Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN AL-FALAK SIRI KE-19 : METEOR SEBAGAI ALAT REJAMAN SYAITAN

BAYAN FALAK 13 01

 

Setiap sesuatu yang diciptakan oleh Allah SWT mempunyai peranannya masing-masing, termasuklah fenomena langit seperti hujan meteor. Menurut ahli tafsir, perkataan syihaaban yang terkandung di dalam surah al-Jinn bermaksud api yang menyala merujuk kepada meteor (Ibn Asyur). Firman Allah SWT:

وَأَنَّا لَمَسْنَا ٱلسَّمَآءَ فَوَجَدْنَٰهَا مُلِئَتْ حَرَسًا شَدِيدًا وَشُهُبًا ‎﴿٨﴾‏ وَأَنَّا كُنَّا نَقْعُدُ مِنْهَا مَقَٰعِدَ لِلسَّمْعِ ۖ فَمَن يَسْتَمِعِ ٱلْـَٔانَ يَجِدْ لَهُۥ شِهَابًا رَّصَدًا ‎﴿٩﴾‏ 

Maksudnya: Bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala(8).  Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya(9).

Surah al-Jinn (8-9)

Menurut Tafsir al-Jalalain, ayat di atas merupakan perkataan jin itu sendiri, jin menyatakan, "kami telah cuba mencuri pendengaran di langit yang penuh dengan malaikat dan bintang-bintang yang membakar". Peristiwa ini berlaku sebelum Nabi SAW diutus menjadi Rasul kerana jin boleh mencuri dengar berita langit sebelum Nabi SAW diutus menjadi Rasul. Selepas Nabi SAW menjadi Rasul, sesiapa yang cuba mendengar berita dari langit akan dipanah oleh api (meteor-meteor yang bersedia untuk membunuhnya). Tafsiran ini jelas menunjukkan bahawa syaitan yang cuba mencuri dengar berita di langit (di antara Allah SWT dan malaikat) akan direjam dengan api yang menyala iaitu meteor.

(Tafsir Jalalain)

Berdasarkan ayat 8-9 surah Jinn di atas, ketika mana Nabi SAW diutus menjadi Rasul dan ketika waktu turunnya al-Quran, jin mendengar percakapan penduduk langit seperti mana kebiasaan sebelumnya. Akan tetapi kali ini, jin mendapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya yang terdiri daripada malaikat yang menjaga dari kecurian berita langit. Jin juga mendapati di sana terdapat bintang yang membakar yang turut juga menghalangi kecurian dengar berita langit.

Sesungguhnya jin dihalang mencuri dengar berita langit ini bermula selepas diutusnya Nabi menjadi Rasul atas alasan tidak dapat mencuri sesuatu pun dari al-Quran dan mencampuradukkannya supaya tidak tahu mana yang benar. Sehingga kini, jika terdapat jin yang curi-curi dengar berita langit, akan di direjam dengan bintang yang terbakar yang akan binasakan atau memusnahkannya.

(Tafsir Munir)

Jika dilihat dari pandangan sains, meteor ialah jisim yang jatuh melalui atmosfera bumi dan aktiviti pergeserannya dengan udara yang menghasilkan haba[1]. Meteor juga merupakan garisan atau jalur-jalur cahaya yang berlegar di ruang langit iaitu di lapisan ionosfera yang mana ianya terbentuk dalam garisan optik yang membentuk seperti nyalaan api[2]. Hakikatnya, hujan meteor merupakan fenomena yang berkaitan kilatan cahaya yang boleh dilihat pada waktu malam dengan lebih jelas pada waktu tertentu.

Peranan Meteor Terhadap Pembentukan Bumi

Selain daripada menjadi tatapan umum tanda kebesaran Allah SWT, meteor juga mempunyai peranan yang besar kepada umat manusia. Antara peranan meteor ialah menjadi agen penghantar air di bumi. Jika dilihat jumlah air dibumi mesti pernah terfikir bagaimana air sebanyak ini diperoleh di bumi. Pada tahun 1986 seorang ahli fizik menyatakan hipotesisnya dengan membawa data yang menunjukkan lubang lubang di atmosfera bumi pada sebelum ini terhasil daripada ribuan komet yang membawa air. Meteor atau komet itu mengandungi bahan daripada molekul air (H2O), ammonia (NH3), karbondioksida (CO2) dan metana (CH4). Allah SWT juga menyebut dalam firman-Nya:

أَلَمْ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ يُزْجِى سَحَابًا ثُمَّ يُؤَلِّفُ بَيْنَهُۥ ثُمَّ يَجْعَلُهُۥ رُكَامًا فَتَرَى ٱلْوَدْقَ يَخْرُجُ مِنْ خِلَٰلِهِۦ وَيُنَزِّلُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مِن جِبَالٍ فِيهَا مِنۢ بَرَدٍ فَيُصِيبُ بِهِۦ مَن يَشَآءُ وَيَصْرِفُهُۥ عَن مَّن يَشَآءُ ۖ يَكَادُ سَنَا بَرْقِهِۦ يَذْهَبُ بِٱلْأَبْصَٰرِ 

Maksudnya: Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya. Dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-ganang (awan) yang ada padanya; lalu Ia menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan menjauhkannya dari sesiapa yang dikehendakiNya. Sinaran kilat yang terpancar dari awan yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar dan menghilangkan pandangan.

Surah al-Nur (43)

Ayat ini kita dapat fahami maksud ais itu datang dalam bentuk komet dan meteor yang jatuh ke bumi. Penelitian dilakukan pada spektrum komet Halley dan komet lain bahawa isotop hidrogen dan deutrium pada H2O air laut adalah sama dengan H2O pada komet- komet. Kekuasaan Allah SWT itu sahajalah yang berupaya menghadirkan air dan juga berupaya menghilangkanya.

Selain itu, meteor juga menjadi agen yang menghantar besi atau logam di bumi. Berdasarkan firman Allah SWT:

لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِٱلْبَيِّنَٰتِ وَأَنزَلْنَا مَعَهُمُ ٱلْكِتَٰبَ وَٱلْمِيزَانَ لِيَقُومَ ٱلنَّاسُ بِٱلْقِسْطِ ۖ وَأَنزَلْنَا ٱلْحَدِيدَ فِيهِ بَأْسٌ شَدِيدٌ وَمَنَٰفِعُ لِلنَّاسِ وَلِيَعْلَمَ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥ وَرُسُلَهُۥ بِٱلْغَيْبِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ قَوِىٌّ عَزِيزٌ 

Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah SWT serta menolong Rasul-rasul-Nya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

Surah al-Hadid (25)

Penemuan moden saat ini menunjukkan besi merupakan suatu bahan yang tidak boleh diproses sekiranya tidak mencapai suatu suhu yang tinggi. Logam itu memerlukan pelakuran yang sangat tinggi yang hanya boleh diperoleh melalui bintang-bintang raksasa. Bintang yang sudah mencapai hadnya atau tidak boleh melakurkan apa apa bahan lagi akan meledak dan intinya bertaburan. Pada awal pembentukan bumi, meteor meteor yang jatuh ke bumi membawa inti besi dan logam itu ke bumi[3].

Kesimpulannya, pemerhatian dan kajian yang mendalam terhadap ayat-ayat al-Quran yang berkaitan alam semesta dan fenomena-fenomena yang berlaku mampu menyedarkan manusia tentang hebatnya ciptaan Allah SWT. Dengan merendahkan diri sambil merenung langit dan muhasabah diri manusia mampu memahami maksud ayat-ayat Allah SWT yang berkaitan bagi menambahkan keimanan terhadap Allah SWT.

 Rujukan

[1]Maran, S. P. (2017). Astronomy for Dummies. John Wiley & Sons. h.70
[2]Al Imron, M., Sodikin, S., & Romlah, R. (2019). Meteor dalam Perspektif Al-Qur'an dan Sains. Indonesian Journal of Science and Mathematics Education, 2(3), 388-398.
[3]Imron, M. A. (2019). Meteor Dalam Perspektif Al-Qur’an Dan Sains (Doctoral dissertation, UIN Raden Intan Lampung).


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+