Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Ku mulakan coretan kalam ini dengan ‘بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ’ .

Dalam seminggu ini sehingga ke saat ini, jam 2 petang, 29 Februari 2020, hampir setiap jam isu terkini dan terbaharu politik Malaysia dengan meeting tergemparnya, kenyataan medianya, pertemuan, perbincangan, persetujuan, pembatalan persetujuan, keluar, masuk semula dan keluar semula menjadi rencah politik semasa. Kenyataan demi kenyataan dikeluarkan. Tak cukup dengan itu, ditambah dengan ulasan penganalisa politik dari pensyarah dan pakar politik, ahli politik, ahli akademik, agamawan bahkan yang mengeteh di kedai kopi sendiri pun begitu hangat berbincang. Dalam gambar yang diupdate, selalu dilihat masing-masing memegang telefon bimbit dan melihat kepada telefon bimbit, mencari berita terkini.

Telah datang kepadaku pelbagai orang yang ingin bertanya akan mauqif (pendirian) sama ada pemberita atau orang perseorangan. Justeru, selepas seminggu kemelut yang belum lagi dapat dilihat cahaya pada hujung terowong, makanya ku gagahkan diri ini untuk melakarkan satu coretan sebagai nasihat yang tulus dari hati untuk melihat sinar bahagia dan natijah yang baik bagi Malaysia dan rakyatnya. Itulah harapanku. Amin.

Ku mulakan dengan beberapa noktah seperti berikut:

Pertama: Kerajaan Adalah Milik Allah

Wajib bagi kita beriman dengan kalam suci Tuhan, firman Allah SWT:

قُلِ اللَّـهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Surah Ali Imran (26)

Allah guna kalimah (تَنزِعُ) maksudnya "senjoh". Allah tak guna kalimah (تأخذ - mengambil), (تمنع - menghalang). Allah guna kalimah (تَنزِعُ). ‘Senjoh’ ini maksudnya tarik, rentap dengan kuat. Sentap. Itu membuktikan kerajaan ini kuasa mutlak Allah. Dia sahaja yang boleh beri dan dia juga yang boleh ‘senjoh’. Itulah yang kita kena sama-sama insafi dan muhasabah.

 

Kedua: Kehendak Allah Pasti Berlaku

Teringat kepada firman Allah SWT:

إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَن يَقُولَ لَهُ كُن فَيَكُونُ

Maksudnya: “Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: "Jadilah!" maka terjadilah ia.”

Surah Yasin (82)

Imam al-Syaukani sewaktu mentafsirkan ayat ini, beliau menyatakan bahawa kekuasan Allah SWT itu begitu sempurna, dimana jika Dia berkehendak kepada sesuatu perkara, Dia hanya perlu menyebut "jadilah" dan ia akan terus terjadi tanpa perlu bergantung kepada suatu perkara yang lain. (Rujuk Fath al-Qadir, 4/546)

Syeikh Ahmad Mustafa al-Maraghi menyebut: “Ketikamana Allah SWT menciptakan sesuatu yang dikehendakinya, Allah SWT hanya berfirman: “Jadilah” sudah tentu sesuatu yang dikehendaki-Nya itu akan berlaku. Ayat ini menunjukkan betapa agungnya kekuasaan Allah SWT sehingga jika Dia menghendaki sesuatu, ketika itu juga ia boleh terjadi.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 12/5724)

Syeikh Tahir Ibn ‘Asyur berkata: Kenyataan ini merupakan sehebat-hebat istidlal dan kata pemutus. Demikian itu kerana ia menjelaskan apa yang sebelumnya sebagaimana yang dijelaskan sejumlah natijah daripada dua jumlah qiyas. Maka natijahnya, apabila Allah menghendaki sesuatu, maka tertakluklah kudrat-Nya dengan menjadikannya dengan perintah takwini yang diibaratkan daripada bahasa yang paling pendek iaitu (كن) kun untuk menggambarkan kejadian.

Beliau memahami kata amr dalam maksud keadaan. Menurutnya makna ini lebih tepat dengan konteks keraguan kaum musyrikin atas kuasa Allah menghidupkan kembali tulang belulang yang telah hancur. Maknanya menurut beliau, “Tiada keadaan bagi Allah saat Dia hendak menciptakan suatu ciptaan, kecuali ketetapan-Nya untuk mencipta sesuatu itu. Potongan ayat di atas melukiskan ketetapan-Nya itu di mana sesuatu yang hendak Dia wujudkan langsung terjadi – melukiskannya – dengan kata (كن) kun. Ini untuk menjelaskan bahawa untuk mewujudkannya, Dia tidak menggunakan tangan, tidak juga alat atau mengolah atau mengadun suatu bahan seperti yang dilakukan oleh pekerja. Ini kerana kaum Musyrikin menyangka bahawa hari Kebangkitan tidak dapat terjadi kerana bahan untuk menjadikannya tidak ada lagi. (Lihat Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 11/79)

Saya teringat ketika Tuanku Agong mula dilantik, pernah menyebut berkenaan dengan ayat 82 dari Surah Yasin. Kami telah tafsirkannya di laman web kami dalam artikel Al-Kafi #1049: Tafsir Ayat 82 Surah Yasin.

 

Ketiga: Sifat Hati Selalu Berbolak-balik

Pujangga Arab pernah berkata:

وَمَا سُمِّيَ الْإِنْسَانُ إِلَّا لِنِسْيِهِ                   وَلَا الْقَلْبُ إِلَّا أَنَّهُ يَتَقَلَّبُ

                            Tidak dinamakan manusia kecuali dengan sifat pelupanya

                                                 Tidak dinamakan hati kecuali dengan sifat selalu berbolak-balik

 

Justeru, benarlah doa Nabi SAW yang kerap dibaca:

يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”

Riwayat Imam Ahmad (26618) dan al-Tirmizi (3522)

Oleh itu, marilah sama-sama kita mengamalkan doa ini terutamanya tatkala kita telah mempunyai sebuah keputusan yang wajib kita iltizam dengannya. Rakyat hanya memerhati, tetapi jawatan kedua yang dipunyai oleh rakyat adalah ‘hakim’ yang menilai mana-mana individu atau pemimpin. Semoga kita semua dinilai sebagai orang yang baik atau pemimpin yang baik. Amin.

 

Keempat: Iltizam dengan Keputusan Syura

Firman Allah SWT:

وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ

Maksudnya: “Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka.”

Surah al-Syura (38)

Imam al-Tabari dalam menjelaskan ayat di atas menukilkan pendapat al-Dhahak yang menyatakan: “Tidaklah Allah perintahkan Nabi-Nya bermusyawarah melainkan kerana Allah mengetahui bahawa terdapat kelebihan padanya.” (Lihat Jami’ al-Bayan ʿan Taʾwil ay al-Qurʾan, 4/150)

Ibn Kathir berkata: “Mereka tidak menetapkan satu-satu keputusan sehingga mereka syura sesama mereka. Ini bertujuan untuk saling menguatkan dengan pandangan mereka seperti isu peperangan dan apa yang berlaku dalam strateginya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/211)

Firman Allah SWT lagi:

وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ

Maksudnya: “Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.”

Surah Ali-Imran (159)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Berbincang itu mengandungi banyak faedah, antaranya memperlihatkan bahawa adanya kesatuan hati dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Penyatuan hati ini yang akan membantu mencapai sesuatu tujuan.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/987)

Walaupun begitu, apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, Baginda mengambil satu keputusan dan beriltizam dengan keputusan itu tanpa berpatah balik. Inilah yang dilakukan ketika keputusan keluar atau tidak dari kota Madinah untuk peperangan Uhud. Justeru, beriltizam dengan keputusan selepas disyura pasti mengandungi pelbagai rahmah dan hikmah.

 

Kelima: Jangan Bermusuhan Berlebihan

Ini selaras dengan hadis Nabi SAW, sabda Baginda:

أَبْغِضْ عَدُوَّكَ هَوْناً ماَ، عَسَى أَنْ يَكُونَ حَبِيْبَكَ يَوماً ماَ

Maksudnya: “Bencilah musuhmu itu sekadar sederhana sahaja, mana tahu barangkali dia akan menjadi kesayanganmu pada suatu ketika di hari yang lain.”

Riwayat al-Tirmizi (2128) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman.
Imam al-Suyuti mengisyaratkan hadis ini dengan hasan.

Hal ini lebih teruk lagi pengharamannya tentang mematuhi musuh, apabila musuh itu kuat, yang mana pada kebiasaannya didekatkan diri kepadanya oleh golongan munafik dan hati mereka penuh dengan pelbagai jenis penyakit. (Lihat Permata Buat Orang Beriman, 2/1)

Hal ini banyak kali kita lihat. Semalam mereka bermusuhan, kemudian kata-mengata dan dedah-mendedah aib masing-masing. Tiba-tiba pada hari ini mereka bersahabat semula. Selepas itu, bergaduh kembali. Justeru, dengan mengingat hadis Nabi ini, bermusuh ala kadar. Begitu juga berkasih sayang jangan melampau. Semoga hadyun nabawi menjadi petunjuk kepada kita. Amin.

 

Keenam: Jangan Menghina

Firman Allah SWT:

لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ

Maksudnya: “Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka.”

Surah al-Hujurat (11)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Ini kerana kadang-kadang orang yang dihina jauh lebih baik di sisi Allah daripada orang yang menghina sebagaimana yang disebut di dalam hadis.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 13/6499)

Orang yang dicaci, dihina, difitnah dan dilaknat itu, belum tentu lebih hina daripada yang menyumpah seranah. Apatah lagi jika kedua-duanya masih berpayung di bawah kalimah syahadah yang sama.

Nasihatku agar sama-sama kita tidak menghina sesama kita kerana yang paling baik antara kita adalah yang paling bertakwa. Justeru, kawallah lidah daripada mengata yang tidak baik dan tangan yang digunakan untuk menulis pada laman web, media massa, whatsapp, instagram, twitter, messenger dan lain-lain.

Kami nukilkan kata-kata Khalifah Umar bin Abdul Aziz Rahimahullah daripada buku Sirah wa Manaqib ‘Umar ibn ‘Abdul ‘Aziz karya Ibn Al-Jauzi, antara lain katanya: “Fiqh yang terbesar ialah bersifat dengan cukup dengan apa yang ada (qana’ah) dan menahan daripada menyakiti manusia.”

 

Ketujuh: Tabayyun Dahulu Berita

Kami telah jelaskan dengan panjang lebar dalam laman web kami www.muftiwp.gov.my berkenaan isu ini. Antara yang kami katakan adalah penelitian di dalam menerima sesuatu berita itu mestilah diambil berat bagi memastikan kebenarannya. Ini supaya dapat mengelak daripada berlakunya penyebaran berita palsu dan perbuatan ini akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT serta tergolong dalam golongan yang pendusta. Sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Hafs bin Asim RA, sabda Nabi SAW:

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Maksudnya: Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya (tanpa tabayyun)

Riwayat Muslim (5)

Hadis ini telah diletakkan pada bab khusus oleh Imam al-Nawawi dengan tajuk: "Larangan terhadap menceritakan semua perkara yang didengari”. Dalam menjelaskan hadis ini, Imam al-Nawawi berkata: Seseorang boleh dikatakan berdusta disebabkan berita yang didengar boleh jadi ditambah-tambah. Adapun makna hadis ini mengandungi peringatan daripada membicarakan setiap yang didengari. Ini kerana ia boleh jadi benar dan boleh jadi dusta. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 1/75)

Bagi mendapat penjelasan, sila rujuk artikel kami bertajuk Bayan Linnas Siri Ke 184: Tabayyun Dalam Penerimaan Dan Penyampaian Berita.[1]

Ini juga kerana kami dapati kadang-kadang berita yang disampaikan, sudah berlaku u-turn. Maklumat semalam mengatakan begian, sedangkan pada hari ini sudah berubah. Dibimbangi versi yang disampaikan berlainan dek kerana tidak dikemaskini maklumat yang paling terkini. Akhirnya bertembung dua maklumat dari sumber yang sama. Alangkah malangnya.

 

Kelapan: Kurangkan Dari Membuat Banyak Kenyataan

Yang menjadi masalah, kadang-kadang semua membuat kenyataan sama ada pemimpin nombor satu, nombor dua, nombor tiga, nombor empat sehingga yang tidak bernombor. Hal ini menambahkan lagi keparahan. Pendapat masing-masing kadang-kadang dan banyak kali bertentangan serta bercanggah sesama sendiri. Ini menjadikan masyarakat keliru, terkeliru dan mengelirukan, yang mana satu nak dipegangnya atau dipercayainya. Oleh itu, setiap parti atau kumpulan cukup seorang yang membuat kenyataan rasmi. Seboleh-bolehnya, jangan panjang dan jangan u-turn.

 

Kesembilan: Pupukkanlah Perpaduan

Bak kata pepatah: Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga. Apa yang berlaku dalam Malaysia pada hari ini lebih kepada kocakan air dalam sebuah balang atau gelas yang besar. Maksud saya, ia lebih kepada mengambil satu pendapat atau keputusan yang pada hakikatnya mudah tetapi menjadi serabut dan susah tatkala bertembung banyak buah fikiran, idea dan kehendak. Justeru, masing-masing dengan semangat yang kental dan tinggi telah mengemukakan pelbagai hujah, pandangan, pendapat dan cuba menegakkannya.

Kami katakan, apa-apa yang berlaku, kita tetap rakyat Malaysia. Kita hanya mempunyai sebuah negara dan tanah watan bernama Malaysia. Huru-hara dan pertelingkahan yang membawa kepada tumpah darah, akibat buruknya pada diri kita sendiri jua. Ke mana kita hendak pergi? Mereka (musuh-musuh kita) amat suka melihat kejatuhan kita. Apa kata, buang yang keruh, ambil yang jernih. Tautkan kesatuan hati, bulatkan tekad, ikhlaskan niat serta fahamilah falsafah rukun negara.

Akhir kalam, kami katakan marilah kita hulurkan tangan persaudaraan selepas kemelut yang insya Allah akan melabuhkan tirainya. Akan datang cahaya dari ufuk dan sebuah kebahagiaan akan singgah dan bertapak kepada masyarakat Malaysia.

 

Kesepuluh: Banyakkan Munajat dan Doa

Sudah berkali-kali kami ulanginya, banyakkan munajat dan doa. Antara doa yang terbaik kepada pemimpin terutamanya dan rakyat jelata adalah:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Dengan mengamati doa ini, sudah barang tentu kita pohon kepada-Nya agar kita sentiasa bersama dengan kebenaran dan di pihak yang mencari kebenaran. Pada saat yang sama, kita menjarakkan diri kita dari kebatilan dan menjarakkan diri kita dari berpihak kepada pihak kebatilan. Allah SWT sahaja yang mengetahui hakikat ini. Justeru, marilah kita memohon kepada-Nya.

Doa lah untuk:

-Kita semua diberi petunjuk kebenaran

-Kita semua ditetapkan semangat dan iltizam untuk mengikut kebenaran

-Malaysia dan rakyatnya sentiasa aman

-Agar dijauhkan kita dari kancah permusuhan kaum

-Agar dijarakkan kita dari sifat hasad dengki, tamak haloba dan dendam kesumat

-Agar dipertautkan hati kita untuk menjunjung titah perintah Tuhan

-Agar Allah kurniakan kepada pemimpin kita taufik dan hidayah

-Agar kemelut yang berlaku ada noktah penghujungnya

-Agar pemimpin yang akan dilantik benar-benar amanah dan mampu menggalas tugas dengan seterbaik mungkin.

-Agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj sentiasa diberi taufik, hidayah, inayah, ri’ayah, kesihatan yang baik serta dapat memimpin negara dengan seterbaik mungkin.

Kami yakin dan percaya, di hujung kemelut politik yang sedang berlaku pada masa ini, akan menatijahkan satu keputusan yang ranum, yang membawa kepada kebahagiaan hidup bagi rakyat Malaysia dan negaranya. Amin.

 

Kesebelas: Jawatan Sebagai Amanah

Selalu saya mendengar pemimpin berkata jawatan itu adalah taklif dan bukan tasyrif. Jelas menunjukkan sebuah kesedaran yang mendalam, yang perlu diterjemah sebagaimana Khalifah Abu Bakar dan Khulafa al-Rasyidin melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah.

Daripada Abu Zar RA, katanya: “Ya Rasulullah! Lantiklah aku untuk satu jawatan!” Lalu Rasulullah SAW menepuk bahunya dan bersabda:

يَا أَبَا ذَرٍّ، إِنَّكَ ضَعِيفٌ، وَإِنَّهَا أَمَانَةٌ، وَإِنَّهَا يَوْمَ القِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ، إِلاَّ مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيْهَا

Maksudnya: “Hai Abu Zar! Sesungguhnya engkau ini lemah dan ini perkara amanah. Di akhirat nanti ia akan menghina dan mendukacitakan kecuali orang yang dapat menjalankan dengan penuh kebenaran serta melaksanakan tugas yang dipikul ke atas tengkuknya.”

Riwayat Muslim (4823)

Kelayakan dan keahlian serta sifat kepimpinan yang digariskan oleh ulama’ seperti Imam al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah dan lain-lain lagi jelas menunjukkan betapa ianya amat berat yang wajib dipikul dengan high integrity dan keamanahan yang tinggi.

Saya menutup perbincangan ini dengan menukilkan satu kisah teladan.

Ketika Umar Ibn Abdul Aziz baru menjadi khalifah, ramai perwakilan yang datang dari seluruh pelusuk tanah Arab menyampaikan ucapan tahniah. Seorang kanak-kanak yang berusia sebelas tahun tampil ke hadapan untuk menyampaikan ucapan bagi pihak perwakilan Hijaz. Lalu Khalifah Umar berkata kepadanya: “Berundurlah kamu dan biarlah seorang yang lebih tua darimu tampil ke hadapan!”

Lalu kanak-kanak itu pun menjawab: “Semoga Allah memihak kepada tuan hamba hai Amirul Mukminin. Diperhitungkan seorang itu dengan dua benda kecil yang ada padanya iaitu hati dan lidahnya. Apabila Allah mengurniakan pada hambanya lidah yang fasih dan hati yang terang, maka dia berhak bercakap. Sekiranya umur itu menjadi ukuran, nescaya ada orang lain yang lebih berhak duduk di tempat tuan sekarang ini dari kalangan rakyat!”

Mendengar hal ini, Khalifah Umar merasa sungguh terperanjat dan terpegun dengan kata-kata yang dilontarkan oleh kanak-kanak itu, lalu beliau bermadah:

"Seseorang itu tidak diperanakkan alim,

Dan bukanlah orang yang berilmu itu sama dengan yang jahil.

Kaum yang besar tanpa ilmu dianggap kecil,

Sekalipun ia dikelilingi oleh keramaian."

 

Penutup

Saya katakan kepada diri saya serta pembaca semua bahawa sesungguhnya ijtihad siyasi atau politik adalah paling payah dan sukar. Sementelahan lagi untuk membuat satu keputusan serta mempersetujuinya untuk dilaksanakan, sudah barang tentu akan membawa kepada sejuzuk pengorbanan atau amat banyak pengorbanan.

Cumanya, permintaan akhir kami, setiap yang terpilih dan dilantik hendaklah mentashihkan nawaitu semata-mata untuk agama, bangsa, tanah watan dan negara yang dicintainya ke arah yang lebih maju, harmoni, aman damai serta rakyat merasa bahagia. Amin.

Kepada yang tidak terpilih, makanya hendaklah dihiasi dengan kesabaran dan redha dengan keputusan yang telah ditetapkan. Pada penghujung nasihatku ini, keputusan telah diumumkan melalui kenyataan media oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja. Semoga semua pihak akur dan mentaati pemerintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Saya yakin, kehendak Allah selepas kita usaha, itulah yang terbaik, yang penuh dengan hikmah.

Kami merasa kagum dan tabik hormat kepada seluruh rakyat Malaysia yang tetap bersabar menanti tanpa sebarang demonstrasi dan aksi ganas yang di luar peradaban dan tatasusila budaya timur yang sentiasa dijunjung. Semoga penonjolan akhlak yang baik dan kesabaran yang tinggi sentiasa menghiasi diri kita ini.

Saya katakan kepada anda semua, sesungguhnya saya kasihkan anda dan sayang anda semua.

Kami akhiri dengan mengangkat tangan munajat kepada-Nya:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang terburuk di kalangan kami.”

 

Akhukum fillah,

Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Alhamdulillah, selesai ketika azan Asar 4.52 petang
Sabtu, 29 Februari 2020 bersamaan 5 Rejab 1441 Hijri