Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN AL-FALAK SIRI KE-6 : PENETAPAN 1 SYAWAL 1443H : SATU PENJELASAN

bf5 compressed

Soalan : Baru-baru ini heboh di media-media sosial berkaitan tarikh Hari Raya Aidilfitri, bagaimanakah Penentuan dan Penetapan 1 Syawal 1443H di Malaysia ?

Polemik mengenai tarikh permulaan Syawal di media-media sosial, menyebabkan berlakunya kecelaruan dan kekeliruan dalam masyarakat. Perkara asas yang perlu difahami ialah penentuan awal bulan dalam takwim hijri di Malaysia adalah menggunapakai kaedah rukyah dan hisab (hitungan falak) dengan  merujuk kepada syarat kenampakan anak bulan yang disebut sebagai kriteria imkanur rukyah (kebolehnampakan). Kaedah ini mula digunakan dalam penyusunan takwim hijri di Malaysia sejak tahun 1995 lagi.

Bermula pada bulan Muharam 1443, Malaysia telah mengaplikasikan syarat kenampakan yang baharu iaitu, anak bulan dianggap boleh kelihatan sekiranya berada pada kedudukan 3° tinggi daripada ufuk dan jarak lengkung antara bulan dan matahari ialah 6.4° ketika matahari terbenam hari ke 29 dalam setiap bulan hijri.  Syarat imkanur rukyah ini turut dipersetujui penggunaanya oleh negara-negara seperti Indonesia, Brunei dan Singapura atau disebut sebagai negara MABIMS.

Walaupun MABIMS merujuk kepada kriteria imkanur rukyah yang sama, namun setiap negara mempunyai proses pensabitan kenampakan anak bulan yang tersendiri. Oleh itu, berkemungkinan akan berlakunya perbezaan dalam tarikh permulaan awal bulan tersebut. Dalam aspek fiqh, perkara ini tertakluk kepada matlak iaitu keluasan geografi dalam mensabitkan kenampakan anak bulan yang tertentu.

Berdasarkan penilaian dan analisa terhadap data bulan dan matahari pada tarikh 29 Ramadan 1443H dan berpandukan kepada titik rujukan lokasi cerapan,  data menunjukkan anak bulan Syawal  tidak memenuhi syarat imkanur rukyah yang telah ditetapkan pada masa matahari terbenam pada tarikh 29 Ramadan 1443H. Sehubungan itu anak bulan dianggap tidak kelihatan dan keesokannya digenapkan kepada 30 Ramadan.

Walau bagaimanapun, kemungkinan Anak Bulan akan kelihatan pada tarikh cerapan tersebut adalah tidak mustahil sekiranya keadaan ufuk yang baik serta tidak berawan. Walau apapun jangkaan yang dibuat mengenai tarikh permulaan awal Syawal, namun pengisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia pada 1 Mei 2022 nanti adalah keputusan yang muktamad. Oleh itu pejabat ini ingin menasihatkan umat Islam supaya menghormati dan menerima keputusan oleh pihak  berautoriti iaitu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+