Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

TASHIH AL-MAFAHIM #8: MASIH WUJUDKAH KHAWARIJ?

 khawarij.JPG

Salah faham

Terdapat pihak yang mengatakan tidak benar mereka yang mendakwa kelompok Daesh atau ISIS itu sebagai Khawarij. Ini kerana Khawarij telah lama luput ditelan zaman. Sebaliknya Daesh atau ISIS adalah kelompok yang berpegang kuat kepada al-Qur’an dan al-Sunnah demi menegakkan Khilafah Islamiyyah. Benarkah kenyataan ini?

 

Pencerahan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dari segi sejarah, kemunculan Khawarij berkait rapat dengan suasana ketidakstabilan politik yang berlaku dalam kalangan umat Islam pada penghujung zaman Khulafa al-Rasyidin. Menurut Dr. Muhammad ‘Imarah, kumpulan Khawarij pada awalnya muncul kebanyakannya daripada kalangan golongan al-Qurra’ yang majoritinya terdiri daripada golongan ‘arab badwi yang tidak memahami selok belok percaturan politik. Mereka juga tidak mampu untuk menerima hakikat apabila kaum Quraish mengambil alih kepimpinan dan memiliki keistimewaan tertentu setelah Islam menyamaratakan antara kaum Muslimin.

Golongan al-Qurra’ berperanan besar sehingga tercetusnya pemberontakan terhadap Sayyiduna Uthman bin Affan, terutamanya ketika timbulnya isu yang melibatkan kaum kerabat Bani Umayyah pada enam tahun kedua pemerintahan Uthman. Selepas pembunuhan Uthman, golongan al-Qurra’ menjadi kumpulan teramai yang menyokong Sayyiduna Ali bin Abi Talib dalam memerangi penentang-penentang Ali. Bagaimanapun setelah perang Siffin dan peristiwa tahkim antara Ali dan Mu‘awiyah, golongan ini telah keluar daripada kumpulan Ali kerana tidak bersetuju dengan tindakan Ali untuk menerima tahkim. Kumpulan ini kemudiannya dikenali dengan gelaran Khawarij. (Lihat Tayyarat al-Fikr al-Islami, 15-19)

Kata-kata terkenal yang dilaungkan oleh puak Khawarij ketika menolak tahkim antara Ali dan Mu’awiyah adalah, “Kedua-dua pengadil itu telah kafir, tidak ada pengadilan melainkan bagi Allah”. (Lihat Tarikh al-Ya’qubi, 2/190) Peristiwa tahkim adalah titik mula kemunculan golongan Khawarij. Ia bermula dengan pendirian mereka yang mengkafirkan Ali bin Abi Talib, Mu’awiyah bin Abi Sufyan, Talhah, al-Zubayr dan Aishah RAnhm serta menghalalkan darah mereka. Lama kelamaan konsep kafir turut mengalami perubahan. Kafir bukan lagi hanya dinisbahkan kepada orang yang tidak berhukum dengan al-Quran, tetapi orang yang berbuat dosa besar juga turut dipandang sebagai kafir oleh golongan Khawarij. (Lihat Tayyarat al-Fikr al-Islami, 23; al-Madhahib al-Tawhidiyyah wa al-Falsafah al-Mu‘asirah, 59-60)

Daripada peristiwa ini, isu ini akhirnya telah berubah menjadi satu fahaman teologi melibatkan kedudukan pelaku dosa besar. Bagi Khawarij, mereka berpandangan pelaku dosa besar adalah kafir dan terkeluar daripada Islam. Ini berbeza dengan Muktazilah yang berpandangan bahawa pelaku dosa besar adalah bukan mukmin dan bukan juga kafir tetapi berada antara dua kedudukan atau dikenali sebagai al-manzilah bayn al-manzilatayn. Sementara Murji’ah pula mengatakan bahawa pelaku dosa besar tetap dianggap beriman dengan iman yang sempurna manakala dosanya diserahkan kepada Allah SWT sama ada diampuni atau tidak.

Secara umumnya, pemikiran Khawarij berkait rapat dengan perbahasan mengenai kedudukan pelaku dosa besar yang melibatkan tiga aliran utama yang lain. Pertama, golongan Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang mengatakan pelaku dosa besar dianggap sebagai seorang yang beriman dan menjadi fasiq dengan perlakuan itu manakala urusannya di akhirat nanti adalah terserah kepada kehendak Allah SWT. (Lihat Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, 1/167)

Asas kedudukan ini kerana Ahli Sunnah mendefinisikan iman sebagai ikrar dengan lisan, tasdiq dengan hati, beramal dengan anggota badan serta bertambah dan berkurang.

Kedua, golongan Murjiah yang berpendapat pelaku dosa besar tetap kekal keimanannya tanpa berkurangan atau terjejas sedikit pun.

Ketiga, golongan Muktazilah yang beranggapan kedudukan pelaku dosa besar tergantung-gantung antara menjadi seorang mukmin atau seorang kafir, manakala di akhirat nanti ia kekal di dalam neraka selama-lamanya.

Di antara kumpulan-kumpulan tersebut, Khawarij menjadi kumpulan yang paling esktrem. Ini kerana Khawarij berpandangan pelaku dosa adalah kafir dan kekal di dalam neraka selama-lamanya. Ia bermula pada awalnya dengan pengkafiran mereka terhadap Ali, Muawiyah dan mereka yang terlibat dalam peristiwa al-Tahkim lalu menghalalkan darah mereka untuk diperangi. Pegangan ini kemudiannya diteruskan oleh kumpulan-kumpulan Khawarij yang terkemudian seperti al-Muhakkimah, al-Azariqah, al-Mukarramiyyah, al-Syabibiyyah, al-Baihasiyyah, al-Yazidiyyah dan al-Najadat.

 

Khawarij Akhir Zaman

Terdapat riwayat bahawa Rasulullah SAW telah memberi perkhabaran mengenai kemunculan Khawarij. Yusair bin Amru mengatakan, aku bertanya kepada Sahal bin Hunaif:

هَلْ سَمِعْتَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: فِي الخَوَارِجِ شَيْئًا؟ قَالَ: سَمِعْتُهُ يَقُولُ، وَأَهْوَى بِيَدِهِ قِبَلَ العِرَاقِ: «يَخْرُجُ مِنْهُ قَوْمٌ يَقْرَءُونَ القُرْآنَ، لاَ يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ، يَمْرُقُونَ مِنَ الإِسْلاَمِ مُرُوقَ السَّهْمِ مِنَ الرَّمِيَّةِ»

Maksudnya: “Apakah engkau mendengar Nabi SAW bersabda tentang Khawarij? Ia menjawab: Aku mendengar beliau bersabda - sambil beliau arahkan tangannya menuju Iraq - Dari sanalah muncul sekelompok kaum yang membaca al-Qur’an tidak melebihi kerongkongan mereka, mereka keluar dari Islam sebagaimana anak panah keluar dari busurnya.

Riwayat al-Bukhari (6934)

Para ulama yang mensyarahkan hadis ini telah bersepakat bahawa hadis ini ingin mengisyaratkan kepada kemunculan Khawarij. Ia termasuk daripada tanda-tanda kenabian Baginda SAW kerana apa yang dikhabarkan oleh Baginda benar-benar telah berlaku. Kemunculan Khawarij bermula di Kufah yang terletak di sebelah timur Madinah. Mereka telah mengisytiharkan diri keluar daripada tentera Ali, lalu mereka dengan jumlah lapan ribu orang telah menuju ke Harura’, sebuah perkampungan di Kufah sebelum menjadikan Basrah sebagai markas mereka. (Lihat Akmal al-Bayan fi Sharh Hadith Najd Qarn al-Shaytan, 52)

Bahkan al-Hafiz Ibn Hajar telah menukilkan satu athar yang diriwayatkan oleh al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsat dengan sanad yang baik bahawa Abu Hurairah dan Abu Sa’id al-Khudri telah ditanya oleh seorang lelaki dari Iraq. Lelaki itu mengatakan bahawa di negerinya terdapat satu kaum yang memberontak dan membunuh sesiapa sahaja yang mengucapkan syahadah dan beriman kecuali daripada kumpulan mereka. Lalu kedua-duanya menjawab: “Kami mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang memerangi mereka, baginya pahala syahid dan sesiapa yang dibunuh oleh mereka maka baginya pahala syahid”. (Lihat Fath al-Bari, 12/302)

Ini menunjukkan kelompok Khawarij akan terus wujud hingga ke akhir zaman. Nas-nas syarak yang mengisyaratkan berkenaan Khawarij tidak menyatakan ia hanya wujud pada zaman tertentu. Antaranya seperti sabda Rasulullah SAW:

يَحْقِرُ أَحَدَكُمْ عَمَلَهُ مِنْ عَمَلِهِمْ، يَقْتُلُونَ أَهْلَ الْإِسْلَامِ، فَإِذَا خَرَجُوا فَاقْتُلُوهُمْ، ثُمَّ إِذَا خَرَجُوا فَاقْتُلُوهُمْ، ثُمَّ إِذَا خَرَجُوا فَاقْتُلُوهُمْ

Maksudnya: “Mereka menghina amalan kamu (dengan membandingkan amalan mereka dengan amalan kamu), mereka memerangi umat Islam, maka apabila mereka keluar maka perangilah mereka, kemudian apabila mereka keluar maka perangilah mereka, kemudian apabila mereka keluar maka perangilah mereka…”

Riwayat Ahmad (5562)

Di samping itu, terdapat satu lagi athar yang lebih nyata menjelaskan ciri-ciri golongan Khawarij yang akan datang pada akhir zaman. Ia diriwayatkan daripada Sayyidina Ali RA bahawa beliau berkata:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّايَاتِ السُّودَ فَالْزَمُوا الْأَرْضَ فَلَا تُحَرِّكُوا أَيْدِيَكُمْ، وَلَا أَرْجُلَكُمْ، ثُمَّ يَظْهَرُ قَوْمٌ ضُعَفَاءُ لَا يُؤْبَهُ لَهُمْ، قُلُوبُهُمْ كَزُبَرِ الْحَدِيدِ، هُمْ أَصْحَابُ الدَّوْلَةِ، لَا يَفُونَ بِعَهْدٍ وَلَا مِيثَاقٍ، يَدْعُونَ إِلَى الْحَقِّ وَلَيْسُوا مِنْ أَهْلِهِ، أَسْمَاؤُهُمُ الْكُنَى، وَنِسْبَتُهُمُ الْقُرَى، وَشُعُورُهُمْ مُرْخَاةٌ كَشُعُورِ النِّسَاءِ، حَتَّى يَخْتَلِفُوا فِيمَا بَيْنَهُمْ، ثُمَّ يُؤْتِي اللَّهُ الْحَقَّ مَنْ يَشَاءُ

Maksudnya: “Jika kalian melihat bendera hitam, maka bertahanlah di bumi (tempat tinggal kamu). Jangan gerakkan tangan dan kaki kalian. Kemudian akan muncul kaum yang lemah. Hati mereka seperti potongan besi. Mereka (mengaku) pemegang kekuasaan (pemilik daulah). Mereka tidak mempedulikan apa-apa perjanjian. Mereka mengajak kepada haq namun mereka bukan ahlinya. Nama mereka menggunakan kunyah (seperti Abu) dan nisbat mereka menggunakan nama daerah (seperti al-Baghdadi). Rambut mereka terurai seperti wanita, hingga mereka berselisih di antara mereka. Kemudian Allah mendatangkan kebenaran kepada yang dikehendaki-Nya.

Riwayat Nu’aim bin Hammad dalam kitab al-Fitan (573)

Menurut sebahagian ulama, walaupun sanad athar ini daif, namun begitu berdasarkan realiti apa yang berlaku dengan kemunculan golongan seperti Islamic State (IS), maka athar ini boleh dianggap hasan atau sahih terutama dalam athar-athar yang melibatkan sejarah atau fitnah-fitnah akhir zaman.

Justeru, dalam isu golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai IS di Syria dan Iraq, kita dapati para ulama dari seluruh dunia termasuk di Syria dan Iraq sendiri telah bersepakat mengatakan bahawa ciri-ciri yang wujud pada kumpulan ini menyamai dengan ciri-ciri yang wujud pada kumpulan Khawarij. Ini kerana mereka telah mengkafir dan menghalalkan darah sesama umat Islam.

Antara ulama yang berpandangan sedemikian adalah Syeikh Abdullah Rahhal ketua Rabithah Ulama' Idlib (Ketua Mahkamah Syariah di Aleppo Selatan dan anggota Rabithah Persatuan Ulama' Syria), Muhammad bin Ali bin Jamil Ash Shabuni, ulama tafsir terkemuka dari bumi Syria, Syeikh Muhamad Kurayyim bin Sa'id bin Kurayyim Rajih (Ketua Rabitah Ulama Syria), Imam Masjid al-Haram Syeikh Sudais, Syeikh Abdullah Ben Bayyah, ahli Majma’ al-Fiqh al-Islami, Kesatuan Ulama Muslimin di Iraq di bawah pimpinan Syeikh Ali Qurrah al-Daghi, Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia di bawah kepimpinan Dr Yusuf al-Qaradawi di Qatar, pemimpin parti Islam Ennahda, Dr Rashid Ghannoushi dan lain-lain lagi.

Boleh dikatakan, jumhur ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah bersepakat di serata dunia mengenai kesesatan dan juga penyelewengan golongan IS dan memperingatkan umat Islam agar tidak terpedaya dengan segala propaganda IS. Pada 25 September 2014, lebih kurang 126 ulama Muslim terkenal dari seluruh dunia juga telah menandatangani kenyataan bersama yang dibacakan oleh Nihad Awwad, presiden Council on American Islamic Relations (CAIR) mengutuk IS dan juga menolak keganasan dan juga khilafah yang diisytiharkan oleh IS.

 

Kesimpulan

Berdasarkan pencerahan di atas, kami berpandangan bahawa kumpulan Khawarij pada namanya tidak dinafikan ia telah luput ditelan zaman. Ini kerana, tiada sesiapa pun dalam kalangan individu atau kumpulan yang mengaku pada hari ini bahawa mereka daripada golongan Khawarij. Namun demikian, ciri-ciri kumpulan tersebut masih kekal wujud hingga ke akhir zaman sebagaimana nas-nas hadis yang mengisyaratkan hal tersebut. Bayangkan jika Khawarij yang terdahulu berpegang kepada doktrin mengkafirkan orang yang melakukan dosa besar, tetapi pada hari ini wujud mereka yang mengkafirkan sesama Islam hanya kerana dosa-dosa kecil atau khilaf di dalam perkara-perkara furu’ agama atau berbeza pendekatan dalam isu politik.

Akhirnya, kami berdoa semoga Allah SWT memberikan taufiq dan hidayah-Nya kepada kita semua agar dijauhkan daripada segala sifat melampau dan ekstrem terhadap semasa umat Islam. Wallahu a’lam.