Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

QALAM MUFTI #59: SAMBUT TAHUN BAHARU, INILAH NASIHAT KAMI

sambut tahun baharu mufti.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Tahun 2019 sudah hampir melabuhkan tirainya dan tanggal jam 12 malam ini akan tibanya detik yang dinanti-nanti, tahun 2020. Apa yang berlalu sepanjang tahun 2019, moga-moga dijadikan muhasabah dan pengajaran untuk kita semua agar lebih cemerlang dan gemilang pada tahun-tahun mendatang.

Warna-warni, suka-duka dan pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang 2019, itulah lumrah dalam kehidupan. Benarlah firman Allah SWT:

وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ

Maksudnya: Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran)

(Surah Ali Imran: 140)

Menyambut Tahun Baharu Dengan Keinsafan

Dalam kemeriahan rakyat Malaysia menantikan detik-detik ketibaan Tahun Baharu 2020 pada malam ini, kami dengan penuh kecaknaan ingin mengambil kesempatan ini, menitipkan beberapa nasihat buat semua yang membaca catatan ini.

Sesungguhnya dalam Irsyad al-Fatwa: Hukum Menyambut Tahun Baharu Masihi, kami telah menyatakan kecenderungan kami akan pandangan yang mengharuskan sambutan tersebut. Namun demikian, ia sudah barang tentu hendaklah disambut dalam keadaan yang terpandu dengan batas-batas agama dan adat ketimuran. Jangan dek kerana keghairahan kita menyambutnya, maka segala perintah dan larangan agama dilanggar dan tata susila bangsa diketepikan.

Justeru, dengan penuh keinsafan dan rendah diri, kami perturunkan beberapa cangkir nasihat dan amanat, moga-moga dapat jua ia menjadi bekalan dan pedoman buat semua yang ingin menyambutnya pada malam ini.

Pertama: Sambutlah Tahun Baharu dengan asas ia adalah semata-mata uruf dan adat kebiasaan, bukannya upacara ritual mana-mana agama. Kaedah menyebutkan:

الأصل في العادات الإباحة إلا ما ورد عن الشارع تحريمه

Maksudnya, “Asal pada adat itu adalah harus kecuali apa yang datang daripada syarak akan pengharamannya.”

Kedua: Mengelakkan diri menghadiri majlis-majlis sambutan yang mengandungi perkara-perkara yang ditegah oleh syarak seperti hidangan arak, pergaulan bebas lelaki perempuan dan hiburan melampau yang melalaikan. Sesungguhnya seorang muslim akan sentiasa memelihara dirinya daripada apa jua yang melalaikan. Firman Allah SWT:

وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَن ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا 

Maksudnya, “Dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”

(Surah al-Kahfi: 28)

Ketiga: Tidak melakukan apa-apa perkara yang melanggar undang-undang, syariat dan akhlak seorang muslim seperti vandalisme, membuang sampah merata tempat, gangguan terhadap orang lain dan seumpamanya. Sabda Rasulullah SAW:

المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Maksudnya, “Seorang Muslim itu adalah seorang yang kaum Muslimin terselamat daripada (kejahatan) lisan dan tangannya.”

Riwayat al-Bukhari (10)

Keempat: Mengisi malam Tahun Baharu dengan menghadiri program-program yang bermanfaat, bukan hiburan semata-mata. Antaranya seperti solat berjemaah di masjid atau surau, mendengar ceramah agama, forum-forum ilmu, hiburan bermesej yang tidak melalaikan dan berdoa memohon kesejahteraan. Ini bertepatan dengan sifat seorang muslim yang sentiasa mengisi masanya dengan perkara berfaedah. Firman Allah SWT:

وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ 

Maksudnya, ““Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

(Surah al-Asr:1-3)

Kelima: Mengajak diri dan keluarga bersama-sama bermuhasabah akan segala apa yang telah dilalui sepanjang setahun yang lepas dan azam baharu untuk dicapai pada tahun mendatang. Terutamanya dalam menggapai redha dan rahmat Allah SWT di dunia dan akhirat. Ia sebagaimana kata Fudhayl bin Iyadh:

تُحْسِنُ فِيمَا بَقِيَ يُغْفَرُ لَكَ مَا مَضَى وَمَا بَقِيَ , فَإِنَّكَ إِنْ أَسَأْتَ فِيمَا بَقِيَ أُخِذْتَ بِمَا مَضَى وَمَا بَقِيَ

Maksudnya, “Berbuat baiklah dengan masa yang berbaki, moga diampunkan bagi kamu apa yang telah lalu dan apa yang berbaki, namun sesungguhnya jika kamu berbuat buruk pada masa yang berbaki, maka kamu akan dibalas dengan keburukan yang telah lalu dan berbaki.” (Lihat Hilyah al-Auliya, 8/113)

Justeru, kami menyeru semoga kita jadikan sambutan Tahun Baharu 2020 ini tidak lain kecuali sebagai hari kesyukuran atas segala nikmat dan rahmat yang telah dikurniakan Allah SWT kepada negara tercinta ini. Contohilah junjungan besar Nabi Muhammad SAW saat Baginda diberikan kemenangan besar dalam peristiwa pembukaan Kota Makkah. Ia tidak sesekali disambut dengan pesta dan majlis keramaian yang gilang gemilang. Namun disambut dengan penuh kesederhanaan, ketundukan dan kerendahan diri kepada Allah SWT sambil melafazkan kalimah-kalimah suci dan keampunan-Nya. Firman Allah SWT:

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّـهِ وَالْفَتْحُ ﴿١﴾ وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّـهِ أَفْوَاجًا ﴿٢﴾ فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا 

Maksudnya, “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), - (1) Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai, - (2) Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat. (3)

(Surah al-Nasr: 1-3)

Akhir kata, Selamat Menyambut Tahun Baharu 2020.