Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN AL-FALAK SIRI KE-18 : KEPENTINGAN ILMU FALAK DALAM MASYARAKAT

BAYAN FALAK 12 01

 

Menuntut ilmu merupakan suatu perkara yang dituntut di dalam agama. Ini kerana, ilmu merupakan petunjuk dan cahaya bagi menuju ke jalan yang diredai-Nya. Ilmu falak merupakan salah satu ilmu yang sangat penting dalam kehidupan kita sebagai manusia di muka bumi ini bagi menjalani kehidupan seharian serta melakukan ibadah.
 
Ilmu falak merupakan salah satu cabang ilmu sains tabii yang mengkaji perjalanan badan badan cakerawala seperti bumi, bulan, matahari dan bintang-bintang[1]. Lantaran itu, kejadian mengenai alam semesta dan fenomena-fenomena yang berlaku di langit banyak yang telah dirakamkan di dalam kitabullah:
 
لَا الشَّمْسُ يَنبَغِي لَهَا أَن تُدْرِكَ الْقَمَرَ وَلَا اللَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ ۚ وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ 
 
Maksudnya: (Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.
Surah Yasin (40)
 
Penciptaan malam dan siang merupakan nikmat yang dikurniakan Allah SWT ke atas manusia dan menjadikan malam untuk berehat dan siang untuk bekerja. Allah SWT juga menjadikan matahari tanda adanya siang dan bulan tanda malam, kedua-duanya untuk mengetahui bulan, tahun dan membuat perhitungan. Setiap dari matahari, bulan, bintang, planet, malam dan siang kesemuanya bergerak dan beredar mengikut edarannya yang tersendiri. Sebagaimana firman Allah SWT:
 
 وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ ۖ كُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ  
 
Maksudnya: Dan Dia lah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas).
Surah al-Anbiya’ (33)
 
Sebagai bukti tanda kewujudan Allah SWT dan mengagungkan kebesaran-Nya.
 
Melalui ilmu falak, kita dapat memahami dan mengkaji mengenai pergerakan matahari, bulan, bintang dan bumi. Seperti yang dinyatakan oleh Ibn Khaldun dalam Abriged dimana ia merupakan Ilmu yang mempelajari pergerakan bintang-bintang tetap dan planet planet. Pemerhatian cara mana pergerakan itu berlaku, membolehkan pengetahuan ciri-ciri pergerakan dan kedudukannya diketahui dengan geometri[2]. Kita juga dapat melihat bagaimana Allah SWT mengatur alam ini dengan begitu cantik sekali yang berjalan seiring dengan kehendak-Nya. Oleh yang demikian, melalui kajian inilah akal waras kita sebagai manusia dapat berfikir dan merenung kembali akan kekuasaan-Nya. Ia menjadi bukti dan dalil yang kuat bahawasanya Allah SWT adalah pemilik hakiki bagi semua yang berada di bumi ini mahupun di alam semesta. Sebagaimana firman Allah SWT, 
 
 إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ ‎(190) الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ (191) 
Maksudnya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (190) (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. (191)
 
Surah al-Imran (190-191)
 
Melalui penciptaan alam ini, dapat dibuktikan kekuasaan mutlak dan keagungan keagungan Allah SWT dengan syarat diperolehi dari akal yang sempurna yang terhasil melalui pengetahuan terhadap sesuatu secara hakikatnya bukan seperti orang-orang yang pekak lagi bisu yang tidak mahu memahami sesuatupun dengan akal fikirannya. Kemudian Allah SWT menyifatkan ulul albab ialah mereka yang sering bertafakkur dan mengingati-Nya dalam setiap jua keadaan.
 
Memudahkan urusan untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT.
 
Islam adalah satu-satunya agama yang paling sempurna yang ada di bumi ini serta ia meliputi seluruh aspek kehidupan. Dalam konteks beribadah bagi umat Islam, mengetahui ilmu falak adalah sangat penting. Ini kerana, ia sangat berkait rapat dengan rukun Islam yang dipegang oleh seluruh umat Islam di muka bumi, iaitu mengucap dua kalimat syahadah, mendirikan solat, berpuasa di bulan Ramadan, membayar zakat dan menunaikan haji bagi yang berkemampuan.
 
Pelaksanaan ibadah yang diperintahkan oleh Allah SWT mempunyai kaitan dengan fenomena-fenomena alam yang berlaku seperti pergerakan bumi, bulan dan matahari. Ini kerana, setiap fenomena yang berlaku mempunyai batasan-batasan waktu yang tertentu. Sebagai contoh, batas waktu bagi menunaikan solat adalah berdasarkan kepada pergerakan matahari dan hitungan yang dilakukan bagi menentukan masuk dan berakhirnya waktu solat. Begitu juga dengan penentuan bagi melakukan ibadah haji, ibadah puasa yang ditentukan dengan penampakkan anak bulan dan lain-lain. Antara firman Allah SWT:
 
خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بِالْحَقِّ ۖ يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ ۖ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ ۖ كُلٌّ يَجْرِي لِأَجَلٍ مُّسَمًّى ۗ أَلَا هُوَ الْعَزِيزُ الْغَفَّارُ  
 
Maksudnya: Ia menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar; Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya); dan Ia menjadikan matahari dan bulan beredar menurut perintahnya, - tiap-tiap satu dari keduanya, beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Ingatlah! Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Yang sentiasa Mengampuni.
Surah al-Zumar (5)
 
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ ۖ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ ۗ وَلَيْسَ الْبِرُّ بِأَن تَأْتُوا الْبُيُوتَ مِن ظُهُورِهَا وَلَٰكِنَّ الْبِرَّ مَنِ اتَّقَىٰ ۗ وَأْتُوا الْبُيُوتَ مِنْ أَبْوَابِهَا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ‎ 
 
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: "(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji. 
Surah al-Baqarah (189)
 
Setiap ibadah yang dilakukan mempunyai batas-batas waktu yang tertentu dan perlu dilakukan di dalam tempoh waktu tersebut. Sekiranya dilakukan di luar batas waktu itu, ibadah tersebut akan terbatal atau tidak sah di sisi agama. Oleh yang demikian, dengan mempelajari dan mengetahui ilmu falak dapat membuka mata masyarakat akan kepentingannya dalam pelaksanaan ibadah. Secara tidak langsung ia dapat menggerakkan manusia untuk lebih menghayati dan memerhati kejadian alam, pergerakan serta peredaran yang berlaku di bumi ini. 
 
Sebagai petunjuk dan rujukan bagi manusia dalam menjalani kehidupan seharian.
 
Mengetahui arah tempat, waktu atau masa serta takwim adalah sangat penting dalam mengerjakan urusan seharian. Ini kerana, tanpa mengetahui dan mempelajari ilmu tersebut amatlah sulit untuk melakukan urusan seharian dengan mudah dan lancar. Dahulunya, para pelayar atau musafir menggunakan arah tiupan angin, bintang-bintang di langit, kedudukan gunung-ganang dan kedudukan matahari bagi tujuan mengetahui arah untuk menuju ke tempat yang dikehendaki. Begitu juga, dalam menjalani kehidupan di daratan, manusia menggunakan pengetahuan tersebut untuk mencari rezeki dengan menjalankan aktiviti pertanian. Selain itu, dengan mengetahui pergerakan matahari juga, manusia dapat mengetahui masa sekaligus membezakan siang dan malam yang silih berganti berdasarkan aturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Dalam hal ini, Allah SWT telah berfirman: 
 
‏ إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَىٰ عَلَى الْعَرْشِ يُغْشِي اللَّيْلَ النَّهَارَ يَطْلُبُهُ حَثِيثًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ وَالنُّجُومَ مُسَخَّرَاتٍ بِأَمْرِهِ ۗ أَلَا لَهُ الْخَلْقُ وَالْأَمْرُ ۗ تَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ  
 
Maksudnya: Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Ia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.
Surah al-A’raf (54)
 
Seterusnya, Allah SWT menceritakan tentang tanda-tanda penciptaan yang agung kepada kita. Allah SWT menjadikan pertukaran siang dan malam untuk manusia mengambil manfaat darinya untuk beristirehat dan bekerja. Adapun putaran matahari dan bulan adalah untuk manfaat manusia, haiwan dan tumbuhan. Kesemua ini bergerak atau berputar dengan peraturan dan pergerakan yang telah ditetapkan. Tiada yang kurang dan tiada yang lebih, kesemuanya tunduk dan patuh kepada kekuasan Allah SWT. Sebagaimana firman-Nya:
 
وَسَخَّرَ لَكُمُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ ۖ وَالنُّجُومُ مُسَخَّرَاتٌ بِأَمْرِهِ ۗ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ ‎ 
 
Maksudnya: Dan (Ia mengadakan) tanda-tanda panduan jalan, dan dengan bintang-bintang (pada waktu malam) mereka dapat mengetahui arah yang hendak dituju.
Surah al-Nahl (12)
 
Seterusnya, kepentingan mengetahui ilmu falak juga berkait rapat dengan pembuatan takwim kerana ia merupakan sistem yang bersangkut paut dengan urusan aktiviti sosial, keagamaan serta pengurusan masa dari segi penentuan hari, bulan dan tahun. Tarikh atau takwim adalah merujuk kepada catatan terhadap sesuatu peristiwa yang telah berlaku. Seperti contoh, tarikh kelahiran dan kematian, perayaan, perkahwinan dan sebagainya.
 
Di dalam Islam, penggunaan takwim secara langsung sangat berkait rapat dengan permasalahan fiqh yang timbul. Antara yang perlu diselesaikan mengikut takwim seperti kiraan hawl, hadanah, zakat, penyusuan, tempoh mengandung, baligh dan lain-lain hukum hakam yang melibatkan kiraan dalam isu manusia dan binatang ternakan. Allah SWT berfirman di dalam kitab-Nya:
 
وَجَعَلْنَا اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ آيَتَيْنِ ۖ فَمَحَوْنَا آيَةَ اللَّيْلِ وَجَعَلْنَا آيَةَ النَّهَارِ مُبْصِرَةً لِّتَبْتَغُوا فَضْلًا مِّن رَّبِّكُمْ وَلِتَعْلَمُوا عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَ ۚ وَكُلَّ شَيْءٍ فَصَّلْنَاهُ تَفْصِيلًا  
 
Maksudnya: Dan Kami jadikan malam dan siang itu  dua tanda (yang membuktikan kekuasaan   Kami), maka Kami  hapuskan   tanda malam  itu  (sehingga   menjadi  gelap   gelita), dan  Kami jadikan  tanda  siang  itu  terang  benderang, supaya kamu mudah mencari  rezeki  dari  limpah  kurnia Tuhan  kamu, dan   supaya   kamu   mengetahui    bilangan    tahun   dan hitungan   hisab  (bulan   dan  hari); Dan  (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), Kami telah terangkan dia satu persatu (dalam al-Quran) dengan sejelas-jelasnya.
 
Surah al-Isra (12)
 
Kesimpulannya, menuntut ilmu adalah satu kewajipan bagi umat Islam dan mempelajari ilmu falak adalah fardu kifayah. Walaupun ianya satu ilmu yang tidak wajib dipelajari tetapi kita sebagai umat Islam haruslah menguasai dan mempelajari ilmu falak ini. Sebagaimana yang berlaku pada waktu zaman dahulu, ilmu ini banyak dikuasai oleh orang Islam dan telah berjaya melahirkan cendekiawan yang pakar dalam ilmu falak. Tambahan pula, sekiranya kita menguasai ilmu ini mudah bagi kita untuk menjalani kehidupan seharian khususnya dalam bab ibadah. Oleh itu, marilah sama-sama kita sebagai umat Islam menambahkan ilmu pengetahuan dalam ilmu falak dan sedar akan kepentingannya. Wallahu’alam.
 
Rujukan
• Baharrudin bin Zainal; Kesan Pengamalan Ilmu Falak Dalam Konteks Agama, Sosial dan Budaya Di Alam Melayu
Bayan Al-Falak Siri Ke-3: Kepentingan Takwim Hijri Dalam Penentuan Hukum Hakam Dan Pentadbiran Hal Ehwal Islam Di Malaysia, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
• Mohamad Faizal Bin Jani; Kepentingan Ilmu Falak Dalam Kehidupan, Jabatan Mufti Negeri Perak.
 [1]Baharuddin Zainal, Ilmu Falak (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2004)
 [2]Zainal, B. (2009). Etnomatematik dalam ilmu falak alam Melayu (Doctoral dissertation, Universiti Putra Malaysia).

 


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+