Soalan
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Saya seorang pekerja di sebuah syarikat dan bergaji besar. Saya rasa dah terlalu leka dengan kehidupan dunia ini. Boleh SS Dato berikan nasihat kepada saya dalam hal ini?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Firman Allah SWT:
اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّـهِ وَرِضْوَانٌ ۚ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
Maksudnya: Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
Surah al-Hadid (20)
Untuk mendapatkan sebuah tafsiran yang jelas, marilah kita merujuk kepada ulama’ salafus soleh dari kalangan ahli tafsir serta ulama’ mutaakhirin. Kami mulakan dengan tafsiran ulama’ mutaqaddimin. Antaranya:
- Ibn Kathir
Beliau berkata dalam tafsirnya, Tafsir al-Quran al-‘Azim (8/55-65): Allah berfirman dengan merendahkan dan menghinakan kehidupan dunia dalam ayat di atas. Iaitu yang dihasilkan oleh hal-hal duniawi bagi penghuninya hanyalah yang disebutkan itu. Ia adalah sepertimana firman Allah SWT:
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ۗ ذَٰلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَاللَّـهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ
Maksudnya: Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).
Surah Ali Imran (14)
Firman-Nya “ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا” (kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai), maksudnya tanaman itu berubah menjadi kering sehingga engkau melihatnya berwarna kuning setelah sebelumnya berwarna hijau. Dan selepas itu semuanya berubah menjadi kering dan hancur.
Demikianlah kehidupan dunia berjalan. Pertama muda belia, lalu menginjak dewasa, kemudian menjadi lemah dan tidak berdaya. Ketika perumpamaan itu menunjukkan lenyap dan musnahnya dunia yang pasti akan terjadi, tidak mungkin tidak dan bahawasanya akhirat pasti ada. Dan tidak mungkin tidak Allah mengingatkan agar sentiasa beringat dengan kehidupan dunia dan menanamkan kecintaan terhadap kebaikan di dalamnya.
Firman-Nya: “وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ” (Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya) Yakni semuanya itu hanya merupakan kesenangan fana, yang menipu sesiapa sahaja yang cenderung kepadanya. Sesungguhnya manusia yang tertipu olehnya dan dibuatnya terkagum-kagum, sehingga dia meyakini bahawasanya tidak ada alam lain selain dunia dan tidak ada akhirat setelah dunia, sedangkan ia (dunia) sangat hina dan sangat kecil dibandingkan dengan alam akhirat.
Nabi SAW bersabda:
مَوْضِعُ سَوْطٍ فِي الْجَنَّةِ خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا
Maksudnya: “Satu tempat di syurga yang sebesar cemeti lebih baik daripada dunia dan seisinya.”
Riwayat al-Bukhari (6415)
Manakala dalam hadis daripada Abdullah R.A, Nabi SAW bersabda:
الْجَنَّةُ أَقْرَبُ إِلَى أَحَدِكُمْ مِنْ شِرَاكِ نَعْلِهِ وَالنَّارُ مِثْلُ ذَلِكَ
Maksudnya: "Syurga itu lebih dekat kepada salah seorang di antara kamu daripada tali sandalnya. Dan neraka juga demikian."
Riwayat al-Bukhari (6488)
- Fakhruddin al-Razi
Beliau dalam kitab tafsirnya, Tafsir Mafatih al-Ghaib (29/462-464) berkata: Ketahuilah olehmu bahawasanya hidup di dunia ini ada hikmahnya dan ada benarnya. Ia adalah kerana Tuhan telah berfirman bahawa Dia lebih tahu apa yang manusia tidak mengetahuinya. Jika bukan ada hikmah dan ada kebenaranya nescaya Allah tidak akan berfirman sedemikian. Dan Tuhan juga telah menciptakan hidup dan disebutkan pula bahawasanya Tuhan telah menciptakan mati dan hidup adalah kerana bagi menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Tuhan juga menegaskan bahawa tidaklah Dia menciptakan itu dengan sembarangan dan tidak tentu arah (‘abath), dan firman-Nya juga: “Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di atas keduanya dengan sia-sia (batil).”
Dan oleh sebab hidup itu adalah nikmat, bahkan ia adalah asal pokok daripada nikmat, dan hakikat segala sesuatu tidak berubah, baik tatkala di dunia apatah lagi di akhirat. Dan oleh kerana Allah SWT juga amat besar kurnia-Nya, oleh kerana menciptakan hidup itu, maka berfirmanlah Dia: Bagaimana kamu akan kafir kepada Allah, sedangkan kamu tadinya mati, kemudian itu dihidupkan. Maka yang terutama sekali dari pelbagai jenis nikmat itu ialah nikmat hidup itu sendiri.
Oleh sebab itu maka dari segala yang telah kita turunkan itu, dapatlah kita katakan bahawa kehidupan dunia ini tidak tercela. Melainkan dengan yang dimaksud dengan mencela hidup itu ialah jika hidup dipergunakan untuk mengikuti kehendak syaitan dan menuruti hawa nafsu. Itulah yang tercela. Hidup yang begitulah yang dijelaskan cacatnya oleh Tuhan. Pertama bahawa hidup yang begitu ialah la’ibun, ertinya main-main; itulah perbuatan kanak-kanak yang badannya letih, faedahnya tidak ada. Kedua adalah lahwun, yang bermaksud senda gurau; iaitu perbuatan anak-anak muda. Biasanya setelah selesai bergurau-gurau tidak ada kesannya melainkan penyesalan. Kerana orang-orang yang berakal merasakan sendiri bahawa setelah senda gurau itu selesai, kesan yang tinggal hanyalah menyesal, harta habis dan umur juga habis. Kepuasan berganti dengan kepenatan, sedangkan jiwa haus hendak mengulanginya kembali. Kemudian ternyatalah mudaratnya datang tidak putus-putus. Kemudian itu dikatakan pula bahawa dunia itu tidak lain hanya perhiasa (zinatun). Inilah pangkal kerosakan, kerana perhiasan atau ziinah ialah berusaha mengelokkan barang walaupun kurang elok dan berusaha membuat sesuatu kelihatan sempurna sedangkan ia telah kurang.
Maka apabila sudah jelas bahawa usia itu sendiri dari muda pasti menuju tua, dari kukuh pasti menuju runtuh, bagaimanalah seorang yang berakal ingin menjadikan waktunya menahan perjalanan yang wajar bahawa yang kukuh menuju rosak. Disebabkan itulah, Ibn Abbas memberikan kata ganti dalam tafsir ini: Makna ayat ini ialah bahawa orang yang kafir itu siang malam yang difikirkannya di dunia ini ialah memperbaiki yang rosak dan dia lupa kepada kehidupan akhirat. Hal ini sepertimana syair yang menyebut:
حَيَاتُكَ يَا مَغْرُورُ سهو وغفلة
Maksudnya: Hidupmu di dunia, wahai orang yang tertipu, ialah lupa dan lalai.
- Syeikh al-Maraghi
Beliau berkata: Kehidupan dunia dari aspek kebinasaan dan kemusnahan yang begitu cepat diumpamakan seperti tanah yang ditimpa hujan lebat. Seterusnya Dia menumbuhkan tumbuh-tumbuhan yang mengagumkan para petani dan menjadikan mereka berasa gembira, rasa tertarik, bersuka ria dan bersenang-senang, namun ketika mereka diasyikkan dengan keadaan demikian, tiba-tiba tanam-tanaman itu menjadi kering dan hancur berterbangan ditiup angin.
Kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan dan kenikmatan yang akan mengalami kemusnahan, tidak kekal dan hanya cenderung memperdayakan orang dan sememangnya sudah ramai orang yang telah terperdaya dan kagum terhadapnya sehingga dia berkeyakinan bahawa tidak ada negeri lain selain dunia ini dan tidak ada tempat kembali lagi di seberang sana. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/6855)
- Sayyid Qutb
Kata Sayyid Qutb: Kehidupan dunia apabila diukurkan dengan ukuran dunia dan ditimbangkan dengan neraca dunia, maka ia akan dilihat dan dirasakan sebagai satu kehidupan yang amat agung dan besar. Akan tetapi, apabila diukur dengan ukuran alam buana dan ditimbangkan dengan neraca Akhirat, maka ia akan kelihatan sangat kecil dan kerdil. Gambaran kehidupan dunia di sini kelihatan seperti mainan-mainan kanak-kanak yang kecil sahaja jika dibandingkan dengan kebesaran dan kesungguhan kehidupan Akhirat, di mana berakhirnya kesudahan untung nasib manusia setelah selesainya permainan hidup di dunia.
Permainan, hiburan, berbangga-bangga, berlumba-lumba membanyakkan harta dan anak merupakan hakikat kehidupan dunia walaupun pada lahirnya kelihatan merupakan satu kehidupan yang penuh dengan kesungguhan dan kesibukan. Kemudian al-Quran terus membandingkan kehidupan dunia dengan satu perbandingan yang menarik mengikut cara al-Quran yang amat seni, iaitu kehidupan dunia ini adalah:
كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ
Maksudnya: Samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya,
Kata-kata “الْكُفَّارَ” bererti penanam-penanam yang melindungkan biji-bijian dan menutupnya dengan timbusan tanah. Tetapi pemilihan kata-kata di sini mengandungi maksud sindiran untuk menunjukkan bahawa orang-orang yang kafir itu amat tertarik dengan kehidupan dunia.
Beliau berkata lagi: Inilah hakikat kenikmatan dunia yang sebenar apabila seseorang berfikir secara mendalam untuk mencari hakikat yang sebenar. Tetapi tujuan al-Quran mengemukakan hakikat ini bukanlah untuk menggalakkan manusia supaya memencilkan diri mereka dari kehidupan dunia dan mengabaikan tugas pembangunan dan khalifah memerintah bumi yang telah diserahkan kepada makhluk manusia itu, malah tujuannya ialah untuk membetulkan ukuran perasaan dan penilaian jiwa manusia terhadap kehidupan itu, juga untuk mengingatkan manusia supaya jangan terpesona dengan kenikmatan dunia yang penuh dengan tipu daya itu, dan jangan terkongkong dengan tarikan yang mengikatkan manusia dengan bumi. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 15/525)
- Dr. Hamka
Beliau berkata: Diumpamakan Tuhan bahawa manusia berbangga dengan main-main, senda gurau, berhias, berbangga-bangga kerana pangkat dan kedudukan, dan banyak anak dan harta benda dengan petani ke sawah itu. Keduanya itu, kebanggaan dengan harta dunia dan ketakjuban petani melihat melihat hujan turun, janganlah terlalu dibanggakan. Kerana pada hakikatnya tidaklah kita yang kuasa.
Sudah berkali-kali, berpuluh beratus kali kejadian sawah yang telah kuning padinya, tidak disangka sama sekali, hancur melapik dengan bumi kerana angin ribut. Sawah yang telah menghijau padinya dan kelihatan akan subur kerana telah diberi pupuk, habis hilang kerana berhektar-hektar dibanjiri air hujan. Toko dan kedai besar yang didirikan dengan bersusah payah memakan waktu bertahun-tahun boleh sahaja dalam semalam, satu jam dua jam habis dimakan api. Bahkan kadang-kadang tubuh badan kita sendiri, kemarin sedang sihat wal afiat, besok pagi datang orang menghimbaukan bahawa tadi malam telah menghembuskan nafas terakhir. (Lihat Tafsir al-Azhar, 6/296)
- Dr Wahbah al-Zuhaili
Beliau berkata: Sesungguhnya maksud yang utama dan pokok dari ayat ini adalah menegaskan akan hinanya dunia dan agungnya keadaan akhirat. Oleh kerana itu, Allah SWT menerangkan dunia dengan lima sifat atau spesifikasi, iaitu:
Pertama, dunia adalah permainan. Ini adalah tipikal bagi anak-anak yang sangat suka bermain sehingga letih dan menghabiskan tenaga mereka sedemikian rupa, dan kemudiannya hal itu berakhir tanpa ada sebarang faedah dan tenaga mereka terbuang sia-sia.
Kedua, dunia adalah hiburan dan huru-hara belaka. Ini adalah tipikal anak-anak muda, yang biasanya tidak memberika sesuatu melainkan penyesalan.
Ketiga, dunia adalah perhiasan. Ini adalah tipikal kaum perempuan, yang tujuan utamanya adalah menutupi kekurangan.
Keempat, saling membangga-banggakan diri dengan hal-hal yang fana, adakalanya dengan nasab, kemampuan dan potensi material, kekuatan fizik, dan lain-lain.
Kelima, dunia adalah tempat untuk saling bersaing dalam banyaknya harta dan anak. (Lihat Tafsir al-Munir, 14/353)
Penutup
Dunia mempunyai beberapa sifat, iaitu:
- La’ibun (permainan), iaitu permainan jasmani dan ini adalah perbuatan anak-anak yang mereka itu menjadikan diri mereka sangat letih dan kemudian setelah permainan tersebut selesai tidak ada faedah yang diperolehi.
- Lahwun (Sesuatu yang melalaikan/senda gurau), iaitu yang menjadikan hati lalai. Ini adalah perbuatan orang dewasa yang kebanyakannya setelah perbuatan yang melalaikan itu selesai, maka yang tinggal hanyalah penyesalan. Ini kerana, orang yang berakal setelah melakukan perbuatan yang melalaikan dia melihat bahawa hartanya hilang, umurnya berkurang (pergi) dan kelazatannya habis. Sedangkan nafsu/jiwa semakin rindu dan haus akan hal tersebut, namun nafsu tidak memperolehinya, sehingga terkumpul kesan buruk dan berkesinambungan (tidak pernah puas).
- Zinah (perhiasan), iaitu berhias dalam hal pakaian, makanan, minuman, kenderaan, rumah, istana, kedudukan, dan lain-lain. Ibnu Abbas R.Anhuma berkata, “Maksudnya adalah bahawasanya orang kafir sibuk sepanjang hidupnya untuk mencari perhiasan dunia tanpa beramal untuk akhirat.”
- Saling berbangga terhadap sifat-sifat yang fana’ (tidak abadi) dan pasti hilang, iaitu boleh jadi berbangga-bangga dengan nasab, kekuasaan, kekuatan, bala tentera yang semuanya itu pasti lenyap. Dan saling berbangga di antara kamu iaitu masing-masing dari penduduk dunia ingin membanggakan atas yang lain dan ingin supaya dia menjadi jaguh dalam semua urusannya dan ingin mendapatkan populariti dalam semua keadaannya.
- Berbangga-bangga dengan harta dan anak, iaitu masing-masing menginginkan dia lebih banyak dari yang lainnya dalam hal harta dan anak. Semua ini hanya terjadi pada diri pencinta dunia dan yang merasa damai dengan dunia. Ibnu Abbas R.Anhuma berkata, “Mengumpulkan harta dalam kemurkaan Allah dan membanggakan harta terhadap wali-wali Allah serta mengeluarkan harta dalam perkara-perkara yang mendatangkan murka Allah maka dia menjadi kegelapan yang bertumpuk-tumpuk.” Hasan al-Basri Rahimahullah berkata, “Apabila kamu melihat orang yang mengalahkanmu dalam perkara dunia, maka kalahkan dia dalam hal akhirat.”
Semoga Allah selamatkan kita daripada tipu daya dunia dan menjadikan kita mendapat kebahagiaan hidup dunia dan akhirat. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami, kurniakanlah kepada kami di dunia dengan kebaikan dan di akhirat dengan kebaikan. Dan selamatkanlah kami dari azab Neraka.”