1. 16 Mei 2018 menyaksikan pelbagai catatan hebat berlaku di bumi tercinta ini. Pengakuan DS Anwar Ibrahim untuk memaafkan adalah tanda jiwa yang besar. Sikap memberi kemaafan sebenarnya adalah salah satu rahmat yang besar; senang dituturkan namun susah diamalkan. Maka, sikap ini adalah sangat terpuji. Kebetulan Ramadhan juga dikenali dengan gelaran bulan rahmat, maghfirah dan kemerdekaan daripada api neraka.
2. Saya teringatkan ucapan pemimpin besar kita, Rasulullah SAW ketika pembukaan Kota Mekah:
"Barangsiapa masuk ke dalam Masjidil Haram, dia akan dilindungi. Barangsiapa masuk ke dalam rumah Abu Sufyan, dia akan dilindungi,”
Begitu juga ketika Rasulullah SAW menyampaikan ucapan kepada penduduk Mekah semasa pembukaannya: "Apakah sangkaan kamu yang aku lakukan kepada kamu? Mereka menjawab: Saudara yang mulia dari keturunan yang mulia. Lantas jawab Baginda SAW: Pergilah kamu. Sebenarnya kamu merdeka dan bebas. Akhirnya dengan kenyataan tersebut berapa ramai di kalangan mereka terpaut dan memeluk Islam."
Betapa besarnya jiwa Rasulullah SAW walaupun terhadap musuhnya. Tidak ada dendam kesumat dan benci walaupun umum mengetahui perseteruan tersebut.
3. Pesanan saya setulus hati; hendaklah bermuafakat dan sedaya upaya elakkan pergeseran kerana sudah pasti ia akan menjejaskan perpaduan masyarakat. Firman Allah SWT
وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Maksudnya: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." (Surah Al-Anfal: 46)
4. Memetik kata-kata DS Anwar Ibrahim sendiri: "Apa yang bakal terjadi di masa depan, mempunyai akarnya di zaman ini. Hari ini mengandungi pelbagai kemungkinan yang hanya menjadi kenyataan." Jika semangat muafakat ini diteruskan, saya fikir tidak mustahil untuk direalisasikan semangat "Nahdhah Asia" atau Kebangkitan Asia sebagaimana yang tercatat pada Bab Pertama magnum opus DS Anwar Ibrahim iaitu Gelombang Kebangkitan Asia.
5. InsyaAllah permulaan Ramadhan yang baik pada kali ini bakal melakarkan sejarah keunggulan Malaysia sebagai negara terkemuka dan maju di dunia. Semoga akhirnya kita akan mencapai baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur (Negara yang baik dan Tuhan yang Maha Pengampun).
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan.
5 Ramadhan 1439 H bersamaan 21 Mei 2018 M