Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

TASHIH AL-MAFAHIM #21: PENJELASAN BERKENAAN HADIS KEKUATAN BERJIMAK NABI SAW DINISBAHKAN DENGAN 30 KEKUATAN LELAKI BIASA DAN PENJELASAN BERKENAAN AMARAN ALLAH KEPADA AISYAH DAN HAFSAH AGAR TIDAK MENYUSAHKAN NABI

 Screenshot 2022 05 11 at 11.38.06 AM

 

Mukadimah 

Baru-baru ini ada beberapa kenyataan yang menyebut:

Muhammad memiliki kekuatan 30 orang  dan mampu meniduri 9 isteri Baginda dengan sekali mandi. Malah, Allah memberi amaran kepada Hafsah dan Aisyah menerusi Surah al-Tahrim supaya tidak menyusahkan Nabi.”

Kenyataan ini boleh mengundang kata nista kepada Nabi SAW dan perlukan kepada penjelasan lebih lanjut. Bahkan mengundang kata-kata buruk kepada Nabi SAW. Tashih al-Mafahim pada kali ini akan cuba merungkai perkara tersebut dengan lebih tuntas agar boleh difahami oleh masyarakat dengan sebaiknya.

 

Rumusan Himpunan Riwayat

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam sahihnya. Muhammad bin Basyar menceritakan kepada kami, beliau berkata Muʻaz bin Hisyam menceritakan kepada kami, beliau berkata Ayahku menceritakan kepadaku daripada Qatadah, beliau berkata bahawa Anas bin Malik menceritakan kepada kami:

«كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدُورُ عَلَى نِسَائِهِ فِي السَّاعَةِ الوَاحِدَةِ، مِنَ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ، وَهُنَّ إِحْدَى عَشْرَةَ» قَالَ: قُلْتُ لِأَنَسٍ أَوَكَانَ يُطِيقُهُ؟ قَالَ: كُنَّا نَتَحَدَّثُ «أَنَّهُ أُعْطِيَ قُوَّةَ ثَلاَثِينَ» وَقَالَ سَعِيدٌ، عَنْ قَتَادَةَ، إِنَّ أَنَسًا، حَدَّثَهُمْ «تِسْعُ نِسْوَةٍ»

Maksudnya: Nabi SAW pernah bergilir bersama isteri-isterinya dalam satu masa, daripada malam sehingga siang dan mereka seramai 11 orang. Qatadah berkata: Aku bertanya kepada Anas, Baginda mampukah? Anas berkata: Kami mengkhabarkan bahawa Baginda diberikan kekuatan 30 orang lelaki. Saʻid berkata daripada Qatadah bahawa Anas RA menceritakan kepada mereka (9 isteri).[1]

(Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini diriwayatkan juga dalam Sahih Ibn Khuzaimah[2]Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal[3]Musannaf ʻAbd al-Razzaq[4]al-Sunan al-Kubra[5]Musnad Abi Yaʻla[6], Sahih Ibn Hibban[7] dan lain-lain. Namun dalam Musannaf ‘Abd al-Razzaq terdapat sedikit perbezaan lafaz iaitu “قُوَّةُ ثَلاثِينَ رَجُلًا فِي الْبُضَاعِ”. 

 

Penjelasan Hadis

Walaupun hadis tersebut sahih, namun perlu juga diperbetulkan cara memahami hadis tersebut. Ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan dalam memahami hadis tersebut. Hadis tersebut membawa makna beberapa makna, antaranya yang disebutkan oleh Ibn al-Mulaqqin.[8] Beliau menyatakan bahawa Nabi bergilir bersama isteri-isteri Baginda dalam satu masa mempunyai beberapa sudut pandang:

Pertama : Nabi SAW melakukan perkara tersebut ketika pulang daripada kemusafiran di mana tiada waktu giliran yang khusus.

Kedua : Perkara tersebut mendapat persetujuan isteri-isteri Baginda seperti mana Baginda meminta izin untuk berada di rumah Aisyah ketika jatuh sakit.

Ketiga : al-Muhallab menyebut Baginda melakukan perkara tersebut ketika tiada waktu giliran yang khusus.

Sheikh Ahmad bin Ismail al-Kurani (m. 893 H) menyebut bahawa kekuatan tersebut dikurniakan kepada Nabi SAW di samping Baginda hanya makan sedikit sahaja dan Baginda juga pernah mengikat perut Baginda dengan batu. Semua perkara ini menunjukkan bahawa Nabi tidak pernah merasa lemah dalam apa jua perkara.[9]

Mulla ‘Ali al-Qari (m. 1014 H) menjelaskan bahawa hadis tersebut menunjukkan perbezaan Nabi SAW dengan yang lain. Hal ini menunjukkan bahawa Nabi SAW diberikan anugerah dan kelebihan sama ada perkara keduniaan mahupun akhirat.[10]

 

Penjelasan Kisah Aisyah dan Hafsah

Berkenaan kisah saidatina Aisyah RA dan Hafsah RA, Allah SWT menceritakan berkenaan konflik yang terjadi menerusi surah al-Tahrim:

إِن تَتُوبَا إِلَى اللَّهِ فَقَدْ صَغَتْ قُلُوبُكُمَا ۖ وَإِن تَظَاهَرَا عَلَيْهِ فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ مَوْلَاهُ وَجِبْرِيلُ وَصَالِحُ الْمُؤْمِنِينَ ۖ وَالْمَلَائِكَةُ بَعْدَ ذَٰلِكَ ظَهِيرٌ

Maksudnya: “Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah (wahai isteri-isteri Nabi, maka itulah yang sewajibnya), kerana sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada perkara yang menyusahkan Nabi); dan jika kamu berdua saling membantu untuk (melakukan sesuatu yang) menyusahkannya, (maka yang demikian itu tidak akan berjaya) kerana sesungguhnya Allah adalah Pembelanya; dan selain dari itu Jibril serta orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang beriman dan malaikat-malaikat - juga menjadi penolongnya.”

Surah al-Tahrim (4)

Syeikh Wahbah Zuhaili dalam tafsirnya menerangkan ayat ini diturunkan bertitik tolak daripada kesepakatan Aisyah RA dan Hafsah RA yang cemburu dengan Nabi SAW kerana kekerapan Baginda singgah dan memakan madu di rumah Zainab binti Jahsy RA. Mereka bersepakat untuk mengatakan kepada Nabi SAW bahawa mulut beliau berbau maghafir[11] setelah memakan madu di rumah Zainab binti Jahsy RA, lalu Baginda SAW mengharamkan pemakanan madu tersebut ke atas diri beliau.[12] Nabi SAW juga ada memberitahu Hafsah RA berkenaan rahsia peralihan pemerintahan khalifah kepada Abu Bakar RA dan Umar RA selepas ini, dan Hafsah membocorkan rahsia tersebut kepada Aisyah RA.[13] Maka turun ayat ini untuk menegur kesalahan-kesalahan isteri Nabi SAW dan sebagai anjuran bertaubat kerana telah melukakan hati Nabi SAW. [14] 

[Lihat Tafsir al-Munir: 14/695]

 

Semoga huraian di atas dapat memberikan penerangan yang jelas kepada keseluruhan masyarakat secara am, Wallahua'lam.

 

[1] Muhammad bin Ismaʻil al-Bukhari. (1422). Sahih al-Bukhari. ed. Muhammad Zuhair bin Nasir al-Nasir. Dar Tuq al-Najah. no. Hadis 268. 1: 62.

[2] Abu Bakr Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah. (2003). Sahih Ibn Khuzaimah. ed. Muhammad Mustafa al-Aʻzami. Al-Maktab al-Islami. no. hadis 231. 1: 151. 

[3] Ahmad bin Muhammad bin Hanbal. (2001). Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal. ed. Syuʻaib al-Arna’ut. Beirut: Mu’assasah al-Risalah. no. Hadis 14109. 21: 472.

[4] ‘Abd al-Razzaq bin Hammam al-Sanʻani. (1403). Al-Musannaf. ed. Habib al-Rahman al-Aʻzami. Beirut: al-Maktab al-Islami. no. Hadis 14052. 7: 507.

[5] Ahmad bin Syuʻaib al-Nasa’i. (2001). Al-Sunan al-Kubra. ed. Hasan ‘Abd al-Munʻim Syalabi. Beirut: Mu’assasah al-Risalah. no. Hadis 8984. 8: 207.

[6] Abu Yaʻla Ahmad bin ʻAli al-Musili. (1984). Musnad Abi Yaʻla. ed. Husain Sulaim Asad. Dimasyq: Dar al-Makmun li al-Turath. no. Hadis 2941. 5: 318-319.

[7] Muhammad bin Hibban. (1993). Sahih Ibn Hibban. Susunan Ibn Bilban. ed. Syuʻaib al-Arna’ut. Beirut: Mu’assasah al-Risalah. no. Hadis 1208. 4: 8.

[8] Ibn Mulaqqin, Umar bin Ali (2008), al-Tauḍīḥ li Syarh Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, ed. Khalid al-Ribāṭ, Jumu’ah Fatḥī, Damsyik: Dar al-Nawadir, j.4 h.587.

دورانه - صلى الله عليه وسلم - عليهن في ذَلِكَ يحتمل ثلاثة أوجه:

أحدها: أن يكون ذَلِكَ عند إقبالهِ من سفره: حيث لا قَسم ملزم؛ لأنه كان إذا سافر أقرع بين نسائه فأيتهن خرج سهمها سافر بها، فإذا انصرف استأنف القسم بعد ذَلِكَ، ولم تكن واحدة منهن أولى من صاحبتها بالبداءة، فلما استوت حقوقهن جمعهن كلهن في وقت، ثم استانف القسم بعد ذَلِكَ.

ثانيها: أن ذَلِكَ كان بإذنهن ورضاهن، أو بإذن صاحبة النوبة ورضاها. كنحو استئنذانه لهن أن يُمرَّض في بيت عائشة، قاله أبو عبيد.

ثالثها: للمهلب أن ذَلِكَ كان في يوم فراغه من القسم منهن، فيفرغ في هذا اليوم لهن أجمع

[9] Al-Kurani, Ahmad bin Ismail (2008), al-Kauthar al-Jari ila Riyad Ahadith al-Bukhari, ed. Sheikh Ahmad ‘Azw ‘Inayah, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi,j.1 h.423.

هذا هو اللائق بجلالة قدره مع أنه لم يتناول من خبز الشعير إلا بلغة وقد يشد على بطنه الحجر ليكون عرف الإعجاز فائحًا من شؤونه كلها

[10] Al-Qari, Ali bin Muhammad (2022), Mirqah al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, Beirut: Dar al-Fikr, j.2 h.435.

وَحِكْمَةُ تَمَيُّزِهِ عَنِ الْخَلْقِ فِي زِيَادَةِ الْوَطْءِ وَقِلَّةِ الْأَكْلِ أَنَّ اللَّهَ جَمَعَ لَهُ بَيْنَ الْفَضِيلَتَيْنِ فِي الْأُمُورِ الِاعْتِيَادِيَّةِ، كَمَا جَمَعَ اللَّهُ لَهُ بَيْنَ الْفَضِيلَتَيْنِ فِي الْأُمُورِ الشَّرْعِيَّةِ، حَتَّى يَكُونَ حَالُهُ كَامِلًا فِي الدَّارَيْنِ، بَلْ فِيهِ خَرْقٌ لِلْعَادَةِ ; لِأَنَّ مَنْ قَلَّ أَكْلُهُ قَلَّ جِمَاعُهُ غَالِبًا

[11] Maghafir adalah getah yang berbau busuk, berasal dari pokok Urfut yang tumbuh di tanah Arab

[12] أن التحريم كان في العسل، وأنه شربه عند زينب، وتظاهرت عليه عائشة وحفصة فيه، وجرى ما جرى، فخلف ألا يشربه، وأسرّ ذلك، ونزلت الأية في الجميع

[13] أي واذكر إذ أسرّ إلى حفصة على المشهور هو تحريم العسل الذي كان يتناوله عند زينب بنت جحش، وأيولة الخلافة من بعده لأبي بكر وعمر رضي الله عنهما. أخبرت حفصة عائشة بالحديث، ظنّا منها ألا حرج في ذلك. 

[14] ثم وجّه الله تعالى زوجتي النبي صلى الله عليه وسلم: حفصة وعائشة إلى التوبة وعاتبهما