتَّى صَلَّى الْعَصْرَ

Maksudnya: “Dua hari raya telah bertemu pada hari yang sama, maka dijamakkan keduanya dengan dua rakaat pada awal pagi dan tidak ditambah ke atas kedua-duanya sehingga solat Asar.”

Riwayat Abu Daud (1072). Kata al-Nawawi: “Isnadnya sahih atas syarat Muslim.”

Ata’ bin Abi Rabah sendiri meriwayatkan bahawa:

صَلَّى بِنَا ابْنُ الزُّبَيْرِ فِي يَوْمِ عِيدٍ، فِي يَوْمِ جُمُعَةٍ أَوَّلَ النَّهَارِ، ثُمَّ رُحْنَا إِلَى الْجُمُعَةِ، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْنَا فَصَلَّيْنَا وُحْدَانًا، وَكَانَ ابْنُ عَبَّاسٍ بِالطَّائِفِ، فَلَمَّا قَدِمَ ذَكَرْنَا ذَلِكَ لَهُ، فَقَالَ: أَصَابَ السُّنَّةَ

Maksudnya: “Ibn al-Zubair solat hari raya bersama kami pada awal pagi hari Jumaat, kemudian kami pergi menunaikan Jumaat sedangkan dia (Ibn al-Zubair) tidak keluar dengan kami, maka kami pun solat sesama kami. Ketika itu Ibn Abbas R.Anhuma berada di Ta’if, apabila kembali kami menceritakan perkara itu kepadanya, lalu dia berkata: Dia menepati sunnah.”

Riwayat Abu Daud (1071). Al-Nawawi berkata: “Isnadnya baik atau sahih atas syarat Muslim.” Dikeluarkan jua oleh a-Nasaie (1794) dalam Sunan al-Kubra daripada Wahab bin Kisan.

 

Tarjih

Setelah meneliti kedua-dua pendapat dan pandangan ulama lain, kami cenderung kepada pendapat Jumhur bahawa solat Jumaat tetap wajib dilaksanakan sekiranya cukup syarat dan tiada uzur. Ini berdasarkan sebab-sebab berikut:

  • Hadis Uthman bin Affan daripada sudut sanad adalah paling kuat berbanding hadis-hadis lain kerana diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari. Maka, hadis-hadis lain perlu ditakwilkan rukhsah berkenaan hanya untuk ahl al-awali yakni ahl al-qura merujuk mereka yang tinggal di pendalaman sehingga masyaqqah (sukar) mereka hendak bersiap sempena hari raya dan terpaksa berpatah balik untuk solat Jumaat.
  • Rasulullah SAW sendiri menyebut: “وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ “, dalam hadis di atas yang menunjukkan bahawa Baginda sendiri solat Jumaat. Justeru, ditakwilkan bahawa rukhsah itu hanyalah untuk ahl al-qura.
  • Atsar daripada Ibn Zubair dan Ibn Abbas yang menyatakan bahawa menggugurkan itu adalah sunnah, sekiranya marfu` dan hasan/sahih sekalipun riwayatnya, tidak dapat mengatasi hadis Uthman yang lebih sahih.
  • Pada zaman Rasulullah SAW bilangan masjid tidak sebanyak yang ada di negara kita hari ini. Hampir setiap kampung dan kawasan kini memiliki masjid yang memungkinkan seseorang itu pergi dengan mudah dan senang untuk solat Jumaat.
  • Solat Jumaat adalah satu syiar Islam yang perlu ditegakkan agar menampakkan gah Islam itu sendiri.
  • Kaedah fiqh menyatakan:

الْخُرُوجُ مِنْ الْخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya: “Mengambil pendapat yang keluar daripada khilaf adalah disukai.”

Rujuk al-Asybah wa al-Nazha’ir (ms. 136) oleh al-Suyuti

Justeru, melakukan solat hari raya dan solat Jumaat pada waktunya tanpa menggugurkan salah satu adalah pendapat yang lebih baik.

  • Ini juga sesuai dengan kaedah ihtiyat (berhati-hati).

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Kami suka untuk menyatakan di sini bahawa perbincangan di atas adalah khilaf pendapat yang sudah berlaku sejak zaman sahabat lagi. Justeru, alangkah baiknya jika kita bersikap terbuka mengelakkan prejudis dan sangsi kepada mereka berbeza pandangan daripada kita. Justeru kami cadangkan agar khatib yang membaca khutbah pada hari Jumaat bersamaan Hari Raya Aidiladha ini agar meringkaskan khutbah dengan menjaga rukun-rukunnya. Ini bagi memberikan keringanan kepada para jemaah untuk persiapan raya termasuklah urusan sembelihan dan persiapan hari raya yang lain.

Sekalipun begitu, kami tegaskan bahawa pendapat yang terpilih adalah tidak gugur kefarduan solat Jumaat. Bahkan dalam konteks semasa, hampir setiap kawasan sudah ditandakan dengan karyah-karyah tertentu oleh Jabatab Agama dan dibina masjid dan surau untuk mendirikan Jumaat. Oleh itu sebaiknya kita juga memenuhkan masjid Jami` dan Surau Diri Jumaat setempat untuk bersama-sama kita mendirikan solat fardu Jumaat.

Tetapi pada saat yang sama hendaklah kita mencari pendapat yang lebih ahwat serta meraikan juga pendapat mazhab setempat seperti mazhab Imam Syafie di Malaysia ini. Dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin (ms. 187) oleh Syeikh Abd al-Rahman bin Muhammad bin Husain al-Masyhur yang juga dikenali dengan Ba`lawi menyebut:

فمذهبنا أنه إذا حضر أهل القرى والبوادي العيد وخرجوا من البلاد قبل الزوال لم تلزمهم الجمعة وأما أهل البلد فتلزمهم

Maksudnya: “Maka mazhab kita, kalau bagi orang pendalaman yang jauh dari masjid Jami' maka mereka dapat keringanan untuk meninggalkan Jumaat, sedangkan bagi yg tinggal di bandar atau dekat dengan masjid Jami' maka solat Jumaat tetap diwajibkan kerana tidak susah baginya untuk melakukan perjalanan ke masjid untuk menunaikan kedua solat tersebut.”

Seperti yang kami jelaskan sebelum ini kerana ‘illahnya kesukaran dan kejauhan untuk berulang-alik buat kali kedua ke masjid tatkala sudah menunaikan solat sunat Hari Raya.  Wallahua`lam.

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman dalam melaksanakan syariat Islam dan ibadahnya benar-benar menepati kehendak Allah dan Rasul.

Marilah sama-sama kita merayakan Hari Raya Aidiladha ini dengan penuh kesyukuran dan ketaatan kepada Allah dengan meninggikan segala syiar di samping saling ziarah menziarahi dan bermaafan serta mempertautkan keampuhan ukhuwwah Islamiyyah sebagaimana yang telah ditaklifkan oleh agama kita.

 

Akhukum fillah,

Sahibus Samahah Datuk Dr. Hj. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

31 Ogos 2017M bersamaan 9 Zulhijjah 1438H