SOALAN
Terdapat satu kelompok dalam masyarakat yang mendakwa bahawa agama Islam juga mengiktiraf ajaran agama-agama lain. Mereka berhujah berdasarkan ayat al-Qur’an dalam surah al-Kafirun((لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ))
Mohon penjelasan S.S Datuk Seri Mufti berkenaan perkara ini.
JAWAPAN
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.
Al-Qur’an diturunkan kepada umat manusia sebagai petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Firman Allah SWT:
ذَلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ
Maksudnya: “Kitab ini (al-Qur’an) yang tiada keraguan padanya, ia juga menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa”
Surah al-Baqarah: 2
Bagi memahami isi kandungan ayat-ayat al-Qur’an, kita hendaklah merujuk kepada tafsiran Nabi SAW kerana al-Qur’an diturunkan ke atas Baginda. Seterusnya, kita hendaklah merujuk kepada tafsiran para Sahabat kerana mereka hidup di zaman wahyu diturunkan dan memahami situasi ayat-ayat al-Qur’an diturunkan, seterusnya para Tabi’en kerana mereka merupakan anak-anak murid kepada para Sahabat yang memahami tafsiran para sahabat dan seterusnya ulama-ulama’ tafsir yang bertaqwa dan mempunyai ilmu yang mencukupi untuk menafsirkan ayat-ayat al-Qur’an.
Sebelum menjawab soalan yang diajukan kepada kami, kita hendaklah merujuk tafsiran para mufassirin (ulama’-ulama’ tafsir) terlebih dahulu bagi memahami apakah maksud sebenar daripada ayat ke-6 dalam surah al-Kafirun.
Surah al-Kafirun
Imam ibn Kathir Rahimahullah telah berkata: “Surah ini adalah surah yang melepaskan diri daripada perbuatan-perbuatan yang dilakukan oleh orang-orang Musyrik. Firman Allah SWT: {قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ} ia meliputi seluruh orang Kafir di atas muka bumi, tetapi ayat ini secara khususnya telah diturunkan ke atas orang kafir Quraisy.
Dikatakan mereka yang penuh kejahilan telah mengajak Rasulullah SAW menyembah berhala-berhala mereka selama setahun, kemudian mereka pula menyembah Allah selama setahun, maka Allah SWT telah menurunkan surah ini dan mengarahkan Rasulullah SAW berlepas diri daripada agama mereka secara keseluruhannya” Rujuk Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (8/507)
Tafsir Ayat ke-6 Surah al-Kafirun
Allah SWT telah berfirman:
لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ
Maksudnya: “Untukmu agamamu dan untukku agama aku”
Surah al-Kafirun:6
Imam ibn Kathir Rahimahullah telah berkata: “Nabi SAW telah berkata kepada kaum kafir Quraisy: {لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ} sepertimana dalam firman Allah SWT:
وَإِنْ كَذَّبُوكَ فَقُلْ لِي عَمَلِي وَلَكُمْ عَمَلُكُمْ أَنْتُمْ بَرِيئُونَ مِمَّا أَعْمَلُ وَأَنَا بَرِيءٌ مِمَّا تَعْمَلُونَ
Maksudnya: “Dan jika mereka mendustakanmu, maka katakanlah: Bagi aku amalanku, dan bagi kamu amalanmu. Kamu tidak bertanggungjawab atas apa yang aku kerjakan dan aku juga tidak bertanggungjawab atas apa yang kamu kerjakan.”
Surah Yunus: 41
لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ
Maksudnya: “Bagi kami amalan kami, dan bagi kamu amalanmu”
Surah al-Qasas: 55
Telah berkata Imam al-Bukhari Rahimahullah: {لَكُمْ دِينَكُمْ} bermakna kufur, {وَلِيَ دِينِ} bermakna Islam” Rujuk Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (8/508)
Imam Abu Hayyan al-Andalusi Rahimahullah pula menafsirkan ayat ke-6 surah al-Kafirun dengan berkata: “Bagi kamu kesyirikanmu dan bagi aku ketauhidanku” Rujuk al-Bahr al-Muhit fi at-Tafsir (10/561)
Ayat ke-6 surah al-Kafirun bukanlah satu pengiktirafan kepada agama selain daripada Islam, tetapi ia merupakan satu amaran dan ancaman kepada mereka, sepertimana firman Allah SWT:
وَقُلِ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكُمْ فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ إِنَّا أَعْتَدْنَا لِلظَّالِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمْ سُرَادِقُهَا
Maksudnya: “Dan katakanlah: kebenaran itu datang dari Tuhanmu, maka sesiapa yang beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang kufur, biarlah ia mengingkarinya. Sessungguhnya kami telah menyediakan bagi orang yang zalim itu api neraka yang meliputi mereka”
Surah al-Kahfi: 29
Rujuk Adwa’ al-Bayan fi Idhoh al-Qur’an bi al-Qur’an (9/135)
Imam al-Mawardi Rahimahullah pula telah menafsirkan ayat ke-6 surah al-Kafirun dengan berkata: “Ayat ini mempunyai dua makna:
- Bagi kamu agamamu untuk mereka yang beri’tikad kepada kekufuran dan bagi aku agamaku untuk mereka yang berakidah Islam.
- Bagi kamu amalan-amalan kamu, bagi aku amalan-amalanku. Ini adalah ancaman darimu (Nabi SAW) kepada mereka (kafir Quraisy) dan ia bermaksud adalah memadai dengan ganjaran pahala daripada amalanku (tidak perlu untuk melalukan perbuatan syirik untuk mendapatkan ganjaran pahala).
Ibn ‘Abbas RAnhuma telah berkata: Tiada surah di dalam al-Qur’an yang lebih dimarahi oleh iblis daripada surah ini (surah al-Kafirun) kerana pada surah ini terdapat seruan kepada tauhid dan berlepas diri daripada syirik”. Rujuk an-Nukat wa al-‘Uyun (6/358)
Kesimpulan
Setelah meneliti tafsiran para mufassirin (ulama’-ulama’ tafsir) berkenaan dengan surah al-Kafirun secara umumnya dan ayat yang ke-6 dalam surah al-Kafirun secara khusus, kami mendapati bahawa ayat ke-6 dalam surah al-Kafirun bukannya membawa maksud bahawa Islam mengiktiraf agama-agama lain, seterusnya membenarkan ajaran yang dibawa oleh mereka, bahkan ayat tersebut sebenarnya memberikan ancaman yang keras kepada mereka yang tidak beriman dan mengambil ajaran selain daripada Islam.
Tafsiran para mufassirin terhadap ayat ini secara jelas telah membezakan antara agama Islam dengan agama lain-lain dan tidak mengiktiraf segala kesyirikan dan kekufuran daripada ajaran agama selain daripada Islam. Allah SWT telah berfirman:
إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ
Maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam”.
Surah Ali ‘Imran: 19
Imam ibn Kathir Rahimahullah menafsirkan ayat ini dengan berkata: “Allah SWT mengkhabarkan bahawa tiada agama yang diterima disisi-Nya daripada seseorang kecuali agama Islam”. Rujuk Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (2/25).
Firman Allah SWT lagi:
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Maksudnya: “Dan sesiapa yang mencari agama selain daripada agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan pada hari akhirat kelak ia termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi”
Surah Ali ‘Imran: 85
Kami ingin menasihati agar tidak menggunakan ayat-ayat al-Qur’an mengikut kehendak sendiri dan tidak menafsirkannya mengikut hawa nafsu tanpa merujuk kepada tafsiran para ulama’ yang muktabar. Rujuklah kepada mereka yang ahli dalam bidang ini jika ingin memahami tafsiran ayat ini secara tepat. Firman Allah SWT:
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan (tentang sesuatu perkara) jika kamu tidak mengetahui”
Surah an-Nahl: 43
Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya dan melindungi diri kita daripada sebarang kesesatan yang nyata atau tersembunyi. Amiin.