Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE-186 : HUKUM MENCARUT DI MEDIA SOSIAL DALAM KEADAAN SEDANG BERPUASA

 

HUKUM MENCARUT DI MEDIA SOSIAL DALAM KEADAAN SEDANG BERPUASA

 

SOALAN

Assalamualaikum ust. Apakah hukum mereka yang mencarut dalam media sosial dalam keadaan sedang berpuasa? Adakah membatalkan puasa atau tidak? Atau memberi kesan kepada pahalanya?

 

RINGKASAN JAWAPAN

Tidak batal puasa seseorang yang mengeluarkan kata-kata tidak baik seperti berbohong, mengumpat, mencarut, perkataan lucah dan seumpamanya, sama ada di alam maya atau di alam nyata. Namun, perbuatan tersebut menghilangkan pahala puasa dan tidak tercapai maksud puasa dalam erti kata yang sebenar.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

 

Hakikat ibadah puasa yang dilaksanakan adalah untuk mencapai matlamat ketakwaan dalam diri setiap hamba. Allah SWT berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.

Surah al-Baqarah (183)

 

Imam al-Maraghi menjelaskan bahawa  ayat di atas merupakan perintah Allah SWT tentang kewajipan berpuasa bagi umat Nabi SAW.  Segala amal ibadah digandakan pada bulan ramadan. Oleh itu, umat Islam sepatutnya meningkatkan segala amal ibadah dan mengawal hawa nafsu bagi meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT.

(Rujuk: Tafsir al-Maraghi, 2/68)

 

Ramadan bukan hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi  kita juga perlu menjaga diri daripada melakukan perkara-perkara yang mengurangkan pahala puasa.  Ini adalah salah satu wasilah (jalan) bagi mencapai ketakwaan. Seorang muslim bukan sahaja perlu menjaga unsur rohani dan jasmani diri yang mana meliputi proses pengislahan dan pembersihan jiwa dengan melaksanakan perintah Allah SWT, tetapi perlu juga menjaga hubungan  sosial sesama manusia.

 

Setiap muslim yang menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan tentu berharap mendapat pahala dari Allah SWT. Namun, hanya sebahagian sahaja yang mendapat pahala puasa, manakala sebahagian lagi hanya mendapat lapar dan dahaga dari ibadah tersebut disebabkan perbuatan mereka. Baginda SAW memberi amaran dalam hal ini dengan sabdanya:

‌رُبَّ ‌صَائِمٍ ‌حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الْجُوعُ وَالْعَطَشُ

Maksudnya: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga”.

Riwayat Ahmad (8856)

 

Nabi SAW juga memberi amaran yang sama sekiranya seseorang itu mengeluarkan kata-kata keji ketika berpuasa. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

‌مَنْ ‌لَمْ ‌يَدَعْ ‌قَوْلَ ‌الزُّورِ وَالعَمَلَ بِهِ، فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji dan amalannya, maka Allah tidak berhajat pada seseorang yang meninggalkan makan dan minumnya”.

Riwayat al-Bukhari (1903), Abu Daud (2362), al-Tarmizi (716), Ibnu Majah (1689)

 

Hadis ini menjelaskan tentang kesempurnaan puasa yang mana jika seseorang berkata dengan perkataan keji dan melakukan amalan dosa, maka puasanya tidak batal, namun ia meluputkan pahala puasanya. Perkara ini dijelaskan oleh syeikh Abu  Bakar Syato di dalam karya beliau:

والمراد أن كمال الصوم إنما يكون بصيانته عن اللغو والكلام الرديء، لا أن الصوم يبطل بهما

Maksudnya: “Maksudnya kesempurnaan puasa seseorang ialah dengan memelihara daripada perbuatan yang melalaikan dan kata-kata yang keji, sesungguhnya tidak batal puasa seseorang itu dengan sebab perbuatan tersebut”.

(Rujuk: Hasyiah Ia’nah al-Talibin, 2/416)

 

Manakala, al-Imam al-Suyuti R.H mensyarahkan perkataan al-Zur dalam hadis tersebut yang bermaksud:

هُوَ الْكَذِب والبهتان وَالْعَمَل بِهِ أَي الْعَمَل بِمُقْتَضَاهُ من الْفَوَاحِش وَمَا نهى الله تَعَالَى عَنهُ

Maksudnya: “al-Zur ialah berkata bohong dan dusta serta beramal dengannya, iaitu amalan yang termasuk dalam perbuatan-perbuatan keji yang dilarang oleh Allah SWT”.

(Rujuk: Syarah Ibnu Majah li al-Suyuti, 1/121)

 

Selain itu, Rasulullah SAW telah mengingatkan tentang pentingnya seseorang menjaga mulut dan tingkah lakunya ketika berpuasa, sabda Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:

‌لَيْسَ ‌الصِّيَامُ ‌مِنَ ‌الْأَكْلِ ‌وَالشُّرْبِ فَقَطْ إِنَّمَا الصِّيَامُ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ

Maksudnya: “Puasa bukanlah hanya menahan diri dari makan dan minum, akan tetapi puasa adalah dengan menahan diri dari perkataan yang melalaikan dan perkataan keji”.

Riwayat al-Baihaqi (8312)

 

Hadis ini merupakan dalil bahawa orang yang melaksanakan ibadah puasa wajib menahan diri dari perkataan kotor dan perkataan dusta sebagaimana ia menahan diri dari makan dan minum. Imam Ibnu Hajar menyebut di dalam kitabnya Fath al-Bari berkenaan maksud al-Laghwu ialah:

‌اللَّغْوُ ‌الْكَلَامُ ‌الَّذِي لَا أَصْلَ لَهُ من الْبَاطِل وَشبهه

Maksudnya: “al-Laqhwu ialah perkataan yang tidak ada manfaat daripada perkara-perkara yang batil dan seumpamanya”.

(Rujuk: Fath al-Bari Syarah Sahil al-Bukhari, 2/414)

 

Sehubungan dengan itu, menurut syeikh Zainuddin al-Malibari di dalam karyanya bahawa seseorang itu wajib memelihara lidah dari sesuatu yang haram kerana ia boleh menghilangkan pahala puasa dan berdosa:

ومما يتأكد للصائم : كف اللسان عن كل محرم ككذب وغيبة ومشاتمة لأنه محبط لأجر

Maksudnya: “Apa yang perlu ditekankan oleh orang yang berpuasa  ialah memelihara lidah dari perkara-perkara yang haram seperti kata-kata dusta, mengumpat, mencaci, menghina, memaki, kerana ia menghapuskan pahala puasa”.

(Rujuk: Fath al-Mu’in, hlm 274)

 

Menurut kenyataan di atas, jelaslah bahawa perkataan keji yang diucapkan ketika sedang berpuasa tidak membatalkan puasa. Namun, boleh menyebabkan puasa seseorang itu menjadi sia-sia dan tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga.

WaAllahua’lam